Tuesday, May 26, 2009

Husam tanding kerana Nasha condong kepada Umno


Laporan Malaysiakini memetik kenyataan Husam seperti berikut:

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa secara rasmi mengesahkan akan cabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden, kemungkinan besar dalam persaingan sengit tiga penjuru.

Dalam pengumumannya di ibu pejabat parti itu tadi, beliau berkata gandingannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti.

"Saya yakin bahawa gandingan yang mantap boleh membantu Datuk Seri Tuan Guru memimpin PAS terus-menerus menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya.

"Penolakan ke atas Umno adalah kerana sifat perjuangannya yang memisahkan aktiviti pemerintahan daripada hitungan akhirat dan bimbingan wahyu, yang membawa kepada berleluasanya korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa serta hilang puncanya
Umno dalam isu hubungan kaum dan agama di Malaysia."

Seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu juga berminat jawatan nombor dua PAS.

Beliau dijangka mengesahkan bertanding hari ini, tarikh akhir semua calon wajib berbuat demikian menjelang pemilihan parti di muktamar tahunannya di Shah Alam bermula 5 Jun ini.

Ditanya berhubung dakwaan beliau seorang pemimpin liberal, Husam berkata:

"Saya menganggap penyandang jawatan sekarang (Nasharudin) juga liberal tetapi terlalu liberal (condong) kepada Umno adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Pada pendapat saya, PAS perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada Umno atau untuk menyelamatkan Umno."


Pertandingan PAS kali ini disifatkan persaingan dua aliran besar - satu pro-rundingan dengan Umno dan satu lagi pro-kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Nasharuddin - yang terlibat sendiri dalam satu rundingan sulit dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, waktu itu presiden Umno, sejurus selepas pilihanraya umum tahun lalu - dikategorikan dalam kumpulan yang bertentangan dengan Husam.

Exco kerajaan Kelantan itu dikatakan lebih menyenangi idea mengukuhkan kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang.


Pada saya kenyataan yang dibuat Husam ini jelas, beliau sanggup menentang Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk jawatan Timbalan Presiden PAS kerana Ustaz Nasha condong kepada Umno.

Selama ini Husam tidak pernah bercakap soal politiking dalaman parti. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau dituduh sebagai ketua kumpulan Erdogan, penyokong Anwar dalam PAS dan sebagainya.

Beberapa blog dan laman web digunakan, dipercayai kumpulan yang menyokong Nasha menghentam dan mencaci maki Husam dan ramai lagi pemimpin PAS. Kumpulan ini tanpa segan silu mendedahkan masalah dalaman PAS dan mengemukakan beberapa event atau perbincangan yang bersifat dalaman.

Bagaimana kumpulan ini tahu tentang perihal dalaman PAS jika mereka tidak rapat dengan pemimpin tertentu, tidak mendapat sokongan pemimpin tertentu yang mempunyai agenda tertentu?

Serangan terhadap Husam sejak akhir-akhir ini dilebarkan oleh media massa seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Akhbar-akhbar ini, yang cukup lama menghentam kepimpinan PAS kerana diterajui ulama, tiba-tiba berpaling 360 darjah, menyokong kepimpinan ulama dan menghentam Husam.

Harus ditanya, agenda siapa? Mengapa tiba-tiba akhbar-akhbar yang dikuasai Umno ini menyokong ulama-ulama dalam PAS? Kita tidak perlu berdebat soal ini, sebaliknya kita harus fikir mengapa ianya berlaku.

Selama ini pun Husam dan rakan-rakan yang dilemparkan pelbagai tuduhan, mendiamkan diri dan enggan mengulas perkara ini.

Justeru, jika kali ini Husam membuka mulut dan memperjelaskan sikapnya, jangan salahkan Husam. Salahkan orang-orang tertentu, mengapa mereka menghentam dan mencaci maki Husam selama berbulan-bulan.

No comments: