Wednesday, April 15, 2009

Mukhriz hanya menang sorak

APABILA Dr Mahathir Mohamad menggesa ahli-ahli Umno menyingkirkan penyokong Abdullah Ahmad Badawi daripada parti itu, sasaran utamanya adalah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mahathir bukan ahli Umno, sama ada beliau masuk Umno atau berada di luar Umno, keadaan tidak akan berubah. Mahathir tidak 'menyalak' untuk kepentingan dirinya, yang jelas beliau bekerja keras untuk membantu anaknya, Mukhriz.

Walaupun Mukhriz mendahului jauh dalam pencalonan Ketua Pemuda Umno, Mahathir sedar bahawa pencalonan sebesar itu tidak semestinya diterjemah dalam bentuk undi.

Khairy dalam interbiunya di akhbar The Sun mengakui sebelum bapa mertuanya berundur beliau adalah calon 'favourite' tetapi selepas Abdullah mengumumkan pengunduran beliau sudah menjadi 'calon underdog.'

Mahathir tahu budaya Umno. Beliau mengakui, walaupun menerima pencalonan dua pertiga dalam tahun 1987 untuk jawatan Presiden Umno, beliau hanya menang tips 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru sudah tentu Mahathir takut igauan buruknya berulang kepada anaknya dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda.

Mukhriz bukannya calon terbaik untuk menerajui Pemuda Umno. Beliau tidak mempunyai karisma atau keterampilan. Sebelum ini pun beliau tidak aktif berpolitik. Yang aktif, abangnya Mokhzani, bekas Bendahari Pemuda Umno.

Mukhriz menerima pencalonan besar dari pemuda bahagian hanya kerana 'hate politic' - politik kebencian, pihak tertentu dalam Umno terhadap Abdullah dan anak menantunya.

Manakala seorang lagi calon, Mohamad Khir Toyo mempunyai peluang yang amat kelam. Pertarungan Ketua Pemuda ialah antara pengaruh Abdullah dengan Mahathir. Ianya pertarungan Khairy-Mukhriz.

Kail milik Khir Toyo, hanya sejengkal sahaja, tetapi beliau berangan untuk menduga lautan yang dalam. Hakikatnya Khir boleh mencuba, tetapi beliau tidak termasuk dalam senarai.

Level Khir hanya setakat Selangor sahaja. Itu pun tidak terdaya berhujah dengan Hasan Ali dan Teresa Kok.

Kelebihan pada Khairy dan Mukhriz ialah mereka merupakan warisan politik 'pedigree' (salasilah). Umno bukannya parti golongan marhaen, mereka mewarisi perjuangan aristokrat - bangsawan.

Najib Razak, Hishammuddin Hussein juga merupakan warisan aristokrasi dalam Umno.

Oleh sebab itu, golongan yang suka main dengan penyapu macam Khir Toyo, tidak berapa disukai.

Berbalik kepada pemilihan Ketua Pemuda, pemilihan dibuat melalui perwakilan. Empat orang wakil pemuda bahagian. Ketua dan Naib Ketua menjadi perwakilan secara automatik, manakala dua lagi dipilih oleh perwakilan.

191 bahagian Umno didarab dengan empat bermakna ada 764 orang perwakilan, tidak termasuk Exco Pemuda.

Diakui Mukhriz mendahului dengan pencalonan yang besar. Setakat ini apabila nama Mukhriz diumumkan sebagai calon, perwakilan akan bersorak bertepuk tangan. Manakala apabila nama Khairy disebut, ada yang menyambutnya dengan 'boo'.

Itu respon dari 'floor'. Respon ini tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi.

Jika Khairy hanya menerima pencalonan daripada 40 bahagian, hampir pasti semua undi 'solid' kepada beliau. Sudah pasti Mukhriz tidak akan mendapat undi sebesar pencalonannya.

Sebahagian besar Ketua Pemuda dan Naib Ketua pemuda bahagian adalah rakan-rakan rapat Khairy. Ada yang mengatakan mereka ini sudah di'bela' oleh Khairy sekian lama.

Walaupun pencalonan daripada bahagian mereka dimenangi oleh Mukhriz, apakah rakan-rakan Khairy ini akan mudah memberikan undi kepada Mukhriz? Sudah tentu tidak!

Inilah kebimbangan Mahathir sebenarnya. Mahathir tahu anaknya hanya akan 'menang sorak', maka beliau akan terus 'menyalak' untuk mempercepatkan kejatuhan Abdullah.

Pada ketika ini, keikhlasan dan kejujuran sokongan orang-orang Umno sangat-sangat dipertikai dan disangsikan, sama ada oleh Khairy mahupun Mukhriz.

Kesangsian ini wujud kerana prinsip sokongan mereka berpaksikan kepada kuasa dan wang, bukan pada merit dan karisma. Mereka sanggup membuang prinsip Walaupun sehingga 'kampung tergadai'.

Khairy harus sedar, walaupun merit dan karisme ada padanya, kuasa sudah tiada. Mahu tidak mahu saki baki pengaruh Abdullah dalam Umno masih diperlukan untuk menampung kempennya.

Jika hayat politik Abdullah tidak sampai Mac 2009, Khairy juga harus bersedia untuk 'bungkus' lebih awal.

Oleh itu, semua yang berada ditampuk kuasa harus beringat, sehebat mana, selicik manapun anda berpolitik, sedarlah kata pepatah 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua'.

(Harakahdaily, 26 Oktober 2008)

No comments: