Monday, January 24, 2011

Malaysia negara rasuah

RAKYAT Malaysia boleh melihat dengan jelas betapa Umno-Barisan Nasional begitu takut pengaruh di kubu kuat mereka iaitu di Johor terhakis.

Rakyat yang menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Labis bakal menjadi saksi, bagaimanakah caranya Umno-BN hendak mengekalkan kuasa mereka.

Rakyat sudah lihat bagaimana Perdana Menteri yang hampir tidak pernah turun padang menjengah PRK, kini berkunjung lebih awal dengan menabur pelbagai janji.

Janji PM bukannya sedikit. Ia mencecah ribuan juta ringgit, kononnya kerajaan begitu prihatin untuk membantu rakyat, khususnya di kawasan Felda yang memerlukan bantuan. Kononnya hendak membantu rakyat yang kesusahan.

Untuk apa dijanjikan semua peruntukan besar itu sekarang? Mengapa tunggu PRK Tenang baru hendak ditabur segala janji-janji manis Umno-BN sekarang ini?

Bukankah sejak merdeka Umno-BN yang memerintah Johor? Jika masih ramai rakyat yang kesusahan dan miskin, ianya adalah salah kerajaan yang gagal menyempurnakan tugas mereka. Yang gagal itu adalah kerajaan Umno-BN.

Oleh kerana itu, sudah tentu, tidak lain dan tidak bukan, semua janji-janji yang ditabur, hanyalah untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Untuk apa Umno-BN mahu merasuah rakyat jika mereka benar-benar sebuah parti yang kuat. Untuk apa Umno-BN terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar jika Johor itu kubu kuat mereka?

Selama ini, rakyat diperdaya dengan momokan Umno-BN, yang mendakwa mereka parti Melayu yang kuat dan mempunyai jutaan ahli serta penyokong.

Hakikat sebenar tidak begitu. Umno-BN bukannya parti yang kuat. Mereka hanya kelihatan kuat kerana didokong oleh media talibarut yang bertugas siang malam menutup kelemahan mereka.

Mereka hanya kelihatan kuat kerana seluruh jentera kerajaan dikerah dan dipergunakan untuk memastikan sokongan rakyat terhadap mereka tidak tergugat.

Oleh itu tiada cara lain untuk Umno-BN mendapat sokongan rakyat, selain dengan merasuah mereka dengan pelbagai projek, kemudahan, ganjaran kewangan dan sebagainya.

Jelasnya rakyat yang menyokong Umno-BN bukan kerana idealisme, bukan kerana perjuangan nasionalisme Melayu yang dibawa Umno, tetapi kerana kepentingan materialisme.

Rakyat yang berfahaman materialistik adalah mereka yang mempunyai fikiran yang amat singkat.

Mereka mengizinkan diri untuk menjadi mangsa kerakusan pemimpin Umno-BN, yang sebenarnya mengunakan wang rakyat untuk merasuahkan rakyat kembali.

Umno mempergunakan ideologi nasionalis untuk memerangkap rakyat yang materialis. Nasionalisme adalah alat Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat.

Idealisme nasionalis dalam Umno sudah lama terkubur. Yang tinggal hanyalah perjuangan merebut kuasa, takhta, harta dan wanita semata-mata.

Kita menyeru rakyat Malaysia, khususnya di Tenang, supaya menyedari bahawa gejala rasuah yang melampau akibat ketamakan kuasa Umno-BN akan merosakkan negara.

Kita Pakatan Rakyat mencabar Umno-BN, jika mereka 'anak jantan' mari bertarung di gelanggang terbuka secara gentleman. Jangan main 'curi ayam'.

Pakatan Rakyat menggesa rakyat menolak parti perasuah, menolak gejala rasuah, menolak sebarang unsur rasuah, kerana ianya menghancurkan agama, bangsa dan negara.

Gejala buruk akibat rasuah ini hanya akan terhapus sepenuhnya, apabila kuasa Umno-BN dilenyapkan dari muka bumi Malaysia yang tercinta ini.

Bahaya pembaziran Rosmah

TATKALA kedudukan ekonomi Malaysia yang berada dalam keadaan yang tidak stabil, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dikatakan membuat perbelanjaan yang besar semasa mengunjungi negara-negara Arab baru-baru ini.

Kunjungan Rosmah ke negara terbabit, mendapat respon yang amat negatif dari kalangan rakyat.

Negatif kerana rakyat terkejut dengan dakwaan perbelanjaan yang amat besar oleh isteri Perdana Menteri.

Rakyat juga mempersoalkan apakah kewajarannya Rosmah mengunjungi negara-negara terbabit, kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pemerintahan sendiri, ada kerajaan dan ada menteri yang bertugas pada bidang-bidang yang telah dikhususnya.

Sehingga ada kalangan rakyat mempertikaikan, apakah peranan Rosmah sebenarnya. Isteri PM atau orang politik yang berjawatan Menteri, atau punyai jawatan yang lebih tinggi daripada itu.

Sehingga dilaporkan dalam media internet, Rosmah menginap di sebuah bilik mewah (suite) yang harganya mencecah UDS35,000 atau menyamai RM106,000 semalam.

Jika benar begitu, ianya merupakan suatu perbelanjaan yang amat boros. Jika perbelanjaan beliau menggunakan peruntukan dari kerajaan, rakyat mahu mengetahui apakah beliau layak menerima peruntukan sebesar itu?

Jika penginapan itu ditaja, rakyat harus dibekalkan jawapan secara jujur, siapa yang menaja dan mengapa beliau ditaja. Namun Rosmah mendakwa lawatannya ke luar negara adalah di atas jemputan, mewakili rakyat Malaysia dan apa yang beliau lakukan adalah untuk faedah rakyat dari semua kaum, agama dan parti.

Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: "Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak."

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan - yang telah dijalankan oleh perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan kabinet.

"Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya."

Itu kata Rosmah. Namun, ada satu soalan yang tertanya-tanya dalam benak fikiran rakyat, yang masih belum terunkai.

Iaitu, adakah apa yang dilakukan oleh sekarang ini, juga dilakukan oleh isteri bekas-bekas PM semasa mereka memerintah?

Cerita-cerita mengenai dominasi Rosmah dalam pemerintahan negara bukannya benda baru. Persepsi negatif ke atas beliau timbul apabila banyak laporan dan juga secara berfakta dikemukakan.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, suatu program yang diketuai oleh isteri PM diberi peruntukan ratusan juta, sebagaimana yang diterima Rosmah untuk projek Permata beliau.

Hal ini dipertikaikan rakyat, kerana negara sudah mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita dan keluarga, kerajaan mempunyai Kemas, Tabika Perpaduan, pra-Sekolah di bawah Kementerian Pelajaran. Untuk apa lagi diwujudkan suatu program atau sistem baru yang memainkan peranan yang sama?

Rakyat bertanya mengapa tidak diperkemas dan diperkukuhkan atau dilakukan penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada?

Dalam perkara lain, Rosmah juga dilaporkan membuat perbelanjaan yang besar, dalam istilah lain disebut shopping (membeli belah) yang nilai yang amat besar sewaktu berkunjung ke luar negara.

Mungkin juga beliau menggunakan wang sendiri, namun selaku isteri seorang PM, beliau harus sedar bahawa beliau juga punyai tanggungjawab kepada masyarakat.

Beliau harus sedar bahawa rakyat semakin terhimpit dengan krisis ekonomi, kenaikan harga barangan mendadak, semakin ramai dihimpit kemiskinan dan tidak mempunyai wang untuk makan dan belanja sekolah anak.

Selaku isteri PM Rosmah harus sedar, bahawa segala gerak lakunya diperhati dan dinilai oleh masyarakat. Ramai rakyat di luar sana yang memerhati dan mengetahui stail Rosmah.

Beliau ada hak untuk menafikan sebarang dakwaan terhadapnya, namun yang penting sekali, Rosmah harus mengelak daripada timbulnya sebarang fitnah ke atas beliau yang akan terpalit kepada PM sendiri.

Rosmah mendakwa beliau tidak mencampuri urusan politik, tetapi mengapa beliau anjurkan program sidang wanita pertama yang menelan belanja jutaan ringgit.

Rakyat mengetahui dengan jelas, terlalu sedikit isteri PM atau Presiden luar yang hadir.

Jelas, program sebegini besar tidak mendapat sambutan kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Justeru, apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mahupun Rosmah sedar bahawa, persidangan tersebut tidak membawa apa-apa hasilnya kepada negara? Malah ianya hanya membazirkan wang rakyat.

Justeru, Najib dan Rosmah harus sedar bahawa tingkah laku mereka menjadi ukuran dan penilaian rakyat kerana mereka adalah pemimpin dan isteri pemimpin.

Mereka juga harus sedar bahawa antara sebab Presiden Tunisia, Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan adalah kerana pembaziran yang dilakukan oleh isteri beliau Leila Trabelsi.

Leila digelar 'Imelda Marcos', melarikan diri dengan jongkong emas yang nilainya terlalu tinggi.

Rosmah harus muhasabah diri, usah jadi seperti Imelda, usah jadi seperti Leila.

Rakyat Malaysia umumnya mereka yang sangat baik dan berdisiplin. Belum pernah mereka menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

Tetapi apa yang pasti, mereka akan menumbangkan Kerajaan Umno-BN pimpinan Najib dan Rosmah menerusi Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Wednesday, January 19, 2011

Umno Selangor umpama 'bangkai bernyawa'

IKAN busuk bermula di kepala. Itulah petikan pepatah Cina yang sesuai untuk memahamkan rakyat tentang situasi di Selangor, khususnya masalah atau krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang Umno-Barisan Nasional.

Sama ada rakyat sedar atau tidak, sejak tiga dekad yang lalu, rakyat Selangor disajikan dengan ketua pentadbir negeri yang dikenali dengan nama Dato' Menteri Besar, yang hampir semuanya 'bermasalah'.

Selepas Dato' Harun Idris (1970-1976) dan Dato' Hormat Rafie (1976-1982), semua MB Selangor yang diwakili Umno, sarat dengan skandal dan masalah.

Penulis tidak mahu menyentuh mengenai bagaimana Harun dijatuhkan oleh pemimpin Umno sendiri, sehingga dipenjara dan digantikan oleh Hormat.

Yang hendak disentuh ialah MB-MB selepas mereka. Bermula dari Dato' Ahmad Razali Ali (1982-1986), Dato' Muhammad Muhd Taib (1986-1996), Dato' Abu Hassan Omar (1997-2000) dan Dr Mohamad Khir Toyo (2000-2008).

Keempat mereka diganti dan dijatuhkan, penuh dengan skandal dan penghinaan. Harus diingat yang menjatuhkan mereka adalah manusia-manusia rakus dalam Umno sendiri.

Cuma Khir Toyo sahaja dijatuhkan oleh rakyat dan kemudiannya didakwa. Itupun pendakwaan terhadap Khir dikatakan berpunca dari 'move' orang tertentu dalam Umno.

Untuk nota, semua MB adalah Pengerusi Umno, sekali gus memegang jawatan Pengerusi BN Negeri.

Selepas Dr Mahathir Mohamad ditabalkan menjadi Perdana Menteri, lantas beliau memilih adik iparnya Ahmad Razali sebagai MB. Ahmad Razali tidak ada pengalaman dan tidak terkenal dalam Umno, tetapi diberikan jawatan tinggi kerana dia kroni PM.

Akibat ketidak kemampuan dan kelemahannya, sehingga mendorong Umno-BN Selangor menolaknya, Ahmad Razali dihadkan memerintah hanya sepenggal sahaja.

Kisah Ahmad Razali ini terakam diminda penulis, kerana pada waktu itu, penulis baru memasuki sekolah menengah. Suatu ketika penulis berkunjung ke rumah aruah abang ipar di kawasan penempatan setinggan di Kampung Pandan, kebetulan ia berhampiran dengan sebuah dewan orang ramai.

Pada hari itu berlaku kekecohan dalam mesyuarat Umno. Riuh rendahnya perbalahan Umno waktu itu sehingga mereka berani membaling kerusi ke arah MB Ahmad Razali.

Kisah Ahmad Razali berakhir apabila beliau digantikan oleh Muhammad Taib yang juga terkenal dengan gelaran 'Mike Tyson'. Muhammad Taib bertapak 10 tahun sebagai MB Selangor. Paling lama dan paling hebat.

Hebat sehingga berjaya 'melarikan' anak Sultan Selangor. Hebat kerana membayar wang mut'ah sebanyak 16 juta selepas berpisah. Hebat kerana membawa wang berguni-guni membeli aset di Australia, sehingga ditahan polis Australia.

Sampai sekarang, rakyat Selangor disembunyikan dengan fakta, bagaimana Muhammad Taib boleh jadi begini kaya? Boleh orang-orang Umno jelaskan?

Selepas Muhammad Taib dijatuhkan oleh orang Umno sendiri. Dr Mahathir menaikkan Abu Hassan Omar. Beliau seorang Menteri, lalu diarah beliau letak jawatan Menteri, seorang Adun BN mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada beliau menjadi MB.

Pertamakali dalam sejarah Malaysia, diadakan pilihan raya kecil kerana PM mahu seorang yang hebat menjadi MB Selangor terbaik dari Umno-BN.

Abu Hassan 'ditabal' dengan penuh gemilang sebagai MB. Beliau bukan orang kecil, beliau dihormati oleh golongan istana dan mendapat kepercayaan PM.

Namun tidak sampai sepenggal, beliau tersungkur kerana skandal yang memalukan Umno-BN dan seluruh rakyat Malaysia.

Kehebatan Abu Hassan terserlah sehingga berjaya 'menaji' adik iparnya sendiri. Suatu skandal besar yang memalu dan memualkan seluruh Selangor. Skandal Abu Hassan mula dihebahkan oleh orang-orang Umno melalui media di luar negara, diheboh dan diuar-uarkan sehingga Abu Hassan terpaksa meletakkan jawatan.

Kemudian 'ditabalkan' pula seorang junior dari Sungai Besar. Seorang doktor, anak muda, anak Selangor yang 'pure' keturunan Jawa.

Pelantikan Khir Toyo sebagai MB mengejutkan golongan veteran dalam Umno. Tetapi mungkin PM Mahathir ketika itu mempunyai alasannya yang tersendiri.

Belum setahun Khir menjadi MB, fail mengenai dakwaan dan skandal rasuah beliau sudah diangkat ke pejabat PM.

Sahabat penulis yang juga Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, adalah antara orang aktif membongkar ke rasuah Khir Toyo. Namun fail-fail itu didiamkan sahaja oleh PM Mahathir.

Sekarang ini selepas Khir dibuang oleh rakyat dari tampuk kuasa MB. Beliau kini dihadapkan ke mahkamah kerana pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah bernilai jutaan ringgit.

Yang hebatnya, beliau didakwa melakukan kesalahan rasuah di kediaman rasmi MB, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.

Soal beliau salah atau tidak itu kita harus menunggu kes mahkamah selesai. Apa pun Khir Toyo harus menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah berakhir.

Berakhir sebagai bekas MB, bekas Pengerusi Umno, Pengerusi BN, Ketua Bahagian Umno dan beliau mungkin tidak akan dicalonkan semula sebagai calon Adun. Usah harap hendak tanding MT Umno atau Ketua Pemuda.

Mengapa Khir dijatuhkan, siapa yang menjatuhkannya harus dibincang dalam episod yang lain kerana ruang penulis amat terhad.

Cumanya Khir Toyo memalukan Umno kerana beliau kononnya berbesar hati memulangkan pingat 'Dato' Seri' sementara kesnya dibicarakan, sebaliknya pingat itu digantung oleh pihak Istana.

Penggantungan itu tidak harus dipertikaikan kerana ia memang amalan Istana Selangor bagi pemegang pingat dan darjah kebesaran negeri yang didakwa terbabit dalam kes mahkamah atau jenayah. Perkata ini pernah berlaku kepada bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai suatu ketika dahulu.

Cumanya, perkara yang hendak ditekankan penulis di sini ialah, sejak hampir tiga dekad atau 26 tahun (1982 - 2008), Umno-BN 'menyajikan' rakyat Selangor dengan penjawat jawatan MB yang penuh dengan skandal, jijik, perasuah beserta moral yang amat rendah.

Yang amat memalukan ialah, mereka semua adalah MB dari Umno, orang Melayu-Islam. Maknanya selama ini Umno menawarkan MB 'kepala ikan busuk' yang hampir-hampir menjadi bangkai.

Berdasarkan fakta yang dikemukakan, jelas selama ini rakyat Selangor tertipu dengan imej baik, imej hebat pemimpin Umno, walhal semuanya hampas belaka.

Jika selama 26 tahun MB 'ikan berkepala busuk' disajikan oleh Umno-BN kepada rakyat Selangor, maka apakah jaminan mereka boleh menawarkan calon baru, yang bersih, yang boleh menyaingi Dato' MB Abdul Khalid Ibrahim?

Pada penulis, apa yang MB Khalid lakukan selama tiga tahun ini, jauh lebih baik dari empat MB Umno-BN sebelum ini.

Oleh itu, Umno Selangor usahlah berangan-angan hendak merampas kerajaan negeri, kerana rakyat tahu yang bakal anda pilih menjadi MB nanti adalah hampas-hampas yang akan menjadi bangkai bernyawa sahaja!

Thursday, January 13, 2011

Melayu Umno patut malu dengan Cina DAP

APA salahnya jika Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Dato' Mohamed Fadzill Hassan benar-benar memohon kemaafan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dengan sepenuh keikhlasan?

Sikap dolak-dalik Fadzill yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), sekejap bersungguh-sungguh minta maaf, sekejap kata tidak, apabila ditekan oleh media talibarut Umno, menunjukkan beliau sangat tidak beretika.

Jika pun Fadzill penyokong tegar Umno, sebagai seorang yang beragama Islam, apa salahnya kita memohon maaf dan berbaik-baik untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Fadzill menerima tekanan daripada ahli-ahli persatuan kontraktor, menggesanya memohon maaf kepada Guan Eng, akibat daripada beberapa siri kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia, dengan cara yang amat rasis.

Fadzill menjadi penyumbang besar kepada ketajaman isu perkauman, apabila beliau menggambarkan seolah-olahnya Guan Eng, kerana beliau DAP, maka beliau dikaitkan sebagai anti-Melayu dan menindas Melayu.

Segala tuduhan dan kecaman Fadzill terhadap Guan Eng, begitu diambil serius oleh Utusan, sehingga boleh menyebabkan nyawa Ketua Menteri terancam, akibat perasaan kebencian Melayu terhadap Cina yang membuak-buak.

Malah akibat daripada kenyataan Fadzill, pemimpin-pemimpin Umno bertali arus memainkan sentimen perkauman dan membuat pelbagai kecaman yang tidak munasabah terhadap Ketua Menteri.

Paparan serangan Fadzill banyak disiarkan Utusan, tidak perlu diulang di sini.

Serangan Fadzill terhadap Guan Eng, disempitkan oleh Utusan, sebagai Kerajaan DAP, sedangkan umum mengetahui ianya adalah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Mereka menamakan 'Kerajaan DAP' kerana hendak menyempitkan minda orang-orang Melayu, dengan seolah-olahnya mahu memberi gambaran bahawa, 'Cina DAP ini pasti akan menindas Melayu.'

Serupa juga tindakan media talibarut Umno, cuba menyempitkan fikiran golongan bukan Melayu dengan memberi label 'Kerajaan PAS' di Kelantan. Dari segi keadaannya, ya memang PAS majoriti, tetapi cara mereka melaporkan secara sempit, menunjukkan kejahatan yang melampau.


Begitu juga, ada media talibarut Umno-BN sama ada yang media cetak atau elektronik, menggunakan istilah 'Kerajaan Pembangkang' bagi negeri-negeri tertentu.

Mereka ini sebenarnya, selain mempunyai agenda yang jahat, begitu malu dengan mengaku bahawa Umno-BN sudah menjadi pembangkang di negeri-negeri terbabit.

Spesies Umno sebegini memang banyak. Mereka begitu ego dan sombong. Mereka tidak mahu menerima hakikat yang sebenar. Melayu spesies Umno inilah yang memalukan bangsa Melayu keseluruhannya.

Sama juga dengan Fadzill yang tidak tahu malu dan tidak mahu mengaku salah terhadap Guan Eng. Beliau menyerang Guan Eng dengan menuduh kontraktor Melayu ditindas dan disisihkan di Pulau Pinang.

Kenyataan yang amat rasis dan tidak bertanggungjawab ini, ditepis Guan Eng dengan mengemukakan fakta dan statistik. Jelas menunjukkan, dengan dasar tender terbuka, hampir semua projek Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, dibolot oleh orang Melayu.

Kita tanya balik kepada Fadzill, berapa banyak tender yang kontraktor Melayu Pulau Pinang dapat, semasa Ketua Menteri dari Cina Gerakan yang menjadi suku sakat Umno-BN memerintah?

Apakah apabila Cina DAP membuat kebaikan kepada orang Melayu, dianggap suatu dosa, sedangkan berdasarkan fakta, Cina Gerakan yang banyak menindas Melayu, 'dijulang dan dicium tangan' oleh orang-orang Umno?

Usah cakap soal Melayu-Cina. Usah cakap soal rasis. Tiada halangan untuk Fadzill memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu Umnonya, tetapi perjuangan itu mestikan berasas fakta dan 'berpijak di bumi yang nyata.'

Apa salahnya menjadi orang yang jujur. Di atas ketelanjuran kata, di atas kesalahan membuat provokasi melampau, yang jelas mengugat kestabilan kaum, beliau dengan 'rendah hati' memohon maaf dan berbaik-baik dengan Guan Eng.

Pagi-pagi Sabtu lepas ketika menghubungi penulis, Guan Eng menyatakan kelegaan beliau kerana kontraktor Umno datang memohon maaf kepada beliau.

"Hai Rashidi, selamat pagi, apa khabar," kata Guan Eng.

"Selamat pagi CM, saya baik sahaja, you call pagi-pagi mesti ada cerita," balas penulis.

"Ya, ini hari saya sikit legalah, semalam (Jumaat) itu Fadzill dan kontraktor Umno datang mohon maaf sama kita (Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat), ini suatu peristiwa yang amat besar di Pulau Pinang.

"Tapi saya kesal, paper, Utusan (Utusan Malaysia), semua tak keluar (tidak lapor)," ujarnya.

"Sudah tentulah, mana paper mahu keluar, ini peristiwa kasi (beri) mereka malu. Tak apalah nanti Harakah, kita bantu siarkan.

"Tapi you percayakah sama itu kontraktor Melayu (betul-betul memohon maaf?" tanya penulis keraguan.

"Tak apalah, kita memang pedih kena hentam, kena fitnah, tapi itu orang sendiri datang minta maaf, kita terima lah.

"Orang mahu baik, kita terima, kita mesti jaga silaturrahim," jelas Guan Eng menunjukkan keikhlasan beliau.

"Kalau macam itu, okay, nanti kita tolong lapor apa yang berlaku," kata penulis.

"Okay terima kasih banyak, nanti kita jumpa dekat Tenang (PRK Dun Tenang) ya," ujar Ketua Menteri mengakhiri perbualan.

Apa yang malangnya, yang berlaku tidak seperti yang diharapkan, hanya selepas dua hari permohonan maaf secara sukarela dinyatakan secara terbuka dalam sidang yang mempunyai rakaman, Fadzill mengubah cakapnya.

Ahad lepas, Fadzill mengatakan permohonan maaf pada pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan teguran persatuan itu sebelum ini terhadap kerajaan negeri.

Katanya, permohonan itu dilakukan untuk saling memahami serta memaafkan antara satu sama lain.

"Permohonan maaf saya itu adalah atas kemungkinan terkasar bahasa sebelum ini terhadap kerajaan negeri, itu saja.

"Ini bukan bererti ia ada kaitan dengan teguran saya terhadap kerajaan negeri sebelum ini," katanya, sebagaimana dilapor.

Apa agenda Fadzill sebenarnya? Apakah beliau malu hendak mengaku kepada Umno bahawa beliau tersilap menyerang Guan Eng? Atau apakah orang-orang Umno terlalu suci sehingga tidak boleh mengaku silap?

Sikap yang yang ditunjukkan Fadzill ini, dengan jelas menunjukkan bahawa, beliau tetap berpegang dengan kenyataan-kenyataan berbaur rasis yang boleh mencetuskan kebencian kaum.

Sikap 'lidah bercabang' Fadzill ini hanya menunjukkan betapa tebalnya perasaan rasis beliau. Sikap ini bukan sahaja semakin mengeruhkan suasana, malah memalukan bangsanya sendiri.

Sikap Fadzill jelas mengecewakan, sehingga Lim Guan Eng berkata, beliau tidak menyangka Fadzil bercakap 'tidak serupa bikin', apabila bertindak menafikan kenyataannya yang dibuat sebelum ini.

"Kenapa beliau sanggup memutar belitkan kenyataan, walhal beliau sendiri mengungkapkannya di hadapan media serta salah seorang Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim.

"Kenapa beliau putar belitkan kenyataan yang dibuatnya sendiri. Tak apa kita ada bukti rakaman sidang media itu. Dan, ia boleh memalukanya dirinya sendiri," jelasnya.

Guan Eng berkata, beliau tidak faham kenapa tiba-tiba Fadzil bertindak seumpama itu, dengan menggunakan media talibarut Umno-BN untuk memperbetulkan dirinya semula dan membelakangkan fakta sebenar.

Apapun bagi penulis, sikap yang ditunjukkan pemimpin kontraktor Melayu, tidak berpegang kepada janji, bercakap bohong, hanya mencemarkan maruah orang-orang Melayu.

Lihat kepada orang-orang Cina DAP, yang diketuai Guan Eng, mereka berpegang kepada janji, membantu ramai orang Melayu, membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz dan sebagainya.

Apa yang dibuat oleh Cina DAP di Pulau Pinang, untuk kepentingan orang Melayu pada sesetengah sektor, jauh lebih baik daripada Cina Gerakan, malah lebih baik daripada Melayu Umno Pulau Pinang.

Orang-orang Melayu, khususnya Umno, 'harus berlapang dada' mereka wajar belajar supaya jangan terlalu ego dan menerima hakikat bahawa di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, nasib mereka lebih terjamin.

Ringkasnya, Melayu Umno patut malu dengan Cina DAP di Pulau Pinang.

Kepada Lim Guan Eng, penulis mencadangkan beliau menangani permasalahan kontraktor Melayu Umno ini, dengan mengunakan garis sempadan yang diungkapkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Kata Tok Guru, "Pepatah Arab mengatakan, anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik, bersungguh minta balik bekerjasama, kita kata tidak."

Itulah tegas Tok Guru yang menolak sikap dolak-dalik pemimpin Umno.

Justeru, pesan penulis kepada Fadzill dan rakan-rakan dalam PKM Pulau Pinang, tolong jangan malukan Melayu, tolong jangan jadi seperti anjing dalam pepatah Arab ini.

Wednesday, January 12, 2011

PM Najib sudah hilang punca

SELEPAS lebih tiga minggu menjanjikan bahawa Barisan Nasional akan menjawab tawaran 100 hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mampu mengemukakan hujah yang konkrit.

Beliau hanya menghentam Pakatan Rakyat dan mengulangi kecaman yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin Umno bawahan, tanpa mengemukakan kerangka balas apa yang hendak BN tawarkan kepada rakyat.

Dalam amalan demokrasi tulen, apabila ada pihak mengemukakan gagasan, pihak yang tidak setuju, haruslah mengemukakan gagasan balas, supaya rakyat boleh membuat penilaian yang sewajarnya.

Apabila mengemukakan gagasan dan memberikan komitmen bahawa ia mampu melaksanakan janji yang dibuat jika rakyat memberi mandat untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Tawaran 10 perkara asas yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, dimuatkan dalam Buku Jingga yang diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Antara dasar utama yang digariskan dalam Buku Jingga adalah, tekad Pakatan Rakyat untuk memerangi rasuah dan kebocoran yang dilakukan kerajaan BN yang mampu mengembalikan semula pendapatan negara.

PM, Najib Tun Razak memperlihatkan kedangkalan beliau untuk menjawab program 100 hari Pakatan Rakyat secara objektif.

Alasan yang diberikan hanyalah, dengan mendakwa banyak perkara BN tidak boleh diberikan kepada rakyat kerana ia akan memufliskan negara, terutama perkara yang melibatkan bantuan langsung kepada orang ramai.

Alasan kekurangan wang inilah yang menyebabkan Umno-BN begitu jengkel dengan janji-janji Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

Umno-BN cuba untuk memperlekehkan tawaran Pakatan Rakyat kerana bagi mereka tawaran tersebut 'tidak masuk akal', jika hendak dilaksanakan oleh BN.

Berkat kesungguhan dan komitmen pemimpin, Pakatan Rakyat telah membelanjakan kira-kira RM150 juta setiap tahun untuk memberi bantuan kepada rakyat dalam bentuk skim air percuma, bantuan kepada pelajar Universiti, bantuan mikro kredit dan sebagainya di Selangor.

Begitu juga di Pulau Pinang, banyak insentif yang diberikan kepada rakyat, termasuk bayaran tunai untuk warga emas dan sebagainya.

Di Kedah, Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri, menunjukkan negeri dipacu ke arah yang lebih dinamik daripada zaman Umno-BN.

Masalah bagi Umno-BN ialah kerana mereka tidak mentadbir negara untuk kepentingan keseluruhan rakyat. Mereka hanya mengutama dan mengkayakan para kroni.

Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menunjukkan bahawa, kebocoran di negara ini sangat besar disebabkan rasuah. Rasuah menyebabkan negara kehilangan RM28 bilion setahun.

Dalam subsidi, setiap tahun Petronas membayar RM19 bilion subsidi gas kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang menyebabkan keuntungan berbilion diberikan kepada syarikat kroni berkenaan.

Seperti maklumat yang didedahkan, Petronas membeli gas dari blok Natuna dan JDA pada harga-harga yang jauh lebih tinggi, kemudian menjual kepada jauh lebih rendah dari nilai harga pasaran.

Transaksi ini berjumlah RM19 billion setiap tahun. Jika perkara ini boleh diatasi, maka keuntungan tambahan RM19 bilion yang boleh dijana untuk dibayar balik kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam isu tol, kerajaan membayar balik RM4 bilion setahun sebagai pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya, dalam perjanjian yang berat sebelah, memihak kepada kroni.

Pakatan Rakyat mahu menstrukturkan semula perjanjian dengan syarikat konsesi, dan ia percaya dengan mudah wang penjimatan tersebut boleh dipulangkan kepada rakyat.

Dengan menyumbat kebocoran disebabkan rasuah (RM28 bilion), menghapuskan subsidi korporat kepada IPP( RM19 bilion) dan pampasan tol (RM4 bilion), jumlah itu lebih dari mencukupi, untuk melaksanakan janji-janji dalam Buku Jingga.

Pakatan Rakyat yakin, ia mampu melakukan perubahan dan melaksanakan janji kerana Pakatan Rakyat tidak mengamalkan dasar yang dijalankan Umno-BN yang mengutamakan kronisme hingga berlakunya. ketirisan.

Dalam tempoh 100 hari, kita boleh buat apa yang Umno-BN tidak mampu lakukan selama 50 tahun memerintah.

Sunday, January 09, 2011

Hamba politik Umno-BN bakal terima hukuman rakyat

NEGARA jadi susah apabila pegawai-pegawai kerajaan, sudah mempamerkan diri mereka menjadi balaci orang-orang politik, sama ada untuk kepentingan peribadi mereka mahupun untuk kepentingan orang-orang politik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan boleh menafikan pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat kerana politik.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani juga menafikan beliau menjadi alat politik Umno dalam kes ini.

Malah Khusrin juga menafikan beliau alat politik Umno-Barisan Nasional.

Siapa hendak percaya cakap Sidek, Munir dan Khusrin? Bolehkah dipercayai pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik atau dalam erti kata lain, ianya dibuat mengikut pure government procedure?

Semua orang tahu, politik ada di mana-mana. Bukan dalam parti politik sahaja. Dalam rumah, di pejabat, dalam persatuan, di mana-mana sahaja kita tidak boleh menolak wujudnya politiking.

Justeru jika pelantikan Khusrin dengan mengetepikan ramai pegawai kerajaan yang lebih senior tidak dibuat berdasarkan kehendak politik, KSN mengikut prosedur mana? Adakah khidmat Khusrin sebagai pegawai kerajaan begitu cemerlang? Adakah kerana merit?

Berdasarkan maklumat penulis, ramai pegawai kerajaan yang marah dan kecewa apabila Khusrin yang lebih junior naik mendadak.

Jika pelantikan Khusrin tidak ada kena mengena dengan politik, mengapa KSN atau pihak tertentu terus by-pass kerajaan negeri? Mengapa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar?

Hakikat yang disembunyikan ialah Umno-BN sedia mengetahui, Kerajaan Pakatan Rakyat berusaha menyusun pentadbiran negeri secara telus dan demokratik.

Menteri Besar mahu memilih pegawai yang cemerlang dan komited serta non-partisan menjadi SUK. Nama-nama pegawai kerajaan yang dicadangkan menjadi SUK, bukannya datang dari orang politik. Ianya datang dari kalangan pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Apabila Umno-BN tahu kebanyakan pegawai-pegawai terbabit tidak memihak kepada mereka, lalu mereka terus by-pass kerajaan negeri kerana mengetahui kuasa melantik SUK di bawah kerajaan pusat.

Walaupun begitu, dari segi amalan demokrasinya, oleh kerana SUK akan bertugas di bawah MB, maka kebiasaannya MB mengetahui siapakah yang akan dilantik menjadi SUK, sebagai ketua kepada semua pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Namun di sinilah 'kurang ajarnya' Umno-BN. Mereka tidak mahu menghormati kerajaan yang sah, dipilih oleh majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Umno-BN tidak mahu menghormati demokrasi. Umno-BN mahu mensabotaj kerajaan negeri dengan mempergunakan pegawai-pegawai kerajaan untuk menjadi alat politik mereka.

Pelantikan Khusrin sebagai SUK tidak mempunyai asas kukuh selain kejayaannya menjadi alat politik Umno-BN semasa menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.

Khusrin didapati membelakangkan kerajaan negeri atas alasan beliau menjalankan titah Sultan. Hakikatnya bukan titah Sultan, tetapi titah pemimpin Umno-BN.

Khusrin melarang AJK Masjid dan Surau di seluruh Selangor menjemput Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (dan lain-lain ulama PAS) menyampaikan kuliah kerana, kedua Tuan Guru ini tidak mempunyai tauliah.

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din juga mengalami nasib yang sama. Semasa Khusrin menjadi Pengarah Jais di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Dr Khir Toyo, pernah diserbu beberapa kali (sehingga hendak ditangkap) dan dilarang menyampaikan kuliah atas dakwaan tiada tauliah.

Siapa Khusrin atau juak-juak Umno di Selangor hendak mempertikaikan kewibawaan agama alim ulama PAS?

Secara sinisnya penulis mahu menyebut, sebelum Khusrin kenal 'alif ba ta', belumpun pegawai-pegawai Jais yang diarahkan membuat larangan dan serbuan ini diberanakkan, tokoh-tokoh PAS ini sudah mengajar agama.

Siapa Khusrin yang hendak mempersoalkan keilmuan dan ketokohan mereka, jika tidak dibuat larangan kerana menurut kehendak politik Umno-BN?

Untuk menghalalkan tindakannya,Khusrin sering mempergunakan peraturan di bawah Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mensabitkan kesalahan mengajar tanpa tauliah boleh didenda RM3000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Inilah hasil kejahatan Khursin terhadap perkembangan agama Islam di Selangor, menjadi dalang kepada Umno-BN, sehingga dinobatkan menjadi SUK.

Pada pendapat penulis, ada dua analogi, sama ada Sidek atau Munir tidak mengetahui latar belakang Khusrin, atau kerana latar belakang itulah beliau dipilih.

Kita lihat pula, dalam kes yang membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Didakwa dengan jelas bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (semasa dalam tugasnya) memalsukan ujian DNA untuk memastikan Anwar dipersalahkan dalam mahkamah.

Untuk tujuan apa Gani dan Musa terbabit dalam pemalsuan ini? Bukankah ianya ada tujuan politik dengan mengikut nafsu serakah pemimpin Umno-BN yang diketuai oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu?

Bukankah tindakan ini membuktikan mereka selaku pegawai kerajaan, menjadi alat bagi memenuhi kehendak politik Mahathir, supaya dengan apa cara sekalipun, Anwar mesti dihukum.

Kes membabitkan Anwar juga memperlihatkan bagaimana kegelojohan pemimpin Umno-BN, melantik Hakim lompat dari jawatan yang junior terus naik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, seperti Dato' Augustine Paul.

Hakim Paul terkenal dalam sejarah perundangan negara kerana kerap mengeluarkan keputusan menolak fakta-fakta dari pasukan peguambela Anwar. Beliau sering mengucapkan ungkapan irrelevant (tidak relevan) setiap kali tidak bersetuju dengan peguambela.

Dalam perbicaraan kes kedua Anwar, Hakim Dato' Ariffin Jaka juga begitu. Beliau juga dilihat menjadi alat kepada Umno-BN.

Ramai hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak diyakini kredibiliti mereka selepas banyak kes yang meragukan.

Gelagat hakim jika hendak ditulis begitu banyak. Ada hakim yang dibayar perjalanan ke luar negara, semuanya disenyapkan. Kes melibatkan VK Lingam juga disenyapkan.

Malah sistem perundangan negara menjadi kucar kacir dan tidak lagi dipercayai rakyat selepas berlakunya pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Semua ini berlaku akibat jenayah pemimpin Umno-BN. Mereka mempergunakan semua aspek dalam perjawatan kerajaan untuk kepentingan politik.

KSN, SUK, IGP, AG, Hakim, Polis semuanya dijadikan 'hamba-hamba' politik Umno-BN. Demi jawatan, pangkat, kesenangan dan kepentingan diri, mereka-mereka yang dibayar gaji oleh rakyat, untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama, sudah terjebak menjadi pelacur-pelacur politik yang durjana.

Apakah semua pegawai-pegawai kerajaan ini berfikir bahawa rakyat akan mempercayai mereka? Mempercayai tindakan mereka tidak berasaskan kepada kepentingan politik Umno-BN?

Pakatan Rakyat harus bertekad membersihkan sistem pentadbiran negara dari manusia spesies seperti ini. Kita harus bertekad, sesiapa sahaja yang jelas, secara terbuka menjadi balaci Umno, jika kita memerintah nanti, mereka ini dahulu akan 'dikerat' dari kerajaan.

Tekad ini bukan tekad pemimpin Pakatan Rakyat sahaja, ia adalah aspirasi dan kehendak rakyat, iaitu membersihkan sistem pentadbiran negara dari tangan-tangan kotor Umno-BN, seterusnya mengembalikan sistem demokrasi ke landasan yang sebenar.

Justeru tiada label atau gelaran yang sesuai untuk mereka-mereka ini, selain daripada menyamakan mereka dengan watak-watak yang dipaparkan oleh Dato' Shahnon Ahmad dalam novel SHIT dan satira karya Yahaya Ismail bertajuk Maharaja Beruk suatu ketika dahulu.

Selamatkan Malaysia dari kedurjanaan mereka!

Wednesday, January 05, 2011

Biar Khusrin 'macam cacing kepanasan'

KERAJAAN Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah 'titah tuanku' (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan 'hasrat beliau' tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi Setpol MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan 'track record', Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi 'key player' Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Dato' Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak 'di atas nasihat' PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak 'memekik melolong' dengan pekikan 'Daulat Tuanku', sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang 'menelanjangkan kehormatan' Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang 'menelanjangkan' kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah 'hulubalang' yang mempertahankan Raja.

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu 'back-fire' kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis 'muka tebal'. Biar dia macam 'cacing kepanasan', biar dia macam 'kupang tembaga', biarpun dia terus tersengih macam 'kerang busuk', Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri.

Sunday, January 02, 2011

Siapa dalang Umno-BN di Istana Selangor?

RAKYAT mahu tahu siapakah yang bercakap benar, sama ada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani atau Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin dalam isu pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Pelantikan Khusrin diumumkan oleh Munir Bani, selepas mendakwa, ianya dibuat selepas mendapat perkenan Sultan.

Manakala Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan rakan-rakan pimpinan kerajaan negeri, menolak Khusrin kerana pelantikan dibuat tidak dirujuk kepada beliau.

Khalid berkata beliau sudah mempunyai beberapa nama untuk dikemukakan bagi menggantikan Dato' Ramli Mahmud, yang sepatutnya hanya tamat bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 20 Mac 2011.

Namun Munir Bani mendakwa, Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawtan SUK tersebut.

Faekah dalam kenyataan balas kepada Munir menegaskan, tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan SUK perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu.

Tambahan pula, Kerajaan Pakatan Rakyat masih mempunyai banyak masa, kerana tugas SUK Ramli Mahmud hanya tamat Mac nanti.

"Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka.

"Isu Dato' Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum Umno mengumumkan Dato' Seri Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor," kata Faekah.

Menurut Faekah, kerajaan Selangor telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Dato' Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis kerajaan negeri iaitu Dato' Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.

Panel Pemilihan katanya telah menyenarai pendek calon-calon dan pada 17 Disember 2010, MB telah mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Justeru, ada beberapa persoalan pokok yang harus dirungkaikan akibat dari kemelut ini. Pertamanya, siapakah yang melantik Khusrin ke jawatan SUK?

Kedua, mengapakah Khusrin yang terkenal dengan kontroversi, dan dilihat menjadi pencacai Umno-BN dilantik secara tergesa-gesa?

Ketiga, walaupun dikatakan pelantikan Khusrin dan kakitangan kerajaan negeri pada jawatan tertentu di bawah kuasa Kerajaan Pusat, apakah Umno-BN tidak mengiktiraf MB Khalid sebagai ketua negeri yang sah disisi Perlembagaan?

Keempat, jika perkenan Sultan diperlukan dalam pelantikan SUK, apakah dari segi amalan, SUK mengangkat sumpah menerima tugas, dihadapan Sultan atau MB?

Kelima, nama-nama calon SUK sudah dipersembahkan pada 17 Disember 2010, mengapakah calon tersebut tidak dipertimbangkan?

Nampak sangat ada dalang-dalang tertentu dari PWTC cuba untuk mencetuskan masalah di Selangor.

Mereka tahu Khusrin adalah balaci untuk mengorek rahsia-rahsia kerajaan, seterusnya boleh menyalurkan maklumat untuk kepentingan Umno-BN.

Nampaknya Umno-BN cuba untuk mencetus krisis di Selangor sebagaimana berlaku di Perak, dengan berselindung di sebalik istana.

Modus operandinya sama. Iaitu dengan
memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menderhaka kepada titah Sultan.

Tiada jalan lain untuk mencetuskan permusuhan yang dihasilkan daripada kebencian dengan mengunakan institusi Raja.

Jalan mudah untuk memperalatkan rakyat ialah dengan mengatakan pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja.

Istana juga kadang-kadang harus diperingatkan. Dakyah yang dimainkan Umno amat berbahaya. Ia boleh mencetuskan ketegangan kaum, khususnya orang-orang Melayu.

Raja-Raja Melayu, seharusnya berada 'above' (melangkaui) orang-orang politik, adil dan tidak memihak.

Sudah berulangkali diingatkan bahawa dalam sejarah negara yang merosakkan kedaulatan dan institusi Raja adalah pemimpin Umno-BN.

Pemimpin Pakatan Rakyat tiada rekod derhaka. Yang menderhaka dan 'membinatangkan' Raja, adalah pemimpin Umno, sebagaimana yang berlaku di Terengganu.

Ini berbeza dengan pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor. Sama ada daripada PAS, KeADILan, mahupun DAP, mereka semuanya memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan.

Begitu juga rakyat Selangor yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama. Mereka mendaulatkan Raja dan mematuhi segenap aspek yang ada dalam Perlembagaan Negeri.

Semua ini adalah proses demokrasi yang menjadi teras kepada pemerintahan. Harus ada kerjasama semua pihak bagi memastikan peranan dan bidang kuasa masing-masing dihormati, memelihara proses demokrasi serta mendaulatkan keluhuran undang-undang.

Semua pihak harus sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah, pilihan majoriti rakyat menerusi pilihan raya.

Pakatan Rakyat adalah kuasa rakyat, kuasa majoriti rakyat. Umno-BN adalah golongan minoriti.

Oleh kerana itu dalam spesifik dalam soal SUK yang dibicarakan ini, majoriti rakyat menolak pelantikan Khusrin.

Kita menolak Khusrin kerana beliau adalah ejen Umno, balaci dan barua Umno. Elok dia letak jawatan, bertarung dalam pentas politik secara terbuka. Usah jadi pegawai yang menjadi 'duri dalam daging' kepada kerajaan.

Sebagai harapan kepada pihak berkenaan, lantiklah orang lain sebagai SUK. Lantik pegawai yang non-partisan, agar beliau dapat berkhidmat untuk rakyat Selangor dengan adil dan saksama.