Wednesday, June 10, 2009

Reaksi Anwar dan Wan Azizah berhubung Kerajaan Perpaduan

10 Jun 2009, Petaling Jaya

Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr. Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan.

Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.

Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media umno-bn tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas.

Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihanraya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihanraya yang telus.

Inshaallah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA



8hb Jun 2009

Saya bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) merakamkan ucapan tahniah kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana berjaya melangsungkan muktamar tahunan kali yang ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Syabas juga saya ucapkan kepada barisan pimpinan PAS yang baru sahaja terpilih di dalam muktamar tersebut.

Muktamar PAS tahun ini menyaksikan isu kerajaan perpaduan menjadi perhatian umum. Pelbagai spekulasi dan andaian telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berikutan dari ucapan dasar Presiden PAS.

KeADILan berpendirian adalah sebaiknya untuk kami menunggu penjelasan dari pimpinan PAS berhubung isu kerajaan perpaduan mahupun sebarang bentuk perbincangan dengan Umno.

Sungguhpun begitu, kami tidak menghalang mahupun mempertikaikan hasrat mana-mana pihak untuk berbincang isu-isu yang membabitkan kepentingan nasional.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi komitmen KeADILan untuk memastikan Pakatan Rakyat sentiasa berada di dalam keadaan kuat dan utuh. Kami yakin rakan-rakan kami, PAS dan DAP juga mempunyai iltizam yang sama demi memastikan agenda perubahan terlaksana di Malaysia.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

No comments: