Wednesday, January 27, 2010

Tangkapan terbaru ISA?

PAS menggesa Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein membuat kenyataan terbuka mengenai tangkapan terbaru seorang warga Malaysia dan enam warga asing di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kenyataannya kepada Harakah menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai mengejutkan dan bercanggah dengan lunas-lunas demokrasi.

Harakah difahamkan, pada jam 9.30 malam, 21 Januari lepas, pihak polis melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Gombak dan menahan 40 orang, kebanyakannya warga Arab yang berhimpun dalam satu majlis.

Daripada tangkapan tersebut, difahamkan tujuh orang ditahan tanpa sebarang makluman di mana mereka berada dan atas sebab apa mereka ditahan.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat berkata, beliau ditemui keluarga terbabit yang begitu bimbang kerana tidak mengetahui langsung khabar anggota keluarga yang ditahan polis.

Menurut Syed Azman, beliau difahamkan sekumpulan warga Arab dan rakyat Malaysia tersebut berhimpun dalam satu halaqat yang dikendalikan oleh seorang warga Syria yang bernama Aiman Aldakha Yusuf.

"Saya mendapat tahu Aiman adalah seorang bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang telah tamat pengajiannya, dan kini beliau menjalankan urusan perniagaan di ibu kota.

"Aiman ditahan bersama anaknya yang bernama Huzaifah, manakala warga Malaysia yang ditahan bernama Azahari Murad," ujarnya.

Menurut beliau, ada andaian tangkapan yang dibuat unit khas polis dibuat di bawah ISA kerana kononnya mereka dikaitkan dengan pengganas antarabangsa.

"Kita mahu Hishammuddin (menteri) beritahu apa motif tangkapan dibuat dan kita gesa sebarang pendakwaan mesti dibuat di mahkamah terbuka, jangan guna ISA," tegas beliau.

Syed Azman berkata, KDN harus bertanggungjawab memberitahu kepada seluruh rakyat Malaysia tentang tindakan terbaru tersebut dan memaklumkan segera kepada anggota keluarga tahanan di mana mereka berada.

PAS katanya amat bimbang perkara ini disembunyikan kepada rakyat dan tidak kerajaan bertindak terus mengikut telunjuk Amerika Syarikat dengan menyerahkan tahanan kepada negara polis dunia itu.

Katanya, kerajaan pernah menyerahkan seorang pelajar UIA warga AS yang bernama Bilal Mohamad kepada negara tersebut kerana disyakki terbabit sebagai pengganas.

"Kini Bilal merengkok dalam tahanan penjara Guantanamao Bay, tanpa dibuktikan kesalahannya.

"Kita tidak mahu kejadian ini berulang, kita ada undang-undang sendiri dan jika mereka disyakki terbabit dalam gerakan subersif, mereka hendaklah didakwa dan dibicarakan, kerajaan jangan ikut telunjuk AS," tegas beliau.

No comments: