Thursday, May 07, 2009
Gabungan yang memantapkan PAS
Amanat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat begitu jelas dan mudah difahami.
Sama ada ahli agama ataupun ahli akademik, apabila mereka memasuki PAS, mereka hendaklah mempunyai satu matlamat yang sama iaitu mendaulat dan memartabatkan Islam di Malaysia.
Tuan Guru Nik Aziz berpendirian, tidak seharusnya diwujudkan perbezaan di antara golongan ulama mahupun profesional dalam PAS, asalkan mereka mempunyai ghayyah atau matlamat yang satu.
Bagi Tuan Guru, gabungan ulama dengan profesional inilah yang mewujudkan kemantapan dalam kepimpinan PAS. Semua mereka, alim dan arif pada bidang masing-masing, mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi mempunyai iktikad yang satu.
Penegasan Tuan Guru, yang tidak mahu dibezakan antara ulama dengan profesional membawa maksud bahawa, asas kepada sumber ilmu hanyalah satu. Iaitu ianya adalah susur galur daripada tamadun dan perkembangan ilmu Islam.
Kita mempunyai ulama-ulama tersohor yang mahir dalam ilmu perubatan, ilmu sains, ilmu falaq (astronomi), ilmu hisab (matematik), ilmu biologi, ilmu fizik, ilmu kimia dan berbagai-bagai lagi.
Semua karya-karya agung hasil kajian dan tulisan ulama-ulama besar mengenai ilmu ketamadunan, pembangunan dan teknologi dimuatkan dalam kitab-kitab Arab pada zaman pemerintahan Khilafah Abasiyyah yang berpusat di Kota Baghdad, suatu ketika dahulu.
Pada waktu itu tidak wujud pengasingan ilmu. Semuanya berasal daripada ilmu Islam, semua asas-asas ilmu ini diwujudkan hasil daripada sumber yang satu, iaitu Islam.
Akibat dari kelalaian dan perpecahan di kalangan umat Islam, karya-karya agung keilmuan ini diciplak oleh Barat. Diasingkan dengan Islam. Umpama dipisahkan antara ruh dan jasad.
Peradaban dan kegemilangan tamadun Islam dimusnahkan oleh Barat. Islam dikesampingkan oleh Barat, manakala sekular mula diketengahkan.
Sekularisme Barat sudah menular. Ia berkembang pesat dengan melakukan pemisahan yang ketara antara Islam dengan keduniaan.
Islam dikaitkan hanya kepada ilmu-ilmu ketuhanan, manakala ilmu-ilmu berkaitan perubatan, sains, astronomi, matematik, biologi, fizik, kimia dan sebagainya dianggap tidak Islam atau ilmu sekular.
Nabi Muhammad s.a.w sebagai pelopor perkembangan Islam, tidak pernah membezakan umatnya, melainkan, antara yang beriman dengan yang kafir, yang bertaqwa dengan yang angkuh dan orang yang berilmu dengan orang yang jahil.
Kejahilan akan membawa kepada keangkuhan dan kekufuran, manakala keilmuan akan membawa kepada keimanan dan ketaqwaan.
PAS adalah platform yang terbaik untuk pada ilmuan sama ada di kalangan mereka yang bergelar ulama, mahupun profesional, yang mahir pada bidang masing-masing, untuk menyumbang bakti, ilmu, tenaga dan wang ringgit bagi memartabatkan Islam.
Justeru pada Tuan Guru Nik Aziz, pemisahan yang diciptakan oleh golongan tertentu terhadap keunikan dan kemantapan kepimpinan PAS, dengan gelaran ulama atau profesional, hanyalah berpunca daripada penularan berleluasa sistem sekular Barat.
Perbezaan seumpama ini jika diikuti dan diiyakan, hanyalah membawa kepada perpecahan yang akan memudaratkan PAS.
Elakkanlah perpecahan, jauhilah kemudaratan. Ambillah iktibar dan bermuhasabahlah, bahawa kedudukan PAS hari ini tidak akan tertegak hanya oleh usaha sekelompok manusia sahaja.
Kemantapan kepimpinan PAS dan penghormatan yang dikecapi hari ini, adalah hasil usaha, pengorbanan serta sokongan semua pihak yang bersungguh-sungguh, mahu melihat al-Quran dan as-Sunnah dinobatkan sebagai sistem yang memandu kehidupan manusia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment