Wednesday, April 15, 2009

Bertemu Sheikh Muszaphar

MENERUSI satu temujanji yang diaturkan, saya berkesempatan bertemu dengan Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 26 November lepas.

Ketika itu Sheikh baru tiba dari KLIA. Katanya beliau ke Bintulu untuk menyampaikan ceramah di beberapa buah sekolah di sana.

Pertemuan diatur berikutan wujud beberapa dakwaan pihak tertentu terhadap beliau sebagaimana yang dilaporkan media. Apa pun kita menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (Mosti).

Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu, kami tidak diganggu sesiapa. Tiada pengawal, tiada pengiring.

Terlalu banyak yang diluahkan Sheikh kepada saya. 'It's heart to heart session.' Ada banyak pro dan kontranya.

Hal ini sudah saya rujuk kepada pihak atasan saya, menurut beliau, butiran terperinci mengenai apa yang diluahkan Sheikh, hanya akan dikeluarkan selepas Mosti mengumumkan hasil siasatan.

Apa pun, pada mulanya Sheikh cuak juga hendak berjumpa. Katanya, beliau sekarang dipinjamkan dari Hospital Universiti Kebangsaaan Malaysia ke Angkasa (agensi di bawah Mosti) dengan kontrak yang berakhir Disember ini.

"Saya risau juga nak jumpa dengan Harakah ni bang. Saya pegawai kerajaan, saya tak campur urusan politik dan saya tidak mahu dipolitikkan," ujarnya dalam nada sedikit kerisauan, tetapi mesra.

"Tapi tak apalah, alang-alang Harakah pun dah tulis macam-macam hal yang agak negatif tentang saya, biar saya jelaskan, biar orang tahu saya 'scapegoat' (dikambing-hitamkan)" katanya.

Jawab saya kepadanya,"Hmm, saya tak boleh nak halang sesiapa menulis tentang Sheikh, lagi pun apa yang ditulis itu, susulan daripada laporan akhbar harian, namun, kami bersedia menerima apa sahaja penjelasan dari Sheikh, kalau Sheikh teraniaya, kami sedia membantu."

"Okey lah kalau macam tu, cuma saya nak jelaskan, menjadi angkasawan adalah impian saya sejak berusia 10 tahun. Impian itu sudah tercapai. Tetapi saya masih belum puas.

"Saya hanya mahu berkhidmat untuk negara dan menyedarkan rakyat Malaysia. Khususnya orang-orang Melayu tentang ilmu sains dan teknologi angkasa. Saya mahu jadi ikon ilmu, saya tak nak campur urusan politik atau jadi mangsa politik," ujar Sheikh bersungguh-sungguh bagi memperjelaskan maksud pertemuan kami.

Kata Sheikh, sebagai seorang Muslim beliau mahu melihat suatu hari nanti saintis Islam menguasai ilmu dan teknologi angkasa.

"Dalam ceramah saya ke Institut Pengajian Tinggi dan sekolah-sekolah, saya tekankan kepada mereka, bahawa tidak semua yang berpeluang menjadi angkasawan, tetapi setiap orang berpeluang untuk menjadi saintis yang menguasai bidang ini," ujarnya.

"Sheikh patut buat ceramah sekolah-sekolah agama, tahfiz, malah ke institusi pengajian pondok untuk berkongsi pengalaman ini," kata saya.

"Ya! Saya memang hendak sangat berjumpa dengan murid-murid sekolah agama. Malah saya nak sangat jumpa Tok Guru Nik Aziz (MB Kelantan)," katanya bersungguh-sungguh.

"Jika Sheikh mahu, insya Allah boleh diaturkan," jawab saya.

Alhamdulillah, sesi pertemuan berlangsung dengan penuh mesra. Sesekali bergelak ketawa, sambil menghirup expresso dan capucino. Sedar-sedar jam dah dekat 12 malam.

"Maaf bang, saya terlupa, esok (27 November) saya akan ke Mekah menunaikan haji. Saya jadi tetamu Putera Salman (anak Raja Abdullah). Saya dijemput berucap di Universiti Riyadh atas tajuk 'Beribadah di angkasa lepas', selepas itu saya buat haji," katanya.

"Sheikh pergi kerajaan 'sponsor' ke, berapa orang pergi?" tanya saya.

"Saya pergi dengan tambang sendiri. Sampai di sana Kerajaan Arab Saudi 'sponsor'. Kami pergi enam orang, Mak Ayah dengan tiga adik beradik saya," jelasnya.

Ternyata pertemuan selama dua jam tidak mencukupi, banyak lagi yang hendak dibualkan. Saya mendoakan agar beliau selamat memperolehi haji yang mabrur.

Insya Allah, balik haji nanti kami berjumpa lagi.

(Harakahdaily, 1 Disember 2008)

No comments: