MANA-MANA pemimpin politik yang memegang jawatan tertinggi, apabila mahu berhenti atau terpaksa melepaskan jawatan sudah tentu mahu dirinya dikenang sebagai pemimpin yang berjasa.
Mengenang jasa pemimpin bukan sekadar memujinya sebagai Perdana Menteri atau Presiden sahaja, malah sudah tentu beliau mahu peninggalan kepimpinannya dijadikan legasi untuk dikenang sepanjang zaman.
Bagi sesetengah pemimpin, mereka bukan sahaja mahu dipuji atau dihargai legasinya, malah akan berasa amat gembira apabila salasilah keturunannya, anak menantu mendapat tempat dalam parti dan negara.
Politik pedigree (salasilah) dalam Umno nampaknya semacam sudah tidak dielakkan lagi.
Selepas peninggalan PM pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak diwarisi oleh bakal PM, Mohd Najib. Manakala Tun Hussien diwakili oleh Hishammuddin.
Begitu juga dengan Tun Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sudah tentu mereka mahu legasi mereka dikenang dan pada masa yang sama Mukhriz dan Khairy diberi tempat dalam kerajaan dan Umno.
Masalahnya Umno berhadapan dengan pertembungan yang mengharukan. Mereka terpaksa memilih salah satu sama ada anak Mahathir atau menantu Abdullah.
Pertembungan Muhkriz dan Khairy sebenarnya bukan dimulakan oleh mereka sendiri. Pertembungan itu wujud akibat pertelagahan antara Mahathir dan Abdullah.
Selepas Mahathir melepaskan jawatan sebagai PM pada November 2003, Mahathir mendakwa semua kawan-kawan dalam Kabinetnya, kawan-kawan Umno meninggalkan beliau kerana takutkan Abdullah.
Mahathir menyerang Abdullah, Umno dan kerajaan yang dipimpinnya kerana didakwa mahu menghapuskan legasi Mahathir, membatalkan projek-projek mega, merosakkan projek kereta nasional dan mengkayakan anak beranak Abdullah.
Abdullah bertindak balas. Khairy berjaya memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno tanpa bertanding selepas PRU 2004. Mahathir juga berjaya disekat daripada menjadi perwakilan G7 Umno Kubang Pasu.
Serangan demi serangan dibuat kedua-dua pihak. Mahathir mengkritik Abdullah, anaknya Kamaluddin, Khairy, serta para kroni mereka yang menguasai NST dan TV3.
Khairy pula melabelkan pengkritik kerajaan yang diterajui bapa mertuanya sebagai 'beruk-beruk yang menggoyangkan pokok.'
Tatkala Abdullah berkuasa 'besar' Mahathir dan anaknya diibaratkan seperti 'bernafas dalam lumpur' dalam Umno.
Namun selepas BN dan Umno kalah teruk dalam PRU 2008, Mahathir kembali mendabik dada, katanya kelemahan Abdullah sebagai punca utama dan Abdullah mesti meletakkan jawatan.
Abdullah memang tiada pilihan. Beliau terpaksa berundur. Namun kedua-duanya masih bersengketa. Sengketa Mahathir dengan Abdullah ini diteruskan oleh Mukhriz dan Khairy.
Sebagai bakal Presiden Umno dan PM, Najib sudah tentu pening kepala untuk menghadapi karenah bekas ketua dan ketuanya serta anak beranak mereka.
Najib terpaksa memikirkan sama ada untuk memelihara legasi atau menerima bayang-bayang bekas PM dan bakal bekas PM melalui anak dan menantu mereka.
Jika Najib mahukan sebuah kepimpinan yang bersih, iaitu tidak mahu pentadbirannya dibayangi Mahathir melalui Mukhriz atau Abdullah melalui Khairy, Najib ada pilihan ketiga, iaitu Mohamad Khir Toyo.
Khir bersih dari politik pedigree, menampilkan diri sebagai calon yang kononnya mewakili golongan marhain dalam Umno.
Namun Khir ini banyak betul masalahnya. Selepas BN tumbang di Selangor dan Khir 'melepas' dari jawatan MB, banyak masalah kerajaan negeri terbongkar.
Tahinya bersepah di merata-rata tempat. Dari Sekinchan hingga ke Bukit Antarabangsa. Banyak projek-projek mewah diluluskannya. Malah didedahkan ada sembilan lagi projek mewah di cerun bukit di sekitar Bukit Antarabangsa diluluskan Khir semasa menjadi MB.
Semua masalah-masalah ini hanya menyebabkan Najib pening kepala. Daripada ketiga-tiga calon Ketua Pemuda Umno, tiada siapa yang benar-benar layak. Sudah tiada yang benar-benar bersih dalam Umno.
Kebanyakan mereka sudah 'busuk' dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme. Umno sememangnya sudah tidak boleh diperbaiki kerana 'ikan busuk bermula di kepala'.
(Harakahdaily, 15 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment