Tuesday, January 19, 2010

Kaum Cina tiada masa depan dalam BN

Nama Dato' Dr Tan Kee Kwong tidak begitu dikenali seperti nama bapanya, Tan Sri Tan Chee Khoon. Namun tindakan bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dari Gerakan ini, menyertai Pakatan Rakyat tetap memberikan impak.

Dr Tan pernah menjadi Timbalan Menteri dari 1999 hingga 2004. Beliau merupakan Ahli Parlimen Segambut selama tiga penggal dari 1995 hingga 2004. Beliau bagaimanapun tidak bertanding dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Ikuti wawancara beliau bersama Pengarang Berita Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan Wartawan Kanan, WAN NORDIN WAN YAACOB serta Jurugambar MOHD NASIR SUDIN di Kelab Taman Tasek Perdana pada 12 Januari 2009.



Harakah: Bagaimana Dato' boleh terlibat dengan Pakatan Rakyat?

Dr Tan Kee Kwong : Ianya bermula pada awal tahun 2008. Sebelum itu kerana saya kenal Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) lebih kurang 20 tahun dahulu.

Selepas pilihan raya umum 2008, saya dilantik sebagai Pengerusi Bersama Task Force Bersama Tanah Selangor bersama Dato' Nik Mohamad Zin yang dahulunya sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tanah untuk lihat beberapa polisi antaranya persoalan kes-kes tanah mengambil masa panjang untuk diproses dan ada yang belum di proses selain masalah Pegawai-pegawai Tanah Daerah dan Pengarah Tanah Galian. Secara rasmi saya menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada Ogos 2008.


Pengalaman sebelum menceburi dalam politik?

Sebelum menceburi politik, saya sebenarnya bertugas sebagai Doktor Perubatan pada tahun 1973, dan saya buat kerja-kerja kemanusiaan, dan pada tahun 1977 saya ke United Kingdom (UK) untuk bekerja di sana sebagai doktor di sana. Saya juga buat Post Graduate (Sarjana) di sana.

Saya balik tanah air dan 1985 saya buka klinik sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dan tahun 1987 saya mula dengan bersama rakan-rakan dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Sentul, Kuala Lumpur dalam memberi khidmat kepada orang-orang miskin dan tua dan golongan 'single parent' terutamanya di kalangan kaum India yang ramai di Sentul.

Dalam tahun 80-an, Sentul sangat lain berbeza dengan sekarang ini dah banyak berubah.

Tan Sri Dato' Alex Lee, pada masa itu pada tahun 1995, di Segambut ialah satu kawasan baru, Alex Lee menamakan saya untuk bertanding di sana. Saya setuju pada masa itu kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dia lihat saya ada potensi.

Bila sertai Gerakan?

Saya sertai Gerakan iaitu dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum 1995, sebagai calon, hubungan saya sangat baik dengan pimpinan BN ketika itu.

BN ketika itu sangat kuat dengan di bawah Dr Mahathir, tetapi sekarang ini terlalu berbeza kerana banyak masalah.


Apa yang mendorong Dato' sertai politik?


Pada masa itu ekonomi Malaysia dan dalam dunia amat kuat. Sekitar 1994-95 pasaran di Vietnam dan China tak terbuka jadi persaingan kepada Malaysia tidak kuat.

Tetapi sekarang ini sudah berbeza, Russia dah berubah, Vietnam, India dan China berubah, tetapi Malaysia tidak berubah.

AJK Pusat, dan kemudian saya bertanding sebagai Timbalan Setiausaha Agung, dan kemudiannya terakhir Naib Presiden dan Pengerusi Bahagian Segambut.

Kenapa masuk Gerakan?


Saya percaya pada masa itu, bahawa politik perkauman sangat tidak sihat, Gerakan macam Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang pelbagai kaum, jadi sekarang saya masuk KeADILan.

Pada masa itu (dalam Gerakan) konsep Bangsa Malaysia kita terapkan, dan sebagai pimpinan BN, kawasan Segambut bukan mudah dijaga kerana perlu menjaga orang kaya dari Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara dan Bukit Tunku, mereka agungkan konsep bangsa Malaysia.

Tetapi mereka kata Gerakan kena lihat halangan dari komponen BN seperti Umno, MCA dan MIC yang berteraskan kepada kaum.

BN sendiri tiada konsep bangsa Malaysia hingga kini kecuali PPP dan Gerakan serta PBS di Sabah, ini sahaja parti yang ada dalam BN yang 'multiracials', tetapi Umno tidak terbuka, MCA dan MIC juga tidak terbuka. Jadi bagi Gerakan ia tidak baik kepada masa depan BN. Namun apa yang boleh mereka buat.

Ada 'politiking' dalam Gerakan yang menyebabkan Dato' keluar?

'Politiking' dalam parti biasa, tetapi saya keluar Gerakan bukan kerana itu, sebab apa saya selaku Pengerusi BN Segambut, saya banyak mesyuarat di peringkat nasional dan setempat.

Pada masa itu Tengku Adnan Tengku Mansor (kini Setiausaha Agung Umno) selaku Pengerusi BN Wilayah dan Umno, ada juga Drs Suleiman Mohaamad, Dato' Zulhasnan Rafique, dan sebagainya.

Kita lihat isu bagaimana kakitangan awam yang tak profesional, rasuah politik dan sebaginya.

Tetapi Umno tidak mahu berubah, ini isunya. Ini sebab utama saya keluar, saya dah cakap banyak kali. Umno tak berubah, mereka mahu teruskan konsep mereka sahaja.

Gerakan mahu rasuah dikawal kerana ia bakal memberikan impak kepada BN, mereka tak mahu berubah hinggalah Mac 2008. Ini yang memusnahkan Umno.

Umno juga memiliki ramai orang yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin peringkat pertengahan, ingat lagikah dahulu dengan nama Azman Attar, Zakaria Mat Derus (Klang), sedangkan semua orang tahu ini 'samseng', hidup mewah dan banyak lagi. Apa sebab mereka boleh bagi pemimpin sebegini banyak muka?

Adakah Dato' kesal tinggalkan Gerakan?


Tidak... langsung tidak kesal. Saya ada pengalaman dalam pentadbiran, ramai kawan dari Pakatan Rakyat ajak saya memberi sumbangan walaupun umur saya telah menjangkau 63 tahun, saya akan terus membantu untuk kebaikan negara.

Masa dalam kerajaan, apa peranan Gerakan yang kita lihat berbeza, macam dalam isu ISA dan beberapa isu lain yang Gerakan mengambil posisi bertentangan dengan kerajaan?

Kita cuba mengutarakan pandangan, kita lihat dan kita cuba imbangi pandangan-pandangan dan memberikan pandangan yang mungkin dilihat bertentangan dengan Umno.

Kita banyak menegur Umno yang mengetuai kerajaan dalam banyak hal, kita banyak menegur dasar-dasar kerajaan, namun hingga kini ia tidakpun berubah kerana isunya Umno tidak mahu berubah dan tidak berubah.

Kita di Gerakan pernah ada cadangan untuk keluar BN, masa itu sebelum pilihan raya umum 2008, tetapi jika kita hendak sertai pembangkang masa tu kita sukar sebab memandangkan pembahagian kerusi kita yang sukar, ini di zaman Lim Keng Yaik, bukan masa Tan Sri Koh Tsu Koon.

Tsu Koon tiada guna kepada Gerakan, dia tak boleh buat apa-apa.

Maksudnya bila Gerakan tekan soal ISA kerajaan tak puas hati?


Ya, memang kerajaan tidak puas hati, kita selalu cakap soal ini tetapi kerajaan kata itu kita selesaikan dengan cara kita di belakang, tetapi tak selesaipun, hingga kini rakyat semakin marah, dan rasuah pula semakin parah.

Maknanya Gerakan seperti "barking at the wrong tree"?


Kita tidak memiliki banyak kerusi, termasuk bagi kerusi Parlimen, kita hanya lebih kurang 12. Bila kita tak ramai macam mana nak utarakan suara dan didengari, sebab tak ada kuasa.

Ada ura-ura mahu satukan Gerakan dan MCA, kita tahu walaupun Umno kata pergilah, tetapi mereka juga tidak mahu ada satu kesatuan besar Cina dalam BN, mereka memang tak suka, mereka suka pecah dan perintah, meraka amalkan agar parti komponen ini dilihat lemah dan yang lain lemah, agar mereka boleh menjadi 'taiko' yang berkuasa. Ini sikap mereka (Umno).

Boleh dikatakan Umno membuli?

Ya membuli sejak dulu lagi, mereka boleh cakap apa-apa tetapi kita (Gerakan atau komponen lain) tak boleh cakap. Kita dah kritik sejak dahulu tetapi mereka tak berubah, mereka buat keputusan lantik dan buat apa sahaja ikut suka mereka.

Di Pulau Pinang, Umno bergaduh sangat teruk dengan Gerakan. Sehingga pemimpin Umno gelar orang Cina kaum pendatang. Ini satu yang sangat teruk masa itu, ini sangat teruk, ini sangat memalukan.

Saya dalah generasi ketiga kaum Cina di negara ini, dah tiga generasi saya duduk di sini macam mana mereka kata kami ini pendatang, ini sesuatu yang tidak patut.

Adakah ia kerana kelemahan Ketua Menteri Pulau Pinang (Tsu Koon) ketika itu?

Bagi saya mudah sahaja, Koh Tsu Koon sangat lemah ketika itu, tiada siapa yang menghormatinya.

Malah dalam PRU 2008 apabila dia bertanding di kerusi Parlimen, dia kalah kepada P Ramasamy (DAP) di Parlimen Batu Kawam dengan lebih 10,000 undi majoriti.

Ini satu majoriti yang besar, walaupun dia telah menjadi Ketua Menteri selama empat penggal, dia gagal untuk menarik sokongan rakyat, ini sangat lemah.

Dia bukan sahaja kalah tetapi kalah dengan majoriti yang besar kepada orang yang tidak pernah bertanding sebelum ini, apa yang sebenarnya rakyat Pulau Pinang fikirkan tentang Koh ialah dia sangat lemah, ini hakikat.

Sekarang ini dia sebagai Presiden Gerakan dan jadi menteri, macam mana?

Ini saya tak mahu jawab, kalau dia ketua menteri selama empat penggal, dia patutnya boleh mendapatkan sokongan kerana beritanya masuk sentiasa dalam surat khabar dan televisyen. Itu pun dia gagal. Sekarang (menteri) apa beza?

Tadi Dato' kata keluar Gerakan kerana Umno tidak berubah?


Ya. Itu faktanya. Umno tidak berubah, saya dah sebut banyak kali, tidak kira siapalah ketua atau kepala dalam Umno kerana Umno tidak akan berubah selamanya, mereka hanya memikirkan untuk memberi projek kepada kroni dan untuk dapatkan sokongan, jika tidak mereka tak bagi.

Kontraktor Kelas F sukar mendapat projek.Ada satu cerita, pada mada itu Tan Sri Kasitah Gaddam sebagai Menteri Tanah dan Koperasi, pada tahun 2001, selepas mesyuarat post kabinet, saya jumpa Ketua Pengarah, dan beberapa kakitangan tinggi kementerian.

Saya minta mereka tunggu saya sebentar untuk berbincang dengan saya mengenai beberapa hal kementerian pada masa itu, saya bertanyakan kepada mereka, kenapa kamu semua marah sangat kepada kerajaan?

Mereka terdiam, dan kemudian saya tanya isu Anwar, ada seorang Ketua Pengarah, dia cakap kepada saya Dr betulkah Dr mahu tahu? Saya berkata ya.

"Kami sebenarnya kecewa dengan keputusan-keputusan kerajaan yang menganugerahkan tender secara runding terus kepada kontraktor kroni, ini tak pernah diamalkan sejak kami berkhidmat dahulu.

Ini satu benda yang sangat tidak bermaruah, mereka kata semua orang politik kerajaan menyalahkan kami (kakitangan awam) walaupun keputusan memberi tender dibuat oleh orang politik."

Dalam kata lain Umno yang buat.Kita telah lihat kegagalan yang besar terutamanya dalam PKFZ, dan yang lain-lain yang kecil-kecil lagi, ini semua kerana amalan memberi tender secara terus oleh orang politik Umno.

Maksudnya tender terus boleh buka ruang kepada rasuah?


Ini benar, sekarang ini pembaikpulihan di Jalan Klang Lama, kos projek disebutkan RM310 juta. Namun apabila saya bertanya kepada seorang rakan jurutera tentang kos sebenar projek itu, dia menyatakan kos sebenar hanyalah RM110 juta.

Ini semua duit rakyat yang digunakan dibazirkan.Sekarang ini, beberapa tahu lalu, skim laptop untuk KPM, projek lebih kurang 100 juta, tetapi ada 'Runner Umno' (orang tengah) dari 100 juta itu dia minta 60 peratus dari peruntukan harga hanya untuk jadi orang tengah. Ini 60 juta, mereka ini guna perkataan dengan kata mereka ini kenal menteri.

Ini satu pembaziran wang rakyat. Orang tengah Umno dapat banyak duit kerana menjadi orang tengah, mereka jika pegawai kerajaan halang, mereka akan kata mereka akan jumpa menteri kerana mereka kenal menteri.

Mereka ini akan gunakan pelbagai alasan kononya untuk sekolah bestari dan sebagainya, namun hasilnya ialah untuk poket mereka, mereka tidak keluar modal, tetapi dapat wang dengan mudah.

Apakah BN ada masa depan jika Umno tidak berubah?

Umno sudah menjadi komponen utama sudah lama, mereka menyimpang jauh dari semnagat asal dan perjuangan asal.

Dulu mereka bercakap soal nelayan, orang miskin, tetapi sekarang ini kita dapat lihat dalam Perhimpunan Agung, mereka bawa kereta apa, BMW, Mercedes. Ini parti 'tauke'.

Dulu mereka cakap MCA sebagai parti taukeh, tetapi sekarang ini kita lihat Umno pula lain. Ini susah untuk BN.

Adakah Dato' yakin masa depan rakyat dengan Pakatan Rakyat?


Ya. Walaupun ada sedikit masalah dalaman, tetapi masa depan Pakatan Rakyat sangat baik untuk rakyat.

Baru-baru ini kita ada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama pada 19 Disember 2009. Bila saya lihat pemimpin-pemimpin di atas pentas, saya lihat ramai mereka yang berkebolehan untuk menerajui negara, pimpinan utama yang ada di sini semuanya berpengalaman, mereka layak menerajui kerajaan.

Ada pandangan sokongan orang Cina kepada Pakatan Rakyat sudah 'lari'?

Orang Cina ini mereka sangat praktikal dalam menentukan sokongan mereka. Dua perkara yang mereka mahukan adalah pendidikan dan ekonomi.

Mereka mahu peranan sekolah Cina yang berkualiti, ini mereka mahu dikekalkan.

Selain itu ekonomi, Malaysia kini jauh ketinggalan kerana Singapura dari aspek pendapatan perkapita mereka kita sangat jauh kebelakang, kita tiada daya saing.

Sekarang ini pula ada kes bakar gereja, akan bertambah teruk lagi sokongan kepada BN yang akan merosot, dan ekonomi negara akan terus jatuh.

Apa yang orang Cina mahukan ialah, mereka tidak mahu kerajaan hanya cakap mahu ubah sahaja, tetapi mereka mahukan perubahan, termasuk dalam ekonomi.

Sekarang ini Pakatan Rakyat mahu bantu siapa yang perlu, tidak kira Melayu, Cina India, ini semua kita akan bantu, ini sangat baiklah.

Pandangan peribadi Dato' terhadap PAS?


Saya meneliti banyak komen pemimpin tinggi BN terhadap Tok Guru (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat). Tetapi kita lihat hidup dia, dia sangat mesra, hidup sangat sederhana berbanding dengan pimpinan Umno yang guna 'sports car' dan sebagainya.

Walaupun Umno kritik, tetapi kita orang Cina sangat suka dengan dia (Tok Guru) dan kami sokong dia.

Sejak dahulu sewaktu jadi ahli Parlimen, saya kenal Dato' Kamarudin Jaffar (AJK PAS Pusat), kenal Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS) mereka ini sangat baik dan mereka ini sangat mesra dengan kami.

Saya rasa apa yang penting bagi PAS ialah, mereka masa akan datang perlu mempamerkan bahawa Malaysia sebuah negera Islam yang moderate.

Ini perlu, dan lepas ini hal-hal isu Allah kita dah lihat kenyataan PAS ini tiada masalah, PAS banyak berubah kepada jauh lebih baik. Mereka (PAS) buat Islam yang betul, ini benar-benar kita lihat, pimpinan PAS lebih banyak berinteraksi.

Adakah sekarang ini tanggapan orang Cina terhadap PAS semakin baik?

Ya pandangan orang Cina kepada PAS semakin baik, malah dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, kita dapat lihat orang Cina dan India sanggup membawa bendera PAS. Mereka gembira, pakai baju Tok Guru kerana mahu memberi sokongan kepada PAS. Ini satu perubahan yang sehingga kini kekal. Orang Cina tiada masa depan dengan Umno-BN.

Dalam isu Herald apa komen Dato'?

Isu Herald guna nama Allah ini, jika kita nampak hakikatnya, sejak tahun 1982 Herald telah diberikan permit dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Mereka telah pakai Allah sejak dahulu, kenapa sekarang ini Umno jadikan isu, mereka di Sabah dan Sarawak gunakan banyak generasi, ini hanya isu yang dicipta oleh Umno.

Utusan Malaysia buat kenyataan yang perkauman, kenapa Umno tak tarik balik permit mereka? Ini kita dapat lihat sejak dahulu lagi.

Saya sebut kepada kalangan rakyat, ini tiada masalah.Saya lihat isu ini hingga bakar gereja, akhirnya kita sebenarnya mempamerkan negara kita sebagai tidak sihat.

Adakah Umno guna isu nama Allah kukuhkan sokongan Melayu?


Ya benar, mereka terdesak, dan mereka guna isu ini jadi agama dan perkauman, ini satu yang tidak sihat, tetapi rakyat tidak bodoh seperti Umno fikirkan, mereka terbuka dengan banyak bahan bacaan Blog, internet dan majalah, Umno tidak boleh tutup maklumat lagi tidak seperti tahun 60-an.

Rumusan Dato' mengenai masa depan Pakatan Rakyat?

Umno tidak akan berubah, jadi rakyat perlu ubah dengan menyokong Pakatan Rakyat. Pergilah daftar mengundi dan buat keputusan yang bijak demi masa depan negara bersama Pakatan Rakyat, jangan tunggu saat akhir.

Ada empat juta belum daftar, kita telah gerakkan kempen daftar dan BN pun telah mula. Yang pasti sokongan bukan Islam tidak akan beralih kepada Umno. Melayu, Cina dan India telah membuka mata mereka untuk menyokong Pakatan Rakyat. Terima kasih.

No comments: