Ahli Parlimen Batu, Tian Chua begitu yakin bahawa Pakatan Rakyat akan menggantikan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, walaupun tanpa Dato' Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat akan terus disokong rakyat. Huraian keyakinan beliau dinyatakannya dalam wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, TARMIZI MOHD JAM dan WAN NORDIN WAN YAACOB bersama beliau, yang merupakan Pengarah Strategik KeADILan di pejabat Harakah 27 Mei lalu.
HARAKAH : Bagaimana saudara melihat perubahan yang berlaku dalam perkembangan politik mutakhir ini terutamanya selepas Pilihan Raya Kecil Sibu dan Hulu Selangor?
TIAN CHUA : Sekarang ini Umno tak mahu jadikan keseimbangan iaitu dua parti sistem ini sebagai realiti, bagi mereka, mereka mahukan kekuatan yang mana mereka pernah dapat dahulu iaitu majoriti dua pertiga, dan membiarkan pembangkang sebagai hiasan. Itu yang menjadi masalah kepada Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, dalam mendapatkan semula pemerintahan yang kuat.
Jika beliau mahukan kemenangan sahaja beliau boleh buat pilihan raya umum esok lusa, tetapi kemenangan yang beliau akan dapat bukanlah kemenangan yang boleh memastikan beliau kukuhkan kedudukan dengan dua pertiga majoriti, sebaliknya beliau akan terus berada dalam keadaan hari ini di mana tiadanya kekuatan.
Membicarakan soal pasca PRK Sibu, pada saya, Pakatan Rakyat boleh memperolehi lima atau enam kerusi lagi, dan Sabah juga kita boleh dapat dalam empat atau lima kerusi, ini satu perubahan besar juga, dan bagi saya jika kita mampu kekalkan apa yang kita dapat hari ini dan menambah dengan kerusi di Sabah dan Sarawak.
Hasrat melihat sistem dua parti yang lebih berkesan akan dapat diterjemahkan, sementara BN terutamanya Umno akan terus tertekan.
Najib akan lemas, jika dia tidak berjaya kurangkan kerusi kita, ditambah dengan jika beberapa kerusi di Sabah Sarawak jatuh kepada Pakatan Rakyat, ini satu ketidakselesaan kepada Najib, yang perlu letak jawatan sama seperti yang dialami Tun Abdullah Badawi, Umno dalam keadaan yang agak kritikal.
Apa yang perlu Pakatan Rakyat lakukan dalam menangani situasi ini?
Apa yang kita perlu ialah, Pakatan Rakyat harus kekalkan apa yang ada dan tambah lagi untuk menjadikan tekanan yang lebih kepada Umno-BN.
Umno BN akan terus berusaha membuat persempadanan semula, menggunakan SPR untuk kekal memerintah, mereka mahukan balik kerusi mereka yang tewas, mereka akan hentam pemimpin kita berterusan untuk dapatkan pengaruh semula rakyat, tetapi apa yang dibuat kita ada masa untuk menunggu perubahan, tetapi mereka (Umno) dah tiada masa kerana mereka kini tertekan untuk survival.
Sekarang ini, 50 peratus Melayu duduk dalam keadaan arus pembangunan semasa, hanya 30 peratus sahaja yang masih dalam sektor pertanian yang kebanyakannya di kawasan pedalaman, Umno akan memperhebatkan cengkaman di kawasan pedalaman mereka, tetapi jika ikut arus pembangunan mereka yang duduk di kawasan membangun mereka dah pergi jauh dan mendapat sumber maklumat yang lebih banyak.
Kita melihat, selepas BN menang di Hulu Selangor BN, selang tiga minggu di Sibu BN kalah di sana, apa yang saudara dapat simpulkan?
Saya lihat kita boleh buat satu kesimpulan yang neutral di dua tempat ini, kita dapati kumpulan masyarakat yang dapat maklumat yang duduk dalam bandar atau separuh bandar penerimaan mereka terhadap Pakatan Rakyat sangat tinggi.
Terdapat sedikit polarisasi di mana masyarakat yang lebih terpinggir dan kurang mendapat maklumat mereka ini sebenarnya bukanlah cenderung untuk sokong BN, tetapi sebenarnya mereka ini ditindas, takut kepada penguasa dan politik wang, ini budaya politik lama yang boleh laku dalam 'setting' kawasan pedalaman.
Saya gunakan kesimpulan ini saya tak mahu jatuh kepada observasi yang optimistik yang menyatakan sebenarnya Cina sokong Pakatan Rakyat sementara Melayu kepada Umno.
Itu tidak benar, kerana kita kena gunakan kaca mata bukan perkauman di mana dari segi itu kita nampak kononnya Cina banyak sokong Pakatan Rakyat.
Sebenarnya bukan sahaja Cina yang menyokong Pakatan Rakyat, tetapi mereka yang duduk dalam bandar dan pekan yang pendedahan mereka terhadap media yang lebih terbuka ini membolehkan mereka keluar dari kongkongan budaya takut ini, tetapi kalau kita lihat masyarakat yang masih tertutup dan ekonominya sangat bergantung kepada kerajaan Pusat, mereka ini belum lagi bersedia untuk konfrontasi kepada penindas mereka ini.
Hal ini berlaku di Sibu juga, yang duduk di bandar dan pekan serta pinggir bandar mereka sedia berhijrah tetapi mereka yang duduk di pedalaman ini sukar untuk menghijrah pemikiran mereka.
Mereka terpaksa tunduk kepada tekanan BN, ini dua trend dan bagi Pakatan Rakyat cabarannya ialah, bagaimana kita atasi masalah ini.
Ada dua aspek satu yang biasa iaitu perkukuhkan organisasi, dan banyak turun buat program.Yang seterusnya yang lebih mencabar ialah bagaimana kita boleh terjemahkan idealisme kita untuk masyarakat bagaimana satu pentadbiran yang baik 'good governance', telus, bebas dari rasuah dan masyarakat bermoral.
Ini mesej yang mudah diterima oleh masyarakat bandar tetapi masalah kepada masyarakat yang hidup dalam ekosistem ekonomi yang masih belum independent, sangat bergantung kepada subsidi dan dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Mereka ini belum boleh lihat nilai-nilai ini boleh diterjemah kepada sesuatu yang postif kepada hidup mereka, mereka ini dari akan bertanya setiap bulan mereka perlu memikirkan wang yang tidak cukup untuk bayar hutang sana-sini yang akhirnya memikirkan apa untungnya kepada mereka kepada dasar 'good governance'.
Walaupun sebenarnya ia sangat berkait dengan kehidupan mereka. Ini cabaran kepada Pakatan Rakyat bagaimana kita nak terjemahkan nilai ini bila kita laksanakan dasar ini golongan ini boleh dapat faedah.
Kita dapat melihat bahawa Pakatan Rakyat menghadapi sedikit masalah untuk mendapat undi di kawasan Melayu mundur, ini dikuasai BN, bagaimana fenomena ini hendak ditangani Pakatan?
Dalam politik itulah yang kita lihat, tetapi sebenarnya ada masalah yang lebih menyeluruh kerana corak ekonomi yang dilaksana BN ini mementingkan membangunkan untuk kelompok elit dan kepentingan diri.
Ini yang menjadikan sebahagian besar masyarat terpaksa bergantung kepada subsidi dan bantuan dari kerajaan.
Jadi ini tak boleh membebaskan mereka ini daripada kemelut ini dan mentaliti dibina Umno dan sengaja mempropagandakan ini supaya budaya ini dipanjangkan.
Dalam menangani isu-isu besar seperti APCO dan sebagainya, seolah-olah ia tidak memberi kesan kepada rakyat luar bandar, bagaimana pandangan saudara?
Itulah yang saya jelaskan, mereka ini tidak terdedah kepada maklumat yang besar, oleh kerana sekatan media dan maklumat mereka ini tak terasa isu macam APCO.
Ini rasa ada kena mengena dengan hidup mereka, apa yang mereka fikirkan ialah isu kehidupan harian mereka soal anak sekolah, yuran anak dan bagaimana hendak dapatkan jalan segera dapat duit.
Tiap hari mereka ini hidup dalam suasana ini, nak bincang soal submarine, APCO dan sebagainya mereka tak akan fikirkan isu ini walaupun ada kaitan dengan mereka.
Persoalannya ini bagaimana kita hendak terjemahkan dengan apa isu yang berlaku dengan kehidupan mereka.
Sebagai cabaran bagaimana dalam pentadbiran negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat kita kurangkan beban kepada masyarakat ini bagaimana dengan ada telah kita laksanakan skim air percuma, takaful kifaalah, tetapi bagi saya kita kena buat lebih lagi kepada golongan ini bagi mengurangkan beban mereka.
Ini boleh menarik sokongan mereka ini. Tetapi cuma kita ada limitasi kerana kita bukan kerajaan Pusat.
Cabaran besar Pakatan Rakyat ialah, hari ini BN cuba menggambarkan kepada rakyat kononnya kepimpinan Pakatan Rakyat ini tiada pengalaman mentadbir negeri dan sebagainya. Bagaimana saudara menangani isu ini?
Sebab itulah bagaimana kita boleh uruskan persepsi ini, cara terbaik percepatkan 'learning curve' kita dalam pentadbiran negeri yang kita tadbir jauh profesional meyakinkan dan naikkan imej di mata masyarakat.
Seterusnya kita dari segi parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing, muafakat di kalangan kita sangat penting. Kenapa ada mulanya tsunami politik.
Rakyat sebenarnya melihat pemimpin Umno yang dulu mampu boleh pegang MIC dan MCA kini tidak mampu lagi berbuat demikian yang menyebabkan masyarakat semakin lihat longgarnya kekuatan antara parti-parti dalam komponen BN.
Mereka lihat bagaimana kini ada hujah-hujah yang ekstrem di kalangan pemimpin Umno ataupun pemimpin parti komponen tetapi PM yang ada, Najib hanya berdiam sahaja tak mampu selesaikan kemelut.
Ini menyebabkan mereka tidak percaya kepada BN dan sebaliknya mereka lihat Pakatan Rakyat semakin matang, maju dan bersatu dapat mencapai konsensus dengan cepat dan reaksi kita dalam isu penting sangat sederhana dan moderate dan memenuhi kehendak kebanyakan masyarakat.
Ini satu proses penting dan jika kita perkukuhkan perpaduan ini, masyarakat akan yakin dengan Pakatan Rakyat, kita tak ada masalah yang besar tetapi kemampuan kita selesaikan masalah dalam satu wadah Pakatan Rakyat ini sangat baik.
Berbanding kepada tahun 1999, pakatan yang kita bina ketika itu tidak mampu untuk uruskan perbezaan antara tiga parti, sebab itu pada tahun 2004 rakyat memberi undi kepada BN kerana rakyat tak mahu satu pakatan yang tak boleh selesaikan perbezaan dalaman mereka.
Ini lah yang rakyat mahu lihat tiap isu yang ada kontroversi semua kaum tetapi Pakatan Rakyat selesaikan dengan baik berbanding BN. Ini kelebihan kita sekarang.
Daripada apa yang disebut dan lakukan BN, Pakatan Rakyat dan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah pencabar utama mereka, maka mereka menyerang Anwar dengan hebat bagaimana saudara hendak menangani perkara ini?
Tanggapan bagi Umno ini adalah satu yang mereka pegang, dan ini sebenarnya salah. Mereka anggap Pakatan Rakyat ini wujud kerana karisme Anwar pegang semua orang.
Untuk satu dua perkara ya, ia betul tetapi, ia telah merentasi benda ini kerana sebenarnya Pakatan Rakyat ini setiap parti yang ada ia ada 'internal force' yang boleh memainkan peranan.
Keinginan majoriti dalam PAS yang inginkan perubahan, dan kita juga boleh lihat dalam PAS sekarang ini ahlinya bertambah ialah selepas tahun 1999 berbeza dengan sebelum 1999 yang agak 'hard core'.
DAP pula sekarang ini dipimpin oleh generasi baru yang bukan dari sistem pendidikan kolonial lama, mereka ini kebanyakan ikuti pendidikan nasional, masuk universiti awam, DAP berubah.
Sementara KeADILan pula mengumpulkan pelbagai sumber yang mahukan perubahan, baik dari NGO seperti JIM, ABIM dan Suaram, dan generasi muda dari Umno yang berubah.
Ini satu 'genre fenomena' yang matang untuk perubahan masyarakat, Anwar sebagai kepimpinan dan ikon kerana kesengsaraan dan penindasan kepadanya, dia mudah jadi central of attraction, dan serangan ke atas Anwar ini dibuat oleh Umno bertujuan anggap jika Anwar jatuh Pakatan Rakyat akan jatuh. Ini satu kesimpulan salah.
Sejak reformasi 1998, Anwar masuk penjara, inilah kebangkitan massa yang sebenarnya bukanlah dipimpin oleh Anwar, tetapi dipimpin oleh golongan baru yang telah diuji masuk penjara keluar penjara dan juga telah mampu memecah monopoli maklumat.
Dan kita lihat, KeADILan telah 'survive' 10 tahun tanpa Anwar apabila Anwar dipenjarakan. Anwar bagi KeADILan hanya simbolik, bagi pemimpin yang anggap mereka boleh tangkap dan serang Anwar untuk lumpuhkan KeADILan mahupun Pakatan Rakyat.
Ini satu persepsi yang salah, ini satu mimpi. Memanglah ada masalah dalam KeADILan tetapi kekuatan yang ada datang dari generasi yang mahukan perubahan.
Dengan menyerang Anwar ia tidak akan mengubah ealiti ini. Bagi saya ini satu kesilapan Tun Mahatahir Mohamad anggap tangkap Anwar masuk penjara boleh lumpuhkan reformasi, sebaliknya tidak, ini berubah.
Ketika Abdullah jadi PM, mereka kata KeADILan tak relevan lagi sebab Anwar tidak boleh bertanding pada PRU-2008, tetapi sebaliknya walaupun Anwar tidak boleh bertanding juga.
Semangat dan perjuangan inginkan perubahan itu semakin tinggi menyebabkan tsunami berlaku. Rakyat mahukan perubahan. BN sekarang ini buat yang sama seperti Tun Mahathir buat.
Adakah gelombang 2008 akan berterusan kerana ada yang menyatakan kurangnya sokongan atau kehadiran dalam perbicaraan kes Anwar di Mahkamah, kurangnya rakyat sertai demonstrasi?
Kita harus faham apa pemikiran rakyat, jangan fikirkan soal pemikiran parti hanya lihat jika ramai orang di mahkamah sokong Anwar ini kekuatan.
Ketika 1998, rakyat turun ramai-ramai ke mahkamah buat perhimpunan kerana ketika itu tidak ada pilihan mahu memberi tekanan kepada Mahathir membebaskan Anwar dan mengharapkan Anwar menggantikan Mahathir.
Kali ini berbeza, rakyat tidak lagi turun beramai-ramai kerana mereka lihat bukan sahaja menjatuhkan BN, tetapi dengan kekuatan undi mereka boleh lantik wakil rakyat, tukar kepimpinan negeri dan mahukan sistem dua parti yang lebih kuat dan ini satu fenomena baru.
Sekarang ini rakyat tumpu kepada hidup sendiri apabila melihat Pakatan Rakyat semakin kuat, dan tak perlu mereka turun padang demonstrasi lagi, mereka boleh nyatakan sokongan mereka dengan undi untuk jatuhkan kerajaan.
Untuk membebaskan Anwar mereka tak payah lagi ke mahkamah, sebaliknya undi, mereka telah berani mengubah undi, pemikiran rakyat sudah bertukar.
Saya tidak khuatir kerana mahkamah tak ramai orang, tetapi rakyat baca apa yang berlaku. Sekarang ini BN mahu tutupkan kelemahan mereka, mereka jadi burung unta yang sorokkan diri dari dilihat orang.
Macam itu juga mereka cuba gambarkan kepada Anwar yang kononnya tidak lagi mendapat sokongan rakyat kerana kes perbicaraan Anwar tidak mendapat kehadiran ramai.
Bagi rakyat mereka tak mahu buang masa di luar mahkamah, sebaliknya pergi kerja dan membaca perkembangan dalam internet dan mereka tahu apa yang mereka nak lakukan.
No comments:
Post a Comment