Wednesday, April 15, 2009

Kemelut dalaman Umno di sebalik cabaran Tengku Razaleigh

Setakat ini hanya anak Raja dari Kelantan, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah sahaja yang berani mencabar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, bertanding jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung parti itu, Disember depan.

Tiga tahun lalu Ahli Parlimen Gua Musang itu, yang dikenali dengan nama Ku Li sudah menghidu kepincangan besar dalam kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Sebaik beliau mengumumkan hasrat untuk dicalonkan, juak-juak Abdullah khususnya yang menguasai media massa menempelak Ku Li, melalui liputan dan tulisan, mencerca dan menghinanya lebih teruk daripada pembangkang.

Akibat daripada tekanan yang ditimpakan, hanya Umno Bahagian Gua Musang sahaja yang berani mencalonkan Ku Li, yang juga ketua bahagiannya bertanding menentang Presiden Umno.

Hasilnya, Abdullah memenangi jawatan Presiden Umno tanpa bertanding kerana sistem kuota yang ditetapkan dalam Umno tidak melayakkan Ku Li bertanding kerana gagal mendapat pencalonan dari 58 bahagian Umno.

Masalahnya bukan pada kuota sahaja. Ketika itu tiada siapa yang berani menentang Abdullah, beliau memenangi Pilihan Raya Umum 2004 dengan penuh bergaya, sesiapa sahaja yang menentangnya pasti akan menerima kecaman hebat.

Bukan setakat Ku Li, orang yang melantiknya sebagai PM, iaitu Tun Dr Mahathir juga menerima kecaman, sekatan dan tempelak yang maha hebat dari juak-juak Abdullah.

Mahathir ditewaskan daripada menjadi perwakilan bahagian Kubang Pasu, segala pengkritik Presiden Umno semuanya disekat, dihalang dan disabotaj.

Kemenangan terlalu besar Abdullah dalam PRU ke 11 menyebabkan sindrom takut orang-orang Umno terhadap beliau, anak menantu beliau dan kroninya semakil menebal.

Sindrom takut ini menyebabkan kebebasan bersuara, kebebasan membuat pencalonan dan kebebasan memilih ketua, hampir mati dalam Umno. Pintu demokrasi seolah-olahnya ditutup dalam parti itu.

Sindrom ini menyebabkan apa sahaja kepincangan dalam kerajaan dan salah urus parti tidak dapat diperbetulkan oleh orang-orang Umno, walaupun mereka menyedari Abdullah merupakan Presiden yang paling lemah dalam sejarah 50 tahun Umno.

Sindrom ini berlarutan sehingga PRU 2008. Orang-orang Umno hanya tersentak dan cuba memperbetulkan kepincangan besar dalam kepimpinan parti itu selepas 'diajar' rakyat 8 Mac lepas.

Umno pasca PRU ke 12

Akibat dari signal besar yang ditujukan rakyat kepada Barisan Nasional, Umno dan Abdullah secara khusus, orang-orang Umno baru hendak faham, ada kebenarannya kritikan Mahathir terhadap Abdullah, serta ada sebab yang munasabah mengapa Ku Li hendak menentang Abdullah.

Mesej yang disampaikan rakyat kepada orang-orang Umno begitu jelas. Kuasa mutlak BN sudah dihapuskan dan rakyat tidak mahu kepimpinan negara diterajui oleh orang seperti Abdullah Badawi.

Rupa bentuk kelemahan, kepincangan dan salah urus negara serta parti sudah berulang kali dibangkitkan. Perkara ini tidak perlu diulangi, orang-orang Umno kini sudah faham.

Persoalannya, sejauhmana kefahaman mereka dan suara-suara desakan supaya Abdullah berundur dari jawatannya sebagai PM dan Presiden Umno dapat direalisasikan?

Beranikah mereka mengubah kepimpinan secara demokratik, apabila Abdullah yang terus didesak, dengan tegas mengatakan beliau enggan berundur sekarang dan mahu terus mengekalkan jawatan sehingga suatu masa kelak?

Jelasnya, Abdullah enggan berundur. Tidak ada yang berani memaksanya untuk berundur.

Malah dikhabarkan ramai veteran Umno, termasuk Tun Musa Hitam, menemui Abdullah dan meminta beliau berundur, beliau tetap enggan.

Keenganan beliau untuk meletakkan jawatan atau berundur dari tampuk kuasa dikatakan ada hubungkait dengan pengaruh anak menantu serta kroni yang mahukan beliau kekal sehingga PRU ke 13, 2013 nanti.

Justeru, sebarang perubahan, hanya akan berlaku jika beliau diundurkan secara pengundian dalam pemilihan parti.

Sistem kuota zahirkan kekebalan Abdullah

Masalahnya, pada ketika ini, perubahan dalam kepimpinan tidak akan wujud selagi sistem kuota dihapuskan.

Abdullah amat mengetahui kelebihan ini. Kelebihan inilah yang akan menyebabkan beliau akan kekal sebagai Presiden Umno selama yang dia mahu.

Sistem kouta yang ada menyebabkan Abdullah berada dalam keadaan 'kebal'. Kekebalannya tidak akan terusik selagi sistem kuota tidak dihapuskan. Setakat ini Abdullah boleh senyum lebar dan tidur lena kerana kemungkinan perubahan kepimpinan sukar dilakukan. Dia akan menang tanpa bertanding buat kali kedua.

Ada pemerhati berpendapat, jika ahli Umno begitu dahagakan perubahan, nescaya mereka akan mengundi Ku Li sebagai 'silent protest' terhadap kelembapan Abdullah.

Walaupun Majlis Tertinggi Umno membenarkan calon-calon berkempen, hasrat mereka bertanding tidak mungkin tercapai dengan sistem kuota yang ada.

Pada dasarnya, sudah tentu Abdullah tidak akan menghapuskan kuota kerana ia jelas memberi 'advantage' yang besar kepada beliau.

Setakat ini, selepas Ku Li menyatakan hasratnya bertanding, beliau mendapat sambutan dalam siri lawatannya ke seluruh negara. Ku Li melakukan lawatan secara rasmi ke Kelantan, Selangor dan Kedah pada 19 Mei ini.

Selepas itu akan disusuli lawatan menemui pemimpin-pemimpin Umno bahagian di Pahang, Sabah dan lain-lain.

Sumber mengatakan sudah lebih 70 bahagian ditemui sepanjang lawatan Ku Li, termasuk kehadiran pemimpin-pemimpin tertentu yang berkunjung ke 'White House' di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur.

Jika benar 70 bahagian mahu mencalonkannya. Ku Li sudah lebih daripada layak untuk bertanding dan beliau boleh menewaskan Abdullah.

Namun sokongan mereka ini rapuh dan meragukan. Belum tentu janji-janji yang diberikan kepada Ku Li akan diterjemahkan sebagai pencalonan.

Mentaliti Umno dan politik wang

Masalah yang paling besar yang terpaksa dihadapi Ku Li ialah bagaimana menangani mentaliti orang-orang Umno yang takut kepada kuasa Abdullah dan gejala politik wang yang berleluasa dalam parti itu.

Orang-orang Ku Li harus sedar, bahawa orang-orang Abdullah juga bergerak ke seluruh negara untuk mempertahankan beliau.

Jika Ku Li berkempen, mereka juga berkempen. Masalahnya Ku Li tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan dan parti untuk menabur apa-apa janji atau mengurniakan sebarang projek kepada para penyokong.

Dalam hal ini, penulis percaya Ku Li sedar, dan, rakyat juga sedar bahawa sokongan orang-orang Umno bukannya 'free'. Mentaliti mereka ialah habuan. Siapa yang bagi banyak habuan, berulang kali, mereka ada harapan untuk menang.

Dalam pemilihan Umno tiga tahun lepas, cabaran besar yang gagal ditangani oleh MT ialah cabaran politik wang, janji materialistik dan qhanimah lain untuk para penyokong calon yang bertanding.

Untuk jawatan tinggi seperti Naib Presiden, khabarnya ada calon yang terpaksa melabur sekurang-kurangnya RM5 juta untuk ditabur kepada perwakilan bahagian di seluruh negara.

Taburan wang-wang ini bukan setakat dibuat sewaktu perhimpunan selama tiga hari. Pelaburan dibuat lebih awal, sewaktu bahagian-bahagian bersidang lagi.

Sewaktu pemilihan, para perwakilan akan ditanggung makan minum, penginapan serta wang poket oleh calon-calon tertentu.

Hal ini bukannya rahsia lagi. Ianya 'open secret' yang berlaku secara jelas dalam Umno. Bahkan ramai pemimpin Umno yang 'terpilih' dihukum akibat didapati terbabit dalam politik wang.

Berbalik kepada Ku Li yang tidak mempunyai jawatan tadi, beliau juga harus sedar berapa banyak wang yang 'terpaksa' disediakan untuk memenuhi tembolok orang-orang Umno yang sentiasa lahap dengan duit!

Walaupun Ku Li mempunyai gagasan, idea serta ketulusan untuk memperjuangkan agenda ketuanan Melayu dan mahu membuat reformasi dalam Umno, berapa ramai orang-orang Umno yang pedulikan sangat soal falsafah perjuangan?

Bukan mereka tidak faham agenda Melayu, mereka semuanya orang-orang Melayu tetapi agenda kocek mereka lebih penting dari perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Mungkin juga Ku Li mampu membuat perubahan dalam Umno, walaupun Ku Li mendapat sokongan daripada Dr Mahathir dan orang-orangnya, ianya bukan jaminan bahawa beliau akan mendapat pencalonan.

Masalahnya yang terpaksa dihadapi sekarang ini ialah, bagaimana Ku Li hendak menangani karenah serta mentaliti orang-orang Umno yang begitu materialistik.

Usaha Ku Li hanya akan sia-sia jika beliau hanya berkempen dengan air liurnya sahaja.

Selepas 50 tahun berkuasa sebagai parti yang menjadi tonggak dalam negara, selepas 62 tahun meraikan ulangtahun Umno, rupa-rupanya parti itu sudah rosak akibat berkuasa terlalu lama.

Rupa-rupanya hendak membuat reformasi dalam Umno bukannya mudah. Ku Li terpaksa menghadapi ranjau sepanjang jalan sehingga Disember depan untuk melakukan perubahan.

Jika untung sabut, nasibnya timbul, jika untungnya batu, Ku Li akan tenggelam.

(Harakahdaily, 16 Mei 2008)

No comments: