Sunday, June 07, 2009

PAS tetap bersama Pakatan Rakyat membentuk 'government in waiting'

Harakahdaily melaporkan:

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau akan meneruskan perbicangan dengan mana-mana pihak termasuk parti lawan.

"Jika merujuk kepada Ucapan Dasar Presiden sebelum ini, kita tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan sesiapapun sama ada badan bukan kerajaan (NGO), parti politik mahupun mana-mana pihak dalam membincang apa jua isu," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam hari ini.

Malah, Nasharuddin mempertegaskan pintu perbincangan mengenai perkara tersebut tidak pernah tertutup.

"Pintu tersebut tidak akan tertutup, dengan sesiapa pun kita akan berbincang," demikian ujarnya menjawab persoalan mengenai kemungkinan isu muqabalah akan diteruskan.

Ditanya mengenai kemenangan beliau yang kelihatan selari dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam memperjuangkan isu kerajaan perpaduan beliau berkata keputusan untuk meneruskan idea tersebut dibuktikan menerusi sokongan yang dibuat oleh perwakilan dalam keputusan pemilihan kepimpinan PAS Pusat kali ini.

"Ia dibuktikan oleh sokongan perwakilan dalam keputusan pemilihan pada hari ini," tegasnya.

Walau bagaimanapun, Nasharuddin yang merupakan ahli parlimen Bachok masih tetap menyatakan komitmen bersama Pakatan Rakyat.

"Saya masih tetap komited dan meneruskan kebersamaan dengan Pakatan Rakyat dalam membentuk 'government in waiting'," ujarnya.

No comments: