ADA dua perkara penting yang dibangkitkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mat Akin dalam ucaptamanya di kongres parti itu yang berlangsung 28 November lepas.
Pertamanya, AMK mahu pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, bebas dari anasir Barisan Nasional.
Kedua, AMK mahu usaha-usaha menyediakan kepimpinan pelapis dipertingkatkan, berikutan wujud kebimbangan di kalangan KeADILan, bahawa kerjasama Pakatan Rakyat akan hilang arah tanpa Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Penegasan lanjut diutarakan Shamsul dengan berkata, "AMK dengan ini memberikan peringatan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Jangan berdolak-dalik dengan seribu satu alasan. Pembersihan kerajaan daripada anasir BN mesti dilaksanakan tanpa bertangguh."
"Kita tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit hanya semata-mata untuk terus membolot peluang, tanpa menghayati falsafah perjuangan kita, tanpa menunjukkan komitmen untuk menghayati prinsip-prinsip perjuangan yang kita dukung," tegasnya.
Ketua AMK itu dengan tegas mengkritik kerajaan gabungan KeADILan, DAP dan PAS yang didakwanya cuai melaksanakan janji untuk membuat pembersihan dalam pentadbiran sehingga ke akar umbi.
Penegasan Ketua AMK, pada hemat penulis amat relevan dengan tuntutan dan kehendak majoriti rakyat di negeri-negeri dalam pentadbiran Pakatan Rakyat, supaya dilakukan perubahan agar dibersihkan segera kerajaan daripada kebobrokan Umno-BN.
"Kenapa setelah rakyat memberikan kita amanah, kita cuai untuk melaksanakan janji ini?" soal Shamsul.
Kelemahan PBT yang masih gagal diatasi
Skop pentadbiran kerajaan negeri amat besar. Penulis memerlukan masa untuk merungkaikannya satu persatu. Bagaimanapun penulis ingin kemukakan isu-isu dalaman yang membabitkan kebobrokan Umno melalui penguasaannya dalam PBT.
Bersama ini penulis ingin paparkan suatu emel yang diterima dari seorang pemimpin masyarakat yang dilantik menjadi AJK Zon dalam Parlimen Gombak.
Beliau mengatakan, "Setelah lapan bulan mencapai kemenangan dan hampir empat bulan menerajui majlis-majlis kerajaan tempatan melalui Ahli-ahli Majlis dari Pakatan rakyat yang dilantik, banyak isu keselesaan rakyat kini dilihat tergantung di awang-awangan.
"Sedar atau tidak, penyokong bawahan Pakatan Rakyat melihat isu membabitkan perkara asas keselesaan rakyat semakin teruk. Tidak keterlaluan boleh dikatakan ahli-ahli Majlis dari Pakatan Rakyat sebenarnya dibuli oleh Kakitangan Majlis-majlis Kerajaan Tempatan dari YDP sehinggalah peon biasa.
"Apa tidak nya, pada pandangan saya, lantikan ke jawatan-jawatan ini adalah atas dasar politik BN-Umno yang berkepentingan. Pelbagai alasan diberi oleh kakitangan Majlis, tiada duit lah, tiada keutamaan lah, ikut prosedur lah, ada lesen lah, kena ikut undang-undang lah.
"Masalahnya, semua alasan ini diangguk dan diakur oleh ahli-ahli Majlis kita yang ikhlas, telus dan berjiwa rakyat.
"Namun disudut belakang, ada yang tertawa terbahak-bahak melihat sikap Pakatan Rakyat yang semacam takut hendak ketepikan keputusan dan perangai staf-staf Majlis terutamanya negeri Selangor.
"Masakan tidak, Pakatan Rakyat masih tidak dapat kuasai Pasar Malam, Dewan, mengerakkan PBT supaya mengatasi semua laporan rakyat yang dan dilihat sangat-sangat lemah oleh pendokong-penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
"Ada penyokong-penyokong kita dah mula turunkan bendera di perkarangan rumah kerana malu. Mesyuarat dah berbuih, longkang tersumbat pun tidak diselesaikan.
"Takkan tidak boleh arahkan PBT keluarkan laporan kutipan Pasar Malam kut, susah sangat ke. Rakyat nak tau juga kemana duit tu pergi, siapa patut jaga, mana auditnya.
"Kalau Umno dah gunakan buat rombongan, siapa benarkan, siapa YDPnya. Tak boleh ambik tindakan ke, tak boleh gantung ke sementara siasatan.
"Bagi siapa-siapa yang tidak tahu PBT ini adalah BN kedua, penuh dengan penyangak dan penyamun duit rakyat.
"Exco-exco Selangor sudah tidak nampak lagi ke atau dah tenggelam dalam glamour? Rakyat marhain tolak Umno BN pada Mac 2008 kerana mengabaikan masalah asas rakyat, salah guna duit dan dana kerajaan, rasuah, perkauman, sombong, pentingkan kroni dan pemaju, sewenang2nya menekan rakyat dan sebagainya.
"Saya nampak keadaan macam tidak berubah sahaja walau kita sudah berkuasa. Sekurang-kurangnya selesaikanlah masalah kutipan sampah, longkang tersumbat, masalah anjing liar, nyamuk, pemaju engkar, kebersihan, jalan-jalan raya berlubang-lubang, gerai haram, car wash haram.
"Apa pun tak nampak perubahan lagi, macamana kami hendak jawab apabila rakyat mula memperli, tanpa memahami Pakatan Rakyat disabotaj oleh PBT yang rata-ratanya masih pro Umno/BN.
"Pada saya kalau ya pun kita ambil masa untuk mengaudit akaun kerajaan lama, tolonglah jaga kawasan masing-masing sama. Takut nanti tak sempat keluar laporan audit, Najib dah panggil pilihan raya. Mau terkangkang kita. Siapa nak pergi pacak bendera kalau semua dah kecewa?
"Ingatlah, strategi orang kalah seperti Umno/BN ialah 'Bagaimana dia berusaha untuk menang semula. Kita yang memerintah sedang diperhati, kalau dah hampir setahun rakyat tidak nampak perubahan, kita harus bimbang mereka akan kembali kepada BN."
Begitulah panjang lebarnya emel beliau. Kes yang beliau paparkan kepada penulis hanyalah kes spesifik yang berlaku di Selangor. Barangkali juga hal-hal yang sama boleh berlaku di Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
Memang bukan mudah untuk 'penetrate' PBT dan yang kebanyakan YDPnya adalah 'hamba-hamba' Umno sekian lama.
Namun perubahan harus dilakukan. Ianya selari dengan apa yang dibangkitkan oleh AMK. Nampaknya selepas lapan bulan, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat masih tidak dapat memberikan penumpuan yang betul bagi memenuhi keperluan rakyat keseluruhannya.
Memperbaiki segera kelemahan wujud
Masalah besar kepada Pakatan Rakyat ialah kebergantungannya kepada pegawai-pegawai kerajaan dan birokrasi yang diciptakan oleh Umno/BN sepanjang mereka memerintah.
Wujud banyak dakwaan bahawa kerajaan BN dan melalui PBT, mengamalkan rasuah secara terbuka, dalam pemberian tender, kelulusan tanah, kelulusan tapak perniagan dan sebagainya.
Rakyat memberi mandat kerana mereka tidak boleh lagi menerima keadaan seperti ini. Oleh sebab itu mereka memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat.
Memang bukan mudah hendak membuang semua 'sampah-sampah' dalam kerajaan, dalam satu bakul serentak.
Tetapi pemimpin-pemimpin kerajaan negeri harus mengambil langkah pro aktif bagi memenuhi kehendak rakyat dan tuntutan parti.
Tanpa menafikan tidak semuanya penyokong dan ahli Pakatan Rakyat boleh 'deliver' dengan tugas masing-masing, namun mereka yang berjawatan seharusnya memberikan keutamaan kepada penyokong Pakatan Rakyat untuk memainkan peranan utama dalam operasi kerajaan negeri.
Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri seharusnya mengambil serius nada beramaran yang dikeluarkan oleh AMK, bahawa, sekiranya terdapat pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang teragak-agak, takut kepada risiko dan perubahan, pergerakan itu tiada pilihan selain menggantikan pemimpin itu.
"Kerajaan mesti dipimpin, bukan semata-mata diurus," katanya dalam ucapan beliau.
Justeru, Anwar Ibrahim. Ustaz Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin tertinggi yang menganggotai sekretariat, seharusnya meneliti lebih serius keresahan rakyat, khususnya pendokong-pendokong Pakatan Rakyat.
Kritikan dan teguran yang dibuat terhadap pemimpin, khususnya terhadap Menteri Besar dan Exco, adalah untuk kebaikan di masa hadapan.
Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendirikan sebuah kerajaan yang adil, transparen, bebas rasuah dan demokratik.
Sementara kita diberi amanah, laksanakanlah tanggungjawab sebaik mungkin.
(Harakahdaily, 5 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment