Thursday, June 30, 2011

Kejayaan rakyat Mesir 'membersihkan' Hosni Mubarak


MENURUT akhbar al-Yaum as-Sabi'e , 27 Jun 2011 terdapat laporan daripada Amerika Syarikat, bahawa Ikhwan Muslimin memainkan peranan utama untuk menerajui pakatan demokrasi parti-parti politik di Mesir pasca kejatuhan bekas Presiden Hosni Mubarak. (Gambar di Makam as-Syahid Imam Hassan al-Banna)

Kenyataan ini dibuat kerana AS dan sekutunya Israel, terpaksa mengakui bahawa rakyat Mesir hari ini, telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang besar kepada Ikhwan Muslimin, melalui parti baru yang ditubuhkannya, iaitu Al-Hurriyah wal 'Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan).

Sebelum ini AS dan sekutunya cuba untuk menyekat pengaruh Ikhwan Muslimin. Mereka cukup takut dengan pengaruh Ikhwan. Mereka cuba mengusahakan cadangan untuk meminta Perlembagaan Mesir sebelum diadakan pilihan raya.

Melihat peluang mereka tipis untuk menyaingi pengaruh Ikhwan, juak-juak AS yang diketuai bekas Ketua Pengarah Atom Antarabangsa, Mohamad al-Bardaie cuba untuk mengetengahkan idea supaya pilihan raya ditangguhkan untuk diadakan pindaan Perlembagaan terlebih dahulu.

Namun, pada 26 Jun, Timbalan Perdana Menteri Mesir, Dr Yahya Jamal mengunjungi pejabat parti Al-Hurriyah wal 'Adalah bagi mengucapkan tahniah di atas penubuhan parti, menegaskan bahawa pilihan raya umum tetap akan diadakan pada bulan September 2011.

Sebenarnya perkara pokok yang difikir AS dan Israel adalah bagaimana hendak memastikan pemerintah baru Mesir, selepas kejatuhan Hosni Mubarak, dapat dijadikan hamba mereka, bagi melindungi kepentingan Israel untuk terus menjajah bumi umat Islam Palestin.

Selepas pemerintahan beraja Mesir yang diperintah Raja Farouk diguling pada tahun 1952 dan digantikan dengan pemerintahan republik, Mesir terus menerus menjadi rakan paling akrab AS dan Israel.

Presiden Mohamad Najib, seorang bekas pemimpin tentera yang menggantikan Raja Farouk dijatuhkan oleh Gamal Abdul Nasser kerana agak lunak dengan rakyat. (Gambar sembilan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin)

Gamal Abdul Nasser digantikan dengan Mohamad Anwar Sadat dan kemudiannya Hosni Mubarak selama 30 tahun sejak 1981 sehingga digulingkan.

Semua Presiden Mesir selepas kejatuhan Raja Farouk sehingga Hosni Mubarak adalah dari kalangan pemimpin tentera. Ini bermakna hampir 60 tahun Mesir diperintah oleh pemimpin tentera. Semua pemimpin tentera ini adalah kalangan mereka yang menindas, memenjara dan membunuh pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk antaranya yang syahid di tali gantung, Mohamad Abdul Kadir Audah dan Syed Qutb.

Olehitu Pilihan Raya Umum Mesir selepas kebangkitan (tsaurah) rakyat tahun ini akan menyaksikan situasi yang amat berbeza. Iaitu, Mesir bakal diketuai dari kalangan orang awam (civilian) yang tidak pro-AS atau Israel.

Masalah utama kepada Mesir selepas pemerintahan Raja Farouk bukan soal siapa yang menerajui negara. Soal utama adalah kemiskinan rakyat dan pengagihan kekayaan untuk kroni dan anak-beranak Hosni Mubarak. Dan yang utama sekali, Presiden Mesir adalah khadam kepada Israel dan AS.

Sebab itu sepanjang 30 tahun Hosni Mubarak memerintah lebih 40 juta rakyat Mesir dibiarkan dalam keadaan miskin. Mesir mempunyai 85 juta rakyat, 75 juta beragama Islam manakala 10 juta Kristian Qibti. (Gambar Ibu Pejabat baru Ikhwan Muslimin)

Daripada 40 juta rakyat Mesir yang miskin, berdasarkan statistik lebih 20 juta rakyat hanya berpendapatan kira-kira RM60 sebulan.

Kemiskinan ini juga menyebabkan ramai rakyat Mesir yang merempat dengan kadar buta huruf yang tinggi sehingga mencecah 40 peratus.

Hosni Mubarak menjadikan kemiskinan sebagai alat untuk memeras rakyat, bagi mengekalkan kuasa pemerintahan diktator. Ini yang dikehendaki AS dan Israel, biarpun Presiden Mesir zalim dan diktator, biarpun rakyat miskin, asalkan pemimpin tersebut menjalankan agenda mereka.

Oleh sebab itu AS dan Israel cukup takut dengan kejatuhan Hosni Mubarak. Daripada laporan, terdapat banyak kenyataan daripada Zionis Yahudi beberapa minggu sebelum berlakunya revolusi rakyat.

Zionis mengatakan bahawa kerajaan Hosni Mubarak adalah merupakan 'kanzan isratijian lil amnil Israel' atau perbendaharaan khazanah yang paling strategik untuk keselamatan Israel.

Dosa-dosa Hosni Mubarak kepada umat Islam

Profesor Dr Muhammad ‘Imarah, pemikir Islam Mesir dalam rencana terbarunya selepas tsaurah menggariskan beberapa sebab yang menyebabkan Hosni Mubarak dijatuhkan rakyat Mesir.

Antaranya, kerajaan Hosni Mubarak adalah pemimpin Arab utama yang mendesak AS dan Barat supaya menyerang Iraq pada tahun 2003 dan sokongan terbuka beliau kepada serangan AS dan Barat ke atas Afghanistan 2001, sekalipun Presiden AS, George Bush ketika itu menyatakan perang tersebut adalah 'perang salib' ke atas Islam dan umat Islam.

Hosni Mubarak ditentang kerana memberi sokongan penuh serangan kerajaan Kristian Etophia ke atas negara umat Islam Somalia.

Selama 30 tahun Presiden Mesir menjadikan dirinya sebagai pejuang untuk memerangi kemaraan Islam dan pengawal kepada keselamatan Israel. Beliau terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong serangan Israel terhadap Lubnan pada 2006 dan Gaza pada 2008 dan 2009.

Hubungan Hosni Mubarak dengan pemimpin Israel sangat akrab sehinggakan sebelum tentera Zionis menyerang Gaza, mereka memaklumkan hal tersebut kepada beliau terlebih dahulu.

Hosni Mubarak harus dikecam dan tidak sesekali harus dimaafkan kerana beliau berdosa melakukan kepungan yang zalim ke atas 1.5 juta penduduk Gaza kerana benci kepada gerakan Islam Hamas yang menang atas pilihan rakyat.

Kepungan ini merupakan khidmat terbaik kepada Israel. Kepungan bertahun-tahun ini menyebabkan ramai yang mati kerana sakit dan mati kerana lapar. (Bergambar di Piramid, lambang keangkuhan Firaun)

Dosa-dosa Hosni Mubarak kepada rakyat Mesir

Selepas Hosni Mubarak dijatuhkan pada 13 Februari 2011, terbongkar suatu rahsia besar bahawa Hosni Mubarak, anak-beranak dan kroninya membekalkan gas asli Mesir ke Israel dengan harga 1/3 kurang daripada harga pasaran dunia.

Kerajaan pimpinan Hosni Mubarak menghancurkan persatuan sekerja dan juga parti-parti politik Mesir di samping berusaha memusnahkan sistem kehakiman Mesir.

Akibat daripada kemiskinan, ramai rakyat Mesir, khususnya dari kalangan pemuda-pemuda terpaksa mempertaruhkan nyawa dengan menaiki perahu bot kecil untuk menyeberangi Eropah untuk mencari penghidupan. Akibatnya, ramai yang mati kerana bot karam, semata-mata untuk mencari sesuap roti.

Tidak kurang juga akibat daripada kemiskinan yang menjerut, ada kalangan rakyat Mesir yang menjadi perisik yang dibayar Israel. Mereka menjadi agen Israel dengan mengkhianati rakyat Mesir dan umat Islam Palestin akibat tekanan kehidupan.

Di sebalik kemiskinan dan kemelaratan rakyat, Hosni Mubarak, anak-beranak, kroni dan ahli-ahli politik daripada Al-Hizbul Al-Watani (Umno Mesir) hidup dengan penuh kemewahan.

Mereka melimpahkan negara Mesir dengan arak yang berkualiti, bersantai di villa mewah di Sharm as-Sheikh. Kerajaan Hosni Mubarak juga, membelanjakan berbilion untuk membina istana, villa kepada segelintir golongan kaya di utara Mesir yang tidak diduduki sedangkan 20 juta penduduk tinggal di atas kubur dan kawasan setinggan.

Mereka dari pimpinan Al-Hizbul Al-Watani melaksanakan dasar pengswastaan, dengan menjual kilang-kilang milik kerajaan yang berpotensi dengan harga yang terlampau murah. Dasar penswastaan yang menzalimi rakyat dengan pro kepada syarikat kroni, tanpa mengira harga bangunan kilang yang dijual jauh lebih meurah dari harga tanah.

Hal ini menyebabkan sebilangan kecil perompak yang kaya raya, iaitu sekitar 5 juta perasuah konglomerat besar menguasai 80 peratus kekayaaan di Mesir.

Terakhir sekali parti Al-Hizbul Watani bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihanraya Mesir untuk menipu dalam pilihan raya untuk mengekalkan penguasaannya selama 30 tahun. Namun kejahatan Hosni Mubarak yang dilindungi AS dan Israel terlalu banyak untuk dicatat. Lebih banyak yang akan dibongkar selepas ini.(Bergambar di Airport Kaherah bersama sahabat-sahabat yang banyak membantu)

Oleh sebab itu akibat kejahatan ini semua, tahap kesabaran rakyat sudah tidak mampu dibendung. Mereka bangkit menolak Hosni Mubarak dan 'membersihkan' negara Mesir dari anasir-anasir yang menjelekkan.

Gerakan rakyat untuk 'membersihkan' kejahatan pemerintah zalim tidak akan berakhir selagi pemerintahan yang bebas dan adil tidak dinobatkan selepas PRU Mesir September ini.

Mudah-mudahan cerita keangkuhan dan kezaliman Hosni Mubarak dapat kita hayati untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku kepada bumi bertuah Malaysia.

Monday, June 27, 2011

Ikhwan Muslimin memimpin Pakatan Rakyat Mesir


MURSYIDUL AM Ikhwan Muslimin Mesir, Ustaz Dr Mohamad Badi’e Abdul Majid menyambut rombongan kami dengan penuh kemesraan.

Wajahnya penuh ceria, sambil bersalam dan memeluk kami semua, beliau mendoakan kesejahteraan kami serta kesejahteraan perjuangan Islam di Malaysia.

"Sampaikan salam hormat saya kepada pemimpin anda yang saya kasihi, Ustaz Abdul Hadi (Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang)," kata beliau kepada saya. (Dari kiri, Abdu Hamid Seman, Dr Abdul Kadir Jailani, Dr Mohamad Badi'e, Mohd Rashidi Hassan dan Che Salmi Che Ibrahim)

Pertemuan kami dengan beliau tidak lama, hanya sekitar 10 minit sahaja. Ianya pertemuan yang tidak dirancang, tiada temujanji dibuat dengan beliau.

Dr Mohamad Badi'e adalah Mursyidul Am ke sembilan Ikhwan Muslimin atau dikenali dengan nama Muslim Brotherhood. Ia diasaskan oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1929. Imam Hassan al-Banna dibunuh tentera Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk pada tahun 1949.

Dalam kunjungan kami, rombongan saya bersama Yayasan Amal hanyalah untuk courtesy visit, sekadar membuat temujanji dengan Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Mesir, Profesor Dr Mahmoud Hussein setelah mendapat amanah daripada Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang berkesempatan menemui Dr Mohamad Badi'e dan Dr Mahmoud sebelum ini.

Tetapi pertemuan dengan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin begitu menyentuh perasaan dan terlalu amat bermakna. Di sebalik ketenangan wajahnya, tidak ramai yang mengetahui beliau adalah antara tahanan politik yang bertahun-tahun terpaksa merengkok di sebalik tirai besi semata-mata kerana mahu menegakkan Islam.

Di sebalik kesibukan beliau menerima kunjungan ramai tetamu dalam dan luar negara, Dr Mohamad Badi'e sudi menerima kami selepas dimaklumkan kepada beliau, ada wakil dari Malaysia yang berkunjung ke Mesir, selain menghulurkan bantuan ke Libya dan Palestin.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, Dr Mohamad Badi'e menyatakan cukup berbangga dengan PAS yang begitu istiqamah dalam menegakkan keadilan Islam di Malaysia.

"Insya Allah kami akan memacu negara(Mesir) bersama-sama dengan kamu (menawan Putrajaya)," kata beliau, menunjukkan beliau turut mengikuti perkembangan politik Malaysia, sebelum kami bersalaman untuk menemui Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin di bilik bersebelahan.

Pertemuan dengan Dr Mohamad Badi'e begitu bermakna kerana Ikhwan Muslimin baru sahaja membuka Ibu Pejabat baru mereka di Jabal Muqattam. Pejabat lama Ikhwan di Manyal, Kaherah dijadikan Ibu Pejabat Parti Al-Hurriyah wal-'Adalah (Kebebasan dan Keadilan) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Mesir, September ini.

Bangunan Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin yang menelan belanja puluhan juta ringgit dibina di kawasan yang paling strategik di Kaherah, iaitu di atas bukit yang menghadap seluruh bandar Kaherah. Jabal Muqattam terletak bersebelahan dengan Kota Kubu Salahuddin al-Ayubi yang dibina pada kurun kesebelas masehi semasa beliau memerintah Mesir.

Mengapa bangunan tersebut dibina di lokasi yang strategik? Ia adalah suatu simbolik yang cukup bermakna, menunjukkan kesediaan Ikhwan Muslimin untuk menerajui negara, kerana dari segi sejarahnya mana-mana pemerintah yang hendak menguasai Mesir, mereka akan membina pusat pemerintahan atau kubu di atas bukit yang boleh melihat keseluruhan kawasan dan lembah.

Mesir adalah sebuah negara, merupakan antara bumi anbiya yang kaya dengan sejarah. Tidak ramai yang tahu bahawa ia dibuka oleh sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Saidina 'Amru bin al-'Ass. 'Amru bin al-'Ass adalah Gabenor pertama Mesir pada pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sekitar tahun 640 masihi.

Pusat pertama pemerintahan 'Amru bin al-'Ass adalah di bandar Fustat dan masjid yang diasaskan beliau sebagai pusat pentadbirannya yang berusia lebih 1400 tahun, masih tersergam indah sehingga kini.

Justeru Ikhwan Muslimin mengambil inspirasi daripada Gabenor 'Amru bin al-'Ass dan panglima Salahuddin al-Ayubi, untuk persediaannya menerajui pemerintahan Mesir kini.

Ikhwan menerusi parti baru yang diasaskannya, Parti AL-Hurriyah wal-'Adalah sudah mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding 50 peratus daripada 450 kerusi Parlimen di Mesir.

Uniknya Parti Al-Hurriyah wal-'Adalah dibentuk dengan kombinasi ahli daripada kumpulan Islam yang diterajui Ikhwan, juga mendapat dokongan golongan Kristian. Daripada 85 juta rakyat Mesir, kira-kira 10 juta adalah dari golongan penganut Kristian Qibti.

Parti A-Hurriyah wal-'Adalah ditubuhkan Ikhwan muslimin dan mengamanahkan Dr Mohd Mursi, bekas Ahli Parlimen Mesir yang juga seorang pimpinan pusat Ikhwan Muslimin sebagai presiden parti. Dr Essam Aryan (Ikhwan) dilantik sebagai Timbalan Presiden I, manakala Dr Rafiq al-Habib (Kristian) sebagai Timbalan Presiden II dan Dr Sa'du Katatni sebagai Setiausaha Agung.

Serentak dengan penubuhan Al-Parti Hurriyah wal-'Adalah, Ikhwan menawarkan kerjasama kepada lebih 20 parti politik dari pelbagai latar belakang, fahaman dan sebagainya untuk bergabung dengan mereka.

Untuk rekod, dalam sejarah Mesir, sejak Ikhwan Muslimin ditubuhkan 83 tahun yang lalu, ia menerima tekanan yang amat dahsyat dari pemerintah Mesir sehingga zaman Presiden Hosni Mubarak.

Sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan Ikhwan akan menerima hukuman yang amat dahsyat. Mereka akan terus disumbat dalam penjara, diseksa dan ramai kalangan mereka yang gugur syahid.

Di atas kezaliman dan tekanan pemerintah Mesir, nama Ikhwan tidak boleh disebut sama sekali. Semua media cetak dan elektronik diarahkan menghapuskan kalimah Ikhwan Muslimin. Mereka dengan jahat dan zalim menggelar Ikhwan sebagai al-jamaatul al-mahzurah atau pertubuhan haram.

Oleh kerana ia dianggap pertubuhan haram, Ikhwan Muslimin tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya. Bagaimanapun golongan yang dikaitkan dengan Ikhwan, bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya.

Di sebalik tekanan yang maha dahsyat, pada Pilihan Raya Umum 2005, Ikhwan menerusi calon bebas, yang bertanding hanya 120 kerusi Parlimen sahaja, hasilnya amat memberangsangkan. Mereka menang lebih daripada 80 kerusi.

Namun pada PRU Mesir yang terakhir pada 2010, tiada parti pembangkang, mahu pun calon bebas yang menang, kerana mereka disekat dan ditipu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang menjadi alat Hosni Mubarak. Rakyat enggan keluar mengundi kerana pilihan raya dijalankan dengan penuh penipuan. Hasilnya hanya 3 juta pengundi sahaja yang keluar daripada 40 juta yang layak mengundi.

Al-Hizbul al-Watani (Parti Kebangsaan Demokrat atau National Demokrat Party) menang 100 peratus kerusi Parlimen Mesir. Al-Hizbul al-Watani ini adalah Umno versi Mesir.

Hosni Mubarak amat gembira dengan kemenangan partinya, tetapi beliau tidak sedar itulah saat-saat permulaaan kejatuhannya dari tampuk kuasa Presiden dengan cara yang amat memalukan.

Selepas demonstrasi rakyat yang dikenali (tsaurah) bermula 25 Januari 2011 berakhir dengan pengumuman Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 13 Februari, parti Umno Mesir yang berkuasa penuh dengan mandat besar turut tumbang, dengan penuh kehinaan. 25 Januari diisytihar sebagai tarikh keramat bagi seluruh rakyat Mesir sebagai lambang pembebasan dari cengkaman diktator Hosni Mubarak.

Malah, al-Hizbul Watani yang dipimpin Hosni Mubarak, anak beranak dan kroninya diharamkan oleh Mahkamah Mesir. Seluruh hartanya disita. Paling malang setelah berkuasa lebih 30 tahun, ibu pejabat Parti Kebangsaan yang menjadi lambang keangkuhan pemerintahan diktator Hosni Mubarak dibakar akibat amarah rakyat.

Ikhwan Muslimin mendapat pengiktirafan besar dari kalangan rakyat kerana ia terbabit sama dalam tsaurah dan memainkan peranan yang cukup penting pada saat-saat genting. Kini, ia diiktiraf sebagai pertubuhan yang sah dan menubuhkan parti politik yang sah. Semua tahanan politik, khususnya dari Ikhwan dibebaskan dari penjara.

Ini adalah keadilan Allah kepada pejuang Islam di Mesir. Jika dahulunya penjara menjadi pusat tahanan kepada tahanan politik Islam khususnya dari Ikhwan Muslimin, tetapi kini ia dipenuhi oleh anak beranak, kroni dan menteri-menteri kerajaan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Penjara Thurah di Kaherah yang pada salah sebuah biliknya, menjadi pusat tahanan Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Ir Khairat Shatir selama 12 tahun, kini menjadi bilik tahanan dua anak bekas Presiden iaitu Alad Mubarak dan Jamal Mubarak. Menteri-menteri dalam kabinet Hosni Mubarak ditempatkan di bilik bersebelahan. Hosni Mubarak ditahan di Hospital Tentera kerana sudah semakin uzur, maknakala First Lady Suzanne Mubarak diikat jamin di atas tuduhan penyelewengan, rasuah dan pemilikan kekayaan luar biasa.

Bayangkan, seorang Presiden, diktator besar dan anak beranaknya hidup penuh dengan kemewahan dan kekayaan, membina penjara untuk musuh-musuh politiknya, kini disumbat dalam penjara yang sama. Mana-mana pemimpin yang zalim harus menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran, ingatlah Allah Maha Berkuasa menghukum sesiapa sahaja yang zalim.

Allah tidak pernah lupa untuk menghukum penzalim, cuma Ia kadang kadang memberi tempoh kepada mereka agar sedar dan insaf. Namun, jika kesempatan itu tidak dimanfaatkan, akan tibalah saat kehancuran mereka di dunia sebelum akhirat. Inilah terjadi kepada Hosni Mubarak dan Zein el-Abidin bin Ali di Tunisia.

Janji Allah kepada pejuang Islam Ikhwan Muslimin semakin hampir. Setelah menunggu lebih 80 tahun, ia dilihat sebagai bakal peneraju negara Mesir. Jika di zaman penuh tekanan Ikhwan Muslimin boleh menang 80 kerusi, maka pada saat yang penuh dengan kebebasan ini, penganalisis menjangkakan Ikhwan Muslimin dengan parti-parti gabungannya akan memerintah Mesir.

“Kami yakin janji Allah pasti akan datang, insya-Allah Ikhwanul Muslimun akan memimpin perubahan,” itulah kata azimat yang penuh bermakna, terpacul dari mulut Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin, Dr Mahmoud kepada delegasi kami. (Penulis bersama Dr Mahmoud)

Inilah yang ditakuti Amerika Syarikat dan sekutunya Israel. Untuk tahap ini dari kejatuhan Hosni Mubarak sehingga September, mereka berusaha sedaya upaya menyekat kebangkitan Ikhwan Muslimin.

Bukan sahaja AS dan Israel, malah pemimpin negara-negara Arab yang diktator juga bimbang dengan perkembangan di Mesir, kerana jika Ikhwan memerintah, ia akan menjadi model pentadbiran negara Islam, yang bakal dikuti 22 negara Arab di Teluk.


(Bahagian ke II rencana akan menyentuh mengenai sebab musabab kejatuhan Hosni Mubarak dan peranan AS dan Israel di Mesir)

Wednesday, June 22, 2011

Tiada laluan mudah ke Gaza

SELEPAS tiga hari saya bersama anggota rombongan Yayasan Amal Malaysia berada di Kaherah, ibu negara Mesir, kami masih tidak mendapat lampu hijau untuk masuk melalui sempadan jalan darat di Rafah.
Walaupun kita membawa misi kemanusiaan, walaupun kita membawa barangan perubatan, ataupun barangan makanan asas, semuanya tidak menjadi alasan yang boleh diterima pihak berkuasa Mesir, khususnya yang mengawal sempadan Mesir-Palestin.(Gambar disisi Medan Tahrir yang menjadi saksi kebangkitan jutaan rakyat Mesir menumbangkan Hosni Mubarak).
Sesiapa yang berhajat untuk merentasi sempadan, atas apa sebab sekalipun, mereka harus mendapat kebenaran dari Mesir, Israel dan Amerika Syarikat.
Rakyat Palestin juga tidak mudah untuk keluar dari sempadan. Yang dibenarkan hanya orang-orang tua, perempuan dan kanak-kanak serta orang-orang sakit sahaja. Kaum lelaki yang berusia antara 18 hingga 40 tahun tidak dibenarkan keluar.
Itu pun menurut maklumat yang diterima dari Palestin, daripada ribuan permohonan rakyat untuk masuk ke Mesir, dalam sehari hanya sedikit sahaja yang dibenarkan.
Keadaan ini berlaku kerana suasana politik Asia Barat masih tidak kondusif untuk umat Islam, khususnya rakyat Palestin yang sentiasa menghadapi tekanan, sekatan dan pengawasan regim Zionis Israel yang mendapat bantuan Amerika Syarikat dan sekutu mereka di Mesir.
Selepas empat bulan Presiden Mesir, Hosni Mubarak dijatuhkan, keadaan kehidupan rakyat Palestin tidak banyak berubah. Mereka terus terpaksa merempat untuk meneruskan kehidupan akibat tekanan yang semakin keras dan sentiasa memuncak terhadap mereka.
Keadaan politik di Mesir masih tidak banyak membantu Palestin. Yang tumbang adalah Hosni Mubarak dan kroni-kroni utamanya di peringkat atasan, tetapi pengawai-pegawai yang menjadi barua pendokong kezaliman Hosni tetap berada di situ.
Mereka ini yang menyusahkan birokrasi dan menyempitkan diplomasi. Mereka ini, tidak mustahil menjadi golongan yang dibayar untuk ‘serve’ kepentingan Israel yang dilindungi AS.
Khabarnya lebih 20 ribu agen AS bertebaran di Mesir sejak berlakunya demonstrasi (muzaharat) 25 Januari yang menyaksikan kebangkitan (tsaurah) rakyat. AS terpaksa memperuntukkan berbilion USD untuk melindungi Israel dengan apa cara sekalipun.
Sejak dahulu lagi pemerintah Mesir di zaman Hosni, beserta dengan pegawainya adalah ‘hamba-hamba’ AS yang dibayar untuk menindas umat Islam Palestin, sekali gus melindungi kepentingan Israel.
Oleh sebab itu AS cukup takut dengan perkembangan di Mesir. AS mengawasi setiap saat dan setiap pergerakan keluar masuk dari Palestin.
Untuk membantu Palestin kita hanya ada dua pilihan. Sama ada kita hendak melalui cara mudah ataupun kedua, cara yang berisiko tinggi.
Mudah maknanya dengan mendapat kebenaran atau ‘blessing’ daripada pihak berkuasa Mesir (yang pro-AS). Cara ini memerlukan tempoh dalam sebulan, dengan memohon kebenaran diplomatik dan mengisytihar apa sahaja barangan yang dibawa ke Palestin.
Cara sebegini mudah kerana ia berlaku dalam pengetahuan agen-agen perisik (mukhabarat) Israel yang pastinya memantau ke mana sahaja pergerakan dan ‘contact person’ yang berada di Palestin.
Cara ini membolehkan delegasi kemanusiaan masuk ke sempadan Mesir-Palestin menerusi pintu Rafah (Ma’bar Rafah).
Cara yang susah adalah memasuki Palestin menerusi terowong (nafak) atau ‘lorong tikus’ yang dibina. Ada ribuan terowong. Cara ini dinamakan ‘tariq ghaira rasmi’ atau cara tidak rasmi. Dalamnya lorong ini dikatakan mencapai 50 meter ke bawah tanah.
Menerusi cara yang sukar inilah satu-satu caranya jalan untuk menyalurkan segala bantuan sama ada perubatan atau makanan. Huraian cerita lanjut akan saya perjelaskan pada rencana yang akan datang, insya-Allah.
Namun cara ini berisiko tinggi kerana jika ditangkap, ia akan mendatangkan kesukaran kepada pihak terbabit.
Menyedari cara begini tidak menguntungkan Israel, pihak berkuasa Mesir pada 2010 sebelum jatuhnya Hosni Mubarak, berusaha menyekat saluran terowong dengan memacak jeriji besi.
Apa pun, mesej yang hendak disampaikan dalam ruangan ini ialah, tiada jalan mudah untuk membantu rakyat Palestin. Masih banyak lagi yang harus diusahakan untuk membantu rakyat Palestin.
AS dan Israel tidak sesekali akan memberi laluan mudah kepada segala bentuk bantuan disampaikan ke Palestin.
Ada banyak yang hendak ditulis, ada banyak cerita menarik mengenai Mesir yang akan diceritakan kemudian. Saya berhenti setakat ini kerana sedang mengusahakan perjalanan yang jauh ke Libya, merentasi Gurun Sahara. Perjalanan dijangka menjangkau sehingga 1000 km. Jumpa lagi.

Saturday, June 18, 2011

Menanti pertembungan sengit di Parlimen

PARLIMEN minggu ini kembali rancak dengan kemasukan semula empat pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim selepas enam bulan digantung berhubung isu APCO.

Selain Anwar, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden KeADILan,R Sivarasa kembali ke Parlimen 16 Jun lepas

Pada 16 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia.

Karpal yang merupakan wakil rakyat DAP bagi kerusi Bukit Gelugor, Azmin (KeADILan-Gombak) dan Sivarasa (KeADILan-Subang) digantung kerana menghina dewan akibat membantah penggantungan Anwar.

Isunya di sini bukan soal penggantungan empat MP Pakatan Rakyat semata-mata. Tugas menggantung adalah hak Speaker, namun usul dan motif penggantungan itu yang dipertikaikan.

Umno-Barisan Nasional mengemukakan usul tersebut mereka mereka sudah tidak tahan dengan Anwar. Anwar dan MP Pakatan Rakyat, berjaya membongkar rahsia besar Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat perunding Yahudi untuk kepentingan BN. Itu sahaja isunya.

Ketiadaan Anwar dan tiga lagi MP selama enam bulan tidak dinafikan memberikan sedikit kesan. Pertembungan dengan BN tidak setajam ketika semua MP Pakatan Rakyat hadir semuanya.

Tiada siapa dapat menafikan masalah besar kepada Umno-BN adalah Anwar. Sasaran mereka adalah Anwar. Fitnah yang dilemparkan juga teruknya ke atas Anwar. Mengapa Anwar?

Ketika saya bersembang sembang dengan rakan dari Umno di lobi Parlimen, beliau dengan serius mengatakan, "Umno tidak ada pilihan, kalau Anwar masuk dalam (penjara) baru Umno selamat.

"Belum tentu Umno selamat, itu andaian saudara, bagaimana jika sebaliknya?" soal saya.

Beliau tidak menjawab soalan yang bersifat futuristik tersebut. Pada beliau, by hook or by crook, Anwar harus direhatkan jika Umno mahu selamat.

Namun beliau tidak pula menafikan Umno agak gelojoh dalam usaha mereka untuk memusnahkan karektor peribadi Anwar.

Belum pun kes liwat selesai, Umno-BN mendalangi isu video seks, macam-macam lagi yang dijangka akan dikeluarkan, semata-mata untuk menghapuskan hayat politik Anwar.

Tetapi Umno juga sedar, bukan senang mereka hendak berhadapan dengan Anwar. Umno-BN agak termanggu apabila PAS dan DAP cukup setia bersama Pakatan Rakyat dalam menangani isu Anwar

Usaha mereka untuk memecah belahkan Anwar dengan PAS dan DAP gara-gara isu video, menjadi buntu.

"Saya berterima kasih kepada PAS dan DAP, khususnya kepada Dewan Ulama PAS Pusat yang meluluskan usul menolak isu video seks," kata Anwar kepada saya semasa kami bersembang-sembang di lobi MP bersama Senator Saiful Izham Ramli dari Kedah.

Saya turut bertanya kepada Anwar, jadualnya disusun begitu padat, kudrat sesiapa pun ada batasnya.

"Tidak letih ke Dato' Seri menghadapi tekanan setiap hari?" soal saya.

Sambil tersenyum beliau menjawab, "Letih juga, tetapi mengenangkan kejahatan Umno-BN yang melampaui batas, ia menzahirkan kekuatan.

"Kita tidak akan beri mereka laluan mudah, kita harus bertekad tumbangkan mereka (PRU nanti)," katanya penuh keyakinan.

"Apa pilihan yang kita ada?" tambahnya.

Pada saya, semangat seperti inilah yang diperlukan dalam Pakatan Rakyat. Semangat ini harus diterjemah dan diwarisi oleh seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat jika kita mahu menumbangkan BN pada PRU akan datang.

Kami terus berbual-bual mengenai isu politik semasa. Anwar kelihatan mahu memesan makanan, tetapi beliau tidak tahu apa yang hendak dimakan.

"Saya belum makan apa lagi, tapi tengahari ini saya tak mahu makan yang berat-berat. Kawan-kawan selalu ingatkan saya, jangan makan banyak sangat nanti perut buncit macam dalam video," seloroh beliau.

Akhirnya beliau memesan semangkuk sup cendawan yang dimakan dengan roti. Saya cukup dengan kopi o secawan.

Sambil-sambil bersembang datang beberapa orang MP BN yang menyapa Anwar. Tetapi mereka kelihatan agak takut untuk duduk lama-lama dengan Anwar. Mereka sekadar hanya bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke Parlimen, kemudian berlalu pergi.

Beberapa orang menteri dan MP Umno hanya menjenguk dari jauh. Agaknya mereka takut dekat dengan Anwar. Takut dituduh simpatisan Anwar, walaupun hakikatnya memang begitu.

Kelibat Anwar dan rakan-rakan MP Pakatan Rakyat ditakuti kerana mereka mampu menggegarkan Dewan Rakyat. BN nampaknya tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat. MP Umno-BN ibarat keris tumpul.

Sebab itu mereka menggunakan MP pencacai untuk menggendong najis-najis BN. MP-MP yang khianat daripada KeADILan ini, bersama 'sang katak' digunakan setiap hari oleh media talibarut Umno sama ada TV mahu pun akhbar untuk menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat.

Tetapi mereka hanya kelihatan menang di tv dan akhbar. Hakikat sebenar dalam dewan, mereka tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Yang penting, sepanjang sebulan ini Parlimen akan kembali rancak. Kembali hiruk pikuk kerana panglima-panglima sudah berkumpul semuanya. Pertembungan dengan BN dijangka kembali sengit.

Sayangnya hiruk pikuk ini terpaksa saya tinggalkan seketika kerana mempunyai tugasan yang besar di luar negara bersama misi kemanusiaan Yayasan Amal. Ketika rencana ini disiarkan saya sudah berlepas ke Mesir, dari sana saya akan memasuki Rafah dan terus ke Gaza jika tidak dihalang di sempadan.

Insya Allah jika tiada aral, kami akan merentasi laluan yang jauh ke sempadan Libya untuk meninjau pelarian yang terperangkap akibat kezaliman Muammar Gaddafi.

Bagi sesiapa yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin dan Libya, mereka boleh menyalurkan sumbangan tersebut menerusi Tabung Kemanusiaan Harakah, nombor akaun 14069010021298 (BIMB).

Tuesday, June 14, 2011

Menyertai misi kemanusiaan Yayasan Amal ke Palestin, Libya

YAYASAN Amal Malaysia akan menghantar pasukan misi kemanusiaannya ke Gaza, Palestin dan Beghazi, Libya bagi memantau projek yang telah berjalan dan membantu umat Islam yang berada di dalam kesusahan akibat peperangan.

Menurut Ketua Setiausaha Yayasan Amal Malaysia, Abd Hamid Seman, misi selama sepuluh hari tersebut akan diketuai oleh Hussin Ismail.

Katanya, pasukan lapan orang Yayasan Amal terdiri dari kalangan doktor perubatan dan petugas sukarelawan dijangka berlepas dari ibu negara 19 Jun ini. Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan turut serta.

Menurut Hamid dana yang diperolehi dari Lembaga Zakat Selangor (RM1 juta), Wisma Putra (RM600 ribu), Kerajaan Negeri Selangor (RM500 ribu) dan orang ramai sebelum ini digunakan untuk membina tube well bagi membantu pelarian Palestin akan ditinjau pembinaannya.

Selain itu katanya, misi kemanusiaan kali ini, Yayasan Amal akan menghulurkan bantuan berupa peralatan persekolahan kepada kira-kira 5,000 anak-anak yatim Palestin dan bantuan peralatan dapur bagi keluarga miskin.

"Kami juga sedang berusaha untuk mendirikan makmal komputer dan misi kami kali ini ialah untuk meninjau Pusat Latihan Jururawat yang dibina sebelum ini," jelasnya.

Menurut beliau, selain itu pihak Yayasan Amal akan mengenai pasti belia-belia Palestin yang akan dibawa masuk ke Malaysia untuk menjalani latihan pembuatan anggota badan seperti tangan dan kaki palsu.

Untuk itu katanya, pada 8 Jun lepas pihak Yayasan Amal menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebagai tempat belia-belia berkenaan menjalani latihan.

"Selepas selesai misi di Gaza, kami akan berlepas ke Beghazi, Libya menerusi Mesir. Kami akan meninjau lebih 200 ribu pelarian Libya yang terperangkap di sana.

"Di Beghazi, kita akan tumpukan bantuan kemanusiaan dan khidmat kesihatan," ujarnya.

Sementara itu Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya akan turut memberikan sumbangan berupa keperluan barangan persekolahan, barangan dapur dan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin dan pelarian Libya.

"Kita sentiasa memantau perkembangan misi kemanusiaan di Palestin dan kali ini kita cuba pula untuk meninjau perkembangan di Libya, mudah-mudahan kita dapat menabur bakti bagi meringankan bebanan rakyat yang tertindas akibat peperangan," ujar beliau.

Katanya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin dan Libya, mereka boleh menyalurkan sumbangan tersebut menerusi Tabung Kemanusiaan Harakah, nombor akaun 14069010021298 (BIMB).

Monday, June 13, 2011

Hentikan kedurjanaan Umno-BN

PASCA Muktamar Tahunan PAS kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun lepas dilihat sebagai suatu ujian yang getir buat kepimpinan PAS.

Umumnya menyambut baik saf kepimpinan yang terpilih dalam Muktamar, malahan meletakkan pengharapan yang tinggi buat PAS untuk menerajui perubahan dalam negara.

Harapan besar diletakkan kepada PAS kerana PAS adalah satu-satunya parti Melayu-Islam yang mampu menggantikan Umno. PAS harus menjadi tonggak kepada Pakatan Rakyat untuk menganjakkan perubahan kepimpinan negara.

Misi utama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menghentikan kedurjanaan Umno-BN, yang sudah berkuasa terlalu lama dalam negara.

Apa yang penting, untuk mencapai misi ini, ia tidak harus diletakkan di atas pundak Mursyidul Am ataupun Presiden semata-mata. Bukan juga di atas pundak Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Untuk mencapai misi ini, seluruh pemimpin PAS sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan hatta Cawangan, harus bergandingan, melipatgandakan kerja mereka di semua peringat.

Asas utama yang ditanamkan adalah dasar 'Membangunkan Negara Berkebajikan' sebagaimana yang diutarakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasar beliau.

Jentera PAS di semua peringkat selepas ini harus digarap dengan kefahaman yang sejelas-jelasnya tentang konsep negara berkebajikan.

Selepas ini Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri boleh menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, beserta dengan konvensyen untuk pilihan raya memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 sudah semakin hampir.

Kita seharusnya bersyukur dengan komitmen dan istiqamah hasil daripada tarbiyah pucuk pimpinan PAS sekian lama. Hasil dari tarbiyah ini lahirnya kematangan dalam berorganisasi.

Kematangan dalam berorganisasi menjadikan sebarang bentuk perbezaan atau khilaf dalam pemilihan pucuk pimpinan dapat diselesaikan dan diatasi sebaiknya tanpa sebarang kesan. Tsiqah dan wala' kepada keputusan jemaah menjadikan PAS kukuh dan kuat.

Untuk itu, PAS sudah mempunyai sebuah pasukan yang kuat dan diterima ahli keseluruhannya.

PAS hanya perlu menyediakan amilin atau jentera yang kuat untuk mendokong pasukan kepimpinan yang kuat.

Jentera yang kuat ini harus dibekalkan dengan kefahaman yang mendalam mengenai negara berkebajikan yang dianjurkan PAS, serta pemahaman mengenai agenda Buku Jingga yang dipersetujui Pakatan Rakyat.

Jika PAS mempunyai kepimpinan dan jentera yang kuat, insya-Allah, kepercayaan dan keyakinan rakyat akan datang.

Rakyat sekarang ini memang berhasrat untuk menukar kerajaan Umno-BN dari tampuk pemerintahan.

Kita tidak mahu rakyat mengundi kita semata-mata kerana mereka membenci Umno-BN. Tetapi kita mahu menarik seberapa banyak undi rakyat kerana kekuatan kita, kerana kekuatan kepimpinan dan kekuatan mesej yang kita bawa.

Ingatlah bahawa, kita tidak mempunyai masa yang banyak, kita berhadapan dengan kedurjanaan Umno dan segala jentera kerajaan akan dikerahkan sepenuhnya menghadapi Pakatan Rakyat.

Serangan-serangan yang lebih dahsyat akan dihamburkan media talibarut Umno-BN terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Hanya dengan kesepaduan yang kukuh di kalangan ahli dan kepimpinan PAS, hubungan yang erat dengan parti gabungan Pakatan Rakyat, kita mampu melawan segala gelombang ini.

Kita pasti akan berjaya melawan arus Umno-BN. Ingat, satu sahaja matlamat kita, iaitu menghentikan kedurjanaan Umno-BN dengan menumbangkan mereka pada PRU ke-13 nanti.

Friday, June 10, 2011

Persepsi 10/6/2011: Kabinet Pilihan Raya (Hard Talk bersama Mohamad Sabu)

Cabaran getir menanti pasukan Nik Aziz-Abdul Hadi

TIDAK sampai dua minggu lagi kita akan menyambut ulang tahun ke sembilan pemergian Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan Presiden PAS yang kembali kerahmatullah pada 23 Jun 2002.

Pemergian Almarhum, yang jasadnya dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, harus diperingati, bukan untuk meratapinya dengan kesedihan semata-mata. Yang paling penting nilai perjuangan yang beliau sumbangkan terlalu besar ertinya kepada PAS.

Selepas Ustaz Fadzil Noor mengambil alih jawatan Presiden (ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat) daripada Almarhum Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1989, kepimpinan dan ahli PAS yang menjalani tarbiyah serta pemulihan (di zaman Ustaz Yusof 1983-1989), semakin diperkukuhkan.

Untuk rekod Ustaz Yusof meninggal dunia pada 28 April 2000 setelah uzur selama beberapa tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang, pada kira-kira pukul 7.00 pagi, pada usia 78 tahun.

Ketika itu Almarhum Ustaz Yusof dilantik menjadi Mursyidul 'Am, Ustaz Fadzil selaku Yang Dipertua, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Dato' Seri) menjadi Timbalan Yang Dipertua, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Dato') sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Akibat keuzuran sekian lama Ustaz Yusof melepaskan jawatan Mursyidul Am dan Ustaz Nik Aziz dilantik mengisi kekosongan tersebut.

Gandingan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz menerajui PAS. Lebih satu dekad mereka bertiga menjadi pemimpin utama PAS. Wibawa mereka, kehebatan mereka bertiga diakui dan diiktiraf oleh kawan dan lawan.

Ketokohan ketiga-tiga Tuan Guru ini dalam PAS begitu terserlah sehingga karisme dan bakat kepimpinan yang mereka warisi, dilihat jauh meninggalkan pemimpin-pemimpin bawahan.

Dalam PAS ketika itu masih ramai pemimpin-pemimpin yang hebat serta berpengalaman, namun ketokohan mereka tidak mampu menyamai Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz.

Jurang kepimpinan

Tanpa disedari, tanpa PAS kehendaki dan harus diakui wujud jurang yang lebar antara ketiga-tiga pemimpin ini dengan pemimpin bawahan.

Bukannya PAS tidak mempunyai pemimpin pelapis, tetapi masih belum kelihatan pemimpin yang dapat mewarisi bakal kepimpinan ketiga-tiga mereka.

Maka selepas pemergian Ustaz Fadzil, PAS berada dalam keadaan yang tersentak seketika. Ustaz Fadzil adalah pemimpin agung yang kehilangannya sukar untuk digalang-ganti. Secara jujurnya diakui ketika itu (2002), PAS tidak sanggup kehilangan Ustaz Fadzil. Namun kehendak Allah Yang Maha Kuasa mengatasi segala kehendak hamba-hamba-Nya.

Maka selepas Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi menerajui PAS. Ustaz Nik Aziz sebagai Mursyidul Am.

Akibat daripada kelompongan yang besar ini wujud satu jurang yang sehingga kini masih gagal diisi oleh pemimpin yang lain.

Jurang ini sebenarnya bukan persepsi. Jurang ini juga bukan menafikan ketokohan pemimpin PAS yang lain. Tetapi ianya adalah pengiktirafan ahli, penyokong dan rakyat terhadap status seseorang pemimpin.

Sehingga hari ini dalam PAS pun diperakui, masih belum lagi dilihat ketokohan pemimpin yang boleh menyamai gandingan Ustaz Fadzil-Ustaz Hadi-Ustaz Nik Aziz.

Oleh sebab itu selepas Ustaz Hadi menjadi Presiden PAS. Jawatan Timbalan Presiden sudah diisi dua orang, iaitu Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Mohamad Sabu adalah Timbalan Presiden yang ketiga di bawah Ustaz Hadi.

Soal mengapa jawatan Timbalan Presiden bertukar tangan, berlaku pertandingan dalam setiap kali muktamar sejak tahun 2005, 2007, 2009 dan 2011, ianya adalah terletak kepada kebijaksanaan perwakilan PAS.

Namun, harus diingat, untuk rekod, sepanjang lebih satu dekat semasa Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi menjadi Presiden dan Timbalan Presiden, kedua-dua jawatan ini dimenangi tanpa bertanding.

Dalam ertikata yang lain, tiada sesiapa pun yang mahu mencabar mereka berdua. Ketokohan mereka berdua, sama dengan ustaz Nik Aziz, sehingga kini tiada yang mampu menyamainya, masih belum ada pemimpin PAS yang lain memperolehi pengiktirafan sebegini rupa.

Inilah sebenarnya cabaran bagi PAS. Iaitu PAS mahu melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa, berkarisme dan hebat seperti ketiga-tiga mereka.

Cabaran buat kepimpinan

Pasca Muktamar Tahunan PAS ke-57 minggu lepas, PAS memasuki fasa baru. Iaitu pewakilan Muktamar buat pertama kali selepas 28 tahun, menobatkan seorang pemimpin yang bukan ulama menjadi Timbalan Presiden.

Dalam penulisan ini, saya tidak berminat untuk terjebak kepada persoalan ulama atau non-ulama. Soal kumpulan pro-ulama atau pro-Erdogan seperti yang dilabel media talibarut Umno-BN, semuanya sudah ditolak oleh perwakilan.

Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya menegaskan tiada kumpulan profesional atau ulama, tiada kumpulan yang dilabel Erdogan. Yang wujud katanya adalah kumpulan Nik Aziz dan Abdul Hadi.

Sama ada Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dato' Husam Musa mahupun Dato' Mahfuz Omar, kesemua mereka adalah kumpulan Nik Aziz-Abdul Hadi.

Cabaran besar yang dihadapi oleh kumpulan ini adalah bukan sekadar memenangi pemilihan dalam Muktamar PAS. Tetapi, cabaran yang besar adalah, bagaimana mereka ini mengisi kemenangan.

Bagaimana kumpulan ini mampu merapatkan jurang persepsi serta pengiktifaran besar ahli dan rakyat kepada Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz.

Oleh kerana kumpulan yang menang ini juga dianggap kebanyakan rakyat sebagai kumpulan reformis, maka umum hendak melihat sejauhmana perubahan berlaku dalam PAS, bagi memungkinkan ia menerajui Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun untuk adil kepada yang menang, kita harus memberi ruang yang secukupnya kepada mereka untuk membuat perubahan. Perubahan memang memerlukan masa, namun jangan sampai kedudukan yang tinggi ini menjadikan mereka alpa.

Harus juga diingatkan kepada mereka yang menang bahawa, expectation atau pengharapan rakyat terhadap mereka terlalu tinggi.

Oleh kerana empat tokoh yang menang dalam jawatan tertinggi ini, bukan bertitle ulama, maka tempoh dua tahun ke hadapan ini amat mencabar bagi mereka.

Jika mereka perform, mereka akan dipilih pada muktamar yang akan datang. Jika mereka tidak perform, perwakilan yang akan mengundurkan mereka.

Selamat bertugas kumpulan Nik Aziz-Abdul Hadi!

Tuesday, June 07, 2011

Muktamar Tahunan PAS Pusat: Sesak, santai dan meriah

RAMAI yang mengeluh Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar tidak cukup besar untuk menampung kehadiran puluhan ribu penyokong PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-57, 3 hingga 5 Jun lepas.

PAS sebuah parti yang besar, dengan ahli dan penyokong yang semakin ramai, tidak mungkin Dewan Dato' Fadzil Noor mampu untuk menampung kehadiran sebegitu ramai umat.

Walaupun Markaz Tarbiyah sudah dinaiktarafkan dengan bangunan baru dan serba canggih, namun dah namanya Muktamar, begitu ramai penyokong PAS datang dari seluruh pelusuk negara, memenuhi keseluruhan kawasan Taman Melewar. Sehinggakan hendak mencari tempat letak kereta pun agak sukar.

Malah kami yang bertugas di bahagian media juga agak tersekat kelancarannya. Pada asalnya diberi hanya satu bilik media, namun akibat kehadiran petugas media yang begitu ramai, maka pihak urusetia menempatkan media di dua buah bilik. Itu pun masih tidak mencukupi.

Kesesakan akibat ramainya pengunjung mengakibatkan kelancaran bertugas menjadi terbantut. Bagaimana hendak bergerak jika seluruh pelusuk Markaz Tarbiyah dipenuhi penyokong yang datang berduyun-duyun.

Sebelum ini beberapa kali muktamar PAS sebelum ini dibuat di luar Kuala Lumpur. Misalnya di Stadium Malawati, Shah Alam dan di Putik, Pengkalan Chepa.

Sudah tentu dengan kawasan persidangan yang besar dan kawasan meletak kereta yang luas, memberikan keselesaan.

Apa pun, kecil atau besar tempat berhimpun, bagi orang PAS kesesakan tidak menjadi masalah. Mereka sanggup duduk di tepi tangga dan di merata ceruk, asalkan amanat pemimpin wajah pemimpin dapat didengar dan ditatapi.

Muktamar PAS merupakan hari kebesaran PAS. Walau sesusah bagaimanapun, ia seolah-olah menjadi suatu kewajipan bagi mereka untuk hadir

Selain daripada bermuktamar, kebiasaannya, gerai-gerai di tapak Muktamar Tahunan PAS Pusat hanya menjual barangan, tanpa sebarang kelainan lain.

Namun, ada sebuah gerai yang menempatkan pelbagai produk keluaran Tok Guru menjadi perhatian kanak-kanak apabila penjaga gerai berkenaan membuat kuiz atau mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan bahasa Arab.

Memandangkan gerai tersebut turut menjual CD nasyid yang mengajak kanak-kanak belajar berbahasa Arab, kanak-kanak yang hadir ke gerai berkenaan akan diberikan soalan. Sekiranya berjaya, mereka akan diberikan belon dan sejenis produk Tok Guru seperti Jus Kurma, Jus Kismis dan sebagainya.

Ada juga menu kambing bakar yang memang digemari pemimpin dan ahli-ahli PAS menjadi pilihan PAS kawasan Lembah Pantai untuk membuka gerai.

Selain kambing bakar yang dibakar di hadapan gerainya sebagai menu utama, menu lain yang turut disajikan ialah makanan panas seperti mi goreng dan sebagainya.

Di sebelah atas bangunan dewan, di tempatkan sebuah bilik rawatan percuma untuk pengunjung Markaz Tarbiyah. Nampaknya ramai yang mengambil kesempatan membuat rawatan kesihatan percuma di situ. Terima kasih kepada para doktor dan jururawat yang bertugas.

Kakitangan media yang membuat liputan muktamar dihidangkan sarapan pagi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi.

Thursday, June 02, 2011

PAS harapan rakyat


MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun ini amat di nanti-nantikan oleh rakyat yang menyokong PAS, dan juga pendokong aspirasi Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Rakyat ingin melihat, siapakah yang bakal dipilih perwakilan untuk menerajui PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Rakyat ingin mengetahui sejauhmana PAS bersedia menggalas harapan rakyat untuk menggantikan Umno sebagai sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat.

Dalam Muktamar ini juga, rakyat ingin mengetahui apakah agenda yang ditawarkan PAS kepada rakyat Malaysia, yang boleh disandarkan bagi membuktikan kesungguhan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti Islam yang terbesar, berpengalaman luas dan semakin bertapak dalam negara, PAS harus tampil sebagai parti terulung yang menyelamatkan negara daripada kedurjanaan Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin dan perwakilan PAS dari seluruh negara, harus membuka minda mereka seluas-luasnya dan harus memuhasabah diri, memikirkan apakah ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi penyumbang kepada peneraju perubahan dalam negara.

Sesungguhnya keberadaan PAS dalam negara ini, bukan untuk menjadi parti yang menumpang arus yang diciptakan oleh rakan seperjuangan, tetapi sudah sampai masanya PAS menjadi pemain utama yang mencipta arus rakyat.

Untuk itu, kepimpinan dan seluruh ahli PAS harus berganding bahu, bukan sahaja membentuk jati diri mereka sebagai muslim yang komited dengan sahsiah yang unggul, malah harus mempunyai elemen-elemen yang dikagumi rakyat keseluruhannya.

PAS wujud untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, bukan untuk dalam kalangan PAS sahaja, tetapi ianya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi pemilihan kali ini, seluruh perwakilan harus meletakkan keutamaan menyediakan PAS, untuk terus memainkan peranan utama dalam pentas politik negara bersama Pakatan Rakyat.

PAS harus semakin memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti KeADILan dan DAP. PAS harus ke hadapan dalam menjalim hubungan dengan NGO, khususnya dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam.

Untuk mendepani cabaran ini, untuk meletakkan PAS terus unggul di persada politik negara, PAS harus membentuk agenda perjuangannya sesuai dengan aspirasi rakyat.

Agenda yang menepati kehendak atau aspirasi rakyat adalah suatu agenda yang meletakkan keutamaan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dengan adil dan saksama tanpa memilih warna kulit, kaum mahu pun agama.

Rakyat mahu melihat terus melihat bagaimana kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan kini di Kedah, mengamalkan dasar negara berkebajikan mengikut kehendak Islam.

Keadilan Islam yang diterajui perjuangannya menerusi PAS harus dilaksanakan, ditawar dengan sebaik-baiknya agar seluruh rakyat Malaysia memahaminya.

Apabila rakyat sudah faham dan menikmati kebaikan dan kebajikan berasaskan Islam, sekali gus sebarang persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri akan dapat dihapuskan.

Dengan penghapusan jurang ini, ia semakin mendekatkan PAS dengan rakyat. Perjuangan PAS adalah untuk semua. Untuk memperjuangan hak semua rakyat pemimpin PAS harus dekat di hati rakyat.

Maka perwakilan Muktamar PAS kali ini mempunyai peranan yang amat besar. Iaitu memilih pucuk pimpinan dan menetapkan agenda yang mampu memartabatkan PAS ke tahap yang lebih unggul.

Moga-moga perjuangan Islam yang dibawa PAS akan diterima dan diiktiraf, serta meletakkannya sebagai peneraju unggul dalam Kerajaan Pusat bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Selamat bermuktamar!