Thursday, April 23, 2009

Mohamad Sabu tanding Timbalan Presiden PAS


Mohd Sabu sambut gelanggang yang dibuka Presiden PAS dengan membuat pengumuman, sedia untuk merebut jawatan nombor dua PAS.

Malaysiakini melaporkan:

Pemilihan pucuk pimpinan PAS Jun ini bakal menyaksikan perebutan sengit bagi jawatan timbalan presiden apabila beberapa tokoh parti itu dicalonkan bertanding jawatan tersebut.

Dan hari ini, Naib Presiden, Mohamad Sabu mengisytiharkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut yang kini disandang oleh Nasharuddin Md Isa.

Turut dicalonkan bertanding jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden, Datuk Husam Musa.

Husam bagaimanapun dilaporkan berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan timbalan presiden PAS pada muktamar kali ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat bagi memenuhi banyak permintaan akar undi PAS yang mendesaknya bertanding jawatan nombor dua PAS itu.

"Saya ingin berkhidmat membantu presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Ini berdasarkan pengalaman saya berhubung dengan masyarakat bukan Islam, kumpulan NGO berasaskan Islam dan DAP," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas bila ditanya sama ada Nasharuddin tidak cukup bagus bagi jawatan tersebut.

Cukup pencalonan

“Orang lain, saya tidak mahu komen,” katanya yang pertama kali menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Pemilihan PAS tahun ini dijangka menyaksikan pertembungan hebat dua aliran utama parti itu - pro-muzakarah dengan pro-Pakatan (atau "kumpulan Erdogan") - yang mengundang perdebatan hangat sejak muktamar di Ipoh, tahun lalu.

Mohamad Sabu bagaimanapun dilihat tidak tergolong dalam mana-mana kumpulan.

Ketika ditanya sama ada beliau mampu menarik sokongan dari kedua-dua kumpulan terbabit, sambil ketawa kecil, beliau berkata: “(Saya) Jalur (aliran) PAS”.

Malaysiakini difahamkamkan, Mohamad yang sudah dua penggal menjadi naib presiden, telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua itu.


Saya ada bertanya kepada abang Mat, mengapa beliau membuat pengumuman untuk bertanding.

Beliau berkata kepada saya, "Ana dapat sokongan dan janji dari penyokong-penyokong untuk calonkan ana bagi jawatan Timbalan Presiden, dan mungkin ada kawasan-kawasan lain yang mahu mencalonkan ana, ana serah kepada kebijaksanaan ahli-ahli."

Bagi saya PAS patut open minded dan membuka seluas-luasnya pintu pertandingan. Ramai yang dah dicalonkan selain Dato' Husam Musa, Ustaz Azizan Razak, Ustaz Haron Din, selain penyandang jawatan Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Lagi banyak pencalonan, lagi ramai bertanding lebih meriah. Asalkan kita tidak menjadi seperti Umno yang mencaci maki, memfitnah dan memburuk-burukkan calon-calon lawan.

No comments: