PEMILIHAN UMNO masih jauh lagi. Tetapi orang-orang Umno dan bekas orang Umno sentiasa sibuk dengan politiking dan pelbagai percaturan untuk menentukan siapa yang bakal berkuasa dalam parti.
Semua pemimpin Umno yang bertanding dari jawatan Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita saling 'menyalak' dan 'berkokok' dan menuduh sesama sendiri.
Masing-masing bercakap pasal politik wang yang merosakkan Umno, macamlah mereka yang bercakap itu tidak pernah terbabit dalam merebut jawatan dengan menggunakan wang untuk mengupah pelobi dan 'pengeras' untuk sehelai kertas undi.
Selain daripada calon-calon yang bertanding yang membuat pelbagai komen kononnya untuk penambaikan parti, walaupun sebenarnya mereka penyumbang kepada 'penambahburukan' parti, ada juga suara-suara sumbang bekas-bekas ahli Umno yang seolah-olahnya 'meroyan' kerana tidak diperdulikan lagi.
Bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad terus bising dan mengkritik Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak.
Anaknya, calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir, juga turut mengheret diri dalam polemik politiking Umno dan Barisan Nasional.
Anak, bapa sama-sama naik. 'Bapa borek, anak rintik'.
Kecaman Mahathir terhadap Umno, semakin menjadi-jadi, khususnya selepas pencalonan anaknya Mukhriz ke jawatan Ketua Pemuda Umno tersangkut di sekerat jalan.
Sejak awal persidangan Umno bahagian, Mukhriz begitu jauh mendahului Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Dr Mohamad Khir Toyo, sehingga wujud kebimbangan sesetengah pihak bahawa Khairy dan Khir tidak layak bertanding.
Selepas persidangan bahagian selesai, Mukhriz memperolehi 72, Khir 62 pencalonan, manakala Khairy dengan 52 pencalonan.
Mahathir sebenarnya mahu kan Mukhriz menang percuma. Supaya Umno seluruh negara sedar bahawa walaupun selepas lima tahun bersara, pengaruhnya dalam Umno amat besar.
Tetapi ternyata, ahli-ahli Umno tidak mahu terus 'diremote' oleh bekas PM yang sudah berkuasa selama 22 tahun itu. Memasuki era Najib, era Mahathir sudah lapuk!
Mukhriz adalah bayang-bayang Mahathir, serupa juga Khairy, dia adalah bayang-bayang Abdullah. Sudah tentu Najib tidak mahu pentadbiran negara dan parti pada eranya, dibayangi Mahathir mahu pun Abdullah.
Setakat ini Abdullah masih Presiden, dan beliau pun tidak cakap banyak. Yang banyak bercakap dan berleter ialah Mahathir.
Mahathir tidak akan berhenti bercakap. Ada sahaja yang dibuat oleh PM, Umno, kerajaan, yang tidak betul pada pandangannya. Dasar kerajaan, politik wang, rasuah, semuanya ditegur, seolah-olahnya segala kesilapan yang dilakukan BN dan Umno kini, tidak ada kena mengena dengannya.
Lagak Mahathir seperti 'ultra', seolah-olahnya beliau melepasi, melebihi dari segala PM dan Presiden Umno yang ada. Sehebat manapun dia, dia bukannya 'ultraman'. Saya ingin memetik suatu emel yang dihantar oleh Dr Rajiee Hadi, dari Brunei Darussalam.
Kata beliau, "Saya amat bersetuju tulisan saudara dalam Harakahdaily, "Mahathir Mudah Lupa" 26 November 2008.
"Isu yang saudara kupaskan itu telah lama terfikir di benak saya.Saya cadangkan saudara boleh buat kupasan atau analisis spesifik (kajian penyemakan semula) tentang kesan-kesan nyata segala slogan dan dasar-dasar Dr Mahathir jangka panjang seperti Kepemimpinan Melalui Teladan, Bersih Cekap Amanah, Dasar Pandang Timur, Dasar Penswastaan (ini saudara ada sentuh) dan beberapa dasar lagi termasuk yang kini jadi caca marba ialah pengajaran Matematik Sains dalam Bahasa lnggeris
"Seperti apa yang telah terjadi terhadap tulisan Jawi Bahasa Melayu ketika era Menteri Pelajaran Khir Johari (amat malang, Melayu kini mengenangkannya sebagai pemusnah jawi).Sebenarnya negara di ambang kemusnahan jika semua pandangan politikus dianggap betul jika mengabaikan pandangan di luar kaca mata politik."
Sebenarnya, memang banyak kesilapan Mahathir yang sudah dan boleh dibongkar pada bila-bila masa. Tetapi bak seorang pemimpin PAS kepada saya, "Cukuplah..dia (Mahathir) pun dah takda jawatan, orang Umno pun dah tak pakai, buat apa nak layan lagi."
Betul juga katanya. Buat penat sahaja kita lawan orang yang dah tiada jawatan. Saya pun sekadar hendak mencatatkan komen-komen orang-orang Umno yang tidak berapa senang dengan Mahathir.
Komen-komen ini tidak boleh diharap media pengampu BN menyiarkannya. Tetapi sekadar ingatan buat Mahathir, lagi banyak beliau berleter mengkritik Umno, misalnya dalam isu politik wang yang amat kronik bagi mereka.
Politik wang sukar dihapus dalam Umno, Mahathir hanya boleh menjadi ibarat 'anjing menyalak bukit'. Menyalaklah sampai kering 'rengkung' (bahasa utara), apa pun tidak akan berubah.
Hakikatnya, salakan Mahathir hanya akan menghakis peluang Mukhriz.
(Harakahdaily, 6 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment