Menjadi anak atau menantu Perdana Menteri yang berkuasa dalam negara memang merupakan suatu kelebihan (advantage) kepada mereka yang berminat menceburi bidang politik Umno kerana menjadi Presiden parti akan menguasai kerajaan.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tempang seperti Malaysia, parti Umno melalui gabungan Barisan Nasional (dahulu Perikatan), dapat menikmati kuasa lebih 50 tahun.
Dengan tempoh pemerintahan dan kuasa yang panjang ini, sudah tentu ianya membuka peluang untuk kepimpinan diwarisi.
PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra tidak meninggalkan waris yang menjadi kepimpinan Umno.
Kepimpinan PM kedua, Tun Abdul Razak Hussain diwarisi anaknya Dato' Seri Mohd Najib yang dilantik semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.
Begitu juga anak PM ketiga, Hishamuddin Tun Hussein, diberi tempat dalam Umno oleh Mahathir.
Anak-anak Mahathir sepanjang 22 tahun beliau memerintah, tidak menonjol dalam politik. Mukhriz dipilih dalam Pergerakan Pemuda Umno, hanya ketika saat-saat Mahathir hendak melepaskan jawatan.
Individu yang menjadi fokus di waktu ini, tidak lain melainkan Khairy Jamaluddin, menjadi tumpuan hanya kerana beliau menantu kepada PM dan Presiden Umno.
Khairy bakal Ketua Pemuda Umno
Khairy dikatakan bercita-cita besar menggantikan Hishammuddin Hussein sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam pemilihan parti tahun hadapan.
Hishammuddin sudah 9 tahun menjadi Ketua Pemuda. Juak-juak Khairy dikatakan sudah mula melobi di peringkat bahagian, memuji dan menaikkan nama Hishammuddin sebagai salah seorang calon Naib Presiden Umno.
Tujuan mereka jelas, mereka mahu 'menolak' Hishammuddin ke atas. Kalah menang beliau bertanding Naib Presiden tidak penting, yang mereka mahu, Khairy menang jawatan Ketua Pemuda tanpa bertanding.
Apa pun, ada yang mengatakan Hishammuddin belum tentu yakin untuk masuk ke gelanggang Naib Presiden. Ada yang kata 'jawatan besar kerak lagi besar, hulur pun kena besar'.
Setakat ini Hishammuddin dikatakan hanya berani mempertaruhkan dirinya sebagai calon Majlis Tertinggi sahaja.
Dan bagi juak-juak Khairy, Mukhriz Mahathir sudah tiada pengaruh. Tiada siapa yang mampu mencabar Khairy, usahanya menguasai pemuda sudah semakin hampir.
Malah ada yang mengatakan bahawa Khairy mahu menapak terus ke teraju PM sebelum atau pada usia 40 tahun dengan mengetepikan TPM serta ramai pemimpin veteran dalam parti.
Usaha untuk menapakkan Khairy ke tampuk sudah digerakkan. Khabarnya kumpulan ini sedang menyiapkan senarai calon cadangan mereka (calon BN dari Umno) untuk pilihan raya akan datang.
Sekarang 'team Abdullah' bukan lagi Mahathir
Khabarnya banyak perubahan yang akan dilakukan, antaranya mereka adalah muka-muka baru di kalangan rakan-rakan Khairy untuk menggantikan set-set lama wakil rakyat yang mewakili parlimen dan Dun sejak zaman Mahathir lagi.
Ketika pilihan raya 2004 diadakan, Abdullah dilantik menjadi PM dengan mengekalkan 'team kabinet Mahathir'.
Selepas pilihan raya Abdullah mengekalkan hampir semuanya, dan hanya membuat penambahan seorang dua menteri. Abdullah juga barangkali faham, jika beliau membuat perubahan drastik, hanya akan menyebabkan 'harimau yang sedang terluka' mengamuk.
Pilihan raya akan datang ini Abdullah tidak lagi perlu menoleh ke belakang. Mandat akan datang yang bakal diperolehinya sudah terlepas dari bayang-bayang bekas PM.
Kali ini beliau akan menyenaraikan calon pilihannya sendiri. Kabinet juga adalah kabinetnya sendiri. Tiada siapa berani menyanggah Abdullah pada waktu ini.
Semua orang Umno tahu Abdullah banyak 'bergantung' maklumat yang disalurkan oleh Khairy.
Pengakuan Khairy untuk 'mengubah' parti dan kerajaan
Peluang ini digunakan sebaik-baiknya oleh menantu beliau. Maka dalam laporan akhbar sejurus sebelum Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini dilaporkan seperti berikut:
Khairy Jamaluddin says that being the Prime Minister's son-in-law has provided him "protection" which he wants to use to change things for the better.
The Umno Youth deputy chief said he was able to "push the envelope now" partly because of that relationship with the prime minister. "There's a certain extent (to which) these people in Umno will not go after me. So it gives me 'protection' to change things.
"If I don't use this 'protection' to change things for the better, then I'm just wasting time and marking my time to go up the ladder of politics. That's not what I am about.
"I want to use this time that I have while I have this 'protection' to change things, to change Umno for the better," he said.
Secara ringkasnya, Khairy mengakui hubungannya dengan PM memberikan kelebihan dan peluang kepadanya untuk 'mengubah' Umno ke suatu tahap yang lebih baik (pada pandangannya).
Dengan pengakuan jujur ini, keresahan kalangan pemimpin dan ahli Umno bahawa Khairy banyak campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan dan parti memang wujud dan berasas.
Persoalannya apakah campurtangan Khairy dalam kerajaan dan parti menyumbang kepada kebaikan atau keburukan?
Setakat ini sudah banyak rungutan orang-orang Umno mengenai karenah Khairy dalam kerajaan dan parti semuanya ditepis oleh PM. Sama ada Abdullah mendengarnya, 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri' atau tidak mahu mendengar langsung apa-apa rungutan mengenai Khairy.
Namun, walaupun Abdullah 'buat endah tak endah', beliau tidak dapat menghapuskan persepsi bahawa menantunya dilabel sebagai seorang yang 'sombong dan celupar' oleh orang-orang Umno sendiri.
Banyak kenyataan Khairy yang memberikan impak yang buruk kepada Abdullah dan Umno sendiri.
Khairy gemar dengan istilah 'beruk atau monyet'. Beliau pernah melabelkan pengkritik bapa mertuanya dalam Umno (termasuk Mahathir) sebagai beruk.
Terbaru beliau menggelar rakyat yang hendak berhimpun secara aman bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai beruk!
Lebih buruk lagi apabila Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu menggesa polis bertindak dan menangkap 'beruk-beruk jalanan' yang berhimpun.
Kenyataan angkuh dan kurang sopan itu, bukan sahaja mengejutkan perwakilan Umno, malah rakyat yang mendengar dan membaca berita mengenainya turut berasa 'tercabar'.
"Siapa Khairy pandai-pandai nak arah polis," getus seorang wartawan media kepada penulis sejurus mendengar ucapan tersebut. Jelas mimik mukanya menunjukkan beliau menyampah dengan tingkah laku menantu PM itu.
"Sebenarnya ramai orang menyampah kat (pada) dia, tetapi terpaksa buat senyum sebab dia ada kuasa," tambahnya tanpa menjelaskan apa maksud 'kuasa' yang disebutkan.
Barangkali Khairy juga tahu ramai orang dalam dan luar parti tidak menyukainya, tetapi terpaksa menunjukkan 'muka baik' kerana dia menantu Abdullah Ahmad Badawi.
Mungkin juga mereka yang tidak menyukainya di kalangan menteri, ahli majlis tertinggi, ketua bahagian dan anggota pergerakan pemuda, tetapi tiada yang berani mencabar Khairy.
Paling tragis dalam perhimpuan pemuda, sewaktu mak mertuanya (Datin Seri Endon Mahmood) masih ada, Khairy pernah 'diboo' sebanyak tiga kali.
Apakah orang-orang Umno akan membiarkan Khairy?
Yang pasti beliau sering menjadi sasaran kritikan dan serangan Dr Mahathir. Ketika ditanya hubungannya dengan Mahathir, Khairy mengatakan, "It's a love-hate relationship - I love him, but he hates me."
Ringkasnya Khairy mengatakan dia sayang kepada Mahathir, tetapi Mahathir membencinya, tanpa menghuraikan apa sebab keadaan tersebut berlaku.
Sudah tentu bagi anak muda baru mencecah usia 30 tahun, yang boleh dianggap cucu seorang datuk (orang utara gelar tok wan) berusia 82 tahun, begitu sedih jika dirinya dibenci.
Khairy barangkali terkesan kerana beliau sering menjadi sasaran utama serangan tok wan Mahathir kerana didakwa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan yang diterajui bapa mertuanya.
Bukan sahaja Mahathir, ramai lagi orang-orang dalam Umno yang membenci Khairy tetapi tidak diketahuinya atau terpaksa disembunyikan kerana menantu PM itu mempunyai 'kuasa yang amat besar' dalam parti dan kerajaan.
Betapa besar pun kuasa Khairy sehingga terpaksa dihormati dalam kerajaan dan Umno, tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan tulen dari grassroot. Bukan sahaja Khairy, bapa mertuanya pun tiada sokongan 'grassroot' dalam parti.
Umumnya orang-orang Umno sendiri mengakui, 22 tahun 'duduk di bawah pemerintahan' Mahathir, hampir ke semuanya masih pendukung kuat bekas PM, namun terpaksa mendiamkan diri.
Khairy dan juak-juaknya harus sedar, laluan mereka untuk menguasai kerajaan dan parti sepenuhnya bukannya mudah. Mereka masih muda dan mentah dalam dunia politiking Umno.
Jangan tersilap langkah, diamnya 'musuh-musuh' yang berada di sekeliling beliau bukannya mereka tidak memerhati. Silap hari bulan Khairy akan terjebak dalam perangkap jua.
Hakikatnya dalam sejarah Umno, orang yang sehebat dan nama sebesar Dr Mahathir pun, tidak sampai dua minggu melepaskan jawatan PM sudah tidak dihargai lagi.
Jika hari ini, terjadi sesuatu yang tidak elok kepada Abdullah atau ditakdirkan berlaku perkara yang menghalangnya meneruskan tugasnya sebagai PM, pada waktu itu baru Khairy akan sedar 'siapakah dirinya dalam Umno'.
'Untung sabut timbul, untung batu tenggelam..
(Harakahdaily, 20 November 2007)
No comments:
Post a Comment