Wednesday, April 15, 2009

Pertarungan Umno: Siapa pilihan Najib?

Setakat ini bakal Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak masih belum membuka mulut, siapakah yang beliau kehendaki untuk berada dalam pasukan baru pimpinannya.

Mungkin juga Najib tidak mahu mengiyakan atau menidakkan seseorang calon, kerana bimbang ianya berlawanan dengan arus akar umbi Umno

Ada yang berpendapat mungkin Najib akan menuruti saranan bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad supaya dihapuskan saki baki juak-juak Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno.

Mungkin juga Najib perlu 'ignore' sahaja saranan Dr Mahathir kerana, dalam keadaan sekarang hampir 100 peratus bahagian, mencalonkan beliau sebagai presiden.

Semua orang Umno hendak jadi orang Najib sekarang. Sama ada dia orang Mahathir, atau orang Anwar Ibrahim, atau orang Abdullah, semua hendak dilihat 'attached' dengan Najib.

Selaku bakal Presiden, sudah tentu berfikir bahawa imejnya akan terjejas, jika orang yang dikehendakinya tewas di gelanggang pemilihan.

Ikut jadual, pemilihan pucuk pimpinan Umno akan diadakan dalam Perhimpunan Agungnya pada Mac 2009. Ada lima bulan lagi, macam-macam boleh berlaku.

Namun orang-orang Umno tidak henti-henti membuat spekulasi dan berteka teki.

Sikap berdiam diri Najib membuatkan mereka 'confius'. Mereka mahu Najib memberikan 'signal' siapa yang dikehendakinya dalam 'team' baru beliau.

Selagi Najib tidak 'membuka mulut' mereka terus membuat pelbagai hipotesis dan teori.

Sekarang ini ahli-ahli Umno peringkat bawahan pening kerana perebutan jawatan semua peringkat Umno (kecuali jawatan Presiden) amat serius dan berkecamuk.

Ada yang kata, ianya pertembungan antara puak penyokong Abdullah dengan puak Najib. Ada yang kata ianya pertarungan antara golongan muda dengan golongan veteran.

Ada yang kata wujud calon-calon yang mengambil kesempatan dari populariti Najib untuk 'tumpang semangkuk' banyak pencalonan akibat kekeliruan ahli-ahli Umno peringkat bawahan.

Peluang Muhyiddin merebut jawatan Timbalan Presiden

Ada sumber mengatakan Muhyiddin bukan orang Najib, Najib tidak pernah mengiyakan Muhyiddin sebagai regunya. Tetapi Muhyiddin yang 'mencangkukkan' dirinya dengan Najib.

Muhyiddin bukannya rakan rapat Najib. Beliau bukannya bekas Exco Pemuda Umno. Muhyiddin tahu beliau tidak mempunyai 'machinery', tiada infrastuktur dan tiada 'grass root' untuk mendokong kempennya. Ketiga-tiga faktor ini ada pada Najib.

Muhyiddin hanya dikenali dalam Umno selepas dilantik menjadi Menteri Besar Johor dan dikenali rapat dengan Timbalan Presiden Umno, Anwar Ibrahim suatu ketika.

Selepas pelantikan Abdullah sebagai PM ke-5 oleh Dr Mahathir pada November 2003, Muhyiddin telah meng'attached'kan dirinya dengan Abdullah. Selaku salah seorang Naib Presiden Umno, beliau ketika itu berpeluang dilantik menjadi TPM.

Ada sumber mendakwa ketika itu Abdullah teragak-agak hendak melantik Najib dan Muhyiddin begitu yakin Abdullah akan melantiknya sebagai TPM.

Tambahan pula Allahyarham Hendon Mahmood isteri PM lebih rapat dengan isteri Muhyiddin, Noorainee Abdul Rahman daripada Rosmah Mansor.

Hubungan Najib-Muhyiddin amat dingin. Orang-orang Najib kelihatan 'berseteru' dengan orang-orang Muhyiddin kerana beliau orang Abdullah.

Tetapi keputusan Pilihan Raya Umum 2008, mengubah pendirian Muhyiddin. Beliau secara lantang mula mengkritik Abdullah.

Muhyiddin mengambil kesempatan sebagai Pengerusi Biro Keahlian Umno untuk mengiringi Najib ke merata negeri bagi mendapatkan 'feedback' Umno akar umbi. Seorang lagi Naib Presiden, Mohd Ali Rustam, tidak pandai mengambil kesempatan.

Manakala seorang lagi Naib Presiden, Mohd Isa Abdul Samad sudah digugurkan dari jawatan dan baru lepas daripada hukuman penggantungan akibat politik wang.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin ditentang dua lagi calon, iaitu Ali dan Muhammad Muhammad Taib.

Kedua-dua pencabar Muhyiddin ini kelihatan lebih 'organise' dan mempunyai infrastruktur. Cuma mereka lambat mengambil peluang untuk dilihat sebagai 'orang Najib.'

Setakat ini Ali dan Muhammad masih belum cukup kuota pencalonan. Namun jika kuota mereka cukup, belum tentu Muhyiddin akan menang.

Tambahan pula ada kalangan ahli Umno melihat usia Muhyiddin lebih tua daripada Najib. Muhyiddin 61 tahun, manakala Najib 55 tahun.

Dalam keadaan Najib tidak bercakap apa-apa soal siapa Timbalan Presiden (hanya desakan Dr Mahathir sahaja yang mahukan Muhyiddin), ini menyebabkan orang-orang Umno masih berfikir sama ada beliau layak atau tidak.

Dalam tempoh lima bulan ini, macam-macam boleh berlaku. Mana-mana calon Timbalan Presiden yang kuat dari segi infrastruktur dan dilihat satu generasi dengan Najib, beliau akan mempunyai peluang.

Naib Presiden milik siapa?

Bagi jawatan Naib Presiden pula ramai yang dicalonkan, antaranya. Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khaled Nordin, Syed Hamid Albar, Dr Rais Yatim, Isa Samad, Abdul Rahim Thamby Chik dan Dr Jamaluddin Mohd Jarjis.

Setakat ini Hishammudin, Shafie, Zahid, Khaled dan Syed Hamid sudah melayakkan diri untuk bertanding. Manakala Rais, Isa, Rahim dan Jamaluddin masih belum mencukupi kuota pencalonan.

Diandaikan jika semua mereka memenuhi kouta pencalonan. Akan ada sembilan calon bakal merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno.

Kedudukan Hishammuddin sebagai salah seorang calon 'favourite' tidak boleh dinafikan, selain bekas Ketua Pemuda Umno, beliau adalah anak bekas PM, Hussein Onn dan sepupu kepada Najib.

Manakala peluang Shafie juga kelihatan agak cerah kerana beliau adalah 'orang kanan' Najib sejak dahulu. Atas sebab itu juga Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, menarik diri daripada dicalonkan sebagai Naib Presiden kerana beliau tidak mampu mengatasi populariti Shafie.

Sebelum ini pun khabarnya beberapa bulan lepas sewaktu 'orang-orang PM' menjenguk ke Sabah untuk meninjau peluang PM dicalonkan sebagai Presiden bagi penggal kedua, Musa tidak boleh memberi jaminan kerana pengaruh Shafie-Najib di beberapa bahagian Umno agak kuat.

Atas faktor ini, kemungkinan peluang Shafie, sebagai anak Sabah pertama bakal menduduki kerusi Naib Presiden Umno, agak cerah.

Bagi Zahid pula, walaupun mendapat pencalonan yang tinggi, peluangnya masih samar-samar. Zahid mendapat banyak pencalonan kerana ahli-ahli Umno di akar umbi beranggapan 'dia orang Najib'. Tambahan pula Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib.

Ada sumber Umno mendakwa, Zahid sudah lama 'meninggalkan' Najib. Malah sewaktu beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno, beliau sudah tidak rapat dengan Najib. Zahid lebih rapat dengan Anwar Ibrahim.

Sejarah Umno mencatatkan, Zahid mula-mula sekali mencetus perbalahan antara Mahathir-Anwar menerusi ucapannya di Johor.

Selepas Anwar dipecat, Zahid ditahan di bawah ISA. Selepas beberapa minggu, beliau dibebaskan dan kembali ke dalam Umno dengan 'mencium tangan Mahathir' .

Zahid kembali dalam Umno dan rapat dengan Abdullah dan Khairy Jamaluddin, sehingga dilantik menjadi Menteri. Pernah suatu ketika apabila Zahid rapat dengan Abdullah, beliau sudah 'declare war' dengan Najib.'

Mungkin ramai tidak memahami hasrat Zahid di sebalik pengumumannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Beliau bukannya hendak menjadi 'pair' atau regu Najib sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Beliau mahu menjadi 'pair' Abdullah, dengan mengandaikan Abdullah terus mempertahankan jawatan Presiden.

Malah ada sumber wartawan yang rapat dengan beberapa ahli MT Umno memberitahu, Zahid begitu bertegas tidak mahu Abdullah berundur, berentap dalam mesyuarat sehingga 'menghentak meja' khabarnya.

Tetapi Zahid bijak mengintai peluang. Selepas gagal menjadi 'pair' Abdullah, beliau menarik diri sebagai calon Timbalan Presiden dan hanya bertanding Naib sahaja, untuk dilihat antara 'team' Najib pula.

Sikap 'flip-flop' Zahid ini ada bahayanya bagi beliau. Kerana beliau pernah dikenali sebagai orang Najib, selepas itu orang Anwar, kemudian orang Mahathir, selepas itu orang Abdullah dan sekarang mahu menjadi orang Najib pula.

Kemungkinan peluangnya menduduki salah satu kerusi Naib Presiden agak kabur jika ahli-ahli Umno tidak mendapat 'signal' daripada Najib.

Manakala Khaled dan Syed Hamid dilihat sukar untuk menang. Pertamanya, kedua-duanya bukan orang Najib. Mereka adalah orang Abdulah. Khaled adalah anak didik Shahrir Samad, yang dilihat lebih rapat dengan Khairy.

Kedua, mereka adalah calon daripada Johor. Johor ada tiga calon. Hisham pun dari Johor juga. Sukar bagi Khaled dan Syed Hamid untuk menempatkan diri mereka.

Ketiga, faktor yang agak penting, Khaled, Shahrir dan Syed Hamid tidak begitu rapat dengan Muhyiddin. Bahagian Johor Bharu dan Kota Tinggi tidak mencalonkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Johor ada banyak bahagian. Dengan pengaruh ramai 'war-lord' yang masing-masing ada banyak kepentingan, kemungkinan Khaled dan Syed Hamid tidak akan mendapat 'solid vote' dari Johor.

Justeru harus dilihat peluang-peluang yang bakal diisi bagi jawatan Naib Presiden mungkin ada pada Rais, Isa, Rahim dan Jamaluddin.

Rais sudah 'bakar jambatan', beliau cukup marah apabila orang-orang Umno meminta wang upah untuk mendapat pencalonan.

Masalahnya dalam Umno, kalau ada kalangan calon yang awal-awal lagi mengaku tidak ada wang atau tidak mahu memberi wang, peluangnya untuk mendapat banyak pencalonan akan terkubur.

Isa adalah bekas Naib Presiden yang digantung kerana politik wang. Jika Isa pernah bersalah kerana politik wang, maka sudah tentu Isa ada wang.

Soalnya, sekarang ini mungkin Isa agak cuak, bagaimana hendak menyalurkan wangnya kepada bahagian-bahagian, takut-takut beliau akan terperangkap sekali lagi.

Rahim pernah gugur dari jawatan Ketua Pemuda Umno akibat pelbagai skandal. Banyak skandalnya tidak harus dipersoal. Namun dalam pemilihan Umno yang lepas, beliau menang jawatan Ahli MT walaupun tiada jawatan.

Akhir sekali Jamaluddin. Setakat ini kuota pencalonan beliau masih belum cukup. Beliau harus mendapat 19 pencalonan.

Jamaluddin digugurkan daripada Kabinet Abdullah selepas PRU 2008. Khabarnya beliau adalah antara orang kanan Najib yang tidak disukai Khairy.

Sebagai orang kanan Najib beliau ada banyak 'advantage'. Jika beliau menerima banyak pencalonan daripada Pahang, ianya adalah antara 'signal' utama bahawa Najib mengkehendakinya sebagai calon Naib Presiden.

Justeru bagi jawatan Naib Presiden, harus dilihat kemungkinan 'wave' baru akan mendudukinya. Oleh itu kemungkinan gandingan Hisham-Shafe-Jamaluddin tidak harus diketepikan.

Penulis hanya membuat analisis berdasarkan kajian analisis dalam Umno. Kerana, jika fenomena ini berlaku, hasrat Mahathir untuk melihat orang-orang Abdullah disingkirkan daripada Umno akan tercapai.

(Harakahdaily, 29 Oktober 2008)

No comments: