SAYA diberi kesempatan mengikuti rombongan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa ke Indonesia, khususnya ke Solo (Surakarta) dan Yogyakarta pada 12 Mac lepas.
Dalam lawatan tersebut, kami turut berkunjung seketika ke kota Jakarta. Sekarang ini musim pilihan raya (pemilihan umum - pemilu) di Indonesia.
Indonesia, sebuah negara umat Islam yang terbesar di dunia, mempunyai hampir 300 juta penduduk, bakal berhadapan dengan pilihan raya umum April ini.
Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan, ada tiga peringkat pilihan raya umum memilih Presiden apabila tempoh Presiden Susilo Bambang Yudhono (SBY) dari Partai Demokrat berakhir tahun ini.
Peringkat pertama bulan April. Seterusnya pusingan ke dua bulan Jun dan peringkat akhir September depan. Difahamkan ada 44 buah parti politik yang bertanding.
Tetapi parti yang berkuasa dan dapat membentuk belum tentu akan dapat memastikan wakil mereka menjadi Presiden.
Banyak yang bertanding untuk menjadi Presiden, selain SBY, Naib Presiden sekarang Yusuf Kalla dari Golkar, Megawati Sukarnoputri (PDI-P) dan beberapa tokoh lain turut menawarkan diri menjadi calon.
Di mana-mana sahaja, setiap pelusuk terdapat poster dan kain pemidang calon-calon parti yang bertanding, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya. Mereka memaparkannya dengan begitu kreatif.
Kemeriahan suasana pilihan raya atau pemilu disemarakkan dengan keterbukaan pemerintah. Di dalam laporan media, misalkan media penyiaran seperti RCTI, Metro TV dan sebagainya, menyiarkan wawancara, iklan serta membuat liputan secara langsung bagi parti-parti politik yang bertanding.
Presiden dan menteri-menteri boleh dikritik secara terbuka dan menjawab kritikan secara terbuka dan telus. Tanpa perlu berselindung dalam suasana kempen yang terkawal.
Keterbukaan ini ada baiknya. Media massa tidak berat sebelah, tidak memburuk-burukkan parti-parti tertentu, tidak menghentam dan menghina calon-calon yang bertanding secara sebelah pihak.
Semua pihak, semua parti mempunyai hak kempen yang sama, mempunyai hak menjawab segala tuduhan yang sama.
Jentera kerajaan juga tidak dituduh menjadi barua atau dipergunakan untuk parti yang memerintah sahaja. Mereka bekerja untuk semua parti dan rakyat Indonesia. Kakitangan kerajaan juga tidak dipaksa cenderung kepada mana-mana parti.
Terserah kepada mereka hendak menyokong siapa. Semua orang boleh membincangkan dan menyokong mana-mana parti yang sukai tanpa perlu bimbang ditarik balik projek, dibuang kerja, diturunkan pangkat atau ditukarkan kerana tidak menyokong kerajaan.
Malah secara terbuka, pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (POLRI) membuat kain pemidang yang diletakkan di merata jalan memberitahu rakyat bahawa 'TNI dan POLRI berkecuali dalam Pemilu'.
Indonesia dituduh sebagai sebuah negara yang mengamalkan korupsi di tahap paling tinggi, tetapi tidak malu membicarakan Presiden, Naib Presiden, Menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan secara terbuka jika terbabit dalam skandal atau rasuah.
Indonesia sering dilabel sebagai negara yang miskin, tetapi mempunyai rakyat yang kaya jiwa, terbuka dan matang. Kebanyakan mereka yang di luar bandar masih hidup dalam serba kekurangan, lantaran kemiskinan, tetapi mereka tidak pernah dijadikan alat untuk diperas undi mereka pada setiap kali pilihan raya.
Keadaan ini amat berlainan dengan Malaysia. Rakyat Malaysia sering ditipu hidup-hidup oleh kerajaan Barisan Nasional, kononnya Malaysia adalah pengamal sistem demokrasi yang terbaik di abad ini.
Saya terfikir alangkah baiknya kalau media massa kita adil, memberi ruang kepada pemimpin Pakatan Rakyat menyampaikan mesej kepada rakyat.
Saya mengimpikan alangkah baiknya jika pegawai-pegawai dan jentera kerajaan tidak diperalatkan oleh BN, tetapi bertugas secara adil dan saksama.
Alangkah baiknya jika Angkatan Tentera Malaysia dan Polis tidak dipaksakan dengan sistem undi pos, dan polis tidak dipergunakan untuk kepentingan BN semata-mata.
Namun, barangkali semua impian ini hanya sia-sia. BN tidak akan membuka demokrasi lebih luas dari apa yang ada sekarang. Sekarang ini pun, hanya beberapa peratus sahaja ruang demokrasi dibuka, mereka sudah hampir tumbang dan hampir kehilangan kuasa.
Jika demokrasi dibuka sedikit lagi, nescaya pilihan raya umum ke 13 nanti, BN akan tewas kepada Pakatan Rakyat.
(Harakahdaily, 19 Mac 2009)
No comments:
Post a Comment