Wednesday, January 06, 2010

Ulama terkemuka kecam tindakan jahat Mesir


Ketua Persatuan Ulama Muslimin Antarabangsa, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, telah mengeluarkan fatwa bahawa pembangunan tembok besi yang sedang dilakukan oleh kerajaan Mesir di persempadanan Mesir-Gaza adalah haram berdasarkan syari’ah.

Al-Qaradhawi menegaskan dalam kenyataannya yang disampaikan kepada sejumlah media informasi pada hari Isnin (28/12) yang lalu, bahawa pembangunan tembok besi itu adalah perbuatan yang diharamkan menurut syari’ah (agama), kerana ianya bertujuan menghalangi rakyat Gaza dari mendapatkan bahan keperluan asasi bagi menruskan kehidupan mereka, seterusnya menjadi penyambung kepada sekatan yang telah dikenakan ke atas mereka.

Situasi ini akan semakin membuatkan warga Gaza semakin kelaparan, terhina dan tertindas; yang mana semua hal tersebut dilakukan demi memenuhi dan mempersetujui permintaan Israel.

Sementara AP melaporkan, pemimpin Hizbullah, Sayed Hassan Nasrallah semalam menggesa Mesir menghentikan pembinaan pagar keluli sepanjang sempadannya dengan Gaza.

Pagar berkenaan bertujuan menghentikan kegiatan menyeludup menerusi terowong oleh penduduk Palestin di Gaza.

Bercakap kepada puluhan ribu penganut Syiah Lubnan sempena sambutan Asyura, Sayed Hassan berkata, Mesir akan menjadi sasaran kecaman jika tidak menghentikan pembinaan tembok itu.

Ketegangan antara Mesir yang majoriti penduduknya berfahaman Sunni dengan Hizbullah yang disokong Iran meningkat sejak tahun lalu apabila Sayed Hassan menuduh Kaherah bersekongkol dengan Israel untuk mengepung Gaza.

"Di sebalik kepungan itu, terdapat laporan mengenai pembinaan tembok keluli yang bertujuan menyekat kemasukan barangan keperluan ke Gaza," katanya.

"Kami menggesa kerajaan Mesir untuk menghentikan pembinaan tembok itu dan menamatkan kepungan ke atas Gaza.

"Mesir akan dikecam oleh seluruh bangsa Arab dan masyarakat Islam sekiranya ia tidak menghentikannya," kata Sayed Hassan.

Mesir menahan 26 orang yang didakwa mempunyai hubungan dengan Hizbullah yang dituduhnya merancang serangan di Mesir.

Pendakwa raya Mesir berkata, seorang daripada tahanan itu ialah anggota Hizbullah yang mengetuai 10 yang lain untuk cuba menyeludup senjata kepada kumpulan Hamas di Gaza.

Pegawai Mesir mengaku menempatkan tiub keluli di beberapa tempat sepanjang sempadannya dengan Gaza tetapi tidak menyatakan tujuannya.

Penduduk Gaza bimbang sekatan keluli itu yang ditanam di bawah tanah akan mengehad atau mengakhiri kegiatan penyeludupan menerusi beratus-ratus terowong.

No comments: