Wednesday, April 15, 2009

Ku Li salah platform

Hasrat anak Raja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut peluang bertanding jawatan Presiden Umno buat kali kedua berlalu dengan sia-sia.

Kali pertama beliau hendak bertanding menentang Abdullah Ahmad Badawi empat tahun lepas, beliau hanya mendapat satu pencalonan sahaja, iaitu dari Gua Musang yang diketuainya sendiri. Tahun ini, beliau sudah lama menyatakan hasrat untuk bertanding.

Belum pun Abdullah membuat keputusan untuk berundur, namun kali ini beliau kecundang lagi sebelum masuk ke gelanggang.

Hasrat Ku Li untuk melihat demokrasi subur dengan menerima pertandingan dalam Umno juga sia-sia, kerana tiada siapa yang berani menjadi penyokong penentang Presiden Umno.

Harapan Ku Li untuk merasai sedikit penghormatan sebagai 'Anak Raja', 'statesman' atau bekas Menteri Kewangan juga sia-sia, kerana orang-orang Umno hanya menghormati wang dan kuasa.

Perjuangan Ku Li untuk mengembalikan Umno sebagai wadah asal memperjuangkan kepentingan bangsa, juga sia-sia, kerana Umno hari inilah, yang memusnahkan bangsa sendiri dengan kegagalan dasar pendidikan, meritokrasi, DEB dan sebagainya.

Nilai-nilai murni dan ketuanan Melayu sudah semakin terhakis daripada Umno. Benar, jika dahulu pejuang-pejuang asal Umno, sebahagian besarnya di kalangan guru, yang berjuang mendidik anak bangsa dan memperjuangkan kepentingan bangsa dengan tulus ikhlas.

Sebaliknya Umno hari ini, dikuasai dan diagih-agihkan jawatan penting di kalangan 'kumpulan yang ada wang' atau ahli perniagaan dan korporat.

Pemegang jawatan dalam Umno ditentukan oleh berapa banyaknya nilai helaian 'gambar Agong yang ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara', bukannya daripada personaliti dan karisme seseorang pemimpin.

Ya, diakui, Ku Li adalah seorang negarawan, yang dihormati oleh kawan dan lawan. Tetapi ketokohan dan karisme beliau tidak diperlukan dalam Umno.

Ku Li sepatutnya menerima hakikat bahawa selepas lebih 20 tahun beliau tidak duduk dalam hirerki kerajaan dan parti, beliau sudah 'lost touch' dengan akar umbi Umno.

Walaupun ada kalangan Ketua Bahagian, AJK bahagian dan cawangan, datang bertemu, memeluk, menyanjungi dan mencium tangannya, sehingga ada yang 'bagai menjanjikan langit dan gunung', untuk mencalonkan beliau, semua itu hanya lakonan semata-mata.

Ku Li sepatutnya sedar bahawa tanpa kedudukan dalam kerajaan, tanpa kuasa dan jika tidak sedia menabur wang, beliau hanya akan mendapat 'hampas' dari Umno Bahagian.

Masalahnya sekarang inipun, jika ada Menteri, Ketua Menteri yang bertanding, menawarkan sejumlah wang pelaburan ataupun 'title' Dato', belum tentu mereka akan mendapat pencalonan atau undi. Tengok siapa yang 'kasi' lebih!

Berbalik soal pemilihan Umno, daripada penelitian penulis, Ku Li tidak mempunyai asas untuk mendapat pencalonan, walaupun beliau sudah menawarkan diri sekian lama.

Beliau hanya di kelilingi oleh penyokong-penyokong yang tidak langsung mempunyai 'influence' dalam Umno. Bukan Ketua Bahagian, bekas Menteri, bekas Ketua Bahagian, bekas wakil rakyat, bekas itu dan bekas ini. Semua bekas-bekas ini tidak memberi apa-apa bekaspun dalam Umno.

Jika adapun bekas-bekas rakannya seperti Dr Rais Yatim dan Ahmad Shabery Cheek, sejak dilantik menteri oleh Abdullah, difahamkan kedua-duanya 'sudah lama meninggalkan' Ku Li.

Bukan sahaja Jelebu atau Kemaman tidak mencalonkan beliau, menyebut nama Ku Li pun sudah tidak berani lagi.

Oleh itu, malang bagi Ku Li, apabila beliau hanya 'associate with losers' atau didampingi golongan yang kalah dalam Umno.

Barangkali Ku Li tiada pilihan. Beliau perlukan jentera. 'Tiada rotan akar pun berguna'. Ku Li mahu 'memperbetulkan' bangsanya melalui Umno. Ku Li memerlukan Umno kerana berfikir Umno adalah platform orang-orang Melayu.

Tetapi Ku Li tersilap. Umno tidak memerlukan beliau, dan Umno tidak semestinya mewakili Melayu. Jika Ku Li hendak memperjuangkan kemelayuannya, tidak semestinya melalui Umno.

Penghormatan untuk beliau tiada dalam Umno. Ku Li lebih dihormati dari kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Ayuh Ku Li, berjuanglah melalui PAS. PAS ada perjuangan Islam dan PAS juga adalah pengawal kepentingan orang-orang Melayu dalam negara.

Penulis percaya Ustaz Abdul Hadi Awang, Anwar Ibrahim, hatta Lim Kit Siang sekalipun, sedia menerima Tenngku Razaleigh dengan hati yang terbuka!

(Harakahdaily, 10 November 2008)

No comments: