Entah mengapa Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, 31, begitu berminat dengan haiwan beruk, monyet dan pelbagai istilah yang berkaitan dengannya.
Ketika berlaku 'pertembungan' antara bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu, Khairy melabelkan penentang bapa mertuanya sebagai beruk.
Beberapa minggu ini politik negara, khususnya para penulis di alam siber dan para bloggers diriuhkan dengan keceluparan Khairy dengan melabel mereka sebagai monyet.
Istilah beruk dan monyet dalam politik Malaysia bukan perkara baru
Ada banyak faktor mengapa orang politik suka menggunakan istilah beruk atau monyet, untuk diumpamakan atau dilabelkan kepada sekelompok manusia atau individu tertentu.
Antaranya, penglabelan beruk melambangkan kepatuhan seseorang yang hodoh terhadap ketua secara membabi buta dan monyet dikiaskan kepada pembuat cerita-cerita yang keruan sehingga heboh dan riuh rendah di dalam belantara.
Istilah-istilah ini ditujukan dan ditempelak kepada pesaing atau musuh tertentu sebagai suatu lambang penghinaan yang buruk sehodoh wajah dan perangai beruk atau monyet.
Beruk atau monyet politik yang menjadi pesaing politik sebagaimana yang diistilahkan oleh Khairy Jamaluddin, tidak harus ditujukan kepada orang yang di luar rumah Umno sahaja.
Sebelum menuduh orang luar Umno, Khairy harus sedar ada atau tidak beruk dan monyet dalam Umno? Khairy juga harus sedar jika beliau melabel pesaing politiknya sebagai beruk dan monyet, apakah mereka tidak membalikkan label berkenaaan terhadapnya?
Bukan sekadar beruk atau monyet, kini hantu pula
Sekarang ini, musuh-musuh Khairy dalam Umno, bukan sahaja melabelkannya sebagai beruk atau monyet, malah ada yang menggelar beliau sebagai hantu dalam Pergerakan Pemuda Umno.
Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Umno Petaling Jaya Selatan di Sunway Resort Hotel, 12 Ogos lepas Ketua Umno Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim mengesa agar Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein meneruskan memimpin Pergerakan Pemuda.
Zahar membuat gesaan demikian di hadapan Hishamuddin yang menjadi tetamu khas yang dijemput untuk merasmikan mesyuara berkenaan.
Zahar menyifatkan Pergerakan Pemuda Umno kini adalah umpama sebuah rumah “berhantu” sehingga mengganggu ketua rumah, hingga ketua ingin meninggalkan rumahnya.
Zahar mengesa agar 'hantu' dalam rumah (Pemuda) dihalau sebaliknya.
Jelas Zahar secara berkias 'hantu' itu ialah orang nombor 2 (Khairy) dalam pergerakan itu dan kiasan tersebut mendapat sorakan hangat dari para perwakilan.
Banyak lagi ucapan beliau yang menyentuh sejarah perjuangan Umno, antaranya bagaimana pemimpin yang duduk di atas (menjadi Perdana Menteri) mendapat didikan tersusun sebelum mewarisi kepimpinan Umno.
Secara khususnya beliau menggesa Umno menolak pemimpin yang naik secara 'diparachutkan' atau kerana berpeluang naik kerana bapa mertuanya PM.
Mungkin Zahar tidak bermaksudkan hantu itu Khairy, mungkin juga Dato' Norza Zakaria. Entah bagaimana hendak Khairy tafsirkan dakwaan yang dibuat oleh Zahar tersebut.
Tetapi secara 'direct'nya ia merupakan suatu signal bahawa, laluannya untuk naik menjadi Ketua Pemuda Umno, seterusnya bakal PM termuda Malaysia, bukannya mudah.
Sekatan kepada perjalanan politik beliau, bukan disebabkan oleh orang di luar Umno, tetapi ianya ada adalah beruk dan monyet dalam partinya sendiri.
Kini beliau sendiri sudah dilabel sebagai hantu. Hah! Jawablah sendiri.
Nilai kesetiaan beruk dan monyet dalam Umno
Apa pun sebagai orang politik, Khairy harus sedar bahawa sejarah politik dalam Umno membuktikan tiada siapa yang terlalu setia walaupun semasa pemimpin berkuasa mereka akan mendapat sokongan ampuh daripada partinya sendiri.
Lihatlah apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Selama 22 tahun beliau berkuasa dalam parti dan kerajaan, menerima ikrar ketaatan yang terlalu hebat dalam sejarah Umno, tidak sampai dua minggu meletakkan jawatan, semua penyokongnya sudah lari.
Ini adalah bukti politiking beruk, monyet dan pengampu-pengampu yang mendokong serta menyokong tanpa asas kejujuran.
Mahathir kini sedar, apa nilai pengorbanannya terhadap Umno. Selama 22 tahun lebih menjadi Presiden, menjadi PM, membangunkan parti dan negara, kini nilainya sudah tiada.
Pandangannya, idea dan impiannya tidak dihargai, bukan oleh rakyat awam, malah dari kalangan anggota-anggota parti yang diterajuinya sekian lama.
Apakah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan menerima nasib yang sama dengan Mahathir, apabila sudah tidak berkuasa kelak?
Apa jasa Abdullah kepada negara berbanding Mahathir? Apa hebatnya Abdullah daripada Mahathir? Terlalu jauh. Orang-orang Umno pun tahu menilainya sendiri.
Apa lagi dengan Khairy...siapa yang hendak menjulangnya? Adakah dia wira negara atau banyak jasanya dalam Umno? Habuk pun tarak!
Oleh kerana itu, Khairy harus sedar, bukan orang luar yang mampu mencalar wibawanya, bukan orang luar yang boleh menggugatnya.
Kami tidak ada kuasa, kami tidak ada upaya menghalang saudara, yang menghalang saudara adalah penyokong dan pemimpin parti saudara sendiri.
Isu-isu yang didakwa dibangkitkan oleh beruk dan monyet
Jika orang-orang di luar parti Umno dilabel sebagai beruk dan monyet, Khairy harus menjawab dengan terperinci beberapa isu yang dibangkitkan, khususnya oleh bekas PM sendiri.
Antaranya, isu penjualan MV Agusta dengan harga satu Euro. Khairy mengatakan ia amalan yang normal menjual sesuatu entititi dengan hanya nominal value.
Beliau mendakwa apa yang dibuatnya sama seperti zaman pemerintahan Mahathir, apabila DRB-Hicom menjual Air Asia kepada Tune Air milik Tony Fernandes dengan harga RM1.
Cuma yang Khairy terlupanya, bahawa di dalam penjuaan Air Asia kepada Tune Air, berlaku antara satu syarikat tempatan kepada satu syarikat tempatan. Asasnya, pemilikan nasional masih berada di bawah anak Malaysia.
Berbeza dengan penjualan MV Agusta kepada Gevi spa, berlaku berlaku penjualan suatu entiti kepunyaan tempatan kepada sebuah syarikat asing.
Kemudian isu penjualan ekuiti Aliance Bank dan Pantai Holding. Khairy tidak menjawab dengan jelas isu ini melainkan menyuruh ahli Umno menyelidik sebelum ini syarikat tersebut kepunyaan siapa.
Persoalannya yang tidak terjawab, bagaimana sebuah Bank tempatan boleh dijual kepada Singapura? Di mana kebenaran Bank Negara dan Menteri Kewangan seperti yang diperlukan?
Bagaimana kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan terhadap pembelian ekuiti asing melebihi 30 peratus?
Banyak lagi persoalan yang tidak sempat dicatatkan di sini. Cumanya sekadar untuk peringatan, janganlah mudah-mudah dilabel golongan yang mempersoalkan kerajaan, kredibiliti PM, peranan Khairy sebagai beruk dan monyet.
Persoalan yang dibangkitkan di alam maya, oleh penulis internet dan para bloggers harus dinilai dan diadili sebaik-baiknya.
Persoalan yang dibangkitkan adalah mengenai fakta dan ilmiah. Beruk atau monyet tidak tahu membangkitkan persoalan ini.
Tidak tahulah kalau ada cyber-troopers atau beruk dan monyet moden yang dilatih Puteri Umno untuk membalas serangan diinternet.
Lagak dan keangkuhan Khairy ibarat 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri.'
(Harakahdaily, 14 Ogos 2007)
No comments:
Post a Comment