Tuesday, July 28, 2009

Lawak rimba Umno menagih perpaduan dengan PAS


26 Julai, Bernama melaporkan - Langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat, berkata senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.

"Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik.

"Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah-langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di sini Ahad.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS dengan kerajaan pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Nik Abdul Aziz berharap perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan PAS sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, baru-baru ini, dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

Muhyiddin berkata: "Kita telah menyuarakan sejak awal dulu bilamana soal kerajaan perpaduan dibincangkan, walaupun kita tidak jelas kita telah memberi reaksi yang positif dan kita telah menyatakan kita sedia berbincang demi perpaduan negara dan umat Islam.

"Kalau pun ada perbezaan atau salah faham itu adalah adat manusia."

Beliau berkata mesyuarat MT Umno itu juga mungkin akan menentukan wakil parti itu untuk berbincang dengan pemimpin PAS.

"Kita tidak perlulah meletakkan agenda khusus dalam pertemuan awal itu yang akan membuka langkah permulaan apa-apa perkara yang kita boleh bincang secara bersama," katanya.

Ditanya sama ada Umno akan menghantar barisan pemimpin kanan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS itu nanti, Muhyiddin berkata pemimpin yang akan mewakili Umno akan dipilih oleh presiden parti.

"Kita berharap pertemuan itu akan menghasilkan sesuatu yang positif yang bukan sahaja membawa kebaikan kepada kaum Muslim tetapi juga rakyat keseluruhannya," katanya.



Umno memang parti pelawak. Lain tok guru cakap, lain yang dia faham. Budak sekolah rendah pun agaknya boleh faham dengan mudah apa maksud tok guru.

Tak kan Umno tak sedar bagaimana tegasnya sikap tok guru dalam menolak kerajaan perpaduan atau apa sahaja nama perpaduan dengan Umno.

Tok Guru bercakap dalam kerangka yang amat jelas. Beliau mahu kerjasama erat antara G to G. Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri. Tak ada kena mengena dengan hubungan PAS - Umno.

Kebetulan kerana buat masa ini Umno-BN menerajui kerajaan pusat, maka harus ada kerjasama G to G..untuk kepentingan rakyat jelata, bukan kepentingan individu atau parti politik tertentu.

Yang pemimpin Umno pergi tafsir begitu jauh untuk perpaduan Umno-PAS buat apa? Nampak sangat mereka ni kebulur atau kelapaq (kata orang utara) menagih kerjasama dengan PAS.

Tok Guru orang yang amat arif dan faham dengan perangai Umno, umpan yang dipasang, tidak akan sama sekali mengena PAS, insya Allah.

Monday, July 20, 2009

Kejutan buat PAS di Manek Urai


Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang memberikan kemenangan kepada calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, menewaskan calon Barisan Nasional daripada Umno.

Dengan kemenangan tipis ini, kerusi Dun Manek Urai kekal di tangan PAS, kesinambungan daripada mandat yang diberikan kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, penulis melihat keputusan ini sebagai wake-up call kepada PAS khususnya dan pada Pakatan Rakyat umumnya.

Dari segi rekod Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kelantan, PAS pernah menang di Dun Pulai Chondong (Machang) pada Januari 1997, tewas di Dun Semerak (Pasir Putih) pada Ogos 1997 dan tewas di Pengkalan Pasir (Pasir Mas) pada Disember 2005.

Keputusan di Manek Urai dianggap suatu kejutan kerana ia merupakan kubu tradisi PAS sejak PRU pertama lagi.

Manek Urai kekal di tangan PAS lebih 40 tahun dan PAS hanya tewas pada PRU 2004 dengan hanya 53 undi. PAS merampas kembali kerusi Dun pada PRU 2008 dengan majoriti 1352. Kali ini PAS kekal dengan majoriti yang amat tipis.

Kejutan ini mengajak kita untuk meneliti beberapa aspek terutamanya yang berkait rapat dengan pemilihan calon, strategi, sasaran dan keberkesanan kempen.

Kejutan ini berlaku di saat PAS memasuki PRK Manek Urai, dengan kesepaduan jitu di kalangan Pakatan Rakyat dan keampuhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kesepaduan dan semangat bekerja yang tinggi di kalangan ahli dan penyokong PAS mendorong PAS untuk mendominasi kempen PRK Manek Urai. Dari sudut propaganda setempat jentera PAS menguasai keseluruhan kempen sehingga menyebabkan jentera BN tenggelam.

Jentera BN dilihat berfungsi dan tampak hebat hanya melalui propaganda media cetak dan media elektronik arus perdana yang dikuasai mereka.

Analisis fakta pengundian

Calon PAS, Mohd Fauzi Abdulah mendapat 5347 undi menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang memperolehi 5283 undi dengan majoriti 64 undi. Ada 92 undi rosak daripada 10722 pengundi yang keluar mengundi. Peratus keluar mengundi juga tinggi iaitu 87.22 peratus.

Daripada fakta dua PRU lepas, pada 2004 Calon BN Zulkepli Omar mendapat 4362 undi menewaskan calon PAS Ustaz Mohd Zamzuri yang memperolehi 4309, majoriti 53 undi.

Pada PRU 2008, calon PAS Ismail Yaakub memperolehi 5746 undi menewaskan Zulkepli Omar yang mendapat 4396, dengan majoriti 1352 undi.

Beza antara dua PRU (2004 dengan 2008), calon PAS memperolehi peningkatan 1437, manakala undi calon BN bertambah 34 undi.

Beza PRU 2008 dengan PRK Manek Urai cukup besar. Undi yang diperolehi Fauzi berkurangan 399 undi berbanding undi yang diperolehi Ismail.

Manakala undi calon BN, Tuan Aziz, meningkat sebanyak 887 undi berbanding undi yang diperolehi Zukepli pada PRU 2008.

Fakta-fakta ini menimbulkan beberapa persoalan untuk dikaji kepimpinan PAS dari sudut dalaman, khususnya post-mortem yang bakal dilakukan oleh pihak Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Antaranya, ialah mengapa peratus pengundi keluar mengundi begitu tinggi berbanding beberapa pilihan raya lepas.

Mengapakah undi PAS merosot? Adakah ianya kerana faktor calon? Jika ianya faktor calon, mengapakah orang yang mengundi Ismail tidak mengundi Fauzi?

Adakah wujud faktor yang boleh diistilahkan sebagai sabotaj dari pihak-pihak tertentu, yang mungkin boleh menjejaskan potensi PAS meraih undi yang lebih tinggi.

Harus juga dikaji mengapa undi BN meningkat, adakah mereka mendapat undi dari pengundi yang dahulunya mengundi PAS, kini beralih mengundi Umno-BN? Atau barangkali wujud peningkatan kesedaran yang luar biasa iaitu pengundi yang tidak keluar mengundi pada PRU lepas, kini mengundi BN.

Atau juga mungkin terdapat pengundi-pengundi baru atau pengundi muda yang beralih menyokong BN?

Atau mungkin juga berlaku pemalsuan kad pengenalan pengundi yang nampaknya tidak dapat dihidu jentera pilihan raya PAS?

Bagaimana persepsi terhadap prestasi Najib

Kita boleh menolak Umno-BN dan mengatakan dalam tempoh 100 hari, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak yang negatif kerana kita mengukur kemampuannya dari kacamata kita.

Kita harus menilai prestasi Najib pada sudut pandangan awam, non-political ataupun golongan muda yang baru layak menjadi pengundi.

Pada tahap ini Pakatan Rakyat harus membuat kajian yang mendalam, sejauhmana penerimaan rakyat terhadap apa yang disifatkan sebagai wajah baru Umno-BN di bawah kepimpinan Najib.

Ini kerana rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu mempunyai sindrom kurang daya tahan pendirian.

Orang-orang Melayu, sifatnya suka beralah, lemah lembut, bersangka baik dan suka memberi peluang, khususnya kepada orang-orang baru seperti Najib

Ini terbukti apabila kemenangan memberangsangkan pakatan Barisan Alternatif pada PRU 1999 yang berjaya memenangi 45 kerusi Parlimen dan dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu, tersekat pada PRU 2004.

Pada ketika itu, rakyat seolah-olah terpukau dengan penampilan baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang baru beberapa bulan mengambil alih jawatan PM daripada Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

Rakyat ketika itu seolah-olahnya melupakan salahlaku BN dan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat sepanjang 22 tahun memerintah, hanya kerana hendak memberi peluang kepada orang baru.

Justeru apakah fenomena ini barangkali tidak boleh berulang pada PRU ke 13 nanti?

Sudah tentu boleh, kerana pengundi di Manek Urai yang 99 peratus Melayu, memberikan signal yang jelas bahawa mereka mahu memberi BN peluang.

Mereka seolah-olahnya terpukau dengan kata-kata, 'kalau beri BN menang pun bukan boleh jatuh kerajaan Tok Guru', 'Berilah BN menang, boleh dapat jambatan baru, nanti PRU ke 13 kita undi PAS balik' dan sebagainya.

Pemikiran sebegini amat berbahaya, jika ia wujud sehingga PRU ke 13, nescaya akan mengulangi nasib yang menimpa pakatan pembangkang pada 2004.

Menilai taktik dan strategi BN

PAS sebagai parti pembangkang yang paling matang dan berpengalaman selama 12 kali PRU dan banyak menyertai PRK seluruh negara, sepatutnya sudah cukup masak dengan taktik dan strategi BN.

Sejak turun-temurun BN mengamalkan pelbagai taktik yang tidak boleh dinafikan keberkesanannya, kerana mereka berjaya mengekalkan kuasa sehingga lebih 50 tahun.

Antara taktik yang mereka gunakan ialah menggunakan jentera kerajaan secara berleluasa, propaganda dan penipuan media, menyogok rakyat sama ada dalam bentuk wang atau pun pembangunan, memeras ugut pengundi, membuat provokasi untuk memburuk-burukkan lawan, menggunakan pengundi-pengundi hantu dan sebagainya.

Selain media massa arus perdana yang sering menjadi menerap doktrin Umno-BN, kita juga sedar bahawa mereka turut disokong dengan gerakan inteligen, sama ada perisik tentera atau Special Branch yang sentiasa setia kepada Umno-BN.

Semua taktik dan strategi ini barangkali sukar untuk berkesan bagi Umno-BN ketika menghadapi PRU, kerana pemimpin-pemimpin terpaksa menumpukan kepada kawasan mereka secara individu.

Sebaliknya, taktik ini boleh berkesan, khususnya dalam Dun yang sekecil Manek Urai dengan hanya 12 ribu pengundi.

Jika dibandingkan dengan penguasaan dan gerak kerja pilihan raya, BN jauh ketinggalan berbanding PAS.

Jentera BN hampir tidak kelihatan, kereta-kereta yang memakai lambang BN boleh dikira dengan jari. Di sepanjang jalan Kuala Krai ke Gua Musang, didominasi oleh PAS, kereta dan motorsikal yang berlambangkan PAS bertebaran di serata jalan.

Namun kadang-kadang penguasaan iklim kempen ini tidak diterjemahkan dalam bentuk undi. Dari segi suasana di Manek Urai, memang PAS kuasai, tetapi Umno-BN nampaknya lebih fokus dan membuat sasaran yang tepat.

Sama ada Umno-BN merasuah pengundi, memeras ugut dan sebagainya, ia bukan alasan yang tidak diketahui. Soalnya apakah iman dan pegangan pengundi Manek Urai begitu rapuh sehingga undi mereka boleh digadaikan?

Maka pada penulis, tidak dinafikan ada di antara taktik-taktik itu BN itu dapat dikekang, ada yang juga tidak dapat, malah kadang-kadang tidak dapat dikesan langsung.

Langkah memuhasabah PAS

Untuk jangka panjang, kita tidak harus mudah mengutarakan kata-kata yang hanya 'buat penyedap hati' bahawa ini hanya PRK, PRU nanti kita akan menang lebih besar.

Kita tidak seharusnya bersikap apologetik dengan keputusan PRK yang tidak memihak sebagaimana yang dikehendaki.

Sudah tentu BN tidak akan menang atau bertambah undi jika mereka tidak melakukan penipuan. Itu rahsia umum yang kita sudah ketahui.

Justeru, orang-orang PAS juga harus dididik supaya tidak terpesona atau syok sendiri dengan ramainya pengunjung ceramah-ceramah PAS atau pun banyaknya kenderaan yang mengibarkan bendera PAS di serata jalan raya.

Mewar-warkan syiar memang penting, tetapi jangan sehingga kita terlalai dari tanggungjawab untuk menarik seberapa banyak undi buat calon PAS.

Oleh itu, daripada mereka bertebaran mengibarkan bendera PAS atau membunyikan hon tanda sokongan terhadap PAS, lebih baik mereka masuk ke kampung-kampung bertemu dengan pengundi.

Pada saat ini kepimpinan PAS harus memperkukuhkan dan mengembalikan sokongan di kalangan rakyat, khususnya dari kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam, yang kelihatannya sedikit terhakis.

Sejak beberapa kali PRU lepas, PAS sudah berjaya memenangi kawasan Melayu-Islam yang didominasi Umno.

Rakyat sudah mula meletakkan keyakinan untuk PAS menggantikan Umno-BN, kerana PAS adalah sebuah parti yang mempunyai ideologi serta doktrin perjuangan yang jauh lebih baik daripada Umno.

Jika PAS mahu berjaya, keyakinan ini harus dipupuk sehingga PRU ke 13 dengan sebaik-baiknya.

Sunday, July 19, 2009

SPRM calarkan imej Najib



Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak cuba untuk memulakan langkah 100 harinya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan apa yang disifatkan sebagai insentif dan faedah kepada rakyat Malaysia.

Insentif ini dikemukakan dengan tujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah PM yang lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang 'dipaksa' melepaskan jawatan akibat prestasi buruk Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.

Sebaik mengangkat sumpah, Najib memperkenalkan KPI (Key Performance Index atau Petunjuk Prestasi Utama) bagi mengukur dan menilai prestasi setiap Menteri diikuti dengan penilaian prestasi Kementerian, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.

KPI ini pada aspek pengurusan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mempertingkat ketulusan, kesungguhan dan keberkesanan seseorang Menteri atau agensi yang berkaitan.

Kononnya jika KPI dapat dilaksanakan sebaiknya, tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dapat dipertingkatkan.

Seterusnya Najib memperkenalkan konsep One Malaysia, khusus untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu yang semakin terhakis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Umno-BN sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat.

Kemudian Najib menyusuli langkahnya dengan membuat 11 pengumuman mesra rakyat yang dibuat bersempena genap 100 hari beliau menjadi PM, 12 Julai lepas.

Najib juga turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan Najib dengan tujuan untuk memurnikan persepsi rakyat terhadap kepimpinan barunya, tercalar dan dipertikaikan rakyat akibat kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh merupakan Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor dari DAP, Ean Yong Hian Wah, disoal siasat SPRM berhubung dengan dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri.

Kematian Teoh membuka persoalan yang sangat besar, bukan sahaja kematiannya menjadi suatu misteri yang harus disiasat dengan seadil-adilnya.

Malah, ianya membuka mata rakyat terhadap SPRM, yang sejak keujudannya gagal menampilkan imej sebagai sebuah badan professional, telus dan terkecuali daripada pengaruh pemimpin kerajaan Umno-BN.

Tindakan SPRM menyiasat dakwaan salahguna peruntukan Dun oleh Adun Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu tindakan yang bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan parti komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya SPRM langsung tidak memperdulikan, malah tidak langsung mengambil tindakan ke atas aduan rasuah yang dibuat terhadap ramai ahli politik Umno-Barisan Nasional terutamanya Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dan yang terlibat dalam skandal PKFZ.

SPRM menunjukkan bahawa ia berperanan dan berfungsi sebagai alat Umno-BN untuk mencabuli kebebasan individu, autonomi rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan konsep Federalisme yang kesemuanya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

SPRM hanya membuktikan bahawa semua langkahnya bermotifkan politik, dengan tujuan untuk melindungi parti perasuah yang terbesar dalam negara iaitu Umno yang terkumpul di dalamnya penjenayah rasuah politik wang.

Imej Najib sudah tercalar dengan buruk, langkah 100 harinya begitu sumbang dan tersasar. Belum lagi KPI terlaksana, sudah wujud tanda-tanda kerapuhan kerajaan Umno-BN.

Usaha untuk memalitkan imej negatif terhadap Pakatan Rakyat akan terus gagal kerana Najib, Menteri-menteri, agensi kerajaan, Umno dan BN terus melakukan kesilapan yang semakin menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran.

Monday, July 13, 2009

One Malaysia yang kabur lagi keliru

Sebaik sahaja Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggalas tugas sebagai Perdana Menteri ke enam Malaysia, lantas beliau memperkenalkan konsep One Malaysia atau Satu Malaysia.

Tidak jelas apakah tujuan sebenar konsep One Malaysia diperkenalkan. Secara umumnya ia adalah satu gagasan baru yang diperkenalkan kepada rakyat Malaysia, kononnya untuk mencapai kesepaduan dan kesamarataan dalam pelbagai bidang.

Lalu, para juak-juak kerajaan Umno-BN, tanpa memikir dan memahami apakah sebenarnya One Malaysia, terus mencanang dan mewar-warkannya, kononnya ia adalah konsep terbaik yang harus diterima oleh rakyat Malaysia.

Hakikat sebenarnya pemimpin-pemimpin Umno-BN sendiri tidak jelas dan tidak tahu apakah maksud sebenarnya One Malaysia. Mereka mencanang dan menyokong One Malaysia kerana ianya merupakan idea yang dicetuskan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

Kerana sudah menjadi tradisi Umno-BN, untuk menjadi 'pak angguk' dan 'pak turut' kerana takutkan kuasa yang ada pada seorang yang bernama PM, walaupun kemungkinan langkah yang diambil merugikan rakyat.

Tindakan mereka ini hanya menambah kekeliruan di kalangan rakyat. Rakyat tertanya-tanya apakah selama ini rakyat Malaysia tidak bersatu padu sehingga BN terpaksa mengemukakan satu konsep yang baru.

Apakah langkah yang bertujuan perpaduan diperkenalkan selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang kuasa di beberapa buah negeri?

Apakah rakyat dianggap berpecah belah hanya kerana mereka tidak lagi mahu memberikan sokongan dan mandat kepada BN?

Yang berpecah belah dan ditolak rakyat sebenarnya ialah Umno-BN. Najib sepatutnya membuat reform untuk memperbaiki Umno dan BN terlebih dahulu.

Walaupun Najib mendapat mandat besar sebagai Presiden Umno, namun beliau tetap gagal menyatupadukan Umno. Ramai orang-orang Umno semakin kecewa dengan parti. Lantas mereka menyertai Pakatan Rakyat.

Najib sebagai Pengerusi BN juga gagal untuk mengawal parti seperti MCA yang sentiasa diselubungi dengan kesangsian dan berbelah bahagi sama ada untuk kekal atau keluar daripada BN.

Parti MIC juga sentiasa mendesak BN lantaran presiden dan pemimpin utamanya diketepikan daripada arena politik negara.

Parti Gerakan juga, selepas tewas besar di Pulau Pinang, terus bercempera walaupun presidennya diberi tugas besar di peringkat nasional.

Najib nampaknya tidak mempunyai fokus yang jelas terhadap corak pemerintahannya. 100 hari beliau menjadi PM, lebih banyak mengundang negatif daripada positif.

Justeru, daripada beliau memperkenalkan One Malaysia, hanya sebagai gula-gula kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan bukan Melayu yang menolak Umno-BN, lebih baik beliau memperkenalkan konsep One-Umno atau One BN.

One Malaysia hanyalah sebuah ideologi baru atau fahaman baru yang bakal menjejaki nasib seperti konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi PM dahulu.

Islam Hadhari sudah dilupakan oleh rakyat Malaysia, One Malaysia bakal menjejaki nasib yang sama.

Ianya bakal menjejaki nasib dasar PPSMI yang diperkenalkan PM ke empat, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, yang banyak menyusahkan rakyat, daripada membawa kebaikan.

Islam Hadhari, PPSMI dan One Malaysia hanyalah bermotifkan politik, dicanang dan dilaksanakan dalam waktu yang singkat tanpa memikir implikasi yang sebenarnya kepada rakyat.

Ianya adalah sebuah retorik seorang PM, yang dicanangkan hanya untuk meraih populariti selepas imej parti yang menunjangi kerajaan tercalar teruk sehingga ditolak rakyat.

Hakikat sebenarnya ialah, kepercayaan terhadap kemampuan BN memerintah negara sudah semakin pudar dihati rakyat.

Rakyat sudah beralih arah kepada Pakatan Rakyat, sebagai platform baru untuk membawa keharmonian, kesejahteraan dan kebajikan untuk semua rakyat.

Wednesday, July 08, 2009

Tunaikan mandat rakyat dengan cara yang betul

Rakyat memberikan mandat besar dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional, bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Mandat dan kepercayaan ini diberikan kerana rakyat sudah semakin muak dengan pemerintahan Umno-BN yang mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Dalam tempoh 50 tahun pemerintahan Umno-BN, amalan ini semakin berleluasa sehingga pemimpin-pemimpin Umno dari peringkat Majlis Tertinggi sehingga ke peringkat cawangan, kebanyakkannya hidup mewah dan kaya raya.

Rakyat menolak Umno-BN kerana dengan kuasa politik, mereka memanipulasi sistem kehakiman negara. Membuat dakwaan terpilih dan melepaskan sebahagian besar pemimpin Umno-BN walaupun didapati bersalah mengamalkan jenayah rasuah politik wang.

Rakyat semakin muak dengan Umno-BN, kerana mereka tidak tahu mengurus ekonomi negara dan negeri dengan cara yang betul.

Dakwaan terhadap Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo terhadap kos pembinaan banglo termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar itu, mencecah RM24 juta, hanyalah satu cebisan daripada jenayah rasuah pemimpin Umno.

Bukan sahaja Khir, malah Menteri-Menteri Besar di kalangan Umno yang lain juga, sering didakwa terbabit dengan penyelewengan harta rakyat termasuk dalam isu balak dan tanah.

Umno-BN juga ditolak rakyat kerana mengamalkan politik perkauman yang sempit dan sering memanipulasikan sentimen perkauman demi kepentingan politik mereka.

Bagi orang-orang Melayu, kerajaan yang dikuasai Umno-BN menyempitkan fungsi bahasa dan budaya bangsa serta merendahkan tahap akademik rakyat melalui perlaksanaan PPSMI.

Elemen-elemen penolakan rakyat terhadap penguasaan dan hegemoni Umno-BN terlalu banyak untuk dinukilkan.

Kejahatan dan kedurjanaan Umno-BN terhadap negara dan rakyat terlalu banyak sehingga rakyat kebanyakan sudah tidak mahu menerima mereka sebagai peneraju negara.

Hanya segelintir rakyat yang masih terjerat dengan permainan dan manipulasi media sahaja yang masih memberi sokongan kepada Umno-BN.

Justeru inilah masa yang terbaik untuk Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai enam negeri dalam PRU ke-12 untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat boleh memerintah dengan baik, adil dan saksama.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menghentikan sebarang retorik, sebaliknya membongkar segala penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN sebelum ini.

Selain itu, kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mestilah tidak mengamalkan apa yang diamalkan oleh Umno-BN sebelum ini.

Pakatan Rakyat mesti bersih daripada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme. Mestilah mengagihkan kekayaan dan sumber negeri secara adil kepada rakyat yang benar-benar layak memilikinya.

Manakala pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang diberi amanah memegang kuasa eksekutif di peringkat negeri, mestilah mencontohi stail kehidupan dan pemerintahan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang penuh dengan kesederhanaan.

Pemimpin Pakatan Rakyat hendaklah mengelakkan daripada amalan pembaziran dan hidup mewah, kerana tidak mahu rakyat menuding jari menyamakan Pakatan Rakyat dengan BN dikemudian hari.

Pakatan Rakyat juga mestilah menghentikan pertikaian dalam isu picisan seperti isu babi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Yang paling penting Pakatan Rakyat mesti membezakan cara pentadbiran dan pemerintahannya dengan Umno-BN.

Jika kita memahami mengapa Umno-BN ditolak rakyat, maka mulai dari sekarang, kita seharusnya memperlengkapkan diri untuk menerajui negara dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari Umno-BN.

Monday, July 06, 2009

Pakatan Rakyat masuk perangkap BN?

TIDAK pernah dalam sejarah politik Malaysia, parti-parti pembangkang diberikan kepercayaan sebegini besar, menafikan majotiti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen, sekaligus menang di enam negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.

Hasil daripada kepercayaan atau mandat rakyat kepada parti-parti alternatif PAS, KeADILan dan DAP, maka pihak kepimpinan membuat keputusan menggabungkan ketiga-tiga parti secara serius, dengan mengemukakan suatu gagasan baru Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat terbentuk hasil aspirasi rakyat, yang mahukan suatu front baru bagi menggantikan BN dalam PRU ke 13, yang akan diadakan dua atau tiga tahun lagi.

Hasil inisiatif kepimpinan yang mendapat dorongan rakyat, maka terbentuk kerajaan-kerajaan negeri gabungan ketiga-tiga parti, pada dasarnya berlainan fahaman dan ideologi, tetapi mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk menumbangkan BN.

Menggabungkan pelbagai pihak yang komited dengan asas penubuhan parti dan matlamat perjuangan, yang berbeza di antara satu sama lain sememangnya sukar.

Sama seperti BN yang ditunjangi Umno. Mereka sering berbalah sesama sendiri, sama ada dalam Umno, dengan MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain parti. Perbalahan ini nampaknya berterusan dan sukar dibendung.

Dalam apa keadaan pun, Pakatan Rakyat harus sedar bahawa gabungan dalam bentuk sebegini, memang mempunyai risiko yang tersendiri.

Pakatan sebegini rupa boleh 'koyak' jika ada kalangan pemimpin yang enggan bertolak ansur atau meletakkan kepentingan tertentu, terkehadapan daripada matlamat bersama, iaitu untuk menumbangkan BN.

Mereka yang menjadi pemimpin, khususnya di kalangan yang bergelar wakil rakyat, tidak seharusnya merasakan diri mereka terlalu besar dan berkuasa.

Tiada sesiapa yang naik dan bergelar sebagai pemimpin atau YB, tanpa sokongan ahli dan rakyat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Mereka jangan terlalu taksub dengan apa yang disifatkan sebagai kekuatan individu atau parti tertentu.

Di zaman millienium ini, pemimpin tidak boleh dictate dan merasakan tindakannya betul. Mereka harus mengambil kira pandangan ramai. Ingatlah, pemimpin bukan semuanya betul, kadang-kadang mereka harus 'diketuk' juga.

Walaupun Pakatan Rakyat memenangi hampir semua pilihan raya kecil yang diadakan, pemimpin tidak harus terleka dan jangan terlalu yakin.

Kelekaan dan over confident inilah, yang selalunya memakan diri. Ianya membawa kepada kesilapan dan kelalaian.

Pakatan Rakyat leka dan lalai dalam menilai keupayaan BN memanipulasi kelemahan dalaman Pakatan Rakyat.

Kelalaian ini juga yang menyebabkan Kerajaan Negeri Perak terlepas dari Pakatan Rakyat.

Apakah pemimpin Pakatan Rakyat tidak sedar bahawa BN sedang merancang dan terus merancang hendak merampas beberapa buah negeri dan mengganggu pentadbiran negeri-negeri yang diterajuinya?

Apakah Pakatan Rakyat tidak sedar bahawa selepas Perak, Kedah dan Selangor menjadi sasaran BN?

Memang sehingga tahap ini, pemimpin Pakatan Rakyat kurang mempunyai kesedaran. Mereka jangan syok sendiri, jangan syok dengan kekuatan sendiri, sehingga menyangka mereka terlalu kuat dan berkuasa.

Malah pemimpin Pakatan Rakyat kadang-kadang berada di tahap yang jahil dengan permainan media pro BN, sehingga mereka sering bertelagah sesama sendiri melalui media massa.

Pemimpin-pemimpin ini, sama ada di peringkat negeri atau pun Pusat, terlalu syok dengan publisiti murahan, sehingga mudah menghentam sesama sendiri demi menegakkan kepentingan tertentu.

Pemimpin kadangkala tidak sedar, bahawa tindakan mereka telah menyebabkan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat berada dalam keresahan.

Pertelagahan terbuka di kalangan pemimpin, yang mungkin merasakan kepuasan dengan berbalah di media massa, hanya 'membuka pekung' Pakatan Rakyat.

Pertelagahan ini semakin memburukkan persepsi rakyat, sekaligus menjejaskan keyakinan mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah platform dan alternatif terbaik untuk menggantikan BN pada PRU ke 13.

Persepsi untuk mewujudkan pengganti BN dari kalangan parti-parti yang dianggap picisan oleh Umno sebelum ini, tidak akan wujud tanpa sokongan rakyat. Pemimpin harus bijaksana memahami aspirasi rakyat.

Mandat yang diperolehi oleh PAS, KeADILan dan DAP dalam PRU ke 12 amat besar. Sudah tentu mandat besar ini menggerunkan BN. BN sudah mendapat signal yang cukup jelas bahawa hayat mereka dalam politik Malaysia hampir tamat.

Pemimpin Umno-BN begitu sedar bahawa, rakyat sedang menggali kuburan untuk membenamkan mereka. Justeru mereka bertungkus lumus untuk menyelamatkan Umno-BN dan berusaha memulihkan keyakinan rakyat.

Usaha-usaha untuk memulihkan Umno-BN, berjalan serentak dengan usaha untuk 'membunuh' kredibiliti pemimpin Pakatan Rakyat dan mencetuskan masalah dalaman yang kelihatan parah.

Ingatlah, Umno-BN mempunyai cukup jentera dan inteligen, sama ada untuk merosakkan Pakatan Rakyat dari dalam dan dari luar. Usaha-usaha memecah belah ini adalah 'jarum-jarum' halus yang digunakan BN sejak sekian lama.

Dengan kebijaksanaan serta kekuatan memanipulasi dan mengeksploitasi inilah yang menyebabkan rakyat Malaysia 'terikat' dengan Umno-BN sejak sebelum merdeka lagi.

Amalan 'pecah perintah', 'pembunuhan karektor peribadi', 'melabel ekstrimis' dan sebagainya, adalah antara kejayaan Umno-BN menerapkan persepsi buruk rakyat terhadap parti-parti pembangkang.

Justeru, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat harus segera 'bangun dari tidur' dan mengeluarkan parti dari jerangkap samar BN.

Tolonglah fahami kehendak penyokong dan rakyat yang mahukan penyatuan dan keampuhan pakatan.

Hentikan sebarang perbalahan yang hanya membawa persepsi buruk kepada Pakatan Rakyat, yang hanya akan menjejaskan peluang pada PRU ke 13 nanti.

Maka, usaha pengukuhan perlu dilakukan segera. Kembali mencari titik kesepaduan dan berusaha memupuk di kalangan pemimpin memahami kerangka besar perjuangan Pakatan Rakyat.

Pemimpin, sebagai pemandu arah perjuangan, tidak boleh tersilap lagi. Jika mereka yang mengemudi bahtera perjuangan ini tersasar, mereka bukan sahaja 'membunuh' peluang Pakatan Rakyat, malah mengancam masa depan negara.

Mudah-mudahan muhasabah penulis diterima dengan hati dan minda yang terbuka.