SELEPAS tiga hari saya bersama anggota rombongan Yayasan Amal Malaysia berada di Kaherah, ibu negara Mesir, kami masih tidak mendapat lampu hijau untuk masuk melalui sempadan jalan darat di Rafah.
Walaupun kita membawa misi kemanusiaan, walaupun kita membawa barangan perubatan, ataupun barangan makanan asas, semuanya tidak menjadi alasan yang boleh diterima pihak berkuasa Mesir, khususnya yang mengawal sempadan Mesir-Palestin.(Gambar disisi Medan Tahrir yang menjadi saksi kebangkitan jutaan rakyat Mesir menumbangkan Hosni Mubarak).
Sesiapa yang berhajat untuk merentasi sempadan, atas apa sebab sekalipun, mereka harus mendapat kebenaran dari Mesir, Israel dan Amerika Syarikat.
Rakyat Palestin juga tidak mudah untuk keluar dari sempadan. Yang dibenarkan hanya orang-orang tua, perempuan dan kanak-kanak serta orang-orang sakit sahaja. Kaum lelaki yang berusia antara 18 hingga 40 tahun tidak dibenarkan keluar.
Itu pun menurut maklumat yang diterima dari Palestin, daripada ribuan permohonan rakyat untuk masuk ke Mesir, dalam sehari hanya sedikit sahaja yang dibenarkan.
Keadaan ini berlaku kerana suasana politik Asia Barat masih tidak kondusif untuk umat Islam, khususnya rakyat Palestin yang sentiasa menghadapi tekanan, sekatan dan pengawasan regim Zionis Israel yang mendapat bantuan Amerika Syarikat dan sekutu mereka di Mesir.
Selepas empat bulan Presiden Mesir, Hosni Mubarak dijatuhkan, keadaan kehidupan rakyat Palestin tidak banyak berubah. Mereka terus terpaksa merempat untuk meneruskan kehidupan akibat tekanan yang semakin keras dan sentiasa memuncak terhadap mereka.
Keadaan politik di Mesir masih tidak banyak membantu Palestin. Yang tumbang adalah Hosni Mubarak dan kroni-kroni utamanya di peringkat atasan, tetapi pengawai-pegawai yang menjadi barua pendokong kezaliman Hosni tetap berada di situ.
Mereka ini yang menyusahkan birokrasi dan menyempitkan diplomasi. Mereka ini, tidak mustahil menjadi golongan yang dibayar untuk ‘serve’ kepentingan Israel yang dilindungi AS.
Khabarnya lebih 20 ribu agen AS bertebaran di Mesir sejak berlakunya demonstrasi (muzaharat) 25 Januari yang menyaksikan kebangkitan (tsaurah) rakyat. AS terpaksa memperuntukkan berbilion USD untuk melindungi Israel dengan apa cara sekalipun.
Sejak dahulu lagi pemerintah Mesir di zaman Hosni, beserta dengan pegawainya adalah ‘hamba-hamba’ AS yang dibayar untuk menindas umat Islam Palestin, sekali gus melindungi kepentingan Israel.
Oleh sebab itu AS cukup takut dengan perkembangan di Mesir. AS mengawasi setiap saat dan setiap pergerakan keluar masuk dari Palestin.
Untuk membantu Palestin kita hanya ada dua pilihan. Sama ada kita hendak melalui cara mudah ataupun kedua, cara yang berisiko tinggi.
Mudah maknanya dengan mendapat kebenaran atau ‘blessing’ daripada pihak berkuasa Mesir (yang pro-AS). Cara ini memerlukan tempoh dalam sebulan, dengan memohon kebenaran diplomatik dan mengisytihar apa sahaja barangan yang dibawa ke Palestin.
Cara sebegini mudah kerana ia berlaku dalam pengetahuan agen-agen perisik (mukhabarat) Israel yang pastinya memantau ke mana sahaja pergerakan dan ‘contact person’ yang berada di Palestin.
Cara ini membolehkan delegasi kemanusiaan masuk ke sempadan Mesir-Palestin menerusi pintu Rafah (Ma’bar Rafah).
Cara yang susah adalah memasuki Palestin menerusi terowong (nafak) atau ‘lorong tikus’ yang dibina. Ada ribuan terowong. Cara ini dinamakan ‘tariq ghaira rasmi’ atau cara tidak rasmi. Dalamnya lorong ini dikatakan mencapai 50 meter ke bawah tanah.
Menerusi cara yang sukar inilah satu-satu caranya jalan untuk menyalurkan segala bantuan sama ada perubatan atau makanan. Huraian cerita lanjut akan saya perjelaskan pada rencana yang akan datang, insya-Allah.
Namun cara ini berisiko tinggi kerana jika ditangkap, ia akan mendatangkan kesukaran kepada pihak terbabit.
Menyedari cara begini tidak menguntungkan Israel, pihak berkuasa Mesir pada 2010 sebelum jatuhnya Hosni Mubarak, berusaha menyekat saluran terowong dengan memacak jeriji besi.
Apa pun, mesej yang hendak disampaikan dalam ruangan ini ialah, tiada jalan mudah untuk membantu rakyat Palestin. Masih banyak lagi yang harus diusahakan untuk membantu rakyat Palestin.
AS dan Israel tidak sesekali akan memberi laluan mudah kepada segala bentuk bantuan disampaikan ke Palestin.
Ada banyak yang hendak ditulis, ada banyak cerita menarik mengenai Mesir yang akan diceritakan kemudian. Saya berhenti setakat ini kerana sedang mengusahakan perjalanan yang jauh ke Libya, merentasi Gurun Sahara. Perjalanan dijangka menjangkau sehingga 1000 km. Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment