Wednesday, January 27, 2010

Kelantan tuntut royalti 25 tahun

Penemuan terbaru minyak digali di sempadan perairan Kelantan-Terengganu sejak 1984


NILAI royalti yang dituntut cukup besar. Bukan sekadar RM 1 bilion, ia berikutan penemuan terbaru yang membuktikan hasil minyak Kelantan digali sejak 25 tahun yang lalu, masih belum dibayar sehingga kini.

Kerajaan Negeri Kelantan membuat tuntutan kepada Petronas untuk membayar royalti petroleum yang digali di sempadan perairan negeri Kelantan dan Terengganu sejak tahun 1984.

Tuntutan terbaru ini, tidak termasuk royalti RM1 bilion yang dituntut kerajaan negeri kerana sumber petroleum tersebut digali daripada perairan Kelantan.

"Pengeluaran (di sempadan perairan) sudah bermula sejak 1984 lagi dan Kelantan tidak pernah dibayar apa-apa. Anggaran royalti yang sudah dibayar ialah RM 9.7 billion sehingga 2009 dan jika Kelantan terhak mengikut peratus yang akan ditentukan, jumlahnya bukan kecil.

"Itu tak termasuk bayaran ke hadapan sehingga pengeluaran tamat dan sudah tentu menjadi kewajipan Kerajaan Negeri yang bertanggung jawab membangkitkannya," tegas
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Dato' Husam Musa.

Husam berkata, beliau mengemukakan tuntutan Kelantan tersebut dalam sepucuk surat Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican dalam satu pertemuan di KLCC, 8 Januari lepas.


Dalam temubual eksklusif bersama Harakah, Husam menyatakan kesyukurannya ke hadrat Allah, kerana usaha kerajaan negeri mendapatkan royalti hak rakyat mendapat sokongan banyak pihak.

"Rakyat Kelantan sendiri telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah gerakan yang di panggil Gegar. Mereka bertindak menjayakan hasrat rakyat Kelantan mendapatkan keadilan dan kesaksamaan selepas sedemikian lama dibuli. Ini petanda yang sangat baik," katanya.

Husam yang juga AJK PAS Pusat, turut menempelak pemimpin Umno yang menolak kehendak rakyat dengan menafikan tuntutan terbaru tersebut.

Tegasnya, ramai pemimpin Umno Kelantan yang seolah-olahnya 'buta sejarah' kerana seolah-olah tidak mengetahui isu ini, yang asalnya dibangkitkan oleh Umno sendiri.

"Sebenarnya isu ini telah pun dibangkitkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamad Yaacob sejak tahun 1990 lagi. Ia bukan isu baru. Kalau pemimpin Umno Kelantan buat sedikit kajian atau semakan.

"Pada 5 September 1990, Tan Sri Mohamad Yaacob telah menyebut Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang adanya medan minyak atau gas yang bertindih dengan Terengganu," ujarnya.

Katanya, fenomena ini tidak pelik kerana kawah minyak atau gas yang berada di bawah laut itu terletak di garisan sempadan sebelah menyebelah antara Kelantan dan Terengganu.

"Amalan peringkat antarabangsa bagi kes sebegini ialah unitization. Pembahagian dibuat dengan kaedah tertentu mengikut sukatan kedudukan rezab itu.

"Janganlah orang politik (Umno) yang tak tahu hujung pangkal senang-senang menidakkannya untuk tujuan politik semata-mata. Ini tidak adil," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri beranggapan usaha Umno Kelantan untuk mengagih-agihkan wang ihsan adalah untuk kepentingan politik semata-mata.

"Dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan (baru-baru ini), pengerusinya menyebut, kalau Kelantan mendapat royalti, Kelantan akan gunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Kelantan dan dengan itu Umno tidak ada harapan untuk menawan semula Kelantan," ujarnya.

No comments: