SIDANG Dewan Rakyat ditangguhkan minggu lepas selepas dua bulan bermesyuarat daripada pembentangan Bajet 2009 sehingga meluluskan dua rang undang-undang yang dilihat sebagai usaha terakhir Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat reform sebelum bersara Mac depan.
Dua Rang Undang-Undang tersebut dibentang dan diluluskan selama tiga hari merupakan suatu sejarah baru dalam pengamalan sistem demokrasi berparlimen Malaysia.
Dua akta baru itu ialah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari Rabu, 17 Disember lepas.
PM Abdullah merupakan orang yang paling gembira, apabila kononnya dua akta ini diluluskan oleh Parlimen secara sebulat suara, tanpa memerlukan pindaan perlembagaan.
Katanya, dengan sokongan ini termasuk dari parti pembangkang (Pakatan Rakyat), membuktikan Barisan Nasional sebuah kerajaan yang kuat, mendapat sokongan ramai.
Benarkah begitu?
Wakil-wakil Rakyat (MP) Pakatan Rakyat menyokong Akta Rasuah secara bersyarat, tetapi tidak memberikan respon yang jelas dalam Akta Kehakiman.
Selalunya, apabila selesai perbahasan Speaker meminta supaya mereka menyatakan sokongan dengan menyebut perkataan 'setuju', maka Speaker membuat kesimpulan, apabila kedengaran lebih suara bersetuju, maka sesuatu akta itu diluluskan. Tidak semestinya sebulat suara.
Nampaknya, PM telah dikelirukan (mislead) oleh media pro BN, kononnya akta yang dianggap sebagai usaha reform penting di era pentadbirannya mendapat sokongan sebulat suara.
Benarkah ianya mendapat sokongan sebulat suara? Atau ianya sekadar menjadi kosmetik terakhir bagi mencantikkan wajah hodoh BN yang semakin berkarat?
Tidak dinafikan bahawa dua akta yang baru dibentang oleh PM ini adalah suatu perubahan dasar yang baik, tujuannya baik, namun ianya seakan-akan seperti sia-sia.
Sia-sia kerana akta ini tidak mendapat sokongan Umno. Rata-rata MP Backbenchers tidak mengambil bahagian dalam dua akta ini. Lebih ramai yang duduk di lounge MP daripada duduk dalam dewan sewaktu ianya dibahaskan.
Ini menunjukkan Umno-BN sendiri tidak berapa menyenangi reform yang dicadangkan oleh Abdullah, kerana akta tersebut kelihatan tidak memberikan ruang yang positif kepada parti yang berkuasa.
Rang yang sama pernah dibentangkan oleh bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan banyak pindaan akibat tentangan keras pemimpin Umno dan komponen BN sendiri.
Menurut Anwar, PM ketika itu. Dato' Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad sendiri menggesa ianya dipinda dan digugurkan kerana tidak disenangi oleh ramai pihak.
Walaupun rang undang-undang yang sama kini dibentang oleh Kabinet Abdullah dan diluluskan oleh Parlimen, namun tidak boleh dikatakan ianya disokong sebulat suara oleh Umno dan komponen BN.
Dalam keadaan sekarang ini tiada siapa yang berani melawan Abdullah. Walaupun Abdullah berkata akan meletakkan jawatan Mac 2009, namun beliau masih PM, suatu jawatan yang berkuasa dalam negara.
Apapun yang diperkatakan dua akta tersebut sudah diluluskan. Soalnya mengapa sekarang baru Abdullah hendak bentangkan? Mengapa selepas jadual perletakan jawatannya sudah tersedia baru hendak buat reform?
Mengapa reform tersebut tidak dibuat sebaik sahaja beliau PM atau semasa mendapat besar dalam PRU 2004?
Akta ini dijangka berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009, apa yang Abdullah boleh buat untuk memerangi rasuah dan penambahbaikan kehakiman dalam tempoh tiga bulan?
Lima tahun berkuasa pun Abdullah tidak mampu, bagaimana beliau hendak melakukan miracle dalam tempoh tiga bulan?
Ketika ditanya wartawan, Abdullah menafikan pembentangan dua akta ini adalah hanya untuk meninggalkan legasi pemerintahan beliau. Seperti kata seorang wartawan akhbar luar negeri, "If in five years he cannot do anything, what can he do in three month?"
Justeru jika Abdullah serius hendak memastikan ianya terlaksana dengan baik, reform berlaku, maka Abdullah tidak harus 'pergi' Mac ini.
Abdullah harus mengambil kira saranan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa beliau tidak harus meletakkan jawatan PM Mac depan.
(Harakahdaily, 29 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment