Tidak sampai tiga minggu selepas gegak gempita seluruh negara berikutan kemenangan tipis Barisan Nasional di Hulu Selangor, kini mereka tunduk membisu akibat kecundang di Sibu.
Momentum yang dibina bahawa kononnya rakyat sudah beralih arah menyokong BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat, ternyata menemui jalan buntu.
Selepas setahun Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kuasa, sokongan rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional masih belum dapat dipulihkan.
Pakatan Rakyat, khususnya KeADILan selama ini dicaci dan ditempelak. Media-media talibarut Umno-BN cuba membentuk suatu persepsi untuk mendorong rakyat menolak Pakatan Rakyat, dengan alasan perpecahan dalaman KeADILan, dan kerana ia diketuai oleh seorang yang tamak, yang semata-mata berjuang untuk kepentingan diri, untuk menjadi Perdana Menteri.
Ini dakwaan BN sebelum dan selepas BN menang tipis Hulu Selangor. Namun, apakah selepas BN tumbang di Sibu, bermakna semua dakwaan yang cuba didoktrinkan BN ini, tidak diterima dan ditolak rakyat?
Yang jelas, dalam menghadapi beberapa siri Pilihan Raya Kecil, semua media propaganda, agensi dan jentera kerajaan dikerah untuk memastikan kemenangan BN dengan apa cara sekali pun.
Mereka cuba menerapkan doktrin hanya BN yang mampu menerajui negara.
Melalui media tali barut mereka, diwujudkan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat tidak stabil dan berpecah belah. Ditempelak calon Pakatan Rakyat dengan serangan peribadi yang melampau.
Semua ini bertujuan untuk 'memahat' sokongan terhadap BN di minda rakyat. Tetapi sehingga kini, Umno-BN terus gagal. Walaupun mereka menang di Hulu Selangor, tetapi undi Pakatan Rakyat yang diperolehi pada Mac 2008, sehingga 25 April 2010, tidak berkurangan.
Di sebalik serangan hebat media, ratusan juta dicurahkan untuk merasuah pengundi, dan dipindahkan lebih 10 ribu pengundi Pakatan Rakyat ke kawasan lain, semua ini gagal menurunkan sokongan rakyat kepada Dato' Zaid Ibrahim.
Sama ada di Hulu Selangor atau di Sibu, para pengundi menunjukkan dengan jelas bahawa, rakyat begitu konsisten mendukung Pakatan Rakyat.
Undi Pakatan Rakyat tidak pernah menyusut, bahkan bertambah.
Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu dan pengekalan undi di Hulu Selangor, menunjukkan beberapa indikasi antaranya, pertama; Kaum Cina konsisten menolak BN. Kedua; Golongan muda terus memihak Pakatan Rakyat. Ketiga; Hanya kelompok tua atau golongan tertutup maklumat sahaja yang mengundi BN.
Justeru untuk jangka panjang, keadaan ini amat membahayakan BN, sekaligus memberi advantage kepada Pakatan Rakyat.
Bahaya bagi BN kerana, selama ini kekuatan mereka hanya bergantung kepada pengundi Melayu, kelompok saluran satu dan saluran dua serta kawasan yang berada dalam lingkungan mundur.
Pengundi yang berada dalam lingkungan ini tidak akan kekal kerana kebergantungan mereka kepada BN hanya berasaskan kepada 'ketakutan' iaitu 'takut tak dapat makan', 'takut tak dapat subsidi' dan sebagainya. Sokongan yang berasaskan kepada 'ketakutan' ini bukannya fundamental, ia adalah sokongan yang rapuh.
Kelompok pengundi di saluran satu dan dua semakin menyusut, anak-anak muda kebanyakannya tidak mahu tinggal di kawasan kampung atau Felda.
Mereka berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan.Jika anak-anak muda ini dapat mencari rezeki yang baik di bandar, kemudiannya mereka terdedah dengan kemudahan akses informasi, maka kebergantungan kepada BN sudah tidak diperlukan.
Untuk jangka panjang, mereka akan menjadi penyokong Pakatan Rakyat dan mempengaruhi ibu bapa mereka di kampung, untuk mengundi Pakatan Rakyat.
Pecahan kawasan Parlimen daripada jumlah 222 kerusi Parlimen, hampir separuh daripadanya adalah kawasan yang ditentukan kemenangannya oleh kaum bukan Melayu, sama ada ia untuk Pakatan Rakyat atau BN.
Dalam erti kata lain, ia mencakupi kawasan majoriti pengundi Cina atau kawasan tiada majoriti Melayu. Di Semenanjung sahaja, kawasan-kawasan seperti ini ada lebih 85 kerusi.
Ini belum termasuk, kawasan majoriti Melayu yang dimenangi PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan di Perak Utara. Jumlah ini juga belum termasuk kerusi-kerusi yang seumpama dengannya di Sabah dan Sarawak.
Dilihat kepada kecenderungan pengundi dari beberapa siri pilihan raya kecil selepas PRU 2008, daripada fakta pengundian, kaum bukan Melayu, khususnya Cina, kekal menolak BN dan pengundi Pakatan Rakyat tidak berganjak walaupun ditekan dengan propaganda yang teruk.
Berdasarkan semua fakta ini, politik Malaysia sudah mengalami suatu perubahan yang sangat besar. Ia merupakan anjakan paradigma, sekaligus penolakan kepada kuasa mutlak BN.
Tsunami politik pada 2008 bukannya faktor sementara. Pakatan Rakyat adalah fenomena yang tidak boleh ditolak. Ia sudah diiktiraf sebagai suatu force yang mewakili aspirasi rakyat.
Sebab itu BN tidak mempunyai banyak pilihan. Mereka terpaksa berusaha memecahbelahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Hanya dengan strategi memporak perandakan Pakatan Rakyat, BN mungkin boleh kekal pada PRU ke-13.
Setakat ini usaha memporak perandakan Pakatan Rakyat terus gagal. BN bukan sahaja gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat, malah BN sedang menghitung hari-hari kecundang mereka dari tampuk kuasa Persekutuan.
Justeru, keputusan PRK Hulu Selangor dan Sibu, sebenarnya membuka jalan seluas-luasnya kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya.
No comments:
Post a Comment