Wednesday, April 15, 2009

Abdullah tidak letak jawatan, tetapi diundurkan

PENGUNDURAN Tun Abdullah Ahmad Badawi dari jawatan Perdana Menteri 3 April lepas, menggambarkan seolah-olahnya beliau seorang pemimpin yang amat berjiwa besar kerana sanggup berundur dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Abdullah kononnya dipuji kerana sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti dan negara, dengan memberi laluan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai PM-ke 6

Jika ditanya hati kecil Abdullah, sudah tentu beliau mahu meneruskan tugas sebagai PM kerana masih ada banyak lagi tugas beliau yang belum selesai.

Di zamannya, banyak program Rancangan Malaysia ke 9, koridor-koridor ekonomi yang beribu bilion ringgit serta beberapa suruhanjaya yang masih belum sempurna tugasnya.

Namun, Abdullah terpaksa berundur dengan cara terhormat, jika tidak mungkin beliau akan diturunkan daripada Umno dan kerajaan dengan cara yang mengaibkan.

Turunnya Abdullah daripada jawatan PM dan Presiden Umno, dibuat genap setahun selepas akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gesaan Naib Presiden Umno (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Abdullah meletakkan jawatan.

Desakan terhadap Abdullah dibuat, sehari selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, mencatatkan rekod paling buruk BN dalam sejarah politik Malaysia.

PRU 8 Mac turut mencatat titik hitam pada karier politik Abdullah, kerana tidak sampai sepenggal BN menang bergaya sehingga menyapu bersih hampir 90 peratus dari kerusi Parlimen pada PRU 2004, BN telah kehilangan majoriti dua pertiga.

Pada satu ketika Abdullah dilihat terlalu berkuasa, sebagai PM dan Presiden Umno yang mencatat rekod politik paling baik bagi BN, di satu ketika yang lain selepas 8 Mac 2008 kepimpinannya tidak diperlukan lagi oleh Umno.

Memang Melayu Umno terlalu mudah lupa. Tetapi rakyat tidak pernah lupa, bagaimana Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dihina dan diherdik ahli-ahli Umno akibat kegagalan BN dalam PRU 2008.

Di antara Oktober 2003 sehingga Mac 2008, Abdullah dan Khairy adalah antara orang yang paling ditakuti dalam Umno, namun akibat prestasi paling buruk Umno-BN tahun lalu, kedua-duanya menjadi orang yang paling dibenci dalam Umno.

Sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad mencanangkan gesaan supaya Abdullah berundur dari jawatan Presiden Umno dan PM, Muhyiddin menyambutnya.

Bukan sekadar Muhyiddin, pemimpin-pemimpin Umno di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, tanpa segan silu, secara terbuka menggesa Abdullah berundur segera.

Dalam pertemuan sebagai post-mortem yang diketuai Najib dan Muhyiddin, Perhubungan Umno Negeri dari Perlis hingga Sabah, menggesa pengunduran Abdullah secara terbuka.

Cuma Perhubungan Umno Selangor sahaja yang 'kurang menekan' Abdullah kerana sebelum pertemuan itu, pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan sudah memberikan taklimat, melarang isu pengunduran disentuh.

Akibat gesaan yang maha hebat itu, grup yang menyokong Khairy mula bertindak. Mereka menghimpunkan beratus-ratus orang di Putrajaya, menjerit dan melaungkan 'Hidup Pak Lah' berpuluh-puluh kali.

Abdullah semakin bersemangat dengan sokongan sia-sia juak-juaknya. Maka Abdullah menegaskan berulangkali bahawa beliau tetap enggan berundur.

Namun desakan demi desakan berterusan, Abdullah tiada pilihan lain, selain membuat 'deal' dengan Najib. Orang-orang Najib mula berunding dengan Khairy dan mengemukakan pelbagai tuntutan berjadual bagi mempercepatkan proses pengunduran Abdullah.

Majlis Tertinggi Umno turut membuat 'retreat' di Shah Alam, dan hasil 'retreat' menunjukkan Abdullah terpaksa akur dengan kehendak majoriti anggota MT yang mahukan beliau berundur. Tersebar luas di kalangan orang media bahawa Abdullah sudah mahu berundur.

Bagaimanapun, selepas kembalinya Abdullah ke Putrajaya selepas 'retreat', Abdullah seolah-olah disuntik seseorang dengan nafas baru. Beliau terus membuat pengumuman beliau tidak akan berundur sebagai PM dan akan terus bertanding untuk mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Umno bagi penggal kedua.

Menjelang mesyuarat MT selepas itu, orang-orang Abdullah sekali lagi dikumpulkan di PWTC, membawa sepanduk dan melaungkan slogan 'Hidup Pak Lah', 'Pak Lah jangan undur' dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang mencemuh beberapa orang pemimpin yang dikatakan terlalu celupar dan kurang ajar kepada Abdullah.

Bagaimana kuat pun sokongan terhadap Abdullah, tidak mampu menghalang arus dalam Umno yang tidak mahukan Abdullah dan Khairy. Abdullah terpaksa menetapkan tarikh pengundurannya.

Abdullah takut dimalukan jika tiada siapa yang mahu mencalonkannya sebagai Presiden. Maka Perhimpunan Agung Umno 2008 dianjakkan kepada Mac 2009.

Semua hakikat dan fakta ini tidak boleh ditipu. Umno tidak boleh 'menutup pekung' bahawa mereka memang menolak Abdullah, Khairy dan kroni-kroni.

Abdullah terpaksa berundur dengan cara yang terhormat, selepas menerima penghinaan yang begitu teruk dari kalangan ahli-ahli Umno. Inilah cara mereka menghormati pemimpin.

(Harakahdaily, 6 April 2009)

No comments: