Monday, December 17, 2012

Tiada indikator jelas untuk BN kekalkan kuasa

Rakyat bersatu untuk bangkit menolak BN
Jika kita melihat kempen Umno-Barisan Nasional menerusi media massa, sama ada Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan lebih lebih lagi TV3, kita akan melihat seolah-olahnya Pakatan Rakyat akan musnah dan tidak mampu mentadbir negara.

Media yang dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN ini, setiap detik dan hari, memang sengaja memaparkan imej yang paling buruk kepada Pakatan Rakyat. PAS, PKR dan DAP diserang siang malam. Pemimpin Pakatan Rakyat juga diserang setiap masa.

Media pencacai ini cuba untuk menonjolkan imej hebat Umno-BN. BN yang sangat hebat dan berpengalaman berkuasa selama lebih 50 tahun dalam negara.

BN yang dikhabarkan begitu kuat dan ampuh dari sebarang cabaran. Namun, kehebatan Umno-BN yang digembar-gemburkan, yang ditonjolkan dengan begitu hebat, tetapi realitinya berada di dalam kegelabahan untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Jika Umno-BN terlalu kuat dan sukar digugat, mengapa Perdana Menteri tidak membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan?

Pada kita, memang tiada halangan untuk Perdana Menteri membiarkan Parlimen terbubar dengan sendirinya selepas tamat tempoh lima tahun kerajaan BN pada Mac 2013.

Namun jika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membiarkan tempoh kerajaan berakhir secara automatik, sedangkan dia ada kuasa membubarkan Parlimen lebih awal, ia hanya akan mencacatkan persepsi rakyat terhadap Umno-BN sahaja.

Tindakan itu bakal membuktikan bahawa selama ini Najib amat takut untuk membubarkan Parlimen. Najib tidak yakin BN akan menang, jika dipanggil Pilihan Raya Umum lebih awal daripada tarikh ianya luput.

Bermula dari sekarang, Najib ada tiga bulan sahaja untuk 'survive'. Sebagai PM beliau ada kuasa untuk menentukan bila Parlimen hendak dibubar, bagi diadakan PRU.

Tetapi jika Najib hendak membubarkan Parlimen, beliau memerlukan indikator dan petunjuk yang meyakinkan. Najib sedar, dia harus menang besar, jika BN menang, tetapi lebih buruk dari 2008, sudah tentu Najib akan 'ghuyub'.

Tetapi malangnya, selepas tiga minggu Perhimpunan Agung Umno (PAU 2012)diadakan, yang dikatakan perhimpunan menyuntik semangat juang Umno-BN, tiada apa-apa impak positif yang beliau perolehi.

PAU 2012 yang mendapat liputan media pencacai siang dan malam, ibarat melaporkan kisah 'seekor ayam yang bertelur tetapi riuh sereban.' Tiada apa yang dapat membantu Najib untuk membubarkan Parlimen, selain perhimpunan 'sarkas' yang mendapat sambutan kerana lawak terbaik.

Secara seriusnya, pembentangan Belanjawan 2013 tidak dapat membantu Najib. Sebarang program dalam jelajah 'Janji Ditepati' semakin kelam dan dilupakan. Perhimpunan parti-parti komponen BN sebelum ini, juga gagal memulihkan sokongan kaum masing-masing kepada BN.

Malah, PAU 2012 pun gagal membantu kerana ia menjadi platform ramai yang melobi dan berkempen untuk menjadi calon PRU daripada memikirkan kekuatan parti.

Najib tidak yakin bukan kerana faktor luaran. Najib tidak yakin kerana faktor dalaman Umno dan BN yang masih tidak menentu dan celaru.

Najib sebenarnya, sedang menghadapi tekanan dan kritikan yang berat dari orang-orang Umno, khususnya mantan Presiden Umno dan PM, yang tidak yakin kemampuannya mengemudi bahtera BN untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Tekanan yang hebat ini ibarat 'api dalam sekam'. Ia disembunyikan media pencacai demi masa menyelamatkan 'kapal Umno' daripada karam. Namun, bagi Umno, mereka sudah menghantat isyarat yang cukup jelas, bahawa selepas PRU 2013, mereka tidak mahukan Najib.

Sehingga ada suara-suara sumbang dalam PAU 2012 mengatakan, mereka terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan nyawa Umno pada PRU, dan selepas itu mereka akan membuang Najib. Itupun jika Umno-BN menang.

Nampak gayanya BN payah hendak menang. Pertama kerana, Umno dan seluruh anggota komponennya, tidak solid untuk hadapi Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, walaupun Pakatan difitnah dengan pelbagai tohmahan, ia kekal solid dan gagah.

Kedua, kerana sokongan kepada BN diperolehi berasaskan kaum, yang sehingga kini gagal dipulihkan oleh MCA, Gerakan, PBB dan MIC, khususnya. Sokongan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.

Ketiga, produk-produk transformasi yang 'dipasarkan' Najib tidak mendapat sambutan rakyat, berbanding banyak produk-produk Pakatan, yang diyakini dan disenangi rakyat.

Keempat, pelbagai himpunan yang ditaja untuk BN, gagal meraih populariti untuk Najib, berbanding dengan banyak Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan Pakatan di seluruh negara, yang secara konsistennya mendapat sambutan rakyat.

Ada banyak faktor yang boleh digariskan untuk membezakan Pakatan Rakyat dengan BN. Apa yang jelas kepada kita adalah, setakat ini, walaupun mempunyai kuasa 'menggembar-gemburkan' cerita, Najib masih tiada keyakinan.

Najib sudah merasai arus menolaknya semakin kuat dalam Umno. Dan beliau sedang mencongak dilukah mana beliau hendak berpaut, bagi menyelamatkan karier politiknya.

Bagi Pakatan Rakyat, sama ada Najib atau sesiapa yang mengemudi Umno-BN bukan soalnya. Pada kita, PRU 2013 nanti Umno-BN harus diberhentikan, dari terus berkuasa dalam negara.

Wednesday, December 12, 2012

Apabila Sultan Selangor benci dituduh orang Umno

Sultan diiringi Menter Besar dan Speaker Dewan Negeri.
Kepimpinan PAS Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan Umno, tidak menyokong Umno dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang Umno.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sewaktu berbicara dengan penulis berkata, beliau menjunjung kasih terhadap baginda dan mahu hasrat Sultan dipatuhi semua pihak.

Titah tersebut dibuat dalam wawancara Mingguan Malaysia, yang menurut baginda, tuduhan itu timbul akibat salah faham ke atas seruannya supaya golongan Melayu bersatu.

"Malangnya terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang Umno.

"Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas," titah baginda.

Menurut Sultan, baginda memberitahu kakitangan istana untuk mencetak apa sahaja maklumat berkaitan Selangor yang disiarkan di dalam blog dan portal untuk dibaca.

"Tapi malangnya dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang Umno, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik," titahnya.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr Rani mengharapkan semua pihak, khususnya Umno, supaya tidak lagi cuba mempengaruhi' Sultan untuk kelihatan 'bias', yang akhirnya persepsi negatif dilemparkan terhadap baginda.

Tegas Dr Rani, pihak yang terbabit menasihati Sultan sama ada di Istana, mahupun dalam MAIS, JAIS dan SUK harus berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda Umno.

Katanya, pernah berlaku beberapa krisis di Selangor apabila Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS dan sebagainya, yang menasihati Sultan dalam hal ehwal agama, secara terang-terangan menyokong Umno-BN dan melakukan pelbagai tindakan yang bercanggah dengan kerajaan negeri.

Apabila mereka ini ditegur kerajaan negeri, khususnya MB, mereka sering menggunakan pelbagai alasan yang mengaitkan tindakan mereka sebagai 'arahan' Sultan.

"PAS Selangor amat menyanjungi Tuanku dan berharap para penasihat Sultan memastikan selepas ini sebarang kenyataan yang hendak dibuat atas nama baginda, hendaklah berhati-hati harus tidak dilihat 'bias'," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai Sultan Selangor, Abdul Rani memberitahu ramai yang tidak tahu bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan politik negara dan amat memahami situasi yang ada.

Katanya, sewaktu pertemuan beliau dengan baginda dalam satu majlis Maal Hijrah di Masjid Negeri, di Shah Alam, Sultan Selangor bercerita mengenai Mohamad Sabu dan PAS.

Selepas selesai majlis, semasa majlis santapan yang dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Sultan memberitahu mereka, bahawa baginda terserempak dengan Timbalan Presiden PAS, itu di dalam kapal terbang sewaktu menuju ke Langkawi.

"Tuanku bercerita kepada kami, baginda memang minat ceramah Mohamad Sabu dan mengikuti ceramah beliau sejak belum menjadi Sultan lagi.

"Lama juga baginda bercerita tentang Mohamad Sabu, saya fikir dalam setengah jam juga baginda bercerita dengan nada yang ceria," ujarnya.

Menurut Rani, Sultan Selangor dengan nada bergurau berkata kepada mereka,"Sudah tentu saya tidak boleh mengambil gambar dengan beliau (Mohamad Sabu), nanti dituduh menyokong PAS pula", ujar baginda disambut gelak ceria dif-dif kehormat.

Dalam apa jua keadaan, Sultan seharusnya berada di atas politik. Memerintah dengan adil dan saksama, memayungi setiap rakyat jelata tanpa pilih kasih.

Namun orang politik ada juga ragam dan karenahnya. Khususnya bagi Umno yang sering mempergunakan Raja untuk kepentingan mereka, tambahan pula juak-juak Umno yang puluhan tahun mendominasi institusi Istana, tidak mudah untuk menerima perubahan yang berlaku dalam kerajaan Selangor.

PAS pernah mengalami situasi yang sama di Kelantan pada tahun 1990. Tekanan pihak yang berkepentingan, banyak membuat halangan jambatan hubungan kerajaan negeri dengan Istana.

Namun berkat kebijaksanaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz selama 22 tahun memerintah, hubungan PAS dengan Istana begitu akrab dan semakin menunjukkan keakraban dengan penampilan berjiwa rakyat oleh Sultan Muhammad ke-V.

Begitu juga semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004. Menteri Besar PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Sultan Mizan. Sehingga MB sendiri dijemput Sultan untuk menyampaikan kuliah agama di Istana.

Begitu juga di Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak turut tidak mempunyai sebarang masalah dengan Istana. Hubungan akrab kerajaan dengan Istana memudahkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

Di Perak, walaupun ditekan dengan begitu hebat selama 11 bulan dan dilaga-lagakan dengan Sultan, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan sikap profesional beliau, sehinggalah Umno menggunakan Raja untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Apa yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah manifestasi daripada kebijaksanaan kepimpinan PAS dalam mentadbir negeri. Walaupun banyak tekanan, walaupun banyak gangguan, berkat kesabaran mereka dan sikap taat setia kepada Raja, meletakkan Raja di atas orang politik, menjadikan institusi Sultan lebih dihormati serta disanjungi rakyat.

Dalam sejarah politik negara, walaupun ditimpa dengan pelbagai tuduhan, PAS sesekali tidak pernah menderhaka, tidak pernah anti-Raja, malah menentang pindaan Perlembagaan yang memansuhkan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Ini berbeza dengan Umno. Mereka bukan sahaja meminda Perlembagaan. Mereka juga memaki hamun Raja-Raja dalam Perhimpunan Agung Umno. Menderhaka kepada Sultan, menabalkan Sultan 'boneka' di Kelantan, malahan membinatangkan Sultan Terengganu dalam satu demonstrasi di hadapan Istana Terengganu.

Tidak berlaku sehodoh-hodoh perlakuan terhadap Raja, melainkan dilakukan oleh orang-orang Umno. Sebaliknya, Umno mempergunakan media, mempengaruhi Raja dan rakyat, kononnya orang-orang Pakatan Rakyatlah yang menentang Raja.

Sehinggakan ada kalangan Istana tertentu yang secara terbuka menyokong Umno dan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.

Justeru, molek benarlah jika Sultan Selangor sendiri sudah bertitah, baginda cukup benci dituduh orang Umno. Malah apa yang dititahkan Sultan Selangor, harus juga dicontohi Sultan Perak, Sultan Johor dan Sultan Pahang.

Tujuannya, adalah supaya institusi Raja-Raja Melayu dimulia dan dimartabatkan. Yang paling penting tiada persepsi negatif rakyat terhadap institusi Raja.

Monday, December 10, 2012

Israel, AS dan sekutu terancam dengan Presiden Morsi

Laporan mengenai himpunan di Mesir
Pada kesempatan berkunjung ke Mesir kali ini, elok juga dinukilkan perkembangan terkini yang berlaku, selepas calon Parti al-Hurriyah wal Adalah, Mohammed Morsi memenangi Pilihan Raya Presiden, Jun lepas.

Sebelum berlepas ke Kaherah, kita mendapat khabar menerusi media bahawa keadaan di Mesir sekarang ini berada di dalam kacau bilau, akibat tentangan puak pembangkang terhadap kerajaan.

Malah, dengan melaporkan setiap hari ada demonstrasi beserta laporan mengenai kematian, media seolah-olah mahu menggambarkan kepada kita, kerajaan Presiden Morsi yang ditunjangi gerakan Ikhwanul Muslimin tidak stabil dan bermasalah.

Malah ada kalangan rakan-rakan dan sanak saudara yang bimbang berlaku huru-hara sewaktu kunjungan dilakukan.

Sebaik penulis menjejakkan kaki di Kaherah, Khamis lepas, Mesir yang baru mengalami cuaca sejuk, berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Semua berjalan dengan lancar dan baik. Tiada kekacauan, tiada kekecohan. Yang ada cuma pekikan dan hiruk pikuk hon di jalan raya, kerana perangai Arab yang suka menekan hon kenderaan.

Mesir bukan tiada masalah. Masalah memang wujud, penentangan terhadap kerajaan Morsi memang berlaku. Tetapi ianya tidaklah seriuh yang digembar-gemburkan.

Demonstrasi sentiasa ada. Ada demonstrasi pembangkang. Ada demonstrasi penyokong kerajaan.
Televisyen Mesir menyiarkan siaran secara langsung demonstrasi yang diadakan dan kita boleh membuat perbandingan yang jelas, demonstrasi mana yang mendapat sambutan, mana yang tidak.

10 juta rakyat demo sokong Morsi 

Sabtu lepas, dianggarkan 10 juta rakyat Mesir berhimpun di seluruh Mesir semalam, untuk menyokong pindaan Perlembagaan baru yang diusahakan Presiden  Morsi bagi menggantikan Perlembagaan di zaman Hosni Mubarak.

Pindaan Perlembagaan diusahakan kerajaan baru Mesir di bawah kepimpinan Ikhwanul Muslimin, melalui Parti Kebebasan dan Keadilan yang menang dalam Pilihan Raya Umum, Jun lepas.
Selepas dilantik menjadi Presiden Mesir, Morsi membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi merangka Perlembagaan rakyat untuk menggantikan Perlembagaan lama yang dianggap zalim dan diktator.

Draf cadangan Perlembagaan baru tersebut sudah dikemukakan ke pejabat Presiden dan Morsi sudah membuat pengumuman untuk menyerahkan Perlembagaan tersebut kepada rakyat menerusi referendum 15 Disember depan.

Bagaimanapun usaha Morsi mendapat tentangan hebat golongan fulul, iaitu saki baki kroni Hosni Mubarak dalam kerajaan diktator yang digulingkan menerusi kebangkitan rakyat 25 Januari 2011.

Kumpulan ini menguasai kuasa kehakiman iaitu Peguam Negara, Abdul Majid Mahmoud yang sudah ditukar jawatan sebulan lepas, untuk dihantar sebagai Duta ke Vatican.

Namun Abdul Majid menukar persetujuan beliau akibat tekanan pihak pembangkang yang berkepentingan untuk mensabotaj kerajaan baru.

Morsi kini berhadapan sekumpulan hakim-hakim tegar yang berusaha menghalang referendum rakyat.
Namun, perhimpunan terbesar dalam sejarah Mesir ini tunjangi sekitar 5 juta rakyat yang berhimpun di hadapan Universiti Kaherah, dan selebih di seluruh lokasi strategik seluruh negara, merencatkan rancangan pembangkang.

Mahkamah cuba bersidang Ahad lepas untuk menghalang draf Perlembagaan baru, namun berpaksa membatalkan sidang mereka kerana puluhan ribu penyokong-penyokong Morsi berhimpun di mahkamah.

Sejurus selepas penangguhan sidang Mahkamah, parti-parti pembangkang yang diketuai Parti Wafd, mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat di Mesir.

Parti pembangkang ini menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan 'Jabhah lil inqaz al-watani' atauGabungan Penyelamat Negara, yang dipimpin beberapa tokoh pembangkang.

Seperti Dr Mohamad al-Baradei, bekas calon Presiden Hamdin Sabbahi dan seorang lagi bekas calon PresidenAmr Mousa.

Perhimpunan terbesar rakyat Mesir menyokong Morsi bagaimanapun cuba disembunyikan media pro Barat yang hanya menunjukkan ketegaran segelintir penyokong pembangkang di Dataran Tahrir.

Setakat ini Mesir berada dalam keadaan yang amat aman, Morsi berjaya mengawal keselamatan dengan baik dan himpunan pembangkang yang ditaja Barat gagal mendapat sambutan.

Mengapa Barat dan sekutu cuba tumbangkan Morsi?

Umum mengetahui bahawa regim lama Mesir yang dikuasai Hosni Mubarak, merupakan sekutu rapat kepada Amerika dan Israel.

Apabila Mubarak ditumbangkan menerusi tsaurah (kebangkitan) rakyat, Mesir termasuk kelompok Arab Spring yang merubah struktur pemerintahan kerajaan, sejak reform dimulakan di Tunisia, Libya dan Maghribi.

Mesir merupakan lokasi strategik negara Arab untuk berhadapan dengan Israel. Selama ini, tempoh pemerintah zalim Mesir yang lunak dengan Israel sejak tahun 1960-an, sudah berakhir.

Paling ditakuti Amerika, Israel dan sekutu mereka ialah, Mesir kini dikuasai Ikhwanul Muslim, sebuah gerakan Islam yang mempunyai pengaruh yang luas di seluruh jazirah (semenanjung) Arab.

Justeru, penganalisis politik Asia Barat berpendapat, ada tiga negara yang hendak menggagalkan pemerintahan Morsi dan tidak mahu melihat kestabilan Mesir di bawah pengaruh Ikhwan.

Di Mesir, heboh dengan laporan yang diperolehi perisikan kerajaan bahawa, pembangkang di negara itu mendapat sumbangan kewangan daripada Emirah Arab Bersatu (U.A.E), Arab Saudi dan Kuwait.

Penganalisis berpendapat, mereka melakukan demikian,  pertama, kerana pengaruh Amerika yang kuat, serta hubungan rapat dengan blok Barat yang jelas mahu melindungi kepentingan Israel.

Malah kedangkalan pemimpin-pemimpin negara terbabit diperjelaskan dengan pembelian kelengkapan senjata serta jet-jet pejuang buatan Amerika yang menelan belanja puluhan bilion dollar.

Pembelian secara 'paksa' ini dibuat tatkala Amerika menghadapi krisis ekonomi yang meruncing, sedangkan hasilnya kebanyakan jet-jet pejuang terbabit tersadai di padang pasir kerana tidak berfungsi.

Faktor kedua, adalah kerana mereka irihati dgn kejayaan Mesir di bawah Morsi setakat ini, sedang memulihkan ekonomi Mesir, serta pengimbang tekanan jahat Israel terhadap Gaza, Palestin.

Ketiga, mereka bimbang Arab Spring akan merebak ke negara mereka dan menjatuhkan mereka dari tampuk kuasa, yang selama ini mereka tadbir secara diktator dan menindas rakyat.

Apa yang Morsi lakukan untuk Gaza

Ketakutan Israel cukup jelas dizahirkan mereka, selepas sahabat paling setia mereka Hosni Mubarak, tumbang di Mesir.

Kunjungan pertama kali ketua negara Arab, iaitu Emir Qatar ke Semenanjung Gaza dilihat sebagai ancaman terbuka terhadap kejahatan zionis terhadap umat Islam.

Sewaktu kunjungan ke Gaza sebelum serangan Israel, Emir Qatar, Sheikh Hamad Ibnu Jasim dengan jelas  mengatakan, beliau  dia tidak mungkin berada di Gaza jika tidak kerana tiga perkara.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, Sheikh Hamad mengatakan, beliau memijak bumi Gaza disebabkan oleh Mesir, Revolusi rakyat Mesir dan kerana Presiden Mesir.

Oleh sebab tidak tahan dengan elemen-elemen sokongan terhadap Gaza, Israel mula melakukan serangan selama lapan hari dengan mengebom Gaza sesuka hati.

Ada penganalisis berpendapat, selain menyasarkan pimpinan utama Hamas, serangan Israel yang disokong Amerika dan sekutunya di negara Arab, adalah bertujuan untuk memberikan tekanan kepada Presiden Morsi.

Langkah mereka ternyata silap. Pada hari pertama serangan dilakukan Israel, Morsi mengarahkan Duta Mesir di Tel Aviv supaya pulang ke Kaherah dan menutup kedutaan.

Langkah kedua Morsi di dalam menanggani isu Gaza, ialah pada hari kedua serangan, beliau mengarahkan Perdana Menteri Mesir melawat Gaza, memberikan sokongan dan mengenalpasti apa bentuk bantuan yang harus disalurkan segera.

Ketiga, Morsi mengarahkan pintu Rafah yang merupakan sempadan kedua-dua negara dibuka 24 jam untuk membolehkan bantuan dibawa masuk segera dan mangsa yang tercedera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

Morsi juga mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan dan pemimpin Hamas, Khalid Meshaal di Kaherah bagi menangani krisis tersebut.

Setakat ini, Morsi bersama rakan-rakan Ikhwanul Muslimin yang diketuai Mursyidul Am, Dr Mohammed Badie berjaya mengawal situasi dalam dan tekanan luaran Mesir dengan baik.

Namun tekanan dan pelbagai lagi ancaman dijangka dilakukan terus menerus oleh para penentang, yang tidak mahu Mesir melaksanakan keadilan dan demokrasi sebenar menurut Islam, yang bakal mengancam masa depan kuasa kuffar.

Kita berdoa agar Allah terus memberikan kekuatan kepada Ikhwanul Muslimin untuk menerajui Mesir sebaik-baiknya.

Wednesday, December 05, 2012

Perhimpunan terakhir Umno sebelum menjadi pembangkang

Meneliti ucapan-ucapan pemimpin Umno dan laporan besar-besaran media arus perdana yang menjadi alat propaganda mereka, dapatlah kita fahami bahawa Umno-Barisan Nasional, kini sedang berada di dalam kegelisahan dan ketakutan yang amat sangat.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dihebahkan secara besar-besaran, ternyata gagal melindungi kebimbangan mereka, bahawa kekuasaan yang mereka nikmati selama lebih 55 tahun di Malaysia, sudah tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Oleh sebab itu PAU 2012 yang diadakan minggu ini, dipergunakan sepenuhnya untuk mengecam Pakatan Rakyat dengan tujuan melabel imej buruk kepada parti yang bakal menggantikan mereka pada PRU-13 akan datang.

Usaha memburuk-burukkan Pakatan Rakyat terpaksa di buat kerana, di sebalik pelbagai janji perubahan, janji ditepati, janji BRIM yang ditabur Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, gagal memikat rakyat untuk kembali menyokong Umno-BN.

Kegagalan tersebut dibuktikan dengan dapatan kajian yang dijalankan secara profesional oleh sekumpulan pengkaji politik daripada universiti yang rapat dengan Umno bahawa mereka hanya mampu meraih 120 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Walaupun dapatan universiti itu dicanangkan bertujuan untuk memberitahu kononnya Umno-BN mampu terus berkuasa pada PRU-13, tetapi sebaliknya dapatan itu memberitahu bahawa semua janji yang ditabur Najib, hanyalah sia-sia.

Malah Najib diunjurkan, untuk mendapat tamparan yang lebih buruk daripada mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berkuasa pada PRU 2008 dengan 140 kerusi Parlimen.

Pada PRU tersebut, BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang kuasa di lima buah negeri, termasuk hanya tinggal satu kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menyebabkan Abdullah dan seluruh kroninya, dihambat keluar dari Umno, sehingga terpaksa meletakkan jawatan PM dan Presiden Umno.

Maka apakah nasib PM Najib, jika BN dikatakan boleh kekal berkuasa hanya dengan 120 kerusi Parlimen sahaja? Berapa buah negeri lagi Umno-BN akan hilang? Apakah Umno akan membiarkan Najib terus berkuasa selepas segala perbelanjaan besar ditabur untuk 'membeli' sokongan rakyat terus menemui kegagalan?

Lebih serius lagi, apakah apabila Umno sudah tahu, mereka menjangkakan prestasi Najib jauh lebih buruk daripada Abdullah, mereka akan membiarkan Najib terus menerajui Umno-BN untuk menghadapi Pakatan Rakyat pada dalam PRU depan?

Difahamkan, ada tekanan yang hebat dikenakan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad yang mendokong kuat TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Najib, yang mahukan perubahan dalaman Umno dibuat sebelum PRU.

Malah ada pandangan yang lebih keras dalam Umno yang mahukan Najib berundur dan memberikan kuasa kepada Muhyiddin untuk menerajui Umno-BN bagi berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Jelas kepada kita bahawa PAU 2012 sebenarnya, gagal menyatupadukan Umno untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menjadi medan pertelingkahan dalaman, medan serangan ahli-ahli Umno terhadap Najib yang dilihat gagal dan lembik , kerana dikatakan 'dikuasai' isteri beliau.

Sehingga hari ini ahli-ahli Umno tidak dapat menerima 'penguasaan Rosmah' dan menganggap beliau di antara penyumbang besar kepada kekalahan Umno-BN pada PRU depan.

Walaupun Umno bernasib baik kerana pertelingkahan mereka berjaya dikambus oleh media arus perdana, namun rakyat sudah menghidu 'bau busuk' daripada jasad Umno yang bakal menjadi bangkai dalam PRU nanti.

Inilah Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebagai parti pemerintah, kerana pada PRU nanti, Pakatan Rakyat akan memperolehi lebih 120 kerusi Parlimen untuk menerajui Putrajaya.