Tuesday, May 12, 2009
Tok Guru bersyukur Perak dikembalikan secara undang-undang
Harakahdaily
KOTA BHARU, 11 Mei (Hrkh) - "Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini boleh menampung kecacatan yang berlaku dalam institusi kehakiman di negara ini," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berharap kewibawaan institusi kehakiman yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kembali pulih semula.
"Saya sangat bersyukur dengan perkembangan yang berlaku hari ini. Sebaik sahaja mendengar berita itu saya telah menunaikan sujud syukur," katanya dihubungi di sini, petang ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahim petang tadi mengembalikan semula kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Pada 5 Febuari lalu jawatan Nizar dirampas kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak yang diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir selepas tiga bekas Adun Pakatan Rakyat meninggalkan parti lama.
Mahkamah juga memutuskan Zambry dan enam anggota Exconya mengosongkan segera pejabat mereka di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.
Pada penghakiman itu Abdul Aziz berkata, seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) seperti kes Stephen Kalong Ningkan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap dengan keputusan mahkamah tersebut akan menyelesaikan konflik yang berpanjangan di Perak sejak Febuari lalu.
Ditanya kemungkinan Dr Zambry akan memohon membubarkan Dun katanya, ia terpulang kepada pihak terbabit bagi menentukannya bagi memastikan politik di Perak kembali stabil.
"Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya juga berharap semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan dalam isu ini.
"Biarlah isu ini berakhir dalam suasana aman dan diterima semua pihak," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment