Monday, November 29, 2010

Hipotesis 'Mat Jenin' BN

Selepas Barisan Nasional memenangi dua pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi, banyak hipotesis diungkap mengenai masa depan parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sehingga ada kalangan yang bertahap profesor, membuat andaian bahawa BN akan menang besar, manakala Pakatan Rakyat kononnya akan hancur kerana gagal menguasai Putrajaya.

Malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut sama menjangka BN di bawah PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak boleh mengekalkan kuasanya pada PRU ke-13, tetapi tidak mampu menang dengan majoriti dua pertiga.

Mereka menyangka keputusan Galas dan Batu Sapi mewakili keseluruhan rakyat Malaysia, yang kononnya sudah kembali menyokong BN.

Sebaik sahaja menang dalam dua PRK itu, mereka terus memalu gendang dan bersorak gembira serta memperlekehkan Pakatan Rakyat.

Rakyat di kawasan pedalaman yang mudah dipergunakan, dirasuah dan dipesongkan pemikiran mereka, menjadikan pemimpin BN terus mengigau kegirangan. Mereka sudah berangan seperti Mat Jenin.

Kemenangan tersebut menjadikan Umno-BN semakin angkuh. Mereka tidak henti-henti menyerang parti-parti dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Umno-BN bertindak mengadu-dombakan pihak tertentu dalam Pakatan Rakyat, terus-menerus menyerang Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Keangkuhan mereka semakin terserlah dengan usul yang dijangka dikemukakan di Parlimen pada pertengahan Disember nanti, untuk menggantung Anwar kerana mendedahkan kerjasama Umno dengan syarikat Yahudi APCO Worldwide.

Umno-BN dengan dokongan media talibarut, menggerakkan jentera sepenuhnya, untuk menjayakan propaganda jijik mereka.

Umno-BN sebenarnya cuba untuk meyakinkan diri mereka bahawa mereka masih berada dalam comfort zone (zon selesa). Mereka cuba untuk menutup pekung, hakikatnya mereka sedang bercempera dan caca marba, akibat kurang persefahaman di kalangan komponen BN.

Mereka cuba untuk menutup pekung bahawa rakyat tetap tidak menerima Umno-BN, kerana mereka gagal memulihkan kestabilan politik negara, lemah dalam memupuk kestabilan agama dan kaum.

Umno-BN cuba untuk memujuk diri mereka, bahawa mereka mampu memaju kemajuan negara, padahal rakyat mengetahui dengan jelas bahawa ekonomi negara semakin teruk menjunam.

Indikasi jelas dapat dilihat dengan ketiadaan pelaburan asing, kenaikan mendadak harga barangan keperluan, inflasi, kadar pengangguran dan kadar jenayah yang tinggi, serta tahap kemiskinan rakyat semakin teruk.

Umno-BN juga tidak mampu menyembunyikan fakta dari Laporan Audit Negara, bahawa keseluruhan negeri di bawah pimpinannya, begitu teruk dikritik Ketua Audit Negara, berbanding dengan negeri Pakatan Rakyat yang banyak mendapat pujian.

Salah laku dan salah urus Umno-BN amat banyak. Mereka tahu masa untuk mereka berkuasa sudah semakin hampir ke penamat. Oleh itu, mereka tidak ada jalan lain selain menutup mulut Anwar dan memusnahkan kredibiliti Pakatan Rakyat.

Jelas, di sebalik 'angan-angan Mat Jenin' BN, yang mendakwa yakin mengekalkan kuasa, tersirat ketakutan sebenar mereka terhadap Pakatan Rakyat.

Diakui tiada jalan singkat buat Pakatan Rakyat untuk menggapai kemenangan dan mendapat sokongan rakyat, selain membuktikan ia jauh lebih baik daripada BN.

Friday, November 26, 2010

Ahli bersekutu rancangan gagal Najib

IDEA kewujudan ahli bersekutu Barisan Nasional adalah semata-mata untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Ia merupakan antara langkah utama BN, untuk melebarkan sayapnya bagi menghindar kejatuhan kerajaan ke tangan Pakatan Rakyat.

Namun idea Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah gagal.

Gagal kerana ia tidak mendapat sambutan dari kalangan anggota komponen BN dan ia tidak dipersetujui sama sekali. Ia juga gagal kerana ia merupakan idea yang kabur dan kelam kabut. Yang bersetuju hanyalah media talibarut Umno-BN.

Difahamkan idea asal mengenai ahli bersekutu ini tercetus, akibat ramainya wakil rakyat lompat yang wujud dalam negara, selepas PRU ke-12 yang lalu dan juga kewujudan beberapa NGO yang bertentangan dengan beberapa buah parti komponen BN, tetapi jelas menyokong BN.

Asalnya keanggotaan ahli bersekutu adalah untuk memberi ruang kepada mereka-mereka ini bertanding atas tiket BN dalam PRU ke-13 nanti.

Malangnya, selepas dua hari PM Najib mengumumkan BN menerima ahli bersekutu, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor terpaksa membuat kenyataan pembetulan.

Tengku Adnan menjelaskan bahawa ahli bersekutu tidak boleh bertanding, kerana BN kekalkan syarat hanya wakil komponen sahaja yang menjadi calon pilihan raya mewakili BN.

Hakikat, persoalan yang timbul sekarang ini, mengapa Najib selaku Presiden Umno, terpaksa mengambil langkah yang penuh risiko dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu BN?

Bukankah langkah ini hanya menunjukkan bahawa BN berada dalam keadaan yang desperado sekarang ini?

Difahamkan idea asalnya, melalui ahli bersekutu ini, BN menjangkakan ia dapat menaungi kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang tidak mahu attach atau tidak diterima oleh mana-mana anggota komponen BN.

Walaupun langkah yang diumumkan Najib ini menyalahi konsensus BN, yang menetapkan persetujuan setiap komponen harus diperolehi, sebelum sesebuah anggota baru diterima, namun Najib cuba bulldoze.

Ada yang berpendapat tidak salah untuk BN mencuba idea memperkenalkan ahli bersekutu, namun yang dipersoalkan ialah, apakah rancangan ini semata mata untuk PRU sahaja atau untuk long term?

BN adalah entiti politik, individu atau NGO bagaimanakah yang hendak diterima sebagai ahli bersekutu?

Malangnya langkah yang diumumkan Najib ini nampaknya terpaksa diperbetulkan Tengku Adnan. Sebabnya ialah, anggota komponen BN sendiri yang tidak bersetuju dengan idea PM.

Dalam bahasa mudah, gagasan seorang PM yang mewakili Umno, ditolak anggota komponen BN. Ia menjadi sekadar idea, yang semakin melebarkan jurang antara Umno dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Dari segi tafsiran politiknya, jika idea seorang PM dan Presiden Umno ditolak, bermakna parti-parti komponen BN sudah tidak selesa lagi dengan dominasi Umno. Yang mereka mahu ialah equal right dan konsensus.

Ditimbulkan juga, dalam keadaan sekarang ini BN ada 14 komponen, jika tiga belas parti komponen selain Umno pun, susah untuk PM menjaganya, bagaimana kalau lebih ramai individu atau NGO yang masuk BN? BN akan menjadi lebih celaru dan cempera.

Timbul persoalan di kalangan anggotan komponen BN, apa tujuan individu atau NGO menjadi ahli bersekutu atau direct membership BN, jika tidak untuk tujuan menjadi calon pilihan raya?

Jika tidak untuk tujuan menjadi calon, mereka ini tidak perlu masuk BN, sebab mereka-mereka ini sudah menjadi penyokong tegar BN sejak azali.

Oleh sebab itu maka, kemungkinan besar ahli bersekutu ini akan tidak sehaluan dengan beberapa komponen BN tidak dapat ditolak.

Mereka yang duduk sebagai anggota komponen, penuh dengan kepentingan dan mereka yang mahu menjadi ahli bersekutu juga mempunyai kepentingan yang tertentu.

Sebabnya, jika mereka ini menjadi ahli bersekutu, jika mereka tidak mempunyai hak, penyertaan mereka dalam BN hanyalah sia-sia kerana, tidak mempunyai apa-apa makna.

Apa pun dalam isu ahli bersekutu ini ada NGO menunjukkan reaksi yang berbeza, ada yang menolak ada yang menerima.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) misalnya menyelar langkah BN dan berpendapat tindakan tersebut bertentangan dengan norma masyarakat demokratik.

Menurut Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz, NGO harus menjadi wadah agen suara marhaen yang menjadi check and balance kepada dasar-dasar kerajaan.

Manakala Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) setakat ini dilaporkan berminat berhubung tawaran BN itu.

Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan berkata, beliau akan menulis surat kepada Dewan Tertinggi BN, agar gabungan itu menyertai BN sebagai ahli bergabung.

Manakala dari sudut individunya, tekanan dalaman Umno dan komponen BN menyukarkan wakil-wakil rakyat lompat untuk bertanding pada PRU akan datang.

Setakat ini, masa depan Dato' Ibrahim Ali, Zahrain Hashim, Zuklifli Noordin, Wee Choo Keong, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzil Shamsuri, amat gelap.

Walau sehebat manapun mereka mengampu PM dan isteri, dalam ucapan-ucapan di Parlimen, mereka sukar untuk mendapat peluang sekali lagi sebagai calon pilihan raya.

Ke enam-enam Ahli Parlimen lompat ini boleh menjadi ahli bersekutu BN, tetapi tiada harapan untuk bertanding sekali lagi.

Hakikatnya, idea ahli bersekutu ini wujud semata-mata kerana BN hendak mempergunakan NGO atau individu terbabit meraih sokongan tambahan kepada BN.

Jika pun NGO atau individu lompat ini hendak bertanding, mereka boleh joint sahaja third force seperti geng-geng Dato' Zaid Ibrahim dan sekutu-sekutunya.

Maka boleh disimpulkan bahawa, menjelang konvensyen BN 4 Disember ini, Najib sudah mengambil langkah yang paling tidak popular dengan memperkenalkan pelan ahli bersekutu, yang ditolak komponen BN.

Langkah gamble ini hanya membuktikan bahawa BN berada dalam keadaan yang amat terdesak, dan Najib sendiri selaku PM, tidak mampu menolak tekanan dari kalangan komponen BN.

BN hari ini cuba menafikan bahawa mereka hanya tinggal 'nyawa-nyawa ikan'. BN dan sekutu-sekutunya harus sedar mereka akan tetap ditolak rakyat pada PRU ke-13 nanti.

BN hanya kelihatan kuat kerana media talibarut Umno-BN, yang dikerahkan bekerja siang dan malam untuk menjadi 'pak angguk' yang mengiyakan semua tindakan BN dan menutup segala kelemahan mereka.

Untuk mengalihkan persepsi rakyat mereka menggunakan media untuk menyerang Pakatan Rakyat habis-habisan.

Selepas lebih 30 bulan menyerang adakah mereka berhasil? Adakah Pakatan Rakyat goyah? Pakatan Rakyat terus ampuh dan didokong rakyat.

Oleh itu, elok juga cebisan akhbar talibarut BN yang makin tidak laku dikumpul, buat menutup 'bangkai gajah' BN selepas berakhirnya PRU ke-13 nanti.

Sunday, November 14, 2010

Masalahnya bila Zaid letak diri satu level dengan Anwar

APAKAH masalah yang dihadapi Parti KeADILan Rakyat hari ini, hanya masalah KeADILan semata-mata tanpa menjejaskan Pakatan Rakyat?

Apakah KeADILan akan goyah dan pincang dengan kemelut yang berlaku hari ini?

Berapa ramai agaknya yang akan keluar parti? Berapa banyak parti serpihan akan wujud daripadanya dan apakah kemelut dalaman KeADILan akan menjejaskan cita-cita Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

Inilah persoalan-persoalan yang berlegar di minda penyokong Pakatan Rakyat dan musuh-musuhnya sekarang ini. Persoalan inilah yang harus dileraikan seberapa segera.

Bukan soal mencampuri hal dalaman KeADILan. Ini bukan politik jaga hati. Tetapi jika kemelut dalaman KeADILan tidak ditegur dan diperbetulkan, ianya akan menjejaskan masa depan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.

Malah PAS dan DAP juga harus memperhalusi apa yang berlaku dalam KeADILan, takut-takut nanti masalah yang sama akan menjangkiti mereka pula.

Peranan KeADILan, sama dengan PAS dan DAP. Ia harus mantap untuk saling bekerjasama dengan PAS dan DAP, bagi menumbangkan Barisan Nasional pada PRU ke-13 nanti.

Masalah yang tercetus ialah apabila KeADILan, yang mahu dan sedang berusaha memurnikan sistem kepartiannya ke arah yang lebih demokratik, terdedah kepada manipulasi dan fitnah adu domba media talibarut Umno-Barisan Nasional.

Manipulasi dan fitnah timbul dengan begitu rancak berpunca daripada wujudnya di kalangan ahli dan pemimpin yang tidak berdisiplin. Mereka tidak berdisplin kerana, mereka secara terbuka melakukan tindakan-tindakan yang merosakkan parti.

Secara umumnya, kewujudan anasir-anasir sebegini wujud, kerana KeADILan masih mempunyai sistem disiplin yang agak longgar.

Dari segi faktanya, menurut Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, parti tersebut didokongi oleh 400,000 anggota dan 218 cabang. Secara pecahannya, keahlian KeADILan terdiri daripada 50 peratus Melayu: 23 peratus India: 12 peratus Cina : 15 peratus etnik Sabah dan Sarawak.

Dari segi sokongan mengikut pecahan umur, lebih 42 peratus anggotanya terdiri dari kalangan yang berumur di bawah 40 tahun.

Secara keseluruhannya, KeADILan merupakan sebuah parti baru, mempunyai pertapakan yang kuat dalam negara. Peranannya dalam politik Malaysia sukar untuk diketepikan, sama ada ia berkait dengan perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim atau tidak.

Secara rasionalnya kita harus berfikir, apakah dengan kemelut dalaman dihadapi KeADILan sekarang, boleh meruntuhkan seluruh struktur dan organisasinya?

Apakah pendukung-pendukung tulen KeADILan, 1998 hingga sekarang, rela membenarkan parti yang sudah diiktiraf rakyat itu musnah?

Pada waktu ini, sukar untuk memusnahkan KeADILan kerana parti itu ada brand name tersendiri. Brand name KeADILan adalah Anwar Ibrahim.

Fakta yang tidak harus ditolak ialah, KeADILan wujud kerana Anwar Ibrahim. Sama ada dia jadi Presiden atau tidak, sama ada dia di penjara atau tidak. Anwar tetap diiktiraf sebagai de facto leader.

Tidak semua orang boleh mencapai kedudukan seperti Anwar. Dalam politik Malaysia, selain Anwar, hanya Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang dapat menyatupadukan parti-parti pembangkang. Itu pun dalam tempoh yang singkat iaitu 1989-1996 sahaja.

Itu pun Tengku Razaleigh tidak mengalami tekanan dan fitnah sehebat Anwar. Walaupun pernah mengetuai barisan pembangkang, beliau tetap dihormati dan tidak pernah dihina, disepak atau dipukul seteruk yang dialami Anwar.

Secara faktanya, walaupun Anwar diserang dengan serangan yang amat dahsyat, beliau masih boleh survive. Bagi pemimpin-pemimpin politik yang ada sekarang ini, jika mereka menerima tekanan, sedahsyat yang Anwar terima, apakah mereka yakin mereka boleh sustain?

Inilah barangkali masalah yang tidak difahami oleh rakan penulis yang bernama Dato' Zaid Ibrahim. Pada hemat penulis Zaid telah mengambil langkah yang silap dalam berpolitik.

Beliau silap kerana cuba meletakkan dirinya satu level Anwar. Hari ini orang bertanya siapa dia Zaid Ibrahim yang mendakwa beliau boleh memimpin KeADILan lebih baik dari Anwar?

Hari ini orang bertanya, siapa Zaid Ibrahim yang beriya-iya mendesak Anwar berundur?

Jelas, serangan terbuka Zaid terhadap Anwar sedikit sebanyak menjejaskan persepsi baik kalangan penyokong KeADILan dan Pakatan Rakyat sendiri terhadap beliau.

Masalahnya di sini, bukan soal Zaid tidak berpuashati dengan undi yang diterima oleh Mohamed Azmin Ali dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Masalahnya ialah, Zaid masih baru dalam politik KeADILan. Walaupun Zaid sudah lama dalam politik, tetapi beliau baru masuk KeADILan pada Jun 2009.

Ada juga bekas menteri dan bekas timbalan menteri yang masuk KeADILan, tetapi mereka tahu 'kail mereka panjangnya hanya sejengkal', lalu mereka hanya 'menahan lukah' setakat merebut jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi sahaja.

Dari congkak politiknya, umur Zaid dalam KeADILan 'baru setahun jagung'.

Logiknya, jika perwakilan hendak memilih pemimpin tertinggi, sudah tentu mereka akan memilih pemimpin yang sudah istiqamah dan pernah teruji perjuangannya.

Tidak dinafikan bahawa bagi sesebuah sistem yang demokratik, setiap orang ada hak untuk bertanding, nilai satu undi ahli bawahan, sama dengan nilai satu undi seorang Presiden.

Demokrasi berkait dengan kebebasan. Tetapi kebebasan juga ada hadnya. Jika kita percaya kepada demokrasi, kita tidak harus menodai demokrasi dengan sesukahati menghentam pemimpin atau parti, secara terbuka.

Atas nama demokrasi, Zaid tidak harus menjadi pembekal peluru kepada media yang memusuhi Pakatan Rakyat untuk 'menembak' pemimpin Pakatan Rakyat.

Zaid harus sedar bahawa pada tiap-tiap perkara harus ada limit. Ada had atau batas-batas yang tertentu.

Dalam Islam, Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan umatnya pengambil pendekatan yang sederhana.

Istilah baru yang digunakan oleh Umno-BN ialah pendekatan 'Wasatiyah'.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pun, pandai mengunakan istilah 'Wasatiyah', walaupun belum tentu beliau memahaminya.

Maknanya, apabila kita berpolitik, kita jangan ekstrem dan jangan pula terlalu pasif.

Apabila kita terbabit dalam politik atau menjadi pemimpin politik, kita tidak harus mendabik dada bahawa kita lebih baik daripada orang lain.

Ahli politik bukan sahaja harus ada stamina dan mesti enegetik. Tetapi mereka harus ada 'brain' yang mampu menyadurkan sifat sabar dan tolak ansur.

Masalah yang dihadapi KeADILan ialah wujudnya segelintir pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri ini, beserta anggota yang tidak berdisiplin yang penuh dengan kepentingan.

KeADILan hari ini perlu melalui banyak proses saringan. Mereka harus membuat tapisan sekarang, sebelum 'badut-badut' baru muncul menjelang PRU ke-13 nanti.

KeADILan tidak punyai banyak pilihan, sama ada mereka membuat tapisan sekarang atau mereka akan terus tersungkur.

Masalah yang dicetuskan Zaid dan penyokong-penyokongnya bukannya besar mana. Ia boleh diatasi dengan bijaksana.

Masalah Zaid disimpulkan oleh seorang rakan peguam terkenal yang menghubungi penulis lewat malam, 10 November lepas.

Dalam panggilan itu peguam tersebut mengatakan,"Rashidi, elok you kaji sedikit latarbelakang Zaid Ibrahim. Mana tempat dia pergi dia tidak gaduh? Dulu dalam Bar Council pun dia gaduh, masa dalam Peguam Muslim juga gaduh, dalam Umno pun gaduh, dalam KeADILan sekarang dia gaduh.

"Kena ada yang nasihat dia supaya lebih berhemah sikit, takut-takut jadi macam Ibrahim Ali, Zahrain Hashim dan Zulkifli Noordin pula" ujarnya.

Apa pun penulis berharap, Zaid mengotakan janjinya untuk kekal bersama Pakatan Rakyat.

Beliau masih mempunyai masa untuk memperbetulkan persepsi penyokong terhadap beliau.

Berbeza pendapat dalam parti perkara biasa, persengketaan juga biasa berlaku, namun semuanya harus ada limit.

Jangan sampai kepentingan peribadi kita mengatasi kepentingan Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Monday, November 08, 2010

Ekspo Cheng Ho Kelantan bakal jadi tarikan dunia Islam

Ekspo Cheng Ho bakal membuka mata dunia terhadap Kelantan. Ia bakal menjadikan Kelantan bukan sahaja terkenal sebagai sebuah wilayah yang diperintah secara Islam, malah ia bakal menjadikan pangkalan atau hab ekonomi, kesenian, kebudayaan, pendidikan dan transaksi produk halal dari seluruh dunia.

Mengupas lanjut isu ini, kita ikuti Wawancara wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN bersama Dato' Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat di Kuala Lumpur 31 Oktober 2010.

Kelantan akan menganjurkan Ekspo Cheng Ho pada 21 hingga 26 November ini, boleh Dato' huraikan latar belakangnya?

Asas pertamanya ialah apabila, sistem politik kita sentiasa terdedah kepada manipulasi. Isu yang sering dibangkitkan oleh golongan rasis ialah soal Cina, Melayu dan sebagainya.

Asas perjuangan Umno adalah di atas premis berteraskan Melayu semata-mata, sehingga kaum Cina atau Tionghoa sentiasa dianggap sebagai ancaman.

Jadi, apabila kita membawa tokoh seperti Cheng Ho (menerusi Ekspo Cheng Ho), dia orang Islam dan dia berbangsa Cina. Titik pertemuan yang kita cari ialah Islam.

Jadi Melayu baik, Cina baik, dia boleh terima Islam. Orang Cina di Malaysia juga boleh terima kerana Cheng Ho kerana dia Cina dan orang Melayu boleh terima dia kerana dia Islam.

Keduanya, hubungan China dengan Kelantan yang terletak di utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia, kita (Kelantan) adalah yang paling hampir.

Tetapi selama ini kita tidak memposisikan diri kita dengan China dengan cara yang tidak berkesan. Oleh kerana itu kita tidak mendapat manfaatkan jarak yang dekat, sedangkan China adalah sebuah kuasa ekonomi dunia yang pesat membangun.

Mengapa dipilih China?

Dari segi ekonomi, China berkembang selama 30 tahun, dengan perkembangan lebih 10 peratus. Kuasa pasaran sangat besar, kalau kita boleh penetrate sebahagiannya, pelancongnya sangat ramai.

Kapasiti kewangannya sangat baik, perancangan pembangunan new township, teknologi, produk makanan halal yang begitu besar, kemajuan perubatan, terutamanya perubatan tradisional Cina yang diadunkan dengan perubatan moden dalam rawatan perubatan diabetes, kanser dan lain-lain.

Dari sudut Islam, sejarah, nilai budaya dan sebagainya, semua ini kita tidak manfaatkan.

Padahal Malaysia yang paling dengan China, selain jiran-jiran yang lain.

Apa yang akan kita perolehi daripada ekspo?

Melalui Ekspo Cheng Ho ini kita berharap, pintu perdagangan, pelaburan, kerjasama, pertukaran budaya, persahabatan, pelancongan, kerjasama pendidikan dan perubatan, dapat kita jalinkan dengan China.

Lebih-lebih lagi Kelantan dari segi sejarah cukup hampir dengan China. Jika kita mengambil kapal terbang terus dari Kota Bharu ke beberapa bandar utama di Selatan China baru 3 jam setengah, jika kita tidak singgah ke Kuala Lumpur.

Jika suatu hari nanti kita mempunyai lapangan terbang yang ada international landing right (hak pendaratan antarabangsa) di Kota Bharu, kita boleh membuat perhubungan perdagangan dan pelancongan dengan bandar-bandar utama di Selatan China dalam masa 3 jam setengah sahaja.

Pada zaman dahulu hubungan perdagangan ke China adalah melalui jalan darat yang terkenal dengan nama Jalan Sutera. Sekarang ini kita sudah ada pengangkutan moden.

Maknanya, tahap perhubungan perdagangan boleh kita perkembangkan dengan pesatnya pada abad ke 21.

Bagaimana Kelantan boleh mendapat manfaat?

Dalam kerangka itulah Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Ekspo Cheng Ho. Contentnya antara lain adalah pameran barang-barang teknologi dan banyak lagi.

Di anjung China Pavillion, kita akan pamerkan antaranya daripada Universiti Chendu, yang akan membawa teknik rawatan alternatif diabetes atau pun daripada Ninxia Medical University, yang akan membawa pameran dan kaedah perubatan Islam tradisi China.

Kita juga akan membawa fesyen muslimah dalam berbagai fesyen yang dihasilkan daripada syarikat atau kilang-kilang di China.

Kita akan bawa semua makanan halal seperti vitamin, kolagen, royal jelly, bahan rawatan kecantikan dan lain-lain. Selain daripada makanan biasa.

Kita juga bawa teknologi seperti rumah jimat tenaga yang akan dipasang di kawasan ekspo tersebut.

Lain-lain tarikan?

Kita juga akan membawa lain-lain tarikan daripada China. Antaranya yang utama ialah sejarah Laksamana Cheng Ho, ini adalah pameran sejarah Cheng Ho yang proper, ini kita akan bawa dari Muzium Cheng Ho dari Melaka.

Dalam rangka tersebut, kita akan menganjurkan seminar mengenai Cheng Ho dan penyebaran Islam di Asia Tenggara pada 13 November 2010, supaya rakyat mengetahui sejarah yang sebenarnya mengenai perkembangan agama Islam.

Daripada sini kita akan dapati bahawa ada teori mengatakan bahawa Islam yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu, lebih awal daripada Melaka, melalui pedagang dan mubaligh China yang pernah singgah ke negara ini.

Bahan pameran tersbut meliputi sejarah, bentuk kapal, barang-barang yang dibawa ekspedisi Cheng Ho, teknologi yang digunakan dan kemajuan yang dibawa oleh Cheng Ho di tempat-tempat yang disinggahi di sepanjang pelayarannya.

Kemudian kita juga ada International Pavillion. Ianya daripada adalah negara-negara Asia Tengah seperti Krygzistan, Kazakhstan, Tajikistan dan negara-negara Asean. Ia akan menjadi kegiatan mempromosi produk-produk negara serantau.

Kita bercadang untuk mengadakannya setiap tahun. Supaya dengan itu Kelantan akan menjadi hab perdagangan pada masa akan datang.

Manfaat dari aspek pendidikan?

Dalam rangka hubungan dengan China ini, kita telah mendapat tawaran untuk belajar bahasa China di tiga tempat. Satu di Wilayah Xinhai, di Wilayah Yunan dan Wilayah Ninxia.

Selain daripada bahasa Mandarin, mereka juga menyediakan pengajian bahasa Arab. Juga boleh dimanfaatkan pertukaran budaya antara Malaysia-China. Oleh kerana tempat terhad, kita berharap, kita akan mengutamakan rakyat Kelantan bagi mengisi peluang pembelajaran ini.
Selepas itu Insya Allah, kita akan membuat follow-up.

Apakah matlamat utama ekspo?

Yang paling penting daripada ekspo ini ialah soal pengeluaran dan perbekalan produk halal. Untuk jangka panjang, kita akan membina Kelantan Halal Trade Centre, yang akan mempamerkan barangan keluaran halal dari seluruh dunia, terutama sekali barang makanan halal daripada China.

Kita juga berhasrat produk-produk halal ini, suatu hari nanti akan dipersijilkan melalui sijil halal yang diperakui oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Industri makanan halal ini merupakan suatu industi yang amat besar dan amat penting untuk umat Islam dalam negara, kerana kita berkemungkinan menggunakan barangan yang tidak halal setiap hari.

Selain daripada itu di China, tebaran Islam begitu meluas di seluruh benua China, hampir di setiap wilayah ini ada banyak kilang yang mengeluarkan produk halal. Masalah mereka ada yang ada sijil halal, ada yang tidak.

Jadi dalam perbincangan Kerajaan Negeri Kelantan dengan wilayah terbabit, mereka bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan kita.

Kita mahukan Persatuan-persatuan Islam di China mengeluarkan sijil halal yang kita (Kelantan) perakui supaya ia memberi keyakinan kepada pembeli di pasaran antarabangsa.

Dalam masa yang sama kita boleh memastikan pengeluaran produk itu halal dan baik.

Oleh itu semasa ekspo berlangsung, kita menganjurkan beberapa forum, antaranya forum pengeluar makanan halal, forum mengenai China dan perdagangan serantau serta forum IMT-GT yang menghubungkan syarikat pengeluar produk-produk halal.

Dalam forum yang kita anjurkan, kita bukan sahaja membicarakan tentang persijilan halal dan kerjasama persijilan halal Kelantan-China, tetapi kita juga mengetengahkan Islamic Manufacturing Practise (amalan pengeluaran Islam).

Ini akan memberi penekanan mengenai aspek kesihatan, kebersihan, kualiti pembuatan dan sebagainya.

Tokoh-tokoh serantau yang dijemput akan hadir. Saya akan umumkan nama mereka apabila tiba masanya. Ramai dari negara China dan negara serantau.

Ada tarikan penting, antaranya tulisan al-Quran terpanjang, sepanjang 209 meter. Ditulis oleh seorang muslim bernama Yusuf daripada Shanghai. Proses membuat al-Quran ini megambil masa dua tahun dengan menggunakan 80 orang pekerja.

Juga seorang muslim bernama Adili yang akan berjalan di atas tali. Adili akan mempersembahkan akrobatik China, berjalan di atas tali yang akan direntangkan di dalam Stadium Sultan Muhammad ke IV, dan persembahan akrobatik yang lain.

Ini adalah kali pertama rakyat Malaysia akan melihat keajaiban seperti ini.

Boleh Dato' simpulkan bagaimana idea ini tercetus dan apa manfaat yang boleh kita perolehi?

Mula-mula sekali apabila saya melawat Muzium Cheng Ho di Melaka dan berjumpa dengan Dr Tan Ta Seng. Phd beliau adalah mengenai Cheng Ho.

Kemudian dalam suasana politik negara yang memperbesarkan jurang antara Melayu-Cina, Cheng Ho adalah satu watak yang menyatukan, bukan memecahbelahkan.

Cheng Ho membawa idealisme yang mempromosi kemakmuran menerusi persahabatan. China melalui Cheng Ho, tidak memdominasi atau menjajah kawasan yang dilawati seperti Barat.

Cheng Ho berperanan mengamankan kawasan yang bersengketa dan memboleh jalan perdagangan berjalan lancar, tanpa menguasai wilayah yang terbabit.

Oleh itu konsep dasar luar China di bawah Cheng Ho, amat berbeza dengan dasar luar yang diamalkan oleh Barat.

Hanya apabila China menjadi lemah, Barat menguasai Asia Tenggara.

Cheng Ho selain berdagang, membawa Islam, yang bukan sahaja diterima di China, malah di negara-negara serantau.

Jika Islam seperti ini dapat diketengahkan dalam masyarakat, maka persengketaan kaum yang sengaja diperbesar-besarkan oleh Umno ini, akan mempunyai model penyelesaiannya, menerusi pendekatan Cheng Ho.

Tuesday, November 02, 2010

Expo Cheng Ho bakal julang Kelantan

SIAPA sangka suatu hari nanti Kelantan Darul Naim akan lebih dikenali di China daripada negara Malaysia sendiri?

Jangan salah faham, bukan Kelantan hendak bersaing dengan Malaysia sebagai sebuah negara.

Tetapi Kelantan sudah mula meletakkan dirinya sebagai 'leading state' sebagai hab utama pelancongan, perdagangan, produk makanan halal, kesenian, perubatan dan pendidikan yang berasaskan Islam dalam negara.

Bolehkah impian ini direalisasikan? "Sudah tentu, saya berkeyakinan kita akan berjaya menarik kuasa pasaran, peniaga dan pelancong yang ramai sempena Expo Cheng Ho yang akan diadakan pada 21 hingga 26 November depan," kata Dato' Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Penatnya belum hilang. Selepas berkempen di Galas, beliau bergegas ke China. Sebaik pulang keesokannya, terus hadir dalam temuramah dengan Bernama TV. Siaran mengenai Expo Chengo Ho dipancarkan dari jam 1 hingga 2 petang, di saluran Astro 502 hari Sabtu lepas.

Selesai dengan Bernama TV beliau menghadap penulis pula.

Tetapi Husam adalah 'Man with a mission'. Beliau tidak kenal erti penat lelah, tidak menoleh ke belakang. Rancangannya cukup besar.

Expo Cheng Ho yang dirancang merupakan yang pertama diadakan di dunia.

Ianya akan menjadi hab pameran perdagangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.

Lebih 300 syarikat perniagaan dari seluruh dunia, terutamanya syarikat milik umat Islam akan mempamerkan produk-produk keluaran mereka.

Difahamkan lebih 700 gerai pameran yang disediakan. 160 buah syarikat daripada negara China, 100 buah syarikat dari Kelantan dan lebih 150 buah syarikat antarabangsa akan mempamerkan produk di dalam sebuah pavilion besar yang akan disediakan.

Manakala sekitar 300 gerai disediakan di luar dewan pameran untuk peniaga-peniaga dari Kelantan dan seluruh Malaysia.

Persoalannya, mengapa dinamakan Expo Cheng Ho? Expo ini diadakan bersempena memperingati dan meraikan kedatangan armada laut Laksamana Cheng Ho ke Semenanjung Tanah Melayu 600 tahun yang lalu.

Apa signifikannya Cheng Ho? Yang penting kata Husam, Cheng Ho adalah seorang Muslim yang membina jambatan diplomatik, menghapuskan lanun-lanun, membawa keamanan serantau.

Cheng Ho katanya mendarat lebih awal di Kelantan daripada negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut Husam, pihak Kerajaan Negeri Kelantan sudah pun mendapat persetujuan dari Muzium Cheng Ho di Melaka untuk memindahkan sementara bahan serta artifak untuk dipamerkan sepanjang expo berlangsung.

Misi penyebaran Islam, keamanan, perdagangan serta idea yang dicetuskan Laksamana Cheng Ho sejak 600 tahun lampau, kini diterjemahkan dalam Expo yang akan berlangsung selama enam hari tersebut.

Kelantan katanya, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi peneraju utama mempromosikan kesatuan di kalangan umat Islam serantau melalui kolaborasi perdagangan dan hubungan diplomatik di kalangan pelbagai negara yang berbeza.

Selama enam hari, Expo Cheng Ho akan mengenengahkan peluang-peluang perniagaan, pelancongan, produk halal, perbankan Islam, industri, bioteknologi serta produk berasaskan pertanian.

Bagi yang berminat dengan lebih mendalam, mereka boleh menyertai beberapa forum yang bakal diatur di sepanjang Exco berlangsung.

"Tokoh-tokoh serantau yang akan menghadiri Expo Cheng Ho ini akan kita maklumkan dari masa ke semasa.

"Bagaimanapun yang sudah mengesahkan kehadiran, antaranya ialah penulis kaligrafi al-Quran terpanjang, iaitu sepanjang 209 meter akan kita pamerkan, serta persembahan akrobatik seperti berjalan di atas tali merentasi Stadium Sultan Muhammad juga ada. Rugi kalau siapa-siapa tak nak mari (datang)" katanya.

Monday, November 01, 2010

Umno-BN sabotaj Ku Li di Galas?

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beserta seluruh pemimpin Umno-Barisan Nasional yang berkempen tidak perlu menabur janji pelbagai projek untuk dirasuah kepada pengundi Galas.

Sebelum penamaan calon Dun Galas, Muhyiddin sudah menjanjikan peruntukan RM180 juta untuk pembinaan 1,500 buah rumah kos murah bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang.

Dalam lawatan menemui masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, Muhyiddin mengumumkan permintaan pengundi berkaitan isu pendidikan, masalah air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan infrastruktur lain, semuanya diluluskan.

Bak kata seorang rakan Umno yang ditemui di Galas, jika Orang Asli minta jamban (tandas) dalam hutan pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, semuanya BN akan lulus.

TPM dan rakan-rakan pemimpin Umno-BN menabur janji projek million-million (berjuta-juta) sana sini. Jika dihimpun segala kos perbelanjaan kempen BN dan peruntukan yang dijanjikan dalam tempoh sepuluh hari ini, nescaya ia melebihi kos pembangunan Galas puluhan tahun sejak sebelum merdeka lagi.

Macamlah Dun sekecil Galas memerlukan peruntukan pembangunan yang besar, sebesar belanjawan sebuah negeri.

Namun, pengumuman peruntukan sebesar RM180 juta, jelas menunjukkan kebodohan Muhyiddin. Beliau patut malu kerana beliau adalah TPM, pernah menerajui beberapa buah kementerian, pernah menjadi Menteri Besar Johor, tetapi tidak tahu mengira. Betul-betul sembab punya TPM.

Hujah Muhyiddin dengan mudah disanggah oleh Exco Kelantan, Dato' Husam Musa. Husam berkata kos membina rumah PPR sebanyak RM180 juta dibahagi dengan 1,500 adalah RM120,000.

Adakah harga rumah kos murah di Galas mencapai RM120,000? Kata Husam, kos rumah PPR di Kelantan paling tinggi hanya sekitar RM50,000 hingga RM60,000. sahaja.

Mengapa TPM umumkan kos seunit rumah PPR untuk flat lima tingkat dengan keluasan 700 kaki persegi, boleh mencapai RM120,000 seunit? Kira-kira matematik yang simple macam ini pun TPM tidak tahu kira.

Bagaimana kos boleh naik dua kali ganda? Adakah gandaan selebihnya untuk diberi kepada kroni Umno-BN? Apakah ini bermakna di sebalik janji pembangunan untuk rakyat, tersembunyi agenda Umno-BN untuk menyapu wang rakyat?

Muhyiddin dan rakan-rakan Umno -BN tidak perlu menjadi 'Santa Claus'. Pengundi Galas bukannya budak-budak yang tidak tahu mengira. Orang Asli di pos pedalaman seperti Pos Hau pun lebih pandai mengira daripada TPM.

Janji-janji projek dan peruntukan satu hal. Satu aspek yang lain adalah taktik kotor dari kempen politik kotor Umno-BN terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed sebaik sahaja nama beliau diumumkan.

Dalam satu laporan media sebelum ini Ketua Penerangan Umno Gua Musang, Muhamad Bustaman Ibrahim mendakwa bahawa pihaknya mempunyai 'bukti' bahawa calon PAS itu pernah ditangkap khalwat berdasarkan 'berita-berita yang dipercayai dan diterima secara umum.'

Isu ini sudah dibuktikan palsu. Malah blogger Umno yang menyiarkan tuduhan itu pun sudah meminta maaf kepada calon PAS.

Selain itu juga, Umno mendakwa dalam siri kempen, PAS memainkan isu calon iaitu calon BN, Abdul Aziz Yusoff hanya berkelulusan SPM, berbanding calon PAS yang ada ijazah dalam bidang perubatan.

Ini satu lagi fitnah Umno. PAS tidak pernah berkempen memburuk-burukkan calon Umno. Yang PAS lawan di Galas bukan Abdul Aziz, tetapi seluruh kepimpinan Umno-BN dari mana sahaja jua mereka datang.

Yang menabur fitnah dan memburuk-burukkan calon Umno ini, khabarnya datang dari kalangan orang Umno sendiri. Iaitu juak-juak bekas Adun Galas yang pernah memimpin Umno Gua Musang semasa Tengku Razaleigh Hamzah memimpin Parti Melayu Semangat 46.

Kumpulan serpihan dalam Umno ini disokong oleh pemimpin Wanita dan Pemuda bahagian yang tidak sebulu dengan Ku Li. Kalangan mereka hanya menanti masa untuk 'cah keting' Ku Li jika calon BN tewas kepada PAS kali ini. Puak Umno inilah yang mensabotaj Umno, bukan orang PAS.

Bagaimanapun, Ku Li nampaknya faham dengan taktik kotor orang Umno Gua Musang. Secara sinikal beliau mengatakan, apa juga keputusan di Galas, beliau tidak akan mengundur diri dari pentas politik.

Ku Li juga menyifatkan PRK Galas ini sebagai satu pertandingan 'kekeluargaan' dan mengarahkan agar jentera partinya tidak menyerang peribadi lawan.

Bagi menutup mulut orang-orang Umno, Ku Li membuat kenyataan yang defensif, iaitu jika mana-mana pihak yang menang pun tak akan memberi perubahan kepada suasana politik di Kelantan.

Tetapi Ku Li, walaupun sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, beliau bukannya ada kuasa untuk menyekat politik kotor BN. Ku Li juga tidak ada kuasa untuk meminta Dato' Seri Dr Rais Yatim membenarkan ruang RTM digunakan secara positif untuk kempen PAS di Galas.

Rais mungkin boleh janji untuk beri ruang kepada Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam slot RTM, tetapi mengenangkan perangai jahat dan tidak demokratik pemimpin Umno-BN, janji-janji Rais hanyalah umpama 'menanam tebu di tepi bibir.'

Setiap hari, siang dan malam RTM, TV3, Astro Awani termasuk akhbar arus perdana dijadikan alat untuk memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Rais usah jadi seperti Muhyiddin untuk menjanjikan pelbagai kemudahan dan peruntukan seperti membina jambatan dan sebagainya. Takut-takut nanti 'jambatan tersebut akan dibakar' Rais nanti.

Jika pun Ku Li mahu kempen PRK dijalankan secara bersih dan adil, mana mungkin Umno-BN boleh menerimanya.

Kesimpulannya politik kotor dan janji kotor sudah sebati kepada Umno-BN sejak sekian lama. PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tidak harus mengharapkan sebarang kejernihan demokrasi daripada pemimpin Umno-BN.

Jalan terbaik untuk dikembalikan demokrasi sebenar ialah dengan menumbangkan BN di Galas, Batu Sapi, di Sarawak tahun hadapan dan seterusnya pada PRU ke-13 nanti.

Bukti Umno-BN tidak tahu memerintah

SELURUH pemimpin Umno-Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya bersedia berundur dari tampuk kuasa dengan seberapa segera.

Sudah terbukti mereka tidak mampu memerintah dan menguruskan hasil mahsul negara dengan baik.

Dalam Laporan Audit 2009 yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) di Parlimen, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mencatatkan bahawa, Kerajaan Persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu.

Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

"Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan," Laporan Ketua Audit dipetik.

Lebih tegas Ambrin menegur Kerajaan Umno-BN, dengan memberi penekanan bahawa bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Apabila Ketua Audit mencatatkan teguran sebegini, bermakna wujud secara berleluasa tindakan pihak-pihak tertentu membuat perbelanjaan tanpa mendapat kelulusan, sehingga ia menyumbang kepada lebih belanja, yang boleh menjejaskan pentadbiran ekonomi negara.

Ini sebenarnya suatu perkara besar dalam aspek pemerintahan. Iaitu pihak eksekutif (kerajaan) tidak harus membelanjakan wang milik negara dan rakyat sesuka hati.

Dalam Laporan Audit juga didedahkan mendedahkan ada 11 agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.

Ketua Audit Negara mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta - dicatat semasa BN berkuasa), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion).

Hakikatnya, pendedahan Ketua Audit Negara ini merupakan suatu pembongkaran salah laku dan ketirisan pengurusan yang amat serius dilakukan oleh Kerajaan Umno-BN.

Daripada bukti-bukti ini, jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mendabik dada kononnya berjasa besar membangunkan negara, sebenarnya adalah pemimpin yang sangat lemah dan tidak berkualiti.

Jelas Umno-BN sudah tidak mampu menguruskan wang negara, mereka begitu boros dan tidak tahu menjimatkan wang rakyat.

Fenomena ini berlaku kerana pemimpin-pemimpin Umno-BN yang ada pada hari ini, hanya mementingkan diri sendiri lebih daripada rakyat jelata keseluruhannya.

Tiada jalan terbaik untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul, melainkan dengan menumbangkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.