Monday, August 24, 2009

Pesanan Tok Guru Nik Aziz kepada pengundi Permatang Pasir

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.”

(Sebahagian dari Ayat 5 : Surah Al Bayyinah)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

Alhamdulillah. Menjelang 1 Ramadhan 1430, genaplah 8 warkah rayuan pengundi yang telah saya tulis dan tandatangani. Entah apalah rahsia yang tersimpan dalam lipatan perbendaharaan ilmu Allah yang Maha Luas itu sehingga berlaku 8 pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, tiada siapa jua yang mampu menekanya. Apa yang hanya boleh kita baca dari 7 pilihan raya kecil yang telah berlalu, parti yang bertanding dari Pakatan Rakyat (PR) telah menang sebanyak 6 kali berturut-turut. BN cuma menang 1 kali; itupun di Batang Ai,Serawak. Ini realiti dan ini kenyataan.

Pada kali ini Kerusi Permatang Pasir menjemput kita sekali lagi untuk turun ke gelanggang. Walaupun dengan penuh berat, kita terpaksa melepaskan Allahyarham Dato’ Hamdan kita untuk kembali menemuiNya. Bagi kita yang hidup, tuntutan sambungan jihad demi sebuah tanggungjawab wajib diteruskan. Sudah 3 penggal calon kita bersusah payah untuk mengangkat Islam dan sudah 15 tahun rakyat di Permatang Pasir memperbaharui kepercayaan agar PAS terus menerajui kerusi Dewan Undangan di Permatang Pasir ini.

Jika dibaca nilai istiqamah pengundi di sini di masa-masa lalu, ia jelas menunjukkan betapa tingginya iltizam, kenyakinan dan komitmen mereka. Walaupun mereka tentu boleh faham bahawa apalah sangat memberi kemenangan kepada PAS di kerusi ini dari segi memerintah negeri, namun pada saya, majoriti yang diraih Allahyarham pada 8 Mac 2008, melebihi 5,000 undi adalah teramat mahal. Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam palsu. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah Syurga Allah di akhirat kelak? Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.

Manakala bagi pengundi bukan Islam pula pada umumnya, saya seakan boleh menyelami keresahan yang sedang bergolak di hati saudara saudari sekelian. Di sana ada tuduhan rasuah berjumlah RM10 juta yang katanya melibatkan pemimpin MCA. Di sana juga ada kes kematian misteri seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock sewaktu berada di dalam siasatan (custody) SPRM. Di sana juga ada kes kematian Kugan sewaktu berada di dalam tahanan polis. Dengan insiden stadium runtuh dan gelanggang akuatik yang tidak selamat di Terengganu, keretakan yang berlaku di lebuh raya MRR2 serta LDP dan skandal di PKFZ Pelabuhan Klang yang bernilai berbilion ringgit, ramai pemimpin Umno yang kena gantung dan disabitkan kesalahan mengamalkan politik wang termasuklah Ketua Menteri Melaka yang masih ada sekarang, buruknya layanan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman untuk mengangkat nota bantahan ISA kepada DYMM Yang Dipertuan Agung, cederanya Sdr. Wong dan Gobalakrishnan di tangan SPRM dan Polis – pengamal undang-undang, para pencinta demokrasi dan pejuang hak asasi tidak mempunyai lain-lain harapan pemulihan untuk negara kita. Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh PR dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno/BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil. Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak Institusi Kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. InsyaAllah, ini akan berlaku tidak lama lagi.

Melihatkan trend sokongan non-muslim kepada calon Parti Islam SeMalaysia dan PR, khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, saya cukup mempunyai keyakinan. Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009. Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang.

Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini One Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut.

Akhir kata, gunakanlah kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat. Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar? Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan. Undilah Sdr. Saleh bin Man. Undilah PAS dan PR demi keadilan Islam.

“Ya Allah, saksikanlah. Hamba sesungguhnya sudah menyampaikan.”


NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS
Merangkap Menteri Besar Kelantan
Tanggal :1 Ramadhan 1430
22 Ogos 2009.

Kebenaran di sebalik kata Tok Guru Nik Aziz

Tanggungjawab semua pihak untuk daulatkan Islam

Sebagai umat Islam kita wajib percaya bahawa Islam adalah agama yang syumul, mencakupi segenap bidang dalam kehidupan, tanpa kecuali.

Umat Islam yang berpegang kepada akidah Islam yang sebenar wajib berpegang kepada enam rukun iman dan lima rukun Islam.

Rukun iman mencakupi keimanan terhadap Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat serta qada' dan qadar.

Manakala rukun Islam pula mewajibkan seseorang itu mengucapkan syahadah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan ibadah haji.

Inilah tunjang keimanan dan takwa yang seharus wujud, diamal dan dilaksanakan oleh manusia-manusia yang bergelar Islam.

Sebagai sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya, sudah tentu PAS tidak boleh lari, malah bertanggungjawab untuk menegakkan Islam dari segenap aspek yang termampu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua sebuah kerajaan negeri, setakat bidang kuasa yang ada padanya, beliau mahu Islam dipraktikkan dari segala aspek.

Ianya bukan kehendak Tok Guru, tetapi ianya adalah arahan daripada Allah. Dan selaku ketua kerajaan yang beriman kepada Allah dan Kitab-Nya, Tok Guru amat bimbang jika sekiranya beliau tidak melaksanakan Islam yang sepenuhnya, nescaya beliau akan diheret dan dihukum oleh Allah di akhirat kelak.

Maka sebagai umat Islam yang taat, Tok Guru amat akur dengan arahan dan peringatan daripada Allah, sebagaimana firman-Nya pada ayat 44, 45 dan 47 Surah al-Maidah, yang dengan tegas menyatakan bahawa barangsiapa yang tidak menjalankan hukum sebagaimana yang diturunkan Allah, maka mereka termasuk di kalangan orang-orang kafir, zalim dan fasik.

Keadaan yang sama berlaku di Terengganu sewaktu PAS berjaya mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Di Kelantan dan Terengganu, kedua-dua Tok Guru berusaha melaksanakan Islam sebagaimana tuntutan Allah dalam segenap bidang termasuk politik, ekonomi, mualamat, syariat dan sosial.

Malangnya ketika PAS yang ditunjangi oleh orang-orang Melayu yang beragama Islam, mahu mengamalkan Islam dengan sepenuhnya, Umno menentang sekeras-kerasnya.

Direkodkan beratus-ratus ungkapan, kecaman dan penghinaan terhadap Islam dan PAS, yang terhambur dari mulut kepimpinan tertinggi Umno.

Jika Umno benar-benar Islam, mengapa Umno menentang dasar dan perlaksanaan Islam di Kelantan dan Terengganu?

Umno hanyalah sebuah parti politik orang-orang Melayu, yang majoritinya beragama Islam, tetapi tidak pernah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Umno adalah sebuah parti nasionalis yang rasis. Itupun tahap rasisnya amat-amat dipertikaikan.

Umno yang pada pemimpinnya terlalu banyak mengeluarkan kata-kata penentangan dan penolakan terhadap Islam, tidak layak untuk mempertikaikan Islam yang diamal dan yang dibawa oleh PAS.

Umno tidak layak untuk mengecam PAS yang berkawan dengan DAP yang sudah jelas dianggotai bukan Islam yang menolak Islam. PAS tahu dengan siapa PAS berkawan dan pada tahap mana persefahaman harus dimeterai.

Jika Umno benar-benar Islam, jangan menyibukkan diri menghentam DAP yang sudah jelas bukan Islam, Umno harus muhasabah diri, mengapa mereka sebagai orang Islam mengenepikan Islam dari segenap aspek sejak sekian lama memerintah negara?

Rentetan daripada penolakan Umno terhadap Islam ini, maka memang benarlah kata-kata Tok Guru Nik Aziz bahawa:

"Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam, Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa oleh Umno.

"Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur."

Justeru, jika Umno benar-benar anak jantan dan mahu berdebat soal siapa benar dan siapa salah, jangan hanya tahu berkokok dengan menggunakan media pengampu sahaja.

Sila kumpulkan segala alim ulama sama ada anggota majlis fatwa atau mufti-mufti untuk berhadapan dengan ulama-ulama daripada PAS.

Kita boleh ketepikan aspek politik, marilah kita berdebat dan muzakarah dengan cara yang ilmiah, Islam cara mana yang mampu membawa umatnya ke syurga.

Wednesday, August 19, 2009

Demokrasi terus dicabul di Permatang Pasir

Rakyat Malaysia sekali lagi dihidangkan dengan episod pilihan raya kecil, kali ini di Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Permatang Pauh Pulau Pinang.

Pilihan raya merupakan salah satu elemen penting dalam proses demokrasi dalam sesebuah negara, untuk rakyat memilih wakil mereka dengan adil dan saksama.

Dalam proses demokrasi tiap-tiap parti politik, sama ada mereka mewakili pemerintah atau pembangkang, seharusnya diberikan peluang yang saksama, bertanding dengan bebas dan diberikan hak untuk berkempen dengan seadil-adilnya.

Namun setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, ketidakadilan dalam perjalanan proses sering dipertikaikan.

Pilihan raya seharusnya diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi perantara yang seimbang kepada semua parti-parti politik yang bertanding.

Malangnya keseimbangan proses demokrasi dalam pilihan raya tidak wujud di Malaysia.

Proses dan amalan demokrasi sudah dicabul awal-awal lagi apabila perlantikan jawatan-jawatan utama dalam SPR adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

Perdana Menteri pula adalah Presiden Umno, yang sudah tentu akan melantik orang kepercayaannya yang mampu melindungi kepentingan Umno-Barisan Nasional, serta melaksanakan dasar untuk membantu penerusan kuasa parti yang memerintah.

SPR bukannya badan yang benar-benar bebas seperti yang dituntut dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang tulen.

SPR hanyalah salah sebuah daripada jentera kerajaan, sama seperti polis, tentera, jabatan penerangan, jabatan kebajikan dan lain-lain, menjadi alat untuk memenangkan Umno-BN.

Kuasa yang diperolehi Umno-BN selama lebih 50 tahun memerintah negara, menjadikan mereka terlalu dominan, menguasai jentera kerajaan dan memanipulasikan penggunaan media secara berleluasa.

Kuasa ini juga dengan sendirinya membentuk pemikiran Umno-BN yang menjadi terlalu besar dan angkuh, juga sentiasa beranggapan bahawa mereka adalah tuan kepada negara ini.

Mereka mewujudkan demokrasi bukan untuk membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat. Sebalik mereka berselindung di sebalik demokrasi, menggunakan segala ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan yang dicipta mereka, untuk mengekalkan kuasa mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini Umno-BN menjadi fobia apabila satu demi satu kuasa mereka direngut oleh kebijaksanaan rakyat.

Setelah terbelenggu dalam perangkap minda selama 50 tahun, rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka sudah muak dengan Umno-BN.

Rakyat sedikit demi sedikit, sudah beralih meninggalkan Umno-BN, untuk mencari platform baru, iaitu Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat diberikan kepercayaan besar untuk menerajui beberapa buah negeri yang paling maju dalam negara.

Dalam tempoh setahun setengah Pakatan Rakyat memerintah di beberapa buah negeri, ia berjaya membuktikan kemampuan menguruskan pentadbiran, politik, ekonomi dan mewujudkan sistem sosial yang baik.

Kejayaan Pakatan Rakyat ini dicemburui oleh Umno-BN. Pelbagai taktik dan usaha dilakukan untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat. Umno-BN berjaya merampas kuasa di Perak, namun di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mereka masih buntu dan gagal.

Setakat ini segala usaha mereka untuk mengekang pengaruh Pakatan Rakyat dengan menggunakan taktik pecah belah sering menemui jalan buntu dan ditolak rakyat.

Malah pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan kesepaduan yang amat jitu dalam PRK Permatang Pasir yang sedang berlangsung sekarang.

Di sebalik pergeseran kecil yang diperbesarkan, pemimpin Pakatan Rakyat semakin matang menunjukkan kesepaduan. Inilah kehendak majoriti rakyat sebenarnya.

PRK Permatang Pasir merupakan satu lagi episod baru yang menguji kematangan berpolitik Pakatan Rakyat dalam sistem demokrasi ala Umno-BN yang tempang ini.

Pakatan Rakyat adalah simbol ketuanan kuasa rakyat. Hanya kuasa rakyat sahaja yang mampu mengembalikan negara ke landasan demokrasi yang benar-benar tulen.

Friday, August 14, 2009

Kegelojohan dan ketamakan pemimpin Umno yang membinasakan bangsa Melayu

Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dihimpit dengan tuduhan dan fitnah, tatkala beliau sedang kesibukan menguruskan pertuduhan yang dihadapkan ke mahkamah. Namun, segala tekanan dihadapi dengan tenang kerana tohmahan terbaru, iaitu soal pengkhianat Melayu, terlalu kecil jika dibandingkan dengan tuduhan berat yang diterima sejak tahun 1998.

Beliau optimis isu ini dapat diatasi dengan sebaiknya.

Wawancara wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan jurugambar, WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu di pejabatnya pada 12 Ogos 2009, mengupas banyak persoalan kritikal, termasuk soal masa depan Pakatan Rakyat.

Harakah : Mutakhir ini, kita dapat lihat beberapa isu yang berbangkit dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah menggambarkan adanya sedikit masalah, ada yang membicarakan isu antara parti dalam akhbar-akhbar pro-Umno. Soalnya, bagaimana harus didisiplinkan semua anggota Pakatan Rakyat dari terjebak dengan permainan media musuh?

Anwar : Saya kira mesyuarat Pakatan Rakyat pada Khamis (13 Ogos 2009), itu harus menjadi pentas yang menentukan halatuju Pakatan Rakyat yang berikutnya, dan kalau setakat majlis pimpinan, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan saya.

Nampaknya kita cukup iltizam untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat ini. Kalau begitu jadi prinsipnya maka beberapa kaedah harus ditentukan. Pakatan Rakyat harus mantap, persefahaman harus lebih jelas dan tidak ada terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsirkan menimbulkan persepsi negatif.

Dalam hal ini insya-Allah saya percaya apa-apa masalah yang bersangkutan setakat ini kita dapat dileraikan awal. Justeru seperti yang saya sebut dalam mesyuarat, kita mahu menentukan ke arah mana kita (Pakatan Rakyat) menghala.

Selepas kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, apa yang dilihat kita masih tidak sedar akan strategi BN, malah kita terpalit dengan psywar BN termasuk dalam isu dalaman. Bagaimana Dato' Seri melihat hal ini?

Kita berdepan dengan serangan BN cara rakus, dan perbalahan kecil antara kita dibesarkan seperti masalah besar, oleh media pro Umno. Jika kita telah memahami hal ini mengapa harus kita perbesarkan?.

Walaupun ruang musyawarah ada, dan bantahan boleh dikemukakan melalui saluran yang telah disediakan. Sebab itu bagi saya pimpinan parti di semua peringkat perlu menyedari hal ini agar mereka tidak terperangkap dengan mainan media Umno ini dan tidak berbalah dalam surat khabar BN.

Lihat sahaja kes rampasan kuasa di Perak, cara gugat dan muslihat kotor jahat di Selangor, kalau hal ini disedari dapat saya tekankan secara keras jangan kita berikan ruang pada hal ini.

Semua orang boleh bicara soal pendirian tetapi prinsip jangan diketengahkan kepada Utusan Malaysia, prinsip atau pendirian ini boleh diketengahkan kepada pimpinan. Isu agama dan kepentingan Melayu ataupun kaum-kaum lain kita boleh bahaskan.

Saya kira kekuatan Pakatan Rakyat berbeza dengan Umno-BN, dalam Umno tiada ruang bicara, apa yang ditentukan oleh ketua jadi satu keputusan sebaliknya dalam pakatan kita, iklim politiknya sangai baik.


Sejak PRU 2008, BN terus menyerang Dato' Seri dan Pakatan Rakyat dalam isu kepentingan Melayu khususnya, aspek ini berterusan, bagaimana Dato' Seri melihat ini?

Ini hanyalah langkah terdesak Umno, dia gunakan media, mereka gunakan kekayaan yang dikumpul dari syarikat-syarikat yang ada kroni ini untuk serang kita, kalau ada alasan boleh saya jawab.

Ini serangan masuk 'round' ke-11 iaitu tahun ke-11, sejak 1998 saya diserang. Mereka menyerang saya dengan mengumpulkan dari isu pro-Yahudi pro Amerika, dan kini pro-Cina serta anti-Melayu, ini kemunafikan mereka dalam perbicaraan.

Najib berbicara soal 'One Malaysia' supaya menarik sokongan masyarakat Cina, India bersama, dan di sebelah pihak.

Muhyiddin pula berbicara soal Melayu dan menyerang kononnya kita penderhaka Melayu, yang nyata ini satu kontradiksi antara mereka.

Kalau mereka kemukakan persoalan menjawab wacana, wacananya perlu segar dan tidak harus mengarah kepada sikap perkauman dan saya tetap pertahankan, saya dan anggota dalam Pakatan Rakyat, khususnya PAS komited menjaga kepentingan Melayu Islam.

Dalam Pakatan Rakyat, kita telah menandatangani bersama ikrar menjunjung prinsip Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan hak Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, tetapi mereka (Umno) ini hanya tahu kuasa.

Saya cuba elak serangan peribadi dengan Muhyiddin, jadi saya tumpu pada isu pokok siapa yang serah dana awam, bukit-bukau kepada tauke judi?

Siapa yang serahkan pula saham kepentingan Melayu yang miskin kepada pihak asing?

Namun apabila Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin memberikan tanah kepada Cina yang miskin itu dijadikan isu perkauman oleh Umno melalui media mereka. Ini kita telah jawab sebelum ini.

Keduanya yang kita serang bukan kerana kekayaan Melayu tetapi penyalahgunaan kuasa, membolot tanah, saham, kontrak dan AP (permit import) siapa yang dapat? Pemimpin Umno, keluarga dan kroni yang dapat.

Semalam (dalam sidang media 11 Ogos 2009 ) saya sebut Bernas yang juga ditubuhkan semasa saya menjadi Menteri Kewangan, ia ditubuhkan atas alasan mahu menjaga kepentingan penanam padi tetapi ternyata dibolot oleh pimpinan Umno dan djual pula kini kepada kepentingan syarikat Cina Hong Kong dan akhirnya dengan dasar yang diamalkan Umno-BN ini nasib petani tidak terbela.

Keuntungan yang dicatat Bernas ratusan juta ringgit tetapi petani masih hidup merempat, kekayaan diambil oleh kroni walhal ia sepatutnya habuan dan hak petani Melayu yang miskin.

Lihat sahaja kepada pemandu teksi yang terpaksa berpeluh mencari nafkah halal, sedangkan semua AP, lesen dan saham kroni Umno yang kaut keuntungannya.

Silakan jawab persoalan ini? Kalau nak kumpul antara 200 ke 300 orang bantah saya hanya kerana tuduhan saya pengkhianat, silakan, namun kita juga akan gunakan hak kita untuk jawab.

Dato' Seri ada sebut tadi bahawa ada semacam kontradiksi antara Najib dan Muhyiddin dalam pendekatan masing-masing, satu rasis satu lagi seolah-olah membuka ruang, apakah ini sebenarnya watak perpecahan dalam Umno?

Saya lihat inilah orang kata, tindakan yang terdesak di kalangan pimpinan Umno. Secara umumnya mereka kini terdesak kerana sokongan semakin berkurang, sebab itu pemimpin merestui rindakan dan permainan oleh orang yang kita fikir tidak aktif dalam politik lagi yang ada kepentingan, yang sengaja menggunakan isu ini.

Tetapi ternyata ada pergelutan dan perebutan dalam Umno sendiri sebab Muhyiddin mahu kononnya memperjuang bangsa sebaliknya Najib pula kononnya mahu memperjuang semua kaum.

Saya tidak ada masalah dan tidak mahu fikir soal sama ada ini akibat perpecaan Umno, tetapi kita harus menjurus kepada isu pokok dan saya tidak fikir mereka mampu berbicara hal ini.

Oleh kerana mereka gagal hujah mereka hanya main isu seperti dahulu di Perak dalam soal derhaka, dan sekarang ini di sini isu pengkhianat.

Isu ini tidak dijawab, siapa yang khianat dari segi bolot kekayaan rakyat, mengapa lepas 51 tahun merdeka nasib orang Melayu masih tertinggi miskin?

Agenda kita dalam Pakatan Rakyat jelas dalam isu kekayaan negara harus lebih tertumpu membela nasib masyarakat miskin, jumlah besar mereka ialah Melayu Islam.

Dalam isu PPSMI, dan beberapa isu agama yang lain, Umno-BN mengambil pendekatan yang menyusahkan bangsa dan agamanya sendiri, apa pandangan Dato' Seri?

Ini berlaku kerana kekalutan akibat dari dasar yang dibuat secara terburu-buru, di Parlimen kita sebut yang mengkhianati dasar bahasa Melayu itu ialah pimpinan Umno. Kita gunakan perkataan pengkhianatan bahasa kerana apa yang kita lihat walaupun kata mereka mahu menghentikan dasar PPSMI ini, namun kini mereka berdolak dalih mahu laksana kemudian mahu patah balik mahu laksana sekerat.

Dalam Pakatan Rakyat, soal dasar bahasa, pendirian kita ialah kita tidak boleh tolak ansur sama sekali dalam usaha dan rangka memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tekad dan tahap pengusana yang membanggakan, bukan apa yang ada sekarang ini kerana penguasaan di tahap rendah.

Keduanya, maknanya langkah-langkah harus diambil supaya semua kaum di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil menguasai bahasa Melayu, program dilaksanakan, tetapi dalam masa yang sama mutu bahasa Inggeris kita kena tingkatkan, jangan dikhianati pogram pendidikan yang disepakati dalam memperkukuh Bahasa Melayu, sementara penguasaan bahasa Cina, Tamil, Perancis.

Bahasa Arab dan sebagainya perlu digalakkan, kerana umumnya dunia menerima. Penguasaan banyak bahasa ini adalah menjadi satu tradisi sejarah Islam dahulu, dia memang kebanyakannya alim itu menguasai bahasa Arab dan Parsi serta Urdu, malah pelbagai bahasa lain, dan ini yang nak kita ketengahkan.

Dato' Seri, berbalik kepada isu pengkhianat, apakah asas Dato' Seri mahu saman Muhyiddin?

Ia, asasnya ialah menuduh orang sebagai pengkhianat bangsa, itu berhubung jenayah fitnah, jadi saya tak mahu berikan laluan mudah kepada orang yang boleh semberono menyerang sebab dia ada kuasa dan menguasai media, jadi keangkuhan ini harus diselesaikan.

Walaupun saya tahu prosesnya itu mengambil masa dan kita tak pasti sama ada mahkamah berani untuk layan tuntutan kita, saya harap ini boleh membantu.

Cara menjawabnya sepatutnya mempertahan dengan mereka membuktikan, tetapi apa yang saya lihat cara dia (Muhyiddin) jawab dengan menggunakan Utusan Malaysia dan umum dia pembela bangsa, dia kerah orang miskin pertahankan sikap gelojoh orang yang mengumpul kekayaan, ini satu sikap yang mengaibkan dan ini menghina orang Melayu.

Kalau kita lihat tanah, saham AP kontrak berbillion ringgit itu yang dikumpul oleh segelintir pemimpin Umno, dan keluarga, apabila mereka terdesak dia gunakan sedikit dari keuntungan dan cuba beli dan mempergunakan semangat penyokong mereka, kalau penyokong tahu dasar dia membinasakan orang Melayu baik dari sudut bahasa mahupun ekonomi, dan jika mereka tahu Umnolah yang memulakan penjualan lesen arak dan judi yang berleluasa, jika orang Melayu sedar hal ini mustahil mereka akan sokong Umno lagi.

Barangkali isu ini dimainkan setiap kali menghampiri pilihan raya kecil (PRK) dan mungkinkan ini juga merupakan satu signal PM mahu mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, mungkin setahun lagi?

Kita tidak tolak kemungkinan itu, dan bagi saya kita kena siap awal, kerjasama yang mantap dalam Pakatan Rakyat dengan jentera pakatan supaya menghadapi sebarang kemungkinan tetapi isu seperti ini jadi isu sementara.

Saya lihat isu ini isu terakhir di mana isu yang habis mereka fikir untuk menggunakan isu penderhaka kepada Melayu, ini menampakkan mereka sebenarnya terlalu terdesak.

Saya diserang selama 11 tahun, dengan senarai pertuduhan itu puluhan dan ini kali yang ke-11 dan ia sangat terdesak yang akhir, mudah0mudahan kita tamatkan riwayat keangkuhan mereka ini dengan isu ini.

Kini dibangkitkan pula soal wasiat Raja-Raja Melayu, seolah-olahnya mahu menyindir Pakatan Rakyat, apa pandangan Dato' Seri?

Mereka menguasai media, kalau wasiat Raja-Raja Melayu ini siapa yang bantah? Saya hendak tanya kepada mereka, soal pengkhianatan kepada Raja Melayu ini, siapa yang membolot kekayaan negara?

Mereka ini cuba memainkan isu peruntukan Perlembagaan, seolah-olah membayangkan Pakatan Rakyat tidak setuju. Kita telah menjawab, namun malangnya jawapan kita tidak masuk dalam akhbar mereka. Serangan isu pengkhianat Melayu ini dalam Utusan Malaysia, kalau kita kumpul lebih dari 40 halaman, sebaliknya jawapan kita tidak masuk pun.

Apa sebabnya? Sebabnya ialah mereka takut dengan jawapan kita, kita jawab dalam majlis penerangan kita berdepan dengan rakyat, kita jelaskan mereka datang, di Permatang Pasir nanti kita akan berikan lagi penjelasan kepada rakyat.

Bagaimana Dato' Seri melihat persepsi rakyat dalam isu ini?

Saya optimis kerana walaupun media berbahasa Cina itu lebih terbuka dan media Melayu dikongkong sepenuhnya oleh Umno, rakyat tidak mudah dibodohkan, jika mereka pilih baca Utusan Malaysia dan terpengaruh, mustahil kita (Pakatn Rakyat) menang dalam enam kerusi pilihan raya kecil sebelum ini.

Rakyat sebenarnya tidak terpukau dengan propaganda Umno-BN. Walaupun PRK Manek Urai, mereka umumkan mereka menang moral yang besar, namun ini sebenarnya memperlihatkan mereka ini yang rakus pemikirannya.

Bagi saya ini pertarungan yang tak adil sama sekali media dipergunakan ketika kempen, ugutan dan mereka lupa kenyataannya bahawa dalam 14 tahun, Kelantan dikuasai PAS, amat sukar hendak pertahankan kerusi, apatah lagi hendak menang.

Justeru itu saya lihat ia (Manek Urai) kemenangan besar, begitu juga dalam PRK lain, dalam sejarah PRK, kawasan Melayu sukar untuk ditawan pembangkang, tetapi selepas era 2008, keadaan sudah berbeza.

Di Penanti pun akhirnya Umno-BN tidak letak calon mereka ini suatu yang sangat berbeza.

Di Permatang Pasir nanti Umno-BN kata mereka ada kemungkinan menang, namun saya yakin dengan majoriti besar yang kita ada dan dengan sahabat-sahabat, keluarga dan pengundi yang saya kenal sangat di sana, sebab Permatang Pasir itu di bawah Parlimen Permatang Pauh, dan dengan sikap dan teladan yang sangat baik yang ditunjukkan Allahyarham Dato' Hamdan Abdul Rahman, saya yakin kita dapat pertahankan kerusi ini.

Ada terdengar suara kononya akar umno KeADILan mahukan calon mereka di Permatang Pasir, ada penjelasan Dato' Seri?

Ia di peringkat awal memang saya dengar, tetapi dalam parti, kita sebut kita bagi ruang kepada mereka untuk suarakan pandangan, namun dalam tempoh lapan jam selepas isu itu timbul, kita berjaya menutup isu ini.

Kerana bagi saya dan KeADILan memikirkan adalah tidak wajar kita letak calon kerana ini tidak sihat untuk parti.

Kita letak prinsip baik, malam itu juga selepas tamat memorandum dari mereka, malam itu juga saya dan kepimpinan parti membuat keputusan bahawa kerusi Dun Permatang Pasir adalah kerusi PAS atas nama Pakatan Rakyat.

Saya dan kalangan kepimpinan KeADILan akan bekerja sekeras mungkin, saya sukacita hendak sebutkan di sini bahawa jentera KeADILan telah dikerahkan siap sedia, petugas peti undi telah disiapkan, dan saya yakin kerjasama KeADILan dan PAS di Permatang Pasir sangat baik, dan saya akan monitor di Permatang Pauh.

Cuma saya dukacita 17 Ogos ini saya tidak dapat sertai penamaan calon, tetapi saya dah bagi tahu Ustaz Hadi, saya ada urusan yang tidak dapat dielak.

Dato' Seri tidak runsingkah dengan permainan media Umno-BN di Permatang Pasir nanti dengan isu pengkhianat?

Hendak kata runsing tidaklah, sebab Umno-BN serang saya pada Ogos 2008 dahulu (waktu pilihan raya kecil Permatang Pauh) lagi parah, alhamdulillah lagi banyak majoriti kita menang.

Mereka serang saya sejak dari tahun 1998, kaset dan VCD tiap rumah di Permatang Pauh dah dapat semua kaset fitnah terhadap saya tanpa kecuali, termasuk Permatang Pasir, jadi jika nak ulang tayang silakan, cuma saya hendak nasihatkan persoalan ini qazaf dan ini fitnah, saya akan jawab isu terbaru khianat pada 16 di Permatang Pasir.

Kita melihat majoriti kepada PAS dalam pilihan raya Manek Urai merosot, dan paling dilihat ialah majoriti golongan muda mula beralih sokongan, apakah ia akan ada kesan kepada Permatang Pasir?

Ia saya ingat di Manek Urai itu 'trend' ada sedikit peralihan. Tetapi tengok soal calon, program kita dengan pemuda, ini kita kena ambil perhatian.

Calon di Permatang Pasir mestilah yang boleh menarik perhatian pemuda, dan struktur jangan rasa selesa walaupun di Permatang Pasir majoriti kita cukup meyakinkan. Tetapi saya beri tahu kita tidak boleh ambil sikap sambil lewa.

Malah kerahan tenaga PAS dan KeADILan perlu maksimum. Apa yang baik ialah saya lihat, bila saya bertanding Ogos lalu kawan-kawan PAS bekerja kuat, seluruh PAS seluruh negara bekerja, ini saya yakin kekuatan kita.

Bila PRK kita buktikan bahawa perpaduan dalam Pakatan Rakyat sangat baik, biarpun ada desas desus sedikit tetapi ia bukan satu petanda persahabatan retak tetapi ini demokrasi yang sihat, secara umumnya dalam PRU dan PRK, hubungan kerjasama Pakatan Rakyat PAS cukup besar.

Wednesday, August 12, 2009

Menyingkap agenda tersirat Muhyiddin

TIMBALAN Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba-tiba membuka gelanggang perdebatan, dengan mendakwa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Media massa yang menjadi alat pengampu Umno-Barisan Nasional digunakan sehebat-hebatnya untuk menyerang Anwar dan mengecam PAS yang turut diheret sama kononnya menggadai masa depan Melayu-Islam kerana berkawan dengan DAP.

Seolah-olahnya Muhyiddin dan media pengampunya mahu memberitahu rakyat bahawa Umnolah sebuah parti yang jujur dan tulen memperjuangkan nasib Melayu.

Jujurkah Umno? Tulenkah Umno? Memang isu ini amat menarik untuk diperdebatkan, khususnya oleh orang-orang Melayu, kerana ia bakal membuktikan kepada rakyat, siapa sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Seharusnya Muhyiddin mencermin diri sendiri terlebih dahulu, apakah perjuangan Umno benar-benar tulen untuk membela nasib bangsa? Jika Umno pejuang tulen, mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal?

Muhyiddin harus juga memikirkan, apakah beliau semasa menjadi Menteri Besar Johor tidak lama dahulu, beliau tidak terbabit dalam mengadaikan tanah dan kepentingan Melayu kepada bukan Melayu, khususnya rakyat asing dari negara jiran?

Dalam isu PPSMI misalnya, yang diakui sendiri beliau di Perth baru-baru ini dengan mengatakan 3 juta pelajar Melayu menjadi korban dasar PPSMI.

Soalnya mengapa Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno menyokong dasar 'membunuh' bangsa yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulu?

Muhyiddin hanya membuka pekung Umno. Sekaligus beliau memberitahu rakyat bahawa betapa bodohnya pemimpin-pemimpin Umno yang menyokong dasar PPSMI secara membuta tuli, demi kepentingan politik Umno, walaupun dasar itu menindas bangsanya sendiri?

Dalam kolum ini, penulis belum berhasrat untuk membahaskan persoalan siapa sebenar pengkhianat Melayu secara terperinci.

Penulis mahu melontarkan persoalan dari sudut yang berbeza, iaitu mengapa tiba-tiba sahaja Muhyiddin beria-ia mencanangkan ketuanan Melayu dan menempelak Anwar, yang pernah menjadi pemimpin yang disokong dan disanjungnya sebagai pengkhianat?

Penulis beranggapan 'tembakan' Muhyiddin terhadap Anwar bukan bertujuan untuk membunuh karier politik Anwar semata-mata. Beliau ada agenda yang lebih besar dari itu.

Justeru, apa agenda tersirat Muhyiddin dalam konteks ini? Pada penulis tindak tanduk Muhyiddin sebenarnya mencurigakan orang-orang Umno sendiri.

Tatkala Presiden Umno dan PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bercakap soal One Malaysia, rakyat pelbagai bangsa diutamakan, Muhyiddin pula bercakap sebaliknya, seolah-olah mempamerkan beliau seorang yang rasis.

Tindakan Muhyiddin bercanggah dengan aspirasi Najib yang meuar-uarkan dasar liberalisasi pentadbirannya, yang menarik balik atau memansuhkan puluhan dasar kepentingan bumiputera.

Umno kini ibarat kapal dengan dua nakhoda. Apa yang berlaku ialah wujud perbezaan ketara antara Najib dengan Muhyiddin. Ini menunjukkan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam Umno masih wujud, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi.

Politiking dalam Umno memang hebat. Masing-masing tidak mempercayai rakan sendiri, masing-masing berjuang untuk melindungi kepentingan peribadi dan puak. Najib takut dicantas Muhyiddin dan Muhyiddin juga mahu mencari jalan untuk menjadi PM.

Masa tidak mencukupi buat Muhyiddin kerana usianya lebih tua daripada Najib. Beliau hanya boleh tunggu sepenggal sahaja lagi untuk menaik setakuk. Barangkali Muhyiddin juga bimbang, beliau akan mengulangi nasib Tan Sri Musa Hitam sewaktu menjadi TPM di zaman Mahathir dahulu.

Oleh itu, sewaktu Najib sibuk mencari sokongan bukan Melayu, Muhyiddin mengorak langkahnya sendiri dengan percubaan untuk menjadi 'jagoan' menjuarai isu-isu Melayu. Najib cuba membuat reform supaya Umno lebih terbuka dan tidak rasis, sebaliknya Muhyiddin menarik 'gear' kebelakang.

Muhyiddin bukannya memperjuangkan semangat ketulenan Melayu, beliau hanya mahu memperkuatkan 'political base'nya sahaja.

Muhyiddin tahu teras sokongan kepada Umno ialah dari orang-orang Melayu, bukan dari bangsa lain. Bagi Muhyiddin inilah masa yang terbaik buat beliau, iaitu sewaktu Umno lemah, untuk membangkitkan semangat rasis atau nasionalisme Melayu.

Ini adalah strategi serampang dua mata. Jika selepas ini dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil atau Umum, Umno-BN kalah juga, bermakna dasar One Malaysia yang diperkenalkan Najib merupakan suatu kesilapan.

Maka ketika itu orang-orang Umno yang dalam setahun dua ini dibentuk dengan persepsi bahawa Muhyiddin adalah nasionalis tulen, akan menuding jari pula kepada Najib, sekaligus menyuruh PM berundur dan digantikan dengan Muhyiddin.

Dalam politik Umno tiada jaminan setiakawan. Muhyiddin bersama Najib dalam satu kumpulan wawasan yang bertembung dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sekumpulan dengan aruah Tun Ghafar Baba dalam pertembungan sengit Umno tahun 1993.

Mereka 'naik' dalam parti bersama Anwar, meninggalkan dan membuang Anwar sebaik bekas TPM itu dipecat pada tahun 1998.

Selepas Abdullah lantik TPM oleh Mahathir, Muhyiddin meninggalkan Najib yang sekumpulan dengannya dahulu untuk menyertai 'geng' Abdullah pula.

Selepas kegagalan besar Umno-BN pada PRU 2008, Muhyiddin mengambil kesempatan dari kelemahan Abdullah, 'menikamnya dari depan' dengan membuat gesaan berulangkali supaya berundur dari jawatan PM.

Maka dalam keadaan sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti, Najib juga, jika tersilap langkah, akan menerima nasib yang sama dengan Abdullah.

Semua ini hanya sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa, pemimpin-pemimpin Umno bukannya jujur memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi lebih kepada perjuangan untuk kepentingan peribadi, demi merebut jawatan dan kuasa.

Reform untuk memperbaiki Umno dari dalam akan terus menemui kegagalan kerana mereka mempunyai pemimpin-pemimpin yang materialistik dan tamak.

Hanya kuasa rakyat sahaja yang boleh menghentikan semua kedangkalan ini.

Thursday, August 06, 2009

Solidariti rakyat menolak ISA

Perhimpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur 1 Ogos lalu berjaya menghimpunkan puluhan ribu rakyat dari pelbagai kalangan latarbelakang, agama dan bangsa, menyatakan kesepakatan menolak kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Walaupun tidak berjaya menghantar memorandum bagi merayu Yang DiPertuan Agong supaya menggunakan budibicara baginda untuk memansuhkan ISA akibat pelbagai sekatan dan halangan dari pihak polis, namun mesej rakyat berjaya disampaikan.

Pihak istana khususnya Raja-raja Melayu seharusnya mengambilkira bantahan besar-besaran rakyat dari sudut yang positif, iaitu rakyat menuntut keadilan dan sepakat menolak kezaliman ISA.

Media arus perdana yang dikawal Barisan Nasional cuba menggambarkan sebaliknya. Mereka cuba memaparkan kononnya para peserta Himpunan Mansuhkan ISA bertindak ganas, akibat dipengaruhi orang politik yang mempunyai kepentingan tertentu.

Tiada kepentingan individu politik dalam hal ini, tiada kepentingan mana-mana parti politik. Tetapi jelas usaha memansuhkan ISA adalah antara agenda politik bagi Pakatan Rakyat, bukan untuk kepentingan sekelompok manusia, tetapi ia adalah untuk kepentingan seluruh rakyat.

Media arus perdana cuba melarikan isu asas tentang mengapa rakyat berhimpun bagi mendesak Kerajaan Umno-BN supaya memansuhkan ISA.

Pakatan Rakyat mendukung perjuangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana selama Umno-BN berkuasa, mereka banyak mengambil kesempatan politik yang dibenarkan oleh Perlembagaan yang menguatkuasakan ISA.

Pemimpin Umno-BN menggunakan ISA untuk melindungi kepentingan politik mereka. ISA memberi kuasa kepada polis yang dibawah arahan Menteri Dalam Negeri, untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki atas alasan menggugat keselamatan negara.

Mereka yang ditahan di bawah ISA tidak punyai hak untuk membela diri, mereka dituduh, dijatuhkan hukuman dan ditahan di Kem Tahanan Kemunting tanpa sebarang pembelaan dari sudut undang-undang.

Tahanan ISA adalah mangsa kezaliman. ISA bercanggah dengan demokrasi dan mencabul hak asasi manusia. Tahanan dipisahkan daripada anggota keluarga dan masyarakat, tanpa ada ruang untuk membela diri.

Suatu ketika Akta ISA digubal pada tahun 1960 adalah untuk mengekang pengaruh golongan kiri sama ada komunis.

Namun akibat kerakusan dan ketamakan kuasa ISA disalahgunakan untuk melindungi salahlaku politik pemimpin Umno-BN.

Rakyat yang berhimpun sebenarnya amat merasai kezaliman yang ditimpakan Umno-BN ke atas mangsa-mangsa tahanan ISA yang tidak berdosa.

Mereka juga menyedari apakah implikasi atau bahana yang akan menimpa jika mereka melanggar undang-undang negara.

Rakyat hanya mahu berhimpun secara aman, mereka mahu menunjukkan solidariti menolak kezaliman ISA dan mahu merayu kepada YDP Agong agar mempertimbangan kepentingan rakyat seluruhnya.

Rakyat yang berhimpun tidak melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merusuh atau mengganas seperti yang digambarkan, mereka sebenarnya menjadi mangsa provokasi polis.

Jelas, di sebalik ugutan dan amaran polis, rakyat tetap komited berhimpun. Perhimpunan mansuhkan ISA menunjukkan keberanian rakyat yang semakin berani bersuara untuk mempertahankan dan melindungi hak mereka.

Sebenarnya sudah tiada justifikasi ISA dikekalkan. Umno-BN harus sedar bahawa implikasi penolakan ini amat besar dari sudut politik. Ia bakal memberikan impak yang buruk kepada Umno-BN jika tetap enggan tunduk kepada aspirasi rakyat.

Pantun Tok Guru menghambat keinsafan



TOK GURU tidak perlu banyak berbicara. Tok Guru tidak perlu mengangkat suara untuk menyampaikan amanat atau pesanan buat generasi muda.

Cukup dengan sehimpun pantun yang penuh dengan kiasan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam berfikir mengenai diri, keluarga dan negara.

Buat pertamakalinya Tok Guru berpantun ketika merasmikan Konsert Antara Dunia 2009 anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Rabbani Production (M) Sdn Bhd.

Konsert yang berlangsung 1 Ogos lepas di Stadium Malawati Shah Alam, menambilkan tiga kumpulan gergasi nasyid tanah air seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan.

Turut membuat persembahan ialah remaja Makkah al-Mukarramah yang menamakan kumpulan mereka dengan nama Nibras serta kumpulan Shoutul Harokah, dari Partai Keadilan Sejahtera Indonesia.

Seperti kata aluan Presiden Gamis, Dzul Khairi Mohd Nor, Tok Guru merupakan ikon buat remaja Muslim, walaupun semakin dimamah usia, tetap terus memimpin ummah, berdakwah dan menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.

Bagi penyanyi Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, kesudian Tok Guru merasmikan konsert merupakan suntikan semangat bagi kumpulan nasyid untuk terus berdakwah melalui bidang seni.

Ikuti bait-bait pantun Tok Guru:

Rendang kayu kerana daunnya
terpandang Melayu kerana pantunnya

Kalau berladang kurang tekun
lesap padi ditelan belukar
kalau hilang tukang pantun
senyap sunyi bandar yang besar

Kapal belayar dari arakan
selit besi jadi kemudi
mati ikan kerana umpan
mati ambo (saya) kerana budi

Tuan Puteri ke Tanjung Keling
bilah mengkuang dianyam tenang
biar isteri benci menjeling
tetaplah abang terkenang-kenang

Naik bertamu di Pulau Tawar
singgah menjala di Kampung Buntal
Pahit jeling menjadi penawar
Abang simpan di bawah bantal

Hujung rusuk patah tulang
kena tindih kayu rasak
kalau sungguh rindukan bulan
tunggu dulu lepas Isyak

Tebuk kayu dengan pahat
kelek mangkuk pakai topi
kata mahu keluar jihad
nampak tersangkut di kedai kopi?

Anak ayam turun lapan
mati seekor tinggal tujuh
harap berdoa kepada Tuhan
supaya terang jalan bersuluh

Tiang sehasta dibuat galah
berpanjang lengan kait melati
berjuang kita ke jalan Allah
biar dengan sepenuh hati

Manis sungguh dokong tuan
malam resah pelita mati
payah apa sokong bulan
mungkin susah tapi tak mati

Apa dirisau hantu jembalang
Al Quran dibaca berhari-hari
tubuh besar janggut panjang
bunyi wisel kenapa lari?

Dayung sambil pasir kemudi
air deras di Ulu Tersat
jangan diambil jalan yahudi
itu sah menuju sesat

Ikan belanak ditutup saji
saji dianyam oleh Pak Mahat
orang khianat jangan dipuji
makin dipuji makinlah jahat

Sejak kera masuk negeri
anak Merbah mati tersepak
sejak ketua sibuk mencuri
anak buah jadi perompak

Burung Punai burung Kelicap
hinggap berkawat di hujung dahan
tidak guna lawa dan kacak
jika melawan hukum Tuhan

Tanam halia tumbuh lengkuas
semak daun si api-api
apa guna kaya rasuah
esok dipanggang di atas api

Terbang kunang di tengah malam
hinggap masuk di tiang seri
tangan kanan ajak bersalam
apa maksud pisau di kiri

Hujung kota patik menanti
Orang Kaya Laksamana Bentan
tuan berkata sesuka hati
karamlah saya tujuh lautan

Tuanku umpama emas segetus
segak bertempat indah seorang
hamba umpama selipar yang putus
tiba bertempat dilupa orang

Bermamah sirih di tengah pelita
pahit mulut sampai ke pagi
beradu susuh taji pendeta
terbit suluh batil pun pergi

Biar bersambung bedilan Ferenggi
takku tinggal ini kota
Islam berbumbung di awan tinggi
mengatasi segala mainan kata

Gua Bama Sungai Hulu
Kuala Damak berbatu karang
hamba umpama dagang lalu
nasi ditanak milik orang

Rata lapang Gunung Tahan
Bukit Rapat Bukit Cekati
kita menumpang bumi Tuhan
jangan dibuat sesuka hati

Daun palas ikan kelah
mari diikat dengan tali
niat ikhlas kerana Allah
syirik tidak sekali-kali

Papan tualang mari diukir
buat tongkat si kayu jati
sayang malam hidup berzikir
kuat ibadat sebelum mati

Akar tersesat jambu batu
ikat kolek bertali kain
resam ibadah niat tertentu
bukan boleh di buat main

Jalan bengkok terkial-kial
sambil mengupas limau lengkap
tengokkan songkok bagikan kiyai
kenapa membaca tergagap-gagap?

Apa guna berkain batik
jika labuh berbayang-bayang
apa guna beristeri cantik
jika subuh tidak sembahyang

Teluk Rokan tempat memancing
angkat raga berisi gelas
jika ikan umpanya cacing
syarat syurga ialah ikhlas

Tunas selasih dibuat rebung
asah belati diasap damar
bercerai kasih boleh disambung
berpisah mati putuslah amal

Putus amal jika mati
itu muktamad dari Allah
cuma ada tiga kecuali
anak soleh, ilmu dan sedekah

Lantang bersahut burung bebarau
kayu jati di buat sarang
adab hidup kita bergurau
sudah mati terguling seorang

Dari Demak ke Makasar
bergalah perahu tidak berbaju
maafkan hamba jika terkasar
Allah jua tempat dituju

Pisang dusun kacip cekati
sireh dibilas luar rumah
saya berpantun dari hati
tuan balas tiba di rumah

Indah sungguh Tanjung Sedeli
Pulau Seratus dilambai nyonya
sepanjang mana seutas tali
akan ada terus hujungnya.

Tuesday, August 04, 2009

Umno gadai agama dan ketuanan Melayu


TIADA siapa yang boleh memadam sejarah Malaysia bahawa Umno merupakan satu-satunya parti Melayu yang majoritinya penganut agama Islam, berjaya menerajui negara sejak sebelum merdeka lagi.

Umno yang memperjuangkan nasionalisme Melayu, menjadi peneraju utama kerajaan Barisan Nasional yang turut dianggotai beberapa parti nasionalis yang lain.

Asas utama kepada penyatuan BN yang diterajui Umno ialah penyatuan bangsa-bangsa Melayu-Cina dan India (terutamanya), untuk membentuk suatu perikatan atau gabungan daripada pelbagai kepentingan bangsa dan agama.

Parti-parti nasionalis ini begitu lantang memperjuangkan ideologi dan idealisme masing-masing, untuk mencapai matlamat asasi iaitu memelihara, memupuk dan mempertahankan kepentingan bangsa dan agama mereka.

Tidak dinafikan gabungan parti-parti nasionalis ini mendapat apresiasi rakyat, apabila mandat berterusan diberikan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih 50 tahun.

Lebih separuh kurun rakyat memberikan penguasaan mutlak BN terhadap negara. Dalam tempoh itu juga secara tidak disedari, ianya secara tidak sengaja membentuk minda diktator di kalangan pemimpin Umno-BN.

Mereka sering merasakan mereka terlalu kuat dan gagah dan tidak mampu ditumbangkan oleh sesiapa pun. Mereka turut mempunyai persepsi bahawa mereka adalah tuan kepada sistem politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan segala-galanya dalam negara ini.

Dan dengan kekuatan penguasaan yang sekian lama itu menyebabkan pemimpin Umno lupa dan lalai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai sebuah parti yang memelihara kepentingan agama Islam dan ketuanan orang-orang Melayu.

Sejak Umno-BN menguasai negara, populasi kependudukan orang Melayu merosot sedikit demi sedikit daripada lebih 70 peratus kepada 51 peratus sahaja. Kuasa Melayu dari sudut politik terhakis kerana populasi menurun.

Kuasa Melayu dari sudut ekonomi juga gagal diseimbangkan dengan kaum-kaum lain kerana Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan gagal mencapai sasaran, akibat ketamakan segelintir pemimpin Umno.

Malah kekuatan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam juga, tidak dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan kerana Umno mengambil dan melaksanakan agama secara berpilih-pilih.

Dalam ertikata lain, Islam pada Umno, hanya akan dilaksanakan, pada aspek-aspek yang menepati kepentingan politik, untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana tuntutan syarak.

Hari ini kuasa politik Umno yang menjadi tonggak kekuatan politik Melayu dicanangkan semakin terhakis. Hakikatnya kuasa politik Melayu terhakis bukan kerana banyak kawasan yang ditandingi Umno, kini sudah dikuasai PAS atau KeADILan.

Sebaliknya ia berpunca daripada, kesilapan pemimpin Umno yang hanya mementingkan kuasa politik lebih daripada kepentingan bangsa yang menjadi asas perjuangan selama ini.

Dengan kuasa majoriti lebih dua pertiga di Parlimen Umno-BN membahagi-bahagikan kerusi melalui persempadanan kawasan pilihan raya sehingga menyebabkan kerusi majoriti Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

Negeri-negeri di mana ramai penduduk minoriti bukan Melayu, diperbanyakkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, manakala negeri majoriti Melayu tidak ditambah kerusi Dun dan Parlimen.

Persempadan semula kawasan pilihan raya yang dikuatkuasakan pada 2003 misalnya, memecahkan banyak kawasan majoriti Melayu dengan memasukkan jumlah pengundi bukan Melayu yang agak besar, untuk mengalahkan PAS dan KeADILan.

Jelas Umno mahu mengekalkan kuasa mereka, dengan hanya semata-mata bergantung kepada manipulasi politik terhadap bukan Melayu yang dianggap akan tetap setia dengan Umno-BN khususnya.

Kesilapan ini amat besar sebenarnya. Percaturan Umno bahawa bukan Melayu akan kekal menyokong mereka, memakan diri. Apabila pengundi bukan Melayu beralih arah kepada Pakatan Rakyat, Umno semakin gusar. Umno mendakwa kuasa politik Melayu sudah semakin terhakis.

Umno sebenarnya hanya mahu memadamkan hakikat bahawa, terhakisnya kuasa politik Melayu adalah kerana kesilapan dan ketamakan mereka untuk mengekalkan kuasa.

Permainan politik Umno-BN ini sudah tidak boleh diterima rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka sedang dilanca kecelaruan yang tidak berkesudahan akibat kekalahan besar dalam PRU ke 12 yang lalu.

Pada saat ini bukan sahaja Umno yang sedang celaru. Seluruh parti komponen BN juga turut dilanda kecelaruan. Mereka tidak sedar bahawa Umno, MCA, Gerakan, MIC dan seluruh anggota komponen BN sedang menerima hukuman yang berat iaitu penolakan yang berterusan daripada rakyat.

Saturday, August 01, 2009

Mentaliti rasis Umno gagalkan One Malaysia


AHAD lepas penulis berkunjung ke sebuah pasar di Gombak. Sedang meninjau-ninjau dan tawar menawar dengan penjual ikan, tidak semena-mena penulis disapa orang seorang pakcik, rambut sudah dipenuhi uban, agaknya dalam lingkungan usia 60-an.

"Buat apa beli ikan pada orang Cina, orang Melayu kan ada, kita orang Melayu beli pada Melayulah," katanya selamba.

Lalu penulis menoleh kepada pakcik tersebut, dia memakai t-shirt berwarna biru gelap, berseluar slack warna biru gelap juga, seperti warna rasmi Barisan Nasional. Orangnya agak kurus, rambut bersisir rapi, misai dan janggutnya tiada kerana kemas dicukur.

"Kenapa pakcik cakap macam tu," tanya penulis ringkas.

"Pakcik hairan dengan anak muda sekarang ini, semangat Melayunya sudah hilang, tak mahu tolong bangsa sendiri," katanya menambah perli.

Terdetik di hati penulis, betul juga kata pakcik, orang Melayu ada tanggungjawab membantu peniaga Melayu. Tetapi tahukah pakcik mengapa penulis berbuat demikian.

"Saya nak masak ikan kerapu, tapi kat pakcik tu (peniaga Melayu) tak ada, salah ke saya beli kat apek ni," kata penulis membela diri.

"Okay. Lain kali anak mesti kat Melayu, kita mesti bagi Melayu kuat dalam ekonomi, dalam politik. Kalau Melayu lemah bangsa lain akan ambil kesempatan," syarahnya bersemangat.

"Wah..pakcik cakap macam Khairy Jamaluddinlah," usik penulis.

"Ha ha ha," pakcik menyeringai. Besar ketawanya, berbangga kerana nadanya setaraf dengan super hero yang seorang itu.

Perbualan kami terhenti seketika kerana ada orang yang lalu menyapa beliau, bertanya tentang mesyuarat agung Umno bahagian. Dari bual bicaranya dengan seorang rakan, penulis dapat mengagak pakcik ini mungkin orang kuat Umno di peringkat cawangan.

"Apa ini olang (orang) cakap Melayu..Melayu..kita Cina bukan olang Malaysia ka," getus apek, seusai pakcik dan rakannya berlalu pergi.

"Lain kali apek cakapla sama dia, apek MCA..dia Umno..sama-sama kawan," kata penulis.

"Itu dua-dua (MCA, Umno) sama saja..talak (tiada) guna, lain tahun kita kasi tukar," getus apek keberangan.

Mungkin ada kewajarannya apek berasa hati dengan sikap orang yang seperti pakcik tadi.

Tambahan pula dia orang Umno, tetapi bercakap dengan nada yang sangat perkauman. Pada penulis, sikap rasis pakcik ini sudah bercanggah dengan konsep One Malaysia yang dijaja Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Maka ada juga persoalan yang dilontarkan, sebab apa nak jaja One Malaysia? Adakah selama ini kerajaan tidak mengamalkan dasar itu dalam 50 tahun Barisan Nasional memerintah dengan pelbagai gabungan parti.

Sikap yang ditunjukkan pakcik tadi hanya satu contoh sahaja. Mungkin ramai lagi yang mempunyai sikap yang begitu rasis.

Tetapi jika hendak dpersalahkan pakcik tersebut semata-mata pun tidak wajar juga. Dia jadi begitu sebab dia didoktrinkan sekian lama oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Memang dari sudut politik Umno bergabung dengan MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya membentuk satu perikatan BN sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi hasil penggabungan ini sebenarnya hampas semata-mata. Ianya suatu penggabungan yang kukuh dari segi retorik, namun fragile atau rapuh dari segi kerjasama.

Sebab itu sering kedengaran dalam Perhimpunan Agung Umno, pemimpin-pemimpin yang rasis ini sering menghunuskan keris, kononnya mempertahankan ketuanan Melayu, seraya memberi amaran kepada kaum-kaum lain.

Sebab itu juga MCA dan Gerakan juga mempunyai semangat kecinaan yang menebal. Sering membuat tuntutan yang berbaur perkauman. Meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri, meminta banyak jawatan Menteri.

MCA dan Gerakan juga sering melaung-laungkan desakan penghapusan kuota, menuntuk hak pengajian di universiti, menuntut pembahagian ekonomi yang adil dan sebagainya.

Begitu juga dengan MIC, tiada lain yang diperjuangkan selain kepentingan masyarakat India semata-mata.

Bukan hendak dikatakan tidak wajar diperjuangkan kepentingan bangsa. Memang wajar kepentingan sesuatu bangsa dilindungi.

Semua desakan ini hanya membuktikan kepada kita bahawa dasar integrasi nasional dan dasar-dasar perpaduan yang diamalkan oleh BN selama ini, gagal mencapai kesepaduan nasional.

Dalam masyarakat yang prural atau majmuk sebegini, kepentingan nasional harus mengatasi kepentingan kepuakan atau perkauman.

Usaha Najib untuk mencapai gagasan One Malaysia, berkemungkinan tidak akan dapat terlaksana jika Umno terus menanamkan semangat rasis di kalangan ahli dan penyokongnya.

Bukan bersikap rasis tidak perlu, ia perlu. Tetapi Umno selama ini mengasah fahaman rasis itu untuk mengekalkan kuasa politiknya, bukan perjuangan Melayu yang tulen.

Doktrin ini juga diterapkan Umno semasa kursus-kursus Biro Tatanegara (BTN) sejak sekian lama. Tanyalah kepada mereka yang pernah dibrainstormingkan oleh BTN, semuanya diprogramkan untuk pro Melayu, rasis dan meniupkan semangat perkauman yang menebal.

Semua ini hanya membuktikan bahawa betapa Umno menganut fahaman realis. Realis dalam erikata mereka akan membuat apa sahaja untuk mencapai matlamat politik.

Pemimpin Umno akan meniupkan semangat ketuanan bangsa Melayu, tatkala Melayu semakin menjauhi Umno, sebaliknya mereka akan menghapuskan kepentingan Melayu dari sudut politik, ekonomi dan kebajikan sosial, untuk memenangi kembali hati bukan Melayu.

Fahaman realis inilah yang akan membunuh masa depan Umno. One Malaysia, hanyalah satu konsep lama yang digubah dengan brand baru atau new rebranding untuk mencapai matlamat politik jangka pendek Umno-BN.

Hala tuju politik Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti masih begitu kabur kerana rakyat semakin yakin masa depan mereka adalah bersama Pakatan Rakyat.