25 tahun royalti milik rakyat Kelantan disembunyikan Kerajaan Pusat
Sejak pengumuman pertama mengenai penemuan fakta carigali petroleum 17 Jun 2009, Dato' Husam Musa dan pasukan penyelidiknya terus bekerja keras mencari bukti-bukti yang relevan untuk dikemukakan kepada Petronas dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Umno-Barisan Nasional.
Ketekunan para penyelidik Kerajaan Negeri Kelantan membuahkan hasil, apabila terdapat bukti menunjukkan Petronas menggali hasil petroleum iaitu gas dari perairan Kelantan sejak 2004.
Lima tahun Umno-BN menyembunyikan fakta, akhirnya mereka terpaksa mengakui ianya memang milik Kelantan. Hasil royalti petroleum tersebut dijangka menjangkau lebih RM 1 bilion.
Namun pasukan penyelidik yang diketuai Husam, terus mendapat bukti-bukti baru yang lebih memeranjatkan.
Lebih 25 tahun Umno-BN menyembunyikan fakta, wujudnya hasil petroleum digali di sempadan perairan Kelantan-Terengganu, royaltinya adalah milik Kelantan.
Ikuti wawancara eksklusif Pengarang Berita Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN bersama Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan itu di Putrajaya 25 Januari 2010.
Apa perkembangan terkini tuntutan royalti Kelantan
Terkini, ialah wakil Kerjaan Negeri Kelantan, telah diterima untuk berjumpa dengan Tan Sri Hassan Merican, Presiden Petronas sendiri pada 8 Januari lalu.
Dalam perjumpaan itu, kita menyampaikan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan bahawa apa jua pembayaran dari mana-mana medan minyak dan gas yang ada di offshore Kelantan mesti dibayar secara terus kepada Kerajaan Negeri.
Jika bayaran disalurkan dengan cara-cara yang lain dari apa yang tercatat dalam perjanjian, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan tuntutan bayaran tunai kepada negeri dan ini memungkinkan Petronas terpaksa membayar dua kali.
Apa respon Tan Sri Hassan?
Beliau akan memaklumkan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan seterusnya menjawab secara rasmi surat YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada beliau yang menjadi asas perbincangan kami pada hari itu.
Adakah isu undang-undang tidak dibangkitkan pada hari itu?
Kita tidak mengambil pendekatan untuk berbahas. Kita menyatakan pendirian kita untuk pengetahuan Petronas dan kita cuba mendapatkan butiran-butiran tertentu tentang pengeluaran secara rasmi untuk tindakan kita selanjutnya.
Lagi pun, salah seorang ahli rombongan kita ialah bekas Executive Director (Jabatan Undang-Undang) Petronas sendiri yang bertugas sewaktu perjanjian 1975 dibuat.
Beliau tahu kehendak sebenar perjanjian itu dan bukan seperti ahli politik tertentu yang cuba memutarbelitkan kehendak sebenar perjanjian.
Dato' Seri Najib sendiri waktu itu pernah bekerja di bawah orang ini. Dia hadir untuk menjelaskan apa sebenarnya spirit perjanjian itu mewakili Kerajaan Negeri.
Oleh itu, tak perlu ada perbincangan panjang tentang undang-undang.
Apakah bentuk penjelasan yang Dato' minta Petronas jelaskan?
Kita cuba mengetahui umpamannya pengeluaran di Bumi Selatan yang ada disebut sebagai asas untuk pembayaran wang ihsan oleh PM di Dewan Rakyat pada 4 Nov tahun lalu.
Kita diberitahu bahawa untuk tahun 2009, tunggakan yang perlu dibayar kepada Kelantan ialah USD12 juta.
Pengeluaran sudah bermula suku kedua 2008 dan jumlah pengeluaran harian untuk bahagian Malaysia ialah 14,200 tong gas bersamaan tong minyak (boe).
Rezab keseluruhan gas bagi PM 301 iaitu blok dalam perairan Kelantan yang tidak bertindih dengan mana-mana negara ialah 822 billion kaki padu.
YB ada membangkitkan telaga bertindih antara Kelantan dan Terengganu?
Sebenarnya isu ini telah pun dibangkitkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamad Yaacob sejak tahun 1990 lagi. Ia bukan isu baru. Kalau pemimpin Umno Kelantan buat sedikit kajian atau semakan.
Pada 5 September 1990, Tan Sri Mohamad Yaacob telah menyebut Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang adanya medan minyak atau gas yang bertindih dengan Terengganu. Kalau dengan Vietnam dan Thailand telaga boleh bertindih, apa peliknya kalau ada telaga bertindih pula antara Kelantan dan Terengganu?
Kalau kawah minyak atau gas di bawah laut itu duduk berhampiran sempadan, sebelah duduk dalam sempadan Kelantan dan sebelah lagi duduk dalam sempadan Terengganu, bukanlah satu benda yang pelik.
Amalan peringkat antarabangsa bagi kes sebegini ialah unitization. Pembahagian dibuat dengan kaedah tertentu mengikut sukatan kedudukan rezab itu.
Secara khusus, Kelantan membangkitkan Medan Bintang yang jaraknya hanya 60 batu dari pantai Kelantan.
Pengeluaran sudah bermula sejak 1984 lagi dan Kelantan tidak pernah dibayar apa-apa. Anggaran royalti yang sudah dibayar ialah RM 9.7 billion sehingga 2009 dan jika Kelantan terhak mengikut peratus yang akan ditentukan, jumlahnya bukan kecil.
Itu tak termasuk bayaran ke hadapan sehingga pengeluaran tamat dan sudah tentu menjadi kewajipan Kerajaan Negeri yang bertanggung jawab membangkitkannya.
Janganlah orang politik yang tak tahu hujung pangkal senang-senang menidakkannya untuk tujuan politik semata-mata. Ini tidak adil.
Apa lagi yang dibincangkan dengan Petronas?
Kita juga membincangkan pentingnya sempadan laut antara negeri-negeri diputuskan. Petronas perlu berlaku adil dengan menentukan milik negeri mana sesuatu medan minyak mengikut sempadan negeri yang sah yang diakui bersama.
Adakah tuntutan Kelantan hanya berkisar pada royalti semata-mata atau isu-isu lain juga dibangkitkan?
Sebenarnya, khazanah minyak yang telah ditentukan oleh Allah sejak azali untuk rakyat Kelantan, pada pandangan kami, haruslah dinikmati oleh rakyat Kelantan dalam semua segi secara optimum.
Kita merasakan Kelantan banyak dianak tirikan.
Jarak medan-medan pengeluaran ini baik kawasan JDA yang bertindih dengan Thailand mahupun CAA yang bertindih dengan Vietnam mahupun medan-medan lain seratus peratus dalam perairan kita, adalah sangat hampir dengan pantai Kelantan. Kedudukan Kelantan adalah paling hampir.
Jika gas atau minyak ini didaratkan di Kelantan, sudah tentu banyak faedah ekonomi akan diperolehi.
Paling tidak, aktiviti-aktiviti penghantaran bekalan dan khidmat sokongan untuk aktiviti di pelantar mesti berpusat di Kelantan.
Bayangkan, jarak untuk menghantar bekalan ke pelantar hanya 150 km jika dibuat dari Kelantan berbanding lebih 230 km dari Kemaman atau Songhkla. Ia amat menguntungkan dari segi ekonomi dan kerana itulah Kerajaan Kelantan berkali-kali meminta Kerajaan Pusat mempertimbangkan hal ini.
Ia boleh meningkatkan kegiatan ekonomi serta peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan masih berusaha untuk tujuan itu.
Bagaimana pula untuk kawasan bertindih dengan Thailand dan Vietnam seperti yang disebut oleh YB tadi?
Tidak ada apa-apa masalah patut dibangkitkan mengenai kawasan bertindih ini kerana semua formula pembahagiannya telah pun dipersetujui.
Kelantan hanya menuntut 5 peratus dari bahagian yang diterima oleh Malaysia.
Jika selama ini Kerajaan Pusat membayar royalti 5 peratus dari semua pengeluaran dalam kawasan CAA kepada Terengganu, mengapa Kelantan dikecualikan khususnya bagi Medan Bunga Pakma dan Bunga Orkid?
Ini tidak adil dan ketidakadilan tidak membawa berkat.
Jika kawasan CAA Terengganu selama ini mendapat pembayaran, keadaan adalah sama dengan kawasan JDA.
Apa lagi, wujudnya JDA bukan bermakna Malaysia menerima hakikat perairan ini bukan lagi menjadi milik negara kita.
Ia masih perairan kita dan kita mempunyai kedaulatan ke atas perairan ini. Ia menjadi sebahagian perairan Malaysia semata-mata Kelantan adalah sebahagian dari Malaysia.
Andaikata Kelantan tidak menjadi anggota Malaysia, perairan yang menjadi kawasan pengeluaran JDA sekarang sudah tentu bukan milik Malaysia.
Ini juga pernah disebut oleh Tan Sri Mohamad Yaacob bahawa Kelantan akan menikmati royalti bagi kawasan yang bertindih dengan Siam.
Malangnya, pemimpin Umno Kelantan hari ini, lupa apa yang pemimpin Umno sebelum mereka sebutkan. Termasuk semua jawapan Kerajaan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara selama ini, adalah selari bahawa pengeluaran di mana jua dalam perairan sesuatu negeri, negeri berkenaan layak menerima bayaran 5 peratus.
Apa sebab sebenar pemimpin Umno menafikan hak Kelantan?
Saya difahamkan, dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan, Pengerusinya menyebut, kalau Kelantan mendapat royalti, Kelantan akan gunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Kelantan dan dengan itu Umno tak ada harapan untuk menawan semula Kelantan.
Jadi sebab sebenar ialah politik semata-mata.
Apa pandangan YB dengan program Himpunan 100,000 di mana Tengku Razaleigh memberikan penjelasan pada 28 Januari?
Syukur Alhamdulillah, pertolongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Kelantan mendapatkan hak rakyat Kelantan dalam isu royalti ini mendapat sokongan banyak pihak.
Rakyat Kelantan sendiri telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah gerakan yang di panggil Gegar. Mereka bertindak menjayakan hasrat rakyat Kelantan mendapatkan keadilan dan kesaksamaan selepas sedemikian lama dibuli. Ini petanda yang sangat baik.
Mana-mana gerakan yang cuba menghalang hasrat murni rakyat ini akan kecundang Insya Allah.
saya juga amat bangga dengan tokoh seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abbas, Tun Rahman Ya'akub dan lain-lain.
Mereka ini adalah orang yang terlibat secara langsung, dengan pembentukan akta tunggal mengenai isu pengeluaran petroleum serta perjanjian royalti dengan Petronas. Selagi mereka hidup dan bersuara, tak ada orang lain boleh membohongi rakyat.
Pada saya ini sangat penting. Kerajaan Pusat patut merasa malu mahu menafikan kenyataan saksi-saksi ini yang masih hidup.
Ini satu kemenangan moral yang sangat besar bagi Kerajaan Negeri Kelantan dan juga rakyat Malaysia yang cintakan keluhuran undang-undang dan kehormatan perjanjian dan hak rakyat.
Ia boleh menjadi satu momentum baru jika Kerajaan Pusat tidak menghirakan fenomena kebersamaan dalam isu-isu penting seperti ini.
Pemimpin Umno Kelantan mencabar Kerajaan Negeri mempercepatkan proses Mahkamah. Apa komen YB?
Kita ada strategi kita sendiri dalam tuntutan ini. Akhirnya, memang tindakan mahkamah tidak dapat dielakkan dan dengan semua dokumen, saksi dan amalan yang ada, kita yakin kita bleh menang dengan mudah.
Terengganu juga sampai hari ini tidak menarik balik saman yang dibuat oleh Kerajaan PAS dahulu. Menunjukkan Terengganu juga sama pendapat dengan Kelantan iaitu 5 peratus perlu dibayar pada Negeri.
Namun, dalam tindakan, kita tahu bila kita memfailkan isu ini, kita tidak lagi dapat bercakap mengenainya.
Kita juga berfikir, tindakan mahkamah ada berbagai-bagai dan kita membincangkan berbagai-bagai option yang kita ada.
Buat masa terdekat, satu dari option yang kita mungkin ambil ialah memaklumkan kepada semua operator seperti Armada Hess, Exxon, Shell dan Talisman, mengenai kedudukan kita yang tidak dibayar royalti seperti perjanjian dan kemungkinan implikasi dan tindakan lain yang saya tak perlu dedahkan di sini.
Kita sentiasa berfikir pelbagai option kreatif yang kita ada untuk menyedarkan Kerajaan Pusat bahawa tuntutan kita adalah serius dan berbagai-bagai. Jangan mereka pandang mudah hasrat rakyat Kelantan ini dari ditunaikan. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment