Wednesday, May 20, 2009

Isu Perak - Husam buat BN makin cacamerba


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa yang diberi mandat oleh PAS Pusat untuk bertemu dan berunding dengan pemimpin-pemimpin BN bagi mencari jalan penyelesaian kepada krisis politik di Perak.

Bernama melaporkan:

MCA Tak Restu Pertemuan Chua Dan Husam

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- MCA tidak memberi kebenaran atau restu kepada timbalan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan perbincangan dengan naib presiden Pas Datuk Husam Musa mengenai krisis politik di Perak, kata presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Pucuk pimpinan parti hanya diberitahu mengenai perbincangan itu oleh Chua semalam, katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkara itu yang tersiar dalam blog Chua semalam.

Selain isu Perak, Chua yang disertai anaknya yang merupakan Anggota Parlimen Labis, Chua Tee Yong, telah membincangkan isu-isu politik secara am dan mereka bersetuju bahawa kini terdapat amalan politiking yang keterlaluan di negara ini.


Itu komen Presiden MCA yang sejak awal-awal lagi tidak sebulu dengan Timbalannya Dr Chua.

Lihat apa pula kata Husam dalam blognya.


Pembubaran DUN Perak Kian Hampir
Saya telah menemui Tengku Razaleigh Hamzah, Dr Chua Soi Lek dan Tan Sri Abu Talib awal minggu ini, seperti dipersetujui Presiden dan Dewan Harian PAS Pusat. Perjumpaan seterusnya adalah bersama seorang pimpinan Gerakan.

Dr. Chua telah menjelaskan sebahagian inti perbincangan kami dalam blognya.

Apa yang saya dapat tangkap ialah, dari segi prinsip, semua ketiga pimpinan yang saya temui, bersetuju, DUN Perak harus dibubarkan.

Dr. Chua memberikan saranan, pembubaran dilakukan melalui undi percaya di DUN terlebih dahulu, baik oleh BN atau PR, selepas siapa diputuskan menang sebagai MB yang sah pada 21 Mei ini. Itu adalah pandangan beliau. Tetapi akhirnya, pembubaran adalah perkara pasti yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, jika ingin dilihat bermaruah.

Dr. Chua berjanji membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam selepas perjumpaan kami, Isnin lepas. Saya difahamkan Dr. Chua benar-benar membangkitkannya dan pada keseluruhannya, parti komponen yang lain menuju pandangan pembubaran sebagai jalan survival politiik BN di Semenanjung. JIka tidak, penolakan terhadap BN akan berlaku di seluruh Semenanjung.

Pembubaran DUN Perak juga akan mengimbangkan langkah BN tidak meletakkan calon di Penanti. BN tidak gentar. Buktinya, BN bertindak berani membubarkan DUN Perak sedikit masa lagi dan BN berani menghadapi pilihanraya di Perak dan dengan itu, tidak menyertai Penanti adalah atas sebab prinsip semata-mata.

Jika maklumat saya ini hendak dijadikan kenyataan, langkah pertama ialah Mahkamah Rayuan perlu membuat keputusan yang menyebelahi Zambry, Khamis ini. BN sangat memerlukan keputusan itu untuk BN akan dilihat bertindak menasihati Sultan untuk pembubaran itu dan bukan PR. Mereka juga mempunyai kelebihan sebagai care taker government sepanjang tempoh kempen.

Saya membuat tekaan, Khamis ini, Mahkamah Rayuan akan menyebelahi Zambry. Ini hanya tekaan saya. Untuk membolehkan tekaan saya selanjutnya menjadi kenyataan.

Pengunduran dari Penanti hendaklah juga dibaca sebagai satu strategi membuat kejutan reverse iatu pilihanraya mengejut di Perak.

Terima kasih pada semua pimpinan BN yang membawa versi berbeza dalam pandangan politik mereka.

PR, pada pendapat saya, bersedia dengan pilihan ini kerana krisis Perak perlukan penyelesaian segera dan muktamad. Jika tidak, satu lagi institusi yang sebelumnya dilihat terhormat iaitu Istana, juga akan menghadapi kepudaran kepercayaan rakyat sama seperti hampir keseluruhan institusi di negara ini.

Bersedia!


Pada saya tindakan yang dibuat Husam ini jelas menampakkan hasil yang positif buat Pakatan Rakyat. Pemimpin sebeginilah yang kita mahu, berunding dengan parti-parti lawan atau pun komponen BN untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan individu.

Pertemuan dan perbincangan dengan mereka (komponen BN) ini diterbukakan dan dijelaskan kepada umum. Supaya mereka faham apa tujuannya dan ia sudah tentu akan mengelakkan fitnah.

Ahli-ahli PAS juga saya fikir tidak mahu jika terdapat mana-mana pemimpin yang berbincang atau berunding dengan senyap-senyap dengan mana-mana komponen BN.

Nanti akan timbul banyak persoalan dan pertanyaan. Mungkin juga akan timbul fitnah.

Justeru saya cadangkan, mana-mana pemimpin PAS yang mahu berjumpa atau berunding dengan komponen BN, termasuk Umno (yang saya yakin tiada halangan), supaya mencontohi langkah yang dibuat Husam ini.

Iaitu, pertama, mendapat mandat parti. Kedua, jelaskan butiran perbincangan.

Jika pertemuan diadakan tanpa mandat. Jika butiran perbincangan tidak dimaklumkan kepada rakyat, jangan pula marah jika mana-mana pemimpin yang berbuat demikian menerima kritikan dari ahli dan penyokong.

Jangan pula ada mana-mana pemimpin yang menyalahkan ahli dengan menyatakan ahli tidak faham tugas mereka sebagai pemimpin, jika pemimpin itu sendiri tidak memberikan penjelasan yang sebaik-baiknya.

Jadi, untuk mengelakkan berlaku permasalahan yang mungkin akan membawa perpecahan, lebih baik kita bertindak mengikut saluran yang betul.

Pemimpin juga harus ingat bahawa, wala' ahli, penyokong adalah kepada PAS dan perjuangan PAS, bukan individu pemimpin.

No comments: