Monday, May 31, 2010

Peluang Pakatan Rakyat kuasai Putrajaya terbuka luas

Tidak sampai tiga minggu selepas gegak gempita seluruh negara berikutan kemenangan tipis Barisan Nasional di Hulu Selangor, kini mereka tunduk membisu akibat kecundang di Sibu.

Momentum yang dibina bahawa kononnya rakyat sudah beralih arah menyokong BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat, ternyata menemui jalan buntu.

Selepas setahun Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kuasa, sokongan rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional masih belum dapat dipulihkan.

Pakatan Rakyat, khususnya KeADILan selama ini dicaci dan ditempelak. Media-media talibarut Umno-BN cuba membentuk suatu persepsi untuk mendorong rakyat menolak Pakatan Rakyat, dengan alasan perpecahan dalaman KeADILan, dan kerana ia diketuai oleh seorang yang tamak, yang semata-mata berjuang untuk kepentingan diri, untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini dakwaan BN sebelum dan selepas BN menang tipis Hulu Selangor. Namun, apakah selepas BN tumbang di Sibu, bermakna semua dakwaan yang cuba didoktrinkan BN ini, tidak diterima dan ditolak rakyat?

Yang jelas, dalam menghadapi beberapa siri Pilihan Raya Kecil, semua media propaganda, agensi dan jentera kerajaan dikerah untuk memastikan kemenangan BN dengan apa cara sekali pun.

Mereka cuba menerapkan doktrin hanya BN yang mampu menerajui negara.

Melalui media tali barut mereka, diwujudkan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat tidak stabil dan berpecah belah. Ditempelak calon Pakatan Rakyat dengan serangan peribadi yang melampau.

Semua ini bertujuan untuk 'memahat' sokongan terhadap BN di minda rakyat. Tetapi sehingga kini, Umno-BN terus gagal. Walaupun mereka menang di Hulu Selangor, tetapi undi Pakatan Rakyat yang diperolehi pada Mac 2008, sehingga 25 April 2010, tidak berkurangan.

Di sebalik serangan hebat media, ratusan juta dicurahkan untuk merasuah pengundi, dan dipindahkan lebih 10 ribu pengundi Pakatan Rakyat ke kawasan lain, semua ini gagal menurunkan sokongan rakyat kepada Dato' Zaid Ibrahim.

Sama ada di Hulu Selangor atau di Sibu, para pengundi menunjukkan dengan jelas bahawa, rakyat begitu konsisten mendukung Pakatan Rakyat.

Undi Pakatan Rakyat tidak pernah menyusut, bahkan bertambah.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu dan pengekalan undi di Hulu Selangor, menunjukkan beberapa indikasi antaranya, pertama; Kaum Cina konsisten menolak BN. Kedua; Golongan muda terus memihak Pakatan Rakyat. Ketiga; Hanya kelompok tua atau golongan tertutup maklumat sahaja yang mengundi BN.

Justeru untuk jangka panjang, keadaan ini amat membahayakan BN, sekaligus memberi advantage kepada Pakatan Rakyat.

Bahaya bagi BN kerana, selama ini kekuatan mereka hanya bergantung kepada pengundi Melayu, kelompok saluran satu dan saluran dua serta kawasan yang berada dalam lingkungan mundur.

Pengundi yang berada dalam lingkungan ini tidak akan kekal kerana kebergantungan mereka kepada BN hanya berasaskan kepada 'ketakutan' iaitu 'takut tak dapat makan', 'takut tak dapat subsidi' dan sebagainya. Sokongan yang berasaskan kepada 'ketakutan' ini bukannya fundamental, ia adalah sokongan yang rapuh.

Kelompok pengundi di saluran satu dan dua semakin menyusut, anak-anak muda kebanyakannya tidak mahu tinggal di kawasan kampung atau Felda.

Mereka berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan.Jika anak-anak muda ini dapat mencari rezeki yang baik di bandar, kemudiannya mereka terdedah dengan kemudahan akses informasi, maka kebergantungan kepada BN sudah tidak diperlukan.

Untuk jangka panjang, mereka akan menjadi penyokong Pakatan Rakyat dan mempengaruhi ibu bapa mereka di kampung, untuk mengundi Pakatan Rakyat.

Pecahan kawasan Parlimen daripada jumlah 222 kerusi Parlimen, hampir separuh daripadanya adalah kawasan yang ditentukan kemenangannya oleh kaum bukan Melayu, sama ada ia untuk Pakatan Rakyat atau BN.

Dalam erti kata lain, ia mencakupi kawasan majoriti pengundi Cina atau kawasan tiada majoriti Melayu. Di Semenanjung sahaja, kawasan-kawasan seperti ini ada lebih 85 kerusi.

Ini belum termasuk, kawasan majoriti Melayu yang dimenangi PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan di Perak Utara. Jumlah ini juga belum termasuk kerusi-kerusi yang seumpama dengannya di Sabah dan Sarawak.

Dilihat kepada kecenderungan pengundi dari beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU 2008, daripada fakta pengundian, kaum bukan Melayu, khususnya Cina, kekal menolak BN dan pengundi Pakatan Rakyat tidak berganjak walaupun ditekan dengan propaganda yang teruk.

Berdasarkan semua fakta ini, politik Malaysia sudah mengalami suatu perubahan yang sangat besar. Ia merupakan anjakan paradigma, sekaligus penolakan kepada kuasa mutlak BN.

Tsunami politik pada 2008 bukannya faktor sementara. Pakatan Rakyat adalah fenomena yang tidak boleh ditolak. Ia sudah diiktiraf sebagai suatu force yang mewakili aspirasi rakyat.

Sebab itu BN tidak mempunyai banyak pilihan. Mereka terpaksa berusaha memecahbelahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Hanya dengan strategi memporak perandakan Pakatan Rakyat, BN mungkin boleh kekal pada PRU ke-13.

Setakat ini usaha memporak perandakan Pakatan Rakyat terus gagal. BN bukan sahaja gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat, malah BN sedang menghitung hari-hari kecundang mereka dari tampuk kuasa Persekutuan.

Justeru, keputusan PRK Hulu Selangor dan Sibu, sebenarnya membuka jalan seluas-luasnya kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya.

Pakatan Rakyat akan kuasai Putrajaya walau tanpa Anwar

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua begitu yakin bahawa Pakatan Rakyat akan menggantikan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, walaupun tanpa Dato' Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat akan terus disokong rakyat. Huraian keyakinan beliau dinyatakannya dalam wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, TARMIZI MOHD JAM dan WAN NORDIN WAN YAACOB bersama beliau, yang merupakan Pengarah Strategik KeADILan di pejabat Harakah 27 Mei lalu.

HARAKAH : Bagaimana saudara melihat perubahan yang berlaku dalam perkembangan politik mutakhir ini terutamanya selepas Pilihan Raya Kecil Sibu dan Hulu Selangor?

TIAN CHUA : Sekarang ini Umno tak mahu jadikan keseimbangan iaitu dua parti sistem ini sebagai realiti, bagi mereka, mereka mahukan kekuatan yang mana mereka pernah dapat dahulu iaitu majoriti dua pertiga, dan membiarkan pembangkang sebagai hiasan. Itu yang menjadi masalah kepada Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, dalam mendapatkan semula pemerintahan yang kuat.

Jika beliau mahukan kemenangan sahaja beliau boleh buat pilihan raya umum esok lusa, tetapi kemenangan yang beliau akan dapat bukanlah kemenangan yang boleh memastikan beliau kukuhkan kedudukan dengan dua pertiga majoriti, sebaliknya beliau akan terus berada dalam keadaan hari ini di mana tiadanya kekuatan.

Membicarakan soal pasca PRK Sibu, pada saya, Pakatan Rakyat boleh memperolehi lima atau enam kerusi lagi, dan Sabah juga kita boleh dapat dalam empat atau lima kerusi, ini satu perubahan besar juga, dan bagi saya jika kita mampu kekalkan apa yang kita dapat hari ini dan menambah dengan kerusi di Sabah dan Sarawak.

Hasrat melihat sistem dua parti yang lebih berkesan akan dapat diterjemahkan, sementara BN terutamanya Umno akan terus tertekan.

Najib akan lemas, jika dia tidak berjaya kurangkan kerusi kita, ditambah dengan jika beberapa kerusi di Sabah Sarawak jatuh kepada Pakatan Rakyat, ini satu ketidakselesaan kepada Najib, yang perlu letak jawatan sama seperti yang dialami Tun Abdullah Badawi, Umno dalam keadaan yang agak kritikal.

Apa yang perlu Pakatan Rakyat lakukan dalam menangani situasi ini?

Apa yang kita perlu ialah, Pakatan Rakyat harus kekalkan apa yang ada dan tambah lagi untuk menjadikan tekanan yang lebih kepada Umno-BN.

Umno BN akan terus berusaha membuat persempadanan semula, menggunakan SPR untuk kekal memerintah, mereka mahukan balik kerusi mereka yang tewas, mereka akan hentam pemimpin kita berterusan untuk dapatkan pengaruh semula rakyat, tetapi apa yang dibuat kita ada masa untuk menunggu perubahan, tetapi mereka (Umno) dah tiada masa kerana mereka kini tertekan untuk survival.

Sekarang ini, 50 peratus Melayu duduk dalam keadaan arus pembangunan semasa, hanya 30 peratus sahaja yang masih dalam sektor pertanian yang kebanyakannya di kawasan pedalaman, Umno akan memperhebatkan cengkaman di kawasan pedalaman mereka, tetapi jika ikut arus pembangunan mereka yang duduk di kawasan membangun mereka dah pergi jauh dan mendapat sumber maklumat yang lebih banyak.

Kita melihat, selepas BN menang di Hulu Selangor BN, selang tiga minggu di Sibu BN kalah di sana, apa yang saudara dapat simpulkan?

Saya lihat kita boleh buat satu kesimpulan yang neutral di dua tempat ini, kita dapati kumpulan masyarakat yang dapat maklumat yang duduk dalam bandar atau separuh bandar penerimaan mereka terhadap Pakatan Rakyat sangat tinggi.

Terdapat sedikit polarisasi di mana masyarakat yang lebih terpinggir dan kurang mendapat maklumat mereka ini sebenarnya bukanlah cenderung untuk sokong BN, tetapi sebenarnya mereka ini ditindas, takut kepada penguasa dan politik wang, ini budaya politik lama yang boleh laku dalam 'setting' kawasan pedalaman.

Saya gunakan kesimpulan ini saya tak mahu jatuh kepada observasi yang optimistik yang menyatakan sebenarnya Cina sokong Pakatan Rakyat sementara Melayu kepada Umno.

Itu tidak benar, kerana kita kena gunakan kaca mata bukan perkauman di mana dari segi itu kita nampak kononnya Cina banyak sokong Pakatan Rakyat.

Sebenarnya bukan sahaja Cina yang menyokong Pakatan Rakyat, tetapi mereka yang duduk dalam bandar dan pekan yang pendedahan mereka terhadap media yang lebih terbuka ini membolehkan mereka keluar dari kongkongan budaya takut ini, tetapi kalau kita lihat masyarakat yang masih tertutup dan ekonominya sangat bergantung kepada kerajaan Pusat, mereka ini belum lagi bersedia untuk konfrontasi kepada penindas mereka ini.

Hal ini berlaku di Sibu juga, yang duduk di bandar dan pekan serta pinggir bandar mereka sedia berhijrah tetapi mereka yang duduk di pedalaman ini sukar untuk menghijrah pemikiran mereka.

Mereka terpaksa tunduk kepada tekanan BN, ini dua trend dan bagi Pakatan Rakyat cabarannya ialah, bagaimana kita atasi masalah ini.

Ada dua aspek satu yang biasa iaitu perkukuhkan organisasi, dan banyak turun buat program.Yang seterusnya yang lebih mencabar ialah bagaimana kita boleh terjemahkan idealisme kita untuk masyarakat bagaimana satu pentadbiran yang baik 'good governance', telus, bebas dari rasuah dan masyarakat bermoral.

Ini mesej yang mudah diterima oleh masyarakat bandar tetapi masalah kepada masyarakat yang hidup dalam ekosistem ekonomi yang masih belum independent, sangat bergantung kepada subsidi dan dalam keadaan yang kurang memuaskan.

Mereka ini belum boleh lihat nilai-nilai ini boleh diterjemah kepada sesuatu yang postif kepada hidup mereka, mereka ini dari akan bertanya setiap bulan mereka perlu memikirkan wang yang tidak cukup untuk bayar hutang sana-sini yang akhirnya memikirkan apa untungnya kepada mereka kepada dasar 'good governance'.

Walaupun sebenarnya ia sangat berkait dengan kehidupan mereka. Ini cabaran kepada Pakatan Rakyat bagaimana kita nak terjemahkan nilai ini bila kita laksanakan dasar ini golongan ini boleh dapat faedah.

Kita dapat melihat bahawa Pakatan Rakyat menghadapi sedikit masalah untuk mendapat undi di kawasan Melayu mundur, ini dikuasai BN, bagaimana fenomena ini hendak ditangani Pakatan?

Dalam politik itulah yang kita lihat, tetapi sebenarnya ada masalah yang lebih menyeluruh kerana corak ekonomi yang dilaksana BN ini mementingkan membangunkan untuk kelompok elit dan kepentingan diri.

Ini yang menjadikan sebahagian besar masyarat terpaksa bergantung kepada subsidi dan bantuan dari kerajaan.

Jadi ini tak boleh membebaskan mereka ini daripada kemelut ini dan mentaliti dibina Umno dan sengaja mempropagandakan ini supaya budaya ini dipanjangkan.

Dalam menangani isu-isu besar seperti APCO dan sebagainya, seolah-olah ia tidak memberi kesan kepada rakyat luar bandar, bagaimana pandangan saudara?

Itulah yang saya jelaskan, mereka ini tidak terdedah kepada maklumat yang besar, oleh kerana sekatan media dan maklumat mereka ini tak terasa isu macam APCO.

Ini rasa ada kena mengena dengan hidup mereka, apa yang mereka fikirkan ialah isu kehidupan harian mereka soal anak sekolah, yuran anak dan bagaimana hendak dapatkan jalan segera dapat duit.

Tiap hari mereka ini hidup dalam suasana ini, nak bincang soal submarine, APCO dan sebagainya mereka tak akan fikirkan isu ini walaupun ada kaitan dengan mereka.

Persoalannya ini bagaimana kita hendak terjemahkan dengan apa isu yang berlaku dengan kehidupan mereka.

Sebagai cabaran bagaimana dalam pentadbiran negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat kita kurangkan beban kepada masyarakat ini bagaimana dengan ada telah kita laksanakan skim air percuma, takaful kifaalah, tetapi bagi saya kita kena buat lebih lagi kepada golongan ini bagi mengurangkan beban mereka.

Ini boleh menarik sokongan mereka ini. Tetapi cuma kita ada limitasi kerana kita bukan kerajaan Pusat.

Cabaran besar Pakatan Rakyat ialah, hari ini BN cuba menggambarkan kepada rakyat kononnya kepimpinan Pakatan Rakyat ini tiada pengalaman mentadbir negeri dan sebagainya. Bagaimana saudara menangani isu ini?

Sebab itulah bagaimana kita boleh uruskan persepsi ini, cara terbaik percepatkan 'learning curve' kita dalam pentadbiran negeri yang kita tadbir jauh profesional meyakinkan dan naikkan imej di mata masyarakat.

Seterusnya kita dari segi parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing, muafakat di kalangan kita sangat penting. Kenapa ada mulanya tsunami politik.

Rakyat sebenarnya melihat pemimpin Umno yang dulu mampu boleh pegang MIC dan MCA kini tidak mampu lagi berbuat demikian yang menyebabkan masyarakat semakin lihat longgarnya kekuatan antara parti-parti dalam komponen BN.

Mereka lihat bagaimana kini ada hujah-hujah yang ekstrem di kalangan pemimpin Umno ataupun pemimpin parti komponen tetapi PM yang ada, Najib hanya berdiam sahaja tak mampu selesaikan kemelut.

Ini menyebabkan mereka tidak percaya kepada BN dan sebaliknya mereka lihat Pakatan Rakyat semakin matang, maju dan bersatu dapat mencapai konsensus dengan cepat dan reaksi kita dalam isu penting sangat sederhana dan moderate dan memenuhi kehendak kebanyakan masyarakat.

Ini satu proses penting dan jika kita perkukuhkan perpaduan ini, masyarakat akan yakin dengan Pakatan Rakyat, kita tak ada masalah yang besar tetapi kemampuan kita selesaikan masalah dalam satu wadah Pakatan Rakyat ini sangat baik.

Berbanding kepada tahun 1999, pakatan yang kita bina ketika itu tidak mampu untuk uruskan perbezaan antara tiga parti, sebab itu pada tahun 2004 rakyat memberi undi kepada BN kerana rakyat tak mahu satu pakatan yang tak boleh selesaikan perbezaan dalaman mereka.

Ini lah yang rakyat mahu lihat tiap isu yang ada kontroversi semua kaum tetapi Pakatan Rakyat selesaikan dengan baik berbanding BN. Ini kelebihan kita sekarang.

Daripada apa yang disebut dan lakukan BN, Pakatan Rakyat dan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah pencabar utama mereka, maka mereka menyerang Anwar dengan hebat bagaimana saudara hendak menangani perkara ini?

Tanggapan bagi Umno ini adalah satu yang mereka pegang, dan ini sebenarnya salah. Mereka anggap Pakatan Rakyat ini wujud kerana karisme Anwar pegang semua orang.

Untuk satu dua perkara ya, ia betul tetapi, ia telah merentasi benda ini kerana sebenarnya Pakatan Rakyat ini setiap parti yang ada ia ada 'internal force' yang boleh memainkan peranan.

Keinginan majoriti dalam PAS yang inginkan perubahan, dan kita juga boleh lihat dalam PAS sekarang ini ahlinya bertambah ialah selepas tahun 1999 berbeza dengan sebelum 1999 yang agak 'hard core'.

DAP pula sekarang ini dipimpin oleh generasi baru yang bukan dari sistem pendidikan kolonial lama, mereka ini kebanyakan ikuti pendidikan nasional, masuk universiti awam, DAP berubah.

Sementara KeADILan pula mengumpulkan pelbagai sumber yang mahukan perubahan, baik dari NGO seperti JIM, ABIM dan Suaram, dan generasi muda dari Umno yang berubah.

Ini satu 'genre fenomena' yang matang untuk perubahan masyarakat, Anwar sebagai kepimpinan dan ikon kerana kesengsaraan dan penindasan kepadanya, dia mudah jadi central of attraction, dan serangan ke atas Anwar ini dibuat oleh Umno bertujuan anggap jika Anwar jatuh Pakatan Rakyat akan jatuh. Ini satu kesimpulan salah.

Sejak reformasi 1998, Anwar masuk penjara, inilah kebangkitan massa yang sebenarnya bukanlah dipimpin oleh Anwar, tetapi dipimpin oleh golongan baru yang telah diuji masuk penjara keluar penjara dan juga telah mampu memecah monopoli maklumat.

Dan kita lihat, KeADILan telah 'survive' 10 tahun tanpa Anwar apabila Anwar dipenjarakan. Anwar bagi KeADILan hanya simbolik, bagi pemimpin yang anggap mereka boleh tangkap dan serang Anwar untuk lumpuhkan KeADILan mahupun Pakatan Rakyat.

Ini satu persepsi yang salah, ini satu mimpi. Memanglah ada masalah dalam KeADILan tetapi kekuatan yang ada datang dari generasi yang mahukan perubahan.

Dengan menyerang Anwar ia tidak akan mengubah ealiti ini. Bagi saya ini satu kesilapan Tun Mahatahir Mohamad anggap tangkap Anwar masuk penjara boleh lumpuhkan reformasi, sebaliknya tidak, ini berubah.

Ketika Abdullah jadi PM, mereka kata KeADILan tak relevan lagi sebab Anwar tidak boleh bertanding pada PRU-2008, tetapi sebaliknya walaupun Anwar tidak boleh bertanding juga.

Semangat dan perjuangan inginkan perubahan itu semakin tinggi menyebabkan tsunami berlaku. Rakyat mahukan perubahan. BN sekarang ini buat yang sama seperti Tun Mahathir buat.

Adakah gelombang 2008 akan berterusan kerana ada yang menyatakan kurangnya sokongan atau kehadiran dalam perbicaraan kes Anwar di Mahkamah, kurangnya rakyat sertai demonstrasi?

Kita harus faham apa pemikiran rakyat, jangan fikirkan soal pemikiran parti hanya lihat jika ramai orang di mahkamah sokong Anwar ini kekuatan.

Ketika 1998, rakyat turun ramai-ramai ke mahkamah buat perhimpunan kerana ketika itu tidak ada pilihan mahu memberi tekanan kepada Mahathir membebaskan Anwar dan mengharapkan Anwar menggantikan Mahathir.

Kali ini berbeza, rakyat tidak lagi turun beramai-ramai kerana mereka lihat bukan sahaja menjatuhkan BN, tetapi dengan kekuatan undi mereka boleh lantik wakil rakyat, tukar kepimpinan negeri dan mahukan sistem dua parti yang lebih kuat dan ini satu fenomena baru.

Sekarang ini rakyat tumpu kepada hidup sendiri apabila melihat Pakatan Rakyat semakin kuat, dan tak perlu mereka turun padang demonstrasi lagi, mereka boleh nyatakan sokongan mereka dengan undi untuk jatuhkan kerajaan.

Untuk membebaskan Anwar mereka tak payah lagi ke mahkamah, sebaliknya undi, mereka telah berani mengubah undi, pemikiran rakyat sudah bertukar.

Saya tidak khuatir kerana mahkamah tak ramai orang, tetapi rakyat baca apa yang berlaku. Sekarang ini BN mahu tutupkan kelemahan mereka, mereka jadi burung unta yang sorokkan diri dari dilihat orang.

Macam itu juga mereka cuba gambarkan kepada Anwar yang kononnya tidak lagi mendapat sokongan rakyat kerana kes perbicaraan Anwar tidak mendapat kehadiran ramai.

Bagi rakyat mereka tak mahu buang masa di luar mahkamah, sebaliknya pergi kerja dan membaca perkembangan dalam internet dan mereka tahu apa yang mereka nak lakukan.

Wednesday, May 26, 2010

Umno perosak demokrasi

Tidak dinafikan, Malaysia adalah salah sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi dengan memisahkan tiga elemen penting dalam perundangan iaitu eksekutif, legislatif dan judiciari.

Gabungan ketiga-tiga elemen ini diperlengkapkan dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, sebagai mengimbangi kuasa eksekutif.

Dengan penyusunan sistem perundangan sedemikian rupa, Malaysia seolah-olahnya menjadi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tulen.

Dalam sistem perundangan Malaysia, diwujudkan pilihan raya untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih wakil parti-parti politik yang bertanding untuk membentuk sesebuah kerajaan.

Kerajaan-kerajaan yang dipilih sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, berperanan sebagai eksekutif. Kuasa eksekutif diimbangi dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Raja, kuasa legistalif (Parlimen atau Dun) dan kuasa pengawal undang-undang (judiciari).

Secara teorinya, jika diteliti dari sudut sistem, Malaysia sudah mempunyai sistem perundangan yang lengkap dan berimbang.

Namun dari sudut praktikalnya, wujud banyak kesangsian. Kuasa politik yang dinikmati Umno-Barisan Nasional sejak sebelum merdeka, tidak memungkinkan sistem demokrasi di negara berjalan dengan lancar.

Kesangsian terhadap ketelusan sistem perundangan negara, semakin ketara selepas Pakatan Rakyat berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen dan memenangi lima buah negeri iaitu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Umno yang menjadi peneraju utama BN seperti 'orang kehilangan akal' apabila kuasa mereka di Kerajaan Persekutuan dan kuasa mereka di Negeri terlucut.

Umno-BN tidak boleh duduk diam. Mereka tidak boleh menerima kekalahan dan mereka tidak percaya mereka boleh dikalahkan.

Maka akibat daripada ketamakan kuasa dan kegelojohan pemimpinnya. Umno-BN berusaha menggugat dan menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Umno-BN menggunakan taktik yang amat kotor dan jijik. Mereka memerangkap wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang lalai dan berkepentingan.

Mereka menaburkan wang jutaan ringgit untuk membeli wakil rakyat. Mereka menggunakan kuasa media, kuasa polis untuk menyekat demokrasi, berpakat dengan hakim untuk membuat keputusan yang memihak dan memanipulasi golongan istana.

Hasil pencabulan demokrasi yang menjijikkan, BN berjaya merampas Perak. Hasil ketamakan pemimpin mereka, kini mereka cuba untuk merampas Kedah pula.

Mereka cuba untuk menggugat Selangor dan Pulau Pinang, tetapi gagal kerana Pakatan Rakyat mempunyai cukup kerusi dengan wakil-wakil rakyat yang sangat setia dan komited.

Jika Umno-BN 'anak jantan' yang menghormati demokrasi, mereka sepatutnya menunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk cuba mendapatkan mandat semula rakyat.

Malangnya, Umno-BN tidak berani berhadapan dengan Pakatan Rakyat dalam kancah pilihan raya secara demokratik. Mereka ibarat 'pondan siam' yang hanya berani 'berkokok' dalam media massa yang mereka kuasai.

Mereka mahu berkuasa semula dengan memasuki 'pintu belakang', mereka tidak mempedulikan kesahihan dari sudut perundangan atau agama.

Mereka tidak sedar mereka sebenarnya sudah mencetuskan kemarahan dan kebencian rakyat.

Malah sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Umno-BN untuk merampas kuasa secara haram akan menerima balasan daripada rakyat.

Hanya kuasa rakyat sahaja yang mampu menyelamatkan negara. Selamatkan Malaysia!

Tuesday, May 18, 2010

Rakyat dan institusi Diraja

Sejarah tidak pernah menafikan bagaimana eratnya hubungan antara orang-orang Melayu dengan institusi Diraja. Sejak zaman dahulu kala, orang-orang Melayu begitu sinonim dengan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja.

Di atas ketaatan dan kesetiaan itulah yang memungkin wujudnya sistem beraja di sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia, walaupun penjajah British dan Umno-Barisan Nasional sudah menukarkan fungsi Raja-Raja Melayu daripada pentadbir kepada Raja Berperlembagaan sahaja.

Dalam apa pun keadaan, kedaulatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu tetap dipelihara dan dijunjung rakyat jelata di seluruh pelusuk negara.

Buktinya, Perkara 181, 153, 152 dan lain-lain (dalam Perlembagaan) yang berkaitan dengan kuasa Diraja termasuk Perkara 38 dan 43 di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedudukan tertinggi dalam sistem beraja tetap terjamin dalam negara.

Fungsi Raja sebagai payung kepada orang-orang Melayu khususnya, dan juga sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, sehingga kini begitu ditaati dan dipatuhi setiap rakyat.

Namun, dewasa ini wujud di kalangan rakyat yang dilihat semakin berani mempertikaikan titah Sultan dan Raja.

Mengapakah keadaan ini boleh berlaku sekarang? Apakah Sultan atau Raja begitu maksum sehingga tidak boleh menerima nasihat dan disanggah sama sekali?

Ada dua elemen yang boleh mendorong Raja disanggah. Pertamanya, baginda tidak adil. Keduanya, baginda tidak memelihara kesucian agama.

Ketidakadilan seseorang Raja boleh dikaitkan dengan tindakan penguatkuasaan pemerintahannya yang berat sebelah.

Misalnya, apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hendak berucap di Masjid, ada titah yang melarang beliau berbuat demikian, atas alasan PAS membawa politik dalam masjid. Seharusnya pihak berkuatkuasa agama menyatakan bukti, pada bahagian mana ucapan Tuan Guru bercanggah dengan Islam atau melanggar titah Raja.

Bandingkan pula dengan tindakan Umno-BN, yang menganjurkan solat hajat dan bacaan yassin untuk memenangkan calon BN yang bukan Islam. Jelas, BN menggunakan masjid untuk kempen politik, malah mendoakan kemenangan untuk memuliakan bukan Islam di masjid.

Bukankah tindakan Umno-BN ini mencemar kemuliaan masjid dan melanggar titah Raja? Mengapa tiada institusi agama yang bangkit? Mengapa tiada titah Raja dikeluarkan dalam hal ini?

Barangkali di sini, bukan salah Raja. Tetapi Umno-BN melalui institusi agama yang dikuasainya, memperalatkan Raja untuk kepentingan politik mereka. Ini tidak adil!

Perkara yang kedua terpenting ialah soal kesucian agama. Raja sebagai tonggak negeri, Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

Untuk itu golongan Diraja seharusnya mengelakkan wujudnya beberapa insiden yang mencemarkan institusi Diraja. Raja-raja, anak-anak Raja, bakal-bakal Sultan, dilaporkan pernah terbabit dalam insiden yang memalukan, sebagaimana yang dilaporkan media massa sebelum ini.

Ada yang dilaporkan berpeleseran di kelab malam. Ada yang didakwa mabuk sehingga bergaduh sesama sendiri di kelab malam. Ada yang dikatakan kuat berjudi.

Pokoknya, golongan istana harus memahami bahawa di zaman moden ini, tiada aral komunikasi, rakyat boleh melihat dan mengetahui dengan jelas perilaku mereka, tambahan pula jika ada kalangan golongan ini yang sentiasa bergelumang dengan maksiat.

Persoalannya, bagaimanakan golongan ini layak dihormati dan didoakan pada setiap kali solat Jumaat, jika sifat peribadi serta perilaku baginda tidak secocok sebagai Ketua Agama Negeri?

Justeru, jangan salahkan rakyat, jika rakyat bersuara, walaupun ianya kelihatan 'menyanggah titah Raja'.

Raja yang akan dihormati dan didaulatkan, adalah Raja yang adil kepada semua rakyat baginda, tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan pemikiran politik.

'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah'.

Wednesday, May 05, 2010

Upah memaki hamun Anwar

ADA beberapa persoalan pokok yang harus diajukan di sebalik pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohamed Ezam Mohd Nor sebagai Senator yang baru.

Pertama, apakah sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara sehingga melayakkan beliau dilantik sebagai Senator?

Kedua, dengan kedudukan beliau sebagai ahli biasa Umno, apakah peranan yang boleh beliau mainkan di Dewan Negara?

Atau, apakah beliau akan dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri, bagi membolehkan beliau berperanan di Dewan Rakyat pula?

Merujuk kepada persoalan ini, sejurus pelantikannya Ezam mendakwa beliau layak dilantik menjadi Senator berdasarkan banyak sumbangan beliau untuk memerangi rasuah, antaranya dengan menubuhkan Gerak.

Ezam menafikan dakwaan bahawa pelantikannya sebagai 'upah' dari Umno-Barisan Nasional.

Namun bagi penulis, jika Ezam menafikannya pun siapa yang hendak percayakan dia.

Orang-orang Pakatan Rakyat sudah lama tidak mempercayainya, malah, orang-orang Umno sendiri pun belum tentu percaya kepada beliau.

Hakikatnya pelantikan Ezam sebagai Senator banyak dipertikaikan. Kelompok Pakatan Rakyat tidak ada sebab hendak pertikaikan kerana pelantikan tersebut adalah progatif Perdana Menteri.

Yang banyak mempertikaikan pelantikan Ezam adalah orang-orang Umno sendiri.

"Dia (Ezam) dah 'kenyang' kat sana, buat onar macam-macam burukkan kita (Umno), lepas tu dia masuk sini, pun dia 'kenyang' juga, dapat Senator lagi," keluh seorang pemimpin pemuda Umno.

Apa maksud 'kenyang' itu, hanya Ezam dan orang-orang Umno yang terlebih faham.

Persoalan yang mengguris hati kebanyakan orang Umno ialah bagaimana bekas pengkhianat Umno, baru setahun kembali ke dalam Umno, sudah mendapat 'reward' sebegini besar?

Di luar sana, ramai lagi pemimpin tertinggi Umno, di peringat negeri dan bahagian, yang berjuang sehidup semati mempertahankan Umno, sejak dulu, kini dan selamanya, 'habuk pun tak dapat.'

Malah ada antara mereka yang menjadi penyokong tegar Dato' Seri Mohd Najib Razak tatkala ditindas Khairy Jamaluddin, pun tidak mendapat apa-apa.

Malah begitu komitednya perjuangan mereka dalam Umno, diumpamakan, jika ditoreh lengan mereka sekalipun, akan keluar 'darah cap keris'! Tetapi mereka-mereka ini diketepikan oleh pemimpin tertinggi Umno. Mengapa mereka diketepikan?

"Kes Ezam buat PM, ini ibarat 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan," kata seorang penganalisis politik.

"Ada bunyi-bunyi kata hendak lantik Ezam pula sebagai Timbalan Menteri, habis kami orang Umno yang ramai-ramai ini hendak jadi apa?" soal seorang pemimpin pemuda dengan nada kemarahan.

Ya tak ya juga. Bukan AJK Pemuda atau pemimpin bahagian Umno sahaja, malah berlambak-lambak Ahli Parlimen Umno-BN yang mengharap jawatan Menteri atau Timbalan Menteri yang akan kempunan nanti.

Yang paling kempunan sudah tentunya Ahli Parlimen Rembau, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Selepas bapa mertuanya dijatuhkan dari tampuk kuasa, Khairy tidak mendapat apa-apa dari Umno, walaupun suatu ketika dahulu beliau kelihatan amat berkuasa.

Penentangnya Dato' Mukhriz Mahathir dah jadi Timbalan Menteri. Begitu juga Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim, juga Timbalan Menteri.

Maka kali ini jika Ezam dilantik menjadi Timbalan Menteri, maka riwayat Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno yang sedang berantakan dengan exconya sekarang ini, sudah hampir di penghujung.

Apakah tidak mustahil Najib sedang memprojek Ezam sebagai bakal Ketua Pemuda Umno yang baru? Khairy sudah tidak layak, sebab pertama, beliau menang tipis apabila undi perwakilan pemuda terbahagi tiga, bermakna beliau hanya dipercayai satu pertiga pemuda sahaja.

Alasan kedua, beliau dikritik oleh exconya sendiri, malah disuruh meletak jawatan kerana gagal mengemudi pemuda Umno.

Alasan ketiga, ialah kerana Khairy tidak mendapat kepercayaan Najib, dengan tidak dilantik menganggotai kabinet, dan sama sekali tidak boleh diterima oleh orang-orang Najib.

Oleh kerana Mukhriz kelihatan sedikit 'lembap' untuk dijadikan galang-ganti Khairy, maka seseorang seperti Ezam yang kelihatan rancak dan bertenaga, harus dipupuk mulai dari sekarang untuk mengambil alih tugas Ketua Pemuda.

Ezam dalam konteks ini dilihat ada sedikit 'command'. 'Command' atau karisme Ezam, bukan untuk dikemudikan untuk mengembleng tenaga muda menyokong Umno, sebab penyokong Umno sudah semakin pupus.

Ezam sebenarnya hendak dipergunakan sebagai alat Najib untuk menyekat kemaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ezam adalah 'ayam sabung' terbaru Umno-BN untuk menentang Pakatan Rakyat, selepas Ahli-ahli Parlimen Umno-BN yang ada gagal berfungsi.

Sebab apa Najib mempercayai Ezam? Sebabnya ialah selepas mengkhianati 'tuannya' dalam KeADILan, Ezam begitu konsisten memaki hamun Anwar.

Tiada topik lain yang dicakapkannya selain memburuk-burukkan Anwar. Beliau akan muncul setiap kali ada pilihan raya dan setiap kali wujud perpecahan dalam KeADILan, 'menangguk di air yang keruh' untuk menjatuhkan maruah Anwar.

Ada rakan-rakan dalam KeADILan mendakwa, peristiwa beberapa orang anggota AMK KeADILan dan lain-lainnya keluar dari parti itu, berikutan daripada kerja keras Ezam dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairudin.

"Kerja mereka mudah, mereka round satu Malaysia, hubungi semua 'budak-budak Ezam' dalam parti, tawar macam-macam kepada mereka," dakwa seorang ahli MPT KeADILan.

"Ezam dan bekas Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehuddin Hashim rapat dengan Najib.

Mereka jadi broker 'tukang beli' orang-orang KeADILan," dakwa seorang yang lain.

Di sini, bukan persoalan jumlah banyak mana RM yang 'dibayar' untuk mereka yang sedia mengkhianati perjuangan. Tetapi, ianya adalah soal keberkesanan tugas Ezam untuk melemah dan memporakperandakan KeADILan.

KeADILan adalah antara komponen utama Pakatan Rakyat. Dan Anwar dilihat sebagai pencabar terbesar kepada Najib. Tugas Ezam dan pecacai-pecacai yang lain adalah untuk memperlahankan gerakan Pakatan Rakyat.

Walaupun kocaknya KeADILan, seumpama 'kocakan air dalam cawan', namun ianya cukup untuk memuaskan hati Najib. Di atas kepuasan hati itulah, beliau menganugerahkan jawatan Senator buat Ezam.

Jelasnya, ianya upah yang diberikan kerana berjaya memaki hamun Anwar!