Tuesday, March 26, 2013

Wahai BN, ayuh hadapi pilihan raya secara anak jantan

Pilihan raya Umum ke-13 sudah berada di ambangnya.Sama ada Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran Parlimen, mahu pun ia terbubar sendiri, tempoh BN memerintah sudah hampir tamat, dan Parlimen akan terbubar bila-bila masa.

Bagi Pakatan Rakyat, PRU kali ini merupakan peluang terbaik untuknya mengambil alih pemerintahan di Putrajaya dan bagi BN, mereka terpaksa berhempas pulas untuk mempertahankan kuasa yang dinikmati sejak 1955.

Pada waktu yang sangat genting ini, BN akan mempergunakan segala kudratnya untuk mempertahankan kuasa, manakala Pakatan Rakyat mahukan pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil untuk rakyat menentukan parti mana pilihan mereka.

Sudah tentu keadaan ini amat menyukarkan kepada kedua-dua pihak. Sukar kerana pihak pertama iaitu BN, sudah tentu enggan membuka ruang untuk demokrasi yang lebih kerana ia mungkin mempercepatkan kejatuhan mereka.

Bagi pihak kedua, iaitu Pakatan Rakyat. Ia terpaksa berhadapan, bukan sahaja dengan BN, tetapi jentera-jentera kerajaan termasuk SPR, SPRM, Polis, Tentera, media, jabatan penerangan dan segala pihak yang akan dikerah untuk mempertahankan kuasa BN.

Sebab itu Pakatan Rakyat dengan tegas mendokong lapan tuntutan Bersih, iaitu:

i. Bersihkan senarai undi
ii. Reformasikan undi pos
iii. Gunakan dakwat kekal
iv. Akses media yang bebas dan adil
v. Tempoh berkempen minimum 21 hari
vi. Perkukuh institusi awam
vii. Hentikan rasuah
viii. Hentikan politik kotor

Sehingga hari ini SPR dan kerajaan BN tidak menyahut semua tuntutan ini dengan jujur. Lapan tuntutan ini, jika pun dipenuhi, hanya pada peringkat tertentu sekadar 'melepaskan batuk di tangga' sahaja.

Mereka akan cuba 'bermain wayang' dan sudah pasti mahu melengah-lengahkan tuntutan ini kerana mereka tahu, jika ruang yang bebas dan adil dibuka, sudah tentu BN akan tersungkur pada PRU-13 ini.

Tuntutan Bersih dikesampingkan, sebaliknya dalam soal akses media yang bebas dan adil, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim membuat tawaran lain kepada Pakatan Rakyat.

Beliau menawarkan, semua parti-parti politik dibenar untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Rais  berkata, peluang itu diberikan kepada parti Barisan Nasional (BN) dan juga pihak pembangkang, tetapi pembentangan itu akan dirakam terlebih dahulu.

Pada kita ini merupakan suatu tawaran 'bermain wayang' oleh BN. Kita bukannya mahu siaran terakam, kerana siaran yang dirakam awal boleh disabotaj.

Yang kita mahukan ialah siaran langsung yang disiarkan secara sama rata tanpa had kepada semua pihak. Kita tidak boleh bersetuju dengan siaran tertunda selama 10 minit sahaja, sedangkan semua media dikerahkan untuk menyiarkan agenda Umno-BN pagi petang, siang dan malam tanpa had.

Yang kita cadangkan adalah perdebatan, dialog atau diskusi semua parti yang bertanding dalam pilihan raya, supaya agenda perjuangan mereka dapat nilai dengan adil dan saksama semua pengundi.

Yang kita tegaskan ialah, semua media khususnya media milik kerajaan menghentikan serangan dan fitnah kepada Pakatan Rakyat.

Kita bertegas supaya semua agensi kerajaan hendaklah menjalankan tugas mereka tanpa cenderung kepada mana-mana pihak.

Jika kita dapati SPR, SPRM, Polis, Tentera dan semua agensi kerajaan dipergunakan untuk BN, dan jika keputusan PRU-13 memihak kepada Pakatan Rakyat, di manakah ketua-ketua agensi terbabit hendak meletakkan muka?

Oleh sebab itu kita mahu semua agensi kerajaan yang ditunjangi kakitangan awam yang dibayar gaji mereka oleh rakyat, bahawa jangan sesekali mereka mencemar integriti institusi yang mereka wakili, demi memenuhi kehendak pemimpin Umno-BN.

Pakatan Rakyat berikrar, segala bentuk pengkhianatan terhadap institusi milik awam, akan diperbetulkan dan mereka yang bertanggungjawab akan diadili oleh rakyat.

Pakatan Rakyat mencabar Umno-BN, sekiranya mereka 'anak jantan' mereka jangan bacul untuk membuka laluan untuk memenuhi lapan tuntutan rakyat tanpa prejudis.

Monday, March 18, 2013

Umno-BN penaja politik longkang

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hari ini berdolak-dalik dan enggan menjawab soalan wartawan yang meminta bukti bahawa pembangkang akan mencetuskan huru hara pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Nantilah sampai masa yang sesuai," jawab Muhyiddin sewaktu sidang media selepas mengumumkan nama Sasterawan Negara ke-12 di Putrajaya baru-baru ini.

Ketika berucap di majlis sepetang bersama masyarakat di kawasan Parlimen Hulu Selangor, di Bandar Bukit Sentosa dekat Kuala Kubu Baru sebelum ini, Muhyiddin mendakwa menerima beberapa dokumen.

Beliau berkata, dokumen yang boleh dipercayai itu mendakwa pembangkang merancang untuk menggagalkan pilihan
raya umum ke-13.

Hakikatnya kenyataan yang dibuat Muhyiddin ini, sebenarnya adalah manifestasi daripada ketakutan seluruh kepimpinan BN, bahawa saat mereka hendak tumbang semakin hampir.

Tidak lain tidak bukan, yang boleh menyelamatkan kerajaan BN, hanyalah jika negara berada dalam keadaan yang kucar kacir dan tidak stabil.

Negara tidak stabil, keamanan negara akan terancam jika wujud anasir-anasir pengacau yang menimbulkan keributan dalam sistem demokrasi.

Siapa yang menjadi pengacau? Siapa yang mencetuskan keganasan dalam negara? Mereka adalah samseng-samseng yang mendakwa mereka mewakili Umno dan Perkasa.

Apa yang mereka tidak buat? Daripada mengheret kepala lembu, membawa hadiah tahi, goyang bontot, baling kayu dan botol, sehingga yang terakhir membaling telur.

Mana tempat yang mereka tidak mengganas? Di Shah Alam, Georgetown, Gombak, di kawasan Felda, di Melaka dan yang akhir sekali di Temerloh.

Mereka menyerang dan mengganas sehingga ke pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Menyerang bas Jelajah Merdeka Rakyat, menyerang konvoi Anak di Felda, menyerang ceramah Pakatan Rakyat.

Sehingga kini kita telah mengumpulkan ratusan bukti bergambar 'pengganas-pengganas' yang menghuru-harakan sistem demokrasi kita.

Kita telah berjaya buktikan ramai antara mereka mempunyai jawatan dalam Umno, dan terang-terangan penyokong tegar BN.

Malangnya tiada tindakan daripada pihak keselamatan. Malang bagi kita apabila anggota keselamatan yang bertugas di lokasi kejadian, hanya 'berpeluk tubuh'. Mengapa pihak keselamatan tidak mahu menyiasat dan bertindak terhadap samseng-samseng Umno-BN ini?

Puluhan laporan polis yang dibuat, tetapi mengapa sehingga kini tiada satu pun tindakan yang diambil oleh pihak keselamatan? Kita percaya jika pihak keselamatan membuat tindakan susulan lebih awal, mendakwa mereka yang bersalah, maka peristiwa keganasan tidak akan berulang.

Hal ini mencetuskan persoalan, apakah ada tangan-tangan kotor orang politik Umno-BN yang membuat arahan supaya samseng-samseng ini dilindungi hanya kerana mereka orang Umno-BN.

Sekarang ini samseng-samseng tidak banyak membantu, maka mereka menggunakan artis pula sebagai tukang kempen.

Artis-artis 'cari makan' ini diupah dengan menerbitkan drama lawak yang dinamakan 'Bangkang dari longkang'. Mereka melakonkan watak pemimpin pembangkang, dengan lambang mirip PAS, KeADILan dan DAP.

Mereka juga melakonkan watak bagi sketsa menghina Pakatan Rakyat yang berhasrat menawan Putrajaya.

Ada kalangan artis yang mengakui terbabit dengan pembikinan 'Bangkang dari longkang' mendakwa adengan tersebut sudah lama dirakam. Mereka mengakui bukan orang politik, tetapi berkarya mengikut skrip pihak penaja.

Tidak lain tidak bukan, penajanya adalah Umno. Umno menggunakan artis, menghina pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat dengan tajuk sketsa yang amat menghina sekali.

Mereka dengan sengaja cuba merendahkan idealisme dan tahap intelektualisme pemimpin serta pendokong Pakatan Rakyat.

Bangkang dari longkang cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa idea dan perjuangan pembangkang adalah kotor dan jijik.

Sedangkan hakikat sebenarnya merekalah bapa penaja politik longkang yang cuba memalitkan kebusukan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Umno-BN bukan sahaja penaja dan penjaja politik longkang, tetapi mereka adalah unsur-unsur najis sebagaimana yang digambarkan Dato' Shahnon Ahmad dalam novel satira bertajuk SHIT.

Sunday, March 10, 2013

Kenapa BN takut sidang khas Parlimen bincang isu Lahad Datu?

Kita menyanjung tinggi pengorbanan dan kesungguhan anggota keselamatan kita dalam mengawal selia serta memelihara kedaulatan negara.

Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anggota tentera dan polis yang menjalankan tugas dengan profesional, demi menjaga keselamatan rakyat.

Kita amat mengharapkan kegigihan dan pengorbanan anggota keselamatan ini, tidak dijadikan alasan untuk memperkukuhkan kedudukan politik BN.

Isu keselamatan tidak sama sekali harus dipolitikkan untuk kepentingan sekelompok penguasa yang mahu meneruskan kesinambungan pemerintahan, di saat-saat mereka hampir tumbang.

Malangnya, inilah yang terjadi di Malaysia. Isu keselamatan dipolitikkan, nyawa anggota keselamatan menjadi taruhan kesinambungan politik Umno-BN.

Hari ini Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, secara terang-terangan mengugut rakyat, bahawa jika mereka tidak mahu peristiwa Lahad Datu terjadi di tempat lain, jika mereka mahu keselamatan mereka terjamin, mereka hendaklah memberi mandat kepada BN.

Dengan tegas kita menolak ugutan ini. Dengan tegas kita mengatakan bahawa negara kita adalah negara yang aman, tanpa sebarang konflik. Negara kita stabil dan tidak perlu diletakkan dalam keadaan darurat, termasuk di kawasan yang terbabit di Lahad Datu, Sabah.

Kita ingin tegaskan di sini bahawa, yang tergugat dan terancam bukannya keselamatan negara, tetapi keselamatan Umno-BN, keselamatan pemimpin-pemimpin yang sudah mabuk ditampuk kuasa.

Mereka enggan turun, mereka enggan berundur secara terhormat dan yang penting sekali, mereka takut ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Inilah hakikat yang cuba dikambus oleh Umno-BN, khususnya dalam konteks politik di Sabah sekarang. Umno-BN, sejak zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi PM, sudah mengeluarkan ratusan ribu, malah disebut mencecah ke angka juta, kad pengenalan kepada pendatang.

Sama ada pendatang dari Filipina, Indonesia, mahu pun pendatang dari Pakistan, yang dikatakan ramai rakyat Sabah, sebagai sebahagian dari suku sakat Ketua Menteri Sabah.

Kesemua pendatang ini, diberikan kad pengenalan, dimasukkan nama mereka ke dalam daftar pemilih, mengambil bahagian dalam setiap PRU untuk mengundi Umno-BN. Pendatang dipergunakan untuk mengekalkan kuasa BN.

Hari ini Umno-BN enggan menjawab siasatan RCI. RCI mendapati angka yang besar kaum Sulu, dari Selatan Filipina, sudah mendapat kerakyatan yang sah dan mengundi dalam PRU.

Hari ini, Umno cuba untuk menutup pekungnya, apabila terdedah bahawa, puak Sulu yang dikatakan penceroboh, sebahagiannya merupakan ahli Umno yang aktif dalam bahagian, sama ada di Lahad Datu dan Semporna.

Ini isu besar dalam negara. Isunya ialah, apakah benar wujudnya penglibatan ahli-ahli Umno dalam kumpulan bersenjata di Lahad Datu sehingga menyebabkan beberapa orang anggota keselamatan kita menjadi korban.

Isu besar yang dibimbangi Umno-BN, sebenarnya ialah rentetan daripada gelombang penolakan besar-besaran rakyat Sabah terhadap mereka, yang dikatakan menjadi penentu bakal tumbangnya kerajaan BN di Putrajaya.

Justeru kita mendesak supaya kerajaan memanggil sidang khas Parlimen dengan segera. Kita mendesak supaya dibentangkan satu kertas putih, agar dapat diteliti dan dibahaskan anggota Parlimen kita.

Jika BN berani, jika BN rasa memang keselamatan negara tergugat seperti dimainkan media pro mereka, sila sahut permintaan Pakatan Rakyat.

Mari kita berunding dan berbahas secara sihat, sama ada di Parlimen atau pada sidang meja bulat, bagi mencapai suatu persetujuan terbaik untuk kepentingan rakyat jelata.

Jika BN takut untuk bersemuka dengan Pakatan, kita percaya dalam isu keselamatan yang digembar-gemburkan ini, 'ada udang di sebalik batu.'