Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tercetus dalam negara suatu fenomena yang kelihatan terancang, oleh pihak tertentu dengan mengunakan sensitiviti agama sebagai alat permainan politik.
Dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk atau prural society, isu-isu berkaitan kaum dan agama, merupakan suatu isu yang amat bahaya, mudah menjadi alat provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.
Ketegangan ini menyebabkan beberapa buah rumah ibadah orang Islam, Kristian dan kini Sikh disabotaj, dibaling bom api dan terbakar.
Bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan dikenali sebagai sebuah negara Islam yang moderate, ketegangan yang tercetus ini sedikit sebanyak menjejaskan nama baik Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa, isu kaum dan agama jika tidak ditangani dengan betul, akan menjadi suatu polemik yang membahayakan masa depan negara dan rakyat.
Malangnya di mana-mana sahaja negara yang sifat penduduknya majmuk kaum dan agama, isu-isu ini, sering menjadi alat permainan pemerintah untuk mengekalkan kuasa.
Di sebalik topeng amalan demokrasi, pemerintah sentiasa mengambil peluang untuk mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama, mempolitik dan memprovok sentimen rakyat, supaya terus bergantung kepada kerajaan yang kononnya bertanggungjawab menjamin keselamatan.
Kerajaan, melalui media massa yang dikuasainya, memainkan propaganda terbuka dengan sedar, meniupkan sentimen perkauman dan sentimen agama yang melampau.
Hasil dari propaganda ini, sentimen sesetengah kelompok, sama ada atas nama kaum atau nama agama, akan meluap-luap sehingga boleh membahayakan kaum atau rakyat dari kalangan agama yang berbeza.
Apabila rakyat dari kalangan kaum atau agama yang berbeza berada dalam keadaan tegang dan tidak stabil, maka mereka akan terpaksa bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang yang dikawal oleh kerajaan.
Maka pemimpin kerajaan dari segi retoriknya akan memberi jaminan bahawa keamanan negara masih lagi terkawal. Dalam masa yang sama, kerajaan terus 'memejamkan mata' terhadap media propagandanya mencetuskan polemik demi polemik.
Rakyat yang terpengaruh dengan semangat patriotisme kaum dan fanatik agama sudah tertentu akan terdorong ke arah menggunakan tindakan yang tidak rasional dalam usaha mempertahankan kepentingan agama atau kaum mereka.
Lantas kerajaan Umno-BN mengambil kesempatan 'menangguk di air keruh' dengan kononnya menawarkan jamiman keselamatan terhadap rakyat.
Maka Menteri Dalam Negeri terus memberikan amaran yang keras untuk menguatkuasakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap golongan yang melakukan sabotaj tersebut.
Inilah yang dikatakan strategi 'divide and rule' atau pecah perintah, yang digunapakai oleh kerajaan Umno-BN sejak zaman sebelum merdeka lagi.
Namun bagi kita ISA tidak perlu. PAS menolak sekeras-kerasnya penggunaan ISA dalam isu ini. Sebaliknya PAS mahu, mereka yang bersalah melakukan sabotaj ke atas rumah-rumah ibadah, mesti dibawa kemuka keadilan, dibicara dan dihukum jika melakukan kesalahan.
Apakah dengan mengambil tindakan di bawah ISA, rahsia atau latar belakang mereka yang melakukan sabotaj dapat disembunyikan?
Selama ini pun Umno-BN menggunakan senjata ISA untuk memerangkap parti-parti lawan mereka, khususnya PAS dan DAP yang dipersalahkan atas ketegangan kaum yang berpunca dari perbalahan Umno dengan MCA.
Bagaimanapun kali ini, strategi mereka tidak menjadi. Walaupun berlaku sabotaj di beberapa tempat, tidak dinafikan bahawa rakyat kini bijak menilai isu-isu politik.
Rakyat tidak bangkit melulu. Mereka mengambil sikap 'tunggu dan lihat'. Dalam konteks ini, rakyat bijak menilai mana yang baik dan mana yang buruk buat mereka.
Kematangan rakyat inilah, yang menyebabkan pemimpin Umno-BN buntu. Semua strategi mereka tidak menjadi dan 'memakan diri sendiri.'
Umno-BN agaknya terlupa, bahawa mereka tidak lagi relevan dalam persada politik negara. Dominasi mereka terhadap rakyat sudah semakin tiada.
Rakyat sebenarnya memberikan mesej yang jelas, bahawa, tidak kira apa yang berlaku dalam politik negara, rakyat sudah mempunyai pilihan sendiri untuk menggantikan Umno.
Semakin ramai rakyat cenderung menyokong Pakatan Rakyat, menyebabkan jumlah penyokong Umno semakin mengecil.
Tiada masa depan yang cerah buat Umno, melainkan kekaburan dan kegelapan.
No comments:
Post a Comment