Thursday, April 23, 2009

Pemimpin tidak harus ada agenda belakang tabir - Husam


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, masih belum memutuskan sama ada beliau hendak bertanding atau tidak bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar Jun depan.

Bernama melaporkan:

KOTA BAHARU, 22 April (Bernama) -- Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau sebaliknya bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada muktamar tahunan parti itu yang akan diadakan di Selangor, Jun ini.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk memberikan sebarang kata putus walaupun namanya dikatakan telah dicalonkan untuk jawatan itu dalam beberapa mesyuarat kawasan di Kelantan.

"Saya rasa masih terlalu awal untuk buat sebarang keputusan dan biarlah saya tunggu masa yang sesuai untuk putuskan.

"Secara rasminya saya tidak tahu nama saya telah dicalonkan atau tidak pada mesyuarat PAS kawasan dan saya tahu pun melalui akhbar," katanya kepada pemberita di pejabatnya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan Husam menjadi pilihan pada mesyuarat PAS kawasan di Kelantan untuk bertanding bagi jawatan itu yang kini disandang Nasharudin Mat Isa berdasarkan ketokohan Husam yang mampu membantu presiden PAS dalam menangani isu-isu terkini.

Mengulas laporan itu, Husam turut meminta agar semua pihak tidak mudah membuat andaian kononnya wujud amalan berpuak-puak dalam parti itu.

"Saya sendiri tidak meletak sasaran untuk memegang mana-mana jawatan sejak menjadi anggota PAS dan laporan mengatakan wujud puak tertentu dalam PAS adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata anggota PAS bebas untuk memilih mana-mana pemimpin yang mereka rasakan jujur dan tidak mempunyai agenda "belakang tabir" sebagai pemimpin mereka pada muktamar nanti.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata Badan Perhubungan PAS negeri tidak pernah menentukan mana-mana pemimpin sebagai calon tertentu pada muktamar itu.

"PAS Kelantan sama sekali berkecuali untuk menyokong mana-mana pemimpin dan terpulang kepada kebijaksanaan PAS kawasan untuk memilih siapa yang mereka nak.

"Tidak ada konflik dalam PAS dan apa yang berlaku pada muktamar itu nanti akhirnya untuk kebaikan PAS juga," katanya.


Namun beliau menegaskan bahawa, ahli-ahli PAS tidak mahu mempunyai pemimpin yang mempunyai agenda di belakang tabir dan memimpin mesti jujur.

Saya bersependapat dengan beliau, bahawa pemimpin PAS mestilah mengutamakan perjuangan dan matlamat parti terlebih dahulu, daripada kepentingan peribadi.

Dan walaupun mereka bergelar pemimpin, tidak seharusnya mana-mana pemimpin memperjuang dan mengutarakan idea peribadi, tanpa mendapat persetujuan AJK PAS Pusat, Majlis Syura dan Muktamar PAS sendiri.

Pemimpin-pemimpin juga mestilah jujur dan telus kepada ahli-ahli parti dalam apa jua tindakan yang mereka lakukan.

Ingatlah, mana-mana pemimpin yang melakukan tindakan tanpa mengikut saluran parti yang betul akan ditolak.

Ingatlah juga, anda tidak akan duduk di jawatan pemimpin, jika tidak diberi mandat oleh ahli-ahli PAS.

Justeru ahli-ahli PAS yang matang dan bijak berfikir, akan memilih pemimpin yang betul untuk mereka.

No comments: