Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-55 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Jun di Stadium Malawati, Shah Alam, telah pun melabuhkan tirai dengan jayanya.
Bertemakan "Islam Memimpin Perubahan", intipati Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, memacu hala tuju parti dalam tempoh setahun yang akan datang.
Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, PAS mengajak rakyat Malaysia, sama ada yang beragama Islam atau pun yang bukan Islam untuk mendekati dan memahami
Islam dengan lebih mendalam.
PAS mengajak rakyat untuk meneliti, mengkaji dan menerima Islam bukan sekadar sebagai agama yang diturunkan Allah, malah Islam sebagai peneraju utama sistem politik, ekonomi dan sosial dalam negara.
Kegagalan ideologi peneraju di beberapa buah negara seperti nasionalisme, sosialisme serta komunisme, sudah cukup untuk menjadi asas supaya masyarakat dunia membuka minda untuk menerima Islam sebagai sistem hidup.
Keberadaan PAS di persada politik negara di zaman millenium ini membuktikan bahawa perjuangan Islam di bawah kepimpinan ulama terus mendapat penghormatan dan dokongan rakyat.
Dengan variasi kepimpinan dari pelbagai latarbelakang dan disiplin ilmu, sama ada dari kalangan ulama atau bukan ulama, terus mendapat kepercayaan rakyat pelbagai kaum serta agama dalam negara.
Kepercayaan ini zahir daripada sifat tawaduk, adil dan amanah yang dilihat rakyat melalui keperibadian kepimpinan PAS sama ada mereka ulama atau bukan ulama.
Sifat-sifat mulia ini pasti tidak akan wujud tanpa pendidikan dan kefahaman yang diasah menerusi tarbiyah Islam. Tarbiyah Islam adalah merupakan asas utama yang membentuk ciri-ciri kepimpinan yang akan menjadi kader-kader peneraju negara.
PAS tanpa segan silu menyatakan hasratnya untuk meletakkan kepimpinannya menerajui negara, khususnya menggantikan Umno sebagai parti teras orang-orang Melayu-Islam dalam negara.
Hasrat ini tidak bererti PAS memandang sinis kemampuan pemimpin-pemimpin dari parti lain yang juga mempunyai sokongan besar dari kalangan rakyat.
Hasrat yang dikemukakan PAS cukup jelas, dasar kepada pemerintahan negara, tidak semata-mata berasaskan kepada kekuatan individu, ia mestilah berasaskan kepada
kekuatan ideologi, kebersihan diri pemimpin serta ketulusan perjuangan.
Ciri-ciri ini hanya akan diperolehi jika seseorang pemimpin itu mengamal dan mengaplikasikan Islam yang sebenar dalam kehidupannya.
Islam yang hendak diaplikasikan hendaklah dengan sifatnya universal. Islam yang mengajak kepada perpaduan serta mengelakkan permusuhan. Islam yang membawa keadilan
dan kedamaian sejagat, bukan pencetus kekacauan.
Dalam usia PAS yang mencapai 58 tahun (sejak tahun 1951), PAS sudah cukup matang untuk diberi amanah menerajui negara.
Jika peluang untuk meneraju negara, PAS harus mempunyai kekuatan dokongan orang Melayu-Islam seperti yang dinikmati Umno sejak sebelum merdeka, maka PAS kini, sudah benar-benar bersedia.
PAS sedang mempersiapkan dirinya untuk menggantikan Umno. Ganti sebagai parti teras dalam negara, ganti sebagai parti yang mewakili kebanyakan rakyat menerusi penguasaan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
Namun PAS juga sedar bahawa sokongan dari kalangan bukan Melayu amat penting untuk membantunya menggantikan Umno.
Menggantikan Umno menurut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bukan bergabung dengan
mereka, tetapi menjadi parti yang terkehadapan daripada mereka.
Sudah tentu hasrat ini tidak akan tercapai jika PAS keseorangan. Maka kepimpinan PAS
dengan tegas berikrar untuk memperkukuhkan kerjasama di kalangan Pakatan Rakyat, demi masa depan negara yang lebih cemerlang.
No comments:
Post a Comment