NAMPAKNYA Dr Mahathir Mohamad yang telah mengeluarkan diri secara sukarela daripada Umno masih tidak henti-henti mengkritik parti yang diterajuinya selama 23 tahun.
Beliau berterusan beranggapan Umno tidak boleh diubah kerana sudah rosak dan korup dengan politik wang, walaupun peralihan kuasa akan dibuat Mac 2009.
Mahathir menyalahkan orang-orang Umno, yang mengamalkan politik wang serta sanggup menggadai prinsip, gara-gara kemaruk kuasa.
Dalam beberapa kenyataannya muktahir ini, yang juga merupakan pendiriannya sekian lama, Mahathir jelas menyalahkan Abdullah Ahmad Badawi dan memperlekehkan keupayaan Mohd Najib Abdul Razak.
Sejak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada November 2004, Mahathir semacam orang 'gila talak', mungkin juga beliau 'meroyan'.
'Gila talak' atau 'meroyan' Mahathir mungkin berpunca dari banyak sebab.
Pertama, mungkin kerana beliau tidak bersedia untuk melepaskan jawatan PM, tetapi terpaksa kerana sudah 'terlepas cakap' dalam Perhimpunan Umno tahun 2003.
Kedua, mungkin beliau ikhlas melepaskan jawatan, tetapi penggantinya, Abdullah melakukan kesilapan yang mengecewakannya.
Ketiga, selepas Abdullah berundur, Mahathir seolah-olahnya mahu memaksa Najib mengikut segala telunjuknya, baru puashatinya.
Dalam sejarah politiknya Mahathir tidak pernah sunyi daripada mencetus kontroversi, sama ada dalam Umno, di luar Umno, dalam kerajaan atau di luar kerajaan.
Sikap 'ketegaq' (bahasa utara - keras kepala) beliau bukan perkara baru dalam politik Malaysia.
Buku 'The Malay Dilemma' yang ditulisnya beberapa dekad lalu begitu mengaib dan mengapi-apikan amarah orang Melayu.
Mahathir bukan sahaja pengkritik yang lantang, malah pernah berbalah dengan Tunku Abdul Rahman, meremehkan keupayaan Hussein Onn dan banyak lagi.
Barangkali dengan kekuasaannya selama 22 tahun sebagai PM dan Presiden Umno, dengan pelbagai gelaran 'Bapa Pembangunan Malaysia Moden', menyebabkan Mahathir berasa dirinya begitu 'supreme' serta tiada tolok bandingannya.
Tidak dinafikan, dalam hal-hal tentu Mahathir memang layak dipuji.
Namun sikapnya yang sering mengkritik dan menyalahkan PM, Presiden Umno dan pemimpin-pemimpin Umno selepasnya, 'very unbecoming - amat tidak wajar sama sekali.
Penulis terdengar seorang Ahli Parlimen (MP) BN sambil minum sesama sendiri membuat komen, "Aku pun tak tahu la orang tua ni, tak abis-abis berleter, apa dia ingat masa dia pegang, Umno tak korup ke?"
Penulis bersetuju dengan 'remark' MP berkenaan. Sebelum Mahathir berkuasa, Umno ditunjangi oleh golongan marhain, golongan pendidik dan golongan berketurunan bangsawan seperti Dato' Onn Jaafar.
Pejuang Umno waktu itu dilihat lebih tulus memperjuangkan bangsa tanpa kepentingan peribadi.
Selepas Mahathir berkuasa, Mahathir membawa dasar pengswastaan, pro industri dan pro perniagaan. Segala projek-projek besar termasuk projek hiliran, sebahagian besarnya diagih-agihkan di kalangan pemimpin Umno, dari Majlis Tertinggi hingga ke Cawangan.
Mahathir mencambahkan korporat-korporat Melayu baru yang dikenali sebagai 'The Selected Millionaires'.
Mereka mengagihkan projek, saham, tender, kontrak, apa sahaja yang boleh dibuat duit, semuanya digali ke lubuk Umno. Yang berjawatan besar, sapu cara besar, yang duduk di peringkat bawah seperti JKKK, sapulah projek lima enam ratus.
Melalui jawatan dalam parti mereka berebut-rebut mengagihkan kekayaan negara. Maka golongan yang tulus semakin pupus dalam Umno. Golongan marhain dan guru-guru yang menaiki basikal dan motor 'Honda Cup lama' sudah terpinggir.
Umno mula dikuasai golongan korporat, orang kaya dan jutawan. Bukan setakat Ketua Bahagian, malah Ketua Pemuda Umno Bahagian pun, atas nama Umno, sudah mampu menggunakan 'Mercedes mata belalang'.
Golongan yang banyak duit ini akan 'terlungkup' jika mereka tidak berjawatan dalam Umno. Maka berleluasalah penggunaan rasuah dan politik wang dalam Umno.
Mahathir harus ingat, semua ini subur pada zamannya menjadi PM dan Presiden Umno. Umno rosak dan korup selama 22 tahun Mahathir berkuasa!
Jadi apa yang beliau hendak salahkan Abdullah atau Najib semata-mata?
Mahathir hanya ibarat 'menepuk air di dulang, terpercik mula sendiri', 'meludah ke langit, terpalit ke muka sendiri'!
(Harakahdaily, 26 November 2008)
No comments:
Post a Comment