DATIN Paduka Dr Tan Yee Kew bukan nama baru dalam politik negara. Beliau sudah berkecimpung dalam politik, khususnya dalam MCA selama lebih 22 tahun.
Bagaimanapun, beliau adalah antara satu-satunya pemimpin wanita yang menjawat jawatan tertinggi dalam parti, bertekad meninggalkan MCA dan BN.
Ikuti pandangan beliau dalam sessi temubual wakil HARAKAH, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, HIRMAN FIRDAUS bersama bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, yang juga bekas Naib Ketua Wanita MCA di Pejabat Editorial Harakah 20 Januari lalu.
Bagaimana mulanya penglibatan Datin dalam politik?
DR TAN YEE KEW : Saya berasal dari Kampar, Perak.Saya memang berminat dalam politik sejak berapa lama, saya dapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Sains Politik pada 30 tahun lalu di Universiti Punjab India, selepas itu saya ke Kanada dan England, dan saya pulang semula ke tanah air untuk mendapat Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya.
Pada masa itu saya memang ada masa apabila buat kajian di universiti, saya melihat sekeliling dan setelah enam tahun di luar negeri dan saya mahu libatkan dalam politik apabila kembali ke tanahair.
Pada masa itu MCA adalah parti politik yang amat aktif sekali, saya sertai MCA sekitar tahun 1980 dan mendapat keahlian 1986. Saya masuk MCA bukan sahaja kerana hendak perjuang perihal masyarakat Cina, tetapi pada masa itu tiada pilihan lain selain MCA.
Jawatan dalam MCA?
Pada awalnya saya dilantik sebagai Setiausaha Agung Wanita MCA, tetapi saya tiada peluang melibatkan diri di peringkat tinggi.
Kemudiannya, saya dilantik mewakili MCA dalam Mapen yang pertama dan kedua.
Semasa di akar umbi kita tiadapeluang untuk memahami secara mendalam persoalan politik yang sebenar dalam negara dan bagaimana perkongsian kuasa dibuat.
Namun apabila kita naik pangkat, kita melihat negara ini dari sudut yang lain, kita lihat apa yang dicakap tak semestinya betul, kita ada pandangan kita sendiri.
Aspirasi Dr ketika menyertai politik?
Sebagai seorang ahli politik selama 30 tahun, saya jumpa banyak orang, terutamanya kaum Cina, namun saya juga membantu kaum Melayu, India, Iban Kadazan dan sebagainya.
Saya hendak kongsi pengalaman dan mahu lihat Malaysia sebagai sebuah negara membangun. Kita tidak boleh bangunkan negara jika rakyat masih dalam kemiskinan, mereka tertinggal di belakang.
Jika hendak bangunkan negara kita kena bantu, kena bantu mereka dalam kapasiti yang sesuai. Tetapi Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan jalan penyelesaiannya kerana sebelum ini kita tidak dapat melihat keadaan golongan miskin ini dapat ditingkatkan.
Golongan miskin ini terus ditinggalkan oleh arus pembangunan. Kita dalam MCA kita tak puas hati kerana kita mahu yakinkan komuniti Cina kita perlu kompromi, terima DEB sedangkan kita mahu bantu golongan yang lebih besar yang memerlukan.
Tetapi apa yang kita lihat, hanya segelintir kroni Umno sahaja yang mendapat keuntungan dari DEB secara langsung.
Keuntungan ini tidak turun langsung ke bawah, sebaliknya mengalir juga ke luar negeri kerana sikap kroni yang dapat keuntungan. Ini tidak betul. Namun ia sukar untuk kita kritik pada masa itu, malah untuk meyakinkan kaum Cina masa itupun sukar hendak kitalakukan.
Semasa jadi Setiausaha Parlimen Miti, saya juga sukar untuk memainkan peranan kerana menteri yang menetapkan dasar dan polisi iaitu Dato' Seri Rafidah Aziz. Saya tak gembira dengan situasi ini.
Namun saya gembira apabila pada pilihan raya 2008 yang lalu, rakyat sudah dapat peluang yang baru dapat memilih.
Sebelum ini rakyat tiada pilihan kerana kerajaan sangat berkuasa, pembangkang jika nak main peranan dalam politik ketika itu amat sukar kerana tidak kuat.
Selepas PRU ke-12 semuanya berubah, rakyat memilih kerajaan baru, ahli politik baru, dan mereka boleh pilih parti yang lain jika parti yang mereka sertai sebelum ini tidak lagi memuaskan aspirasi kita. Kita boleh pergi berhijrah ke parti lain.
Kenapa tinggalkan MCA dan sertai KeADILan?
Semasa saya dalam MCA saya kecewa, berpuluh tahun dasarnya tiada perubahan. Sebagai ahli biasa, buat dasar, tetapi kita sukar interaksi dengan pemimpin Umno kerana itu dibuat hanya oleh kepimpinan MCA yang di atas sahaja.
Kita tiada peluang untuk menyuarakan pandangan atau memberi idea kepada pembuat dasar, kita hanya ikut pimpinan kita sahaja. Tetapi bila saya sudah naik pangkat dan ada peluang, kita lihat keadaan sangat berbeza, Umno tak kira samada MCA, MIC, PPP atau Gerakan, mereka buat apa sahaja yang mereka rasakan betul kepada mereka.
Adakah ini polisi kerajaan atau parti?
Saya rasa polisi kerajaan ini satu hal, dan tetapi budaya politik Umno satu hal juga.
MCA tidak boleh main peranan banyak. Sebagai pemimpin kita kecewa sebab apa sahaja yang kita cakap semuanya dianggap tidak relevan.
MCA hanya boleh jaga hal kaum Cina sahaja, sedangkan kami di MCA mahu terbabit dalam semua isu nasional, kita tak boleh pisah atau asingkan isu Cina dengan isu lain-lain.
Ini satu kekecewaan kepada saya, setakat ini yang paling baik bagi saya ialah dalam Pakatan Rakyat. Setelah menyertainya, saya dapat lihat pemimpin kaum Cina, India Melayu, Kadazan, Iban duduk bersama-sama selesaikan masalah, bincang rancang sesuatu untuk negara bukan untuk satu kaum.
Sedangkan di BN mereka bincang 'berasingan', berbincang dengan Umno apa yang Cina dapat dilihat itu satu kerugian kepada Melayu, dan jika Melayu dapat itu satu kerugian kepada Cina, ini situasi dalam BN.
Saya amat tersentuh kerana budaya Pakatan Rakyat amat berbeza berbanding BN. Ia sangat berbeza. Paling penting dalam Pakatan Rakyat, saya memang mudah untuk berurusan dengan pimpinan PAS, berbeza semasa dalam BN untuk berurusan dengan pemimpin Umno.
Dahulu saya menjangkakan bahawa PAS sukar untuk saya berinteraksi, tetapi setelah saya sertai Pakatan Rakyat, saya dapati lebih mudah berinteraksi dengan pimpinan PAS berbanding Umno.
Mereka ini banyak pengalaman, sedangkan Umno terlalu sombong.
Apa persepsi Dr terhadap PAS ketika masih dalam MCA-BN?
Pertamanya saya lihat dulu PAS konservatif dan keagamaan, dan terlalu 'menekan' kaum wanita, kita ketika itu merasakan PAS tak bagi kami minum wine (arak), ini semua berbeza dengan Cina sebab semua kaum Cina minum sebagai satu yang biasa.
Ini menakutkan kaum Cina, hingga kini ramai wanita Cina yang tanya saya, boleh percaya kah kita kepada PAS?
Kata mereka, kita bimbang jika mereka nanti kembali konservatif semula. Ini satu ketakutan kepada kaum Cina.
Semasa saya dalam BN, tiada ruang untuk kita mengenali PAS dan media selalu mengukir imej yang salah kepada PAS. Kita tiada peluang untuk berinteraksi dengan pimpinan atasan PAS yang moderate ketika itu.
Selepas Dr sertai KeADILan apa pandangan terhadap PAS?
Saya lihat ramai kalangan pemimpin yang profesional yang berpendidikan tinggi yang menerajui PAS. Mereka ini terbuka sebenarnya. Mereka membuatkan saya rasa mudah dan selesa dengan mereka.
Yang penting mereka buatkan saya optimis dengan peluang dan masa depan Pakatan Rakyat. Bukan sahaja ideologi tetapi kuasa yang dikuasai dengan sama rata.
Walaupun dasar dan idelogi berbeza namun semua parti dalam Pakatan Rakyat boleh duduk semeja untuk berbincang. Ada konflik yang berbeza, namun ia boleh diselesaikan oleh pimpinan atasan yang bijak.
Trend dalam dunia hari ini semuanya menuju kepada perubahan, tiada siapa yang boleh mengubah jika tidak melihat kepada trend perubahan dunia ini.
Semasa dalam MCA apa pandangan Dr terhadap Kelantan?
Kelantan bagi saya adalah baik walaupun tidak banyak industri. Kenapa di Kelantan kurangnya pembangunan industri? Ini adalah antara sebabnya kerana persoalan tanah, bukan Melayu tidak boleh memiliki tanah di sana,
Kawan saya pimpinan MCA ketika itu, berkata kepada saya "Kerajaan PAS Kelantan baguslah, tidak ekstrem berbanding Umno, mereka tidak teruk".
Tetapi masa itu kita tidak boleh memberi pandangan yang positif. Bagaimanapun, saya lihat rakyat Kelantan gembira dengan kerajaan di bawah PAS.
Apa pandangan Dr terhadap krisis dalaman MCA?
Amat menyedihkan, tetapi ia budaya dalam parti politik yang sudah lama seperti MCA.
MCA, MIC dan Umno banyak politiking, perebutan kuasa yang tinggi dan ini budaya mereka, lawan antara satu sama lain.
Krisis iniyang sangat berat dan buruk. Malah mereka tiada lagi peranan yang boleh dimainkan di peringkat nasional. Mereka tiada kekuatan sebaliknya hanya boleh berbalah dalam parti.
Ini menyedihkan, dan satu yang tidak boleh dinafikan bahawa campur tangan Umno dalam MCA dan parti komponen BN yang lain, walaupun mereka cuba selindungkan.
Semua orang tahu ini kehendak Najib (Perdana Menteri) ini kehendak Muhyiddin (TPM). Tiada presiden MCA yang boleh buat sesuatu jika mereka bukan orang-orang yang mendapat kepercayaan atau menjadi orang kanan kepada pemimpin Umno di atasan.
Adakah disebabkan tekanan Umno ke atas MCA menjadikan krisis dalam MCA semakin besar?
Ya saya fikir begitu, semasa isu Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat, yang terdedah dengan skandal PKFZ, ini satu perangkap kepada pimpinan MCA, namun dalam isu PKFZ ini bukan sahaja pimpinan MCA yang terbabit, pimpinan Umno juga sebenarnya terlibat.
Jika MCA mengalami krisis bagaimana mereka boleh hadapi PRU ke-13 nanti?
Kekuatan MCA dalam isu-isu nasional memang kurang. Mutakhir ini banyak persatuan Cina termasuk persatuan peniaga dan sebagainya, mula memainkan peranan menyuarakan hak kaum Cina.
Bila sudah ada persatuan bersuara, jadi apalah sangat peranan MCA lagi, sekarang ini kuasa MCA lagi kurang.
Sama ada MCA efektif untuk pilihan raya akan datang bagi membantu BN, saya rasa ini satu persoalan yang semakin sukar buat MCA.
MCA sendiri sukar hendak meyakinkan rakyat, walaupun mereka ada jalinan kerjasama yang kuat di Kampung Baru, dan persatuan peniaga besar yang menyokong mereka.
Satu perkara lagi, generasi muda hari ini sudah tidak berminat lagi dengan aktiviti yang hanya membabitkan satu kaum, sebaliknya mereka mahu bersama-sama tidak kira bangsa apa, kaum Melayu, Cina dan India. Ini satu perkembangan yang baik kerana keterbukaan bangsa ini.
Apa pandangan Dr terhadap masa depan parti yang berasaskan kaum?
Sewaktu kita baru mendapat kemerdekaan, keadaan sosial sangat berbeza dan kita kurang mehami antara kaum dan ketika itu kita perlu parti yang berasaskan kaum untuk menyuarakan kehendak kepada kerajaan.
Tetapi sekarang ini masa sudah sampai kita semua berbilang bangsa duduk semeja, dan kita tidak lagi mempersoalkan isu perkauman sebaliknya kepentingan negara.
Parti yang berasaskan perkauman kini sudah ketinggalan dan akan menuju kepada penamat.
Bagaimana hendak ubah pandangan golongan wanita terhadap Pakatan Rakyat?
Saya rasa kita kena memainkan peranan pimpinan wanita yang di Pakatan Rakyat kita kena keluar, dan menemui mereka.
Ramai suri rumah kurang dapat peluang interaksi dengan masyarakat lain, mereka tidak faham apa itu PAS, bila mereka dengar sahaja dari media mereka ada tanggapan negatif.
Ini bukan sahaja berlaku kepada kaum Cina, tetapi kaum Melayu juga. Pimpinan wanita Pakatan Rakyat perlu keluar dan melihat kehendak semasa golongan wanita ini.
Kita tidak bimbang dengan wanita yang bekerjaya kerana mereka dapat maklumat semasa, mereka boleh memahami kaum lain kerana boleh interaksi, tetapi sebagai suri rumah ini sukar kerana hanya duduk di rumah setiap masa.
Jika ada kesempatan bertemu kaum lain, ini hanya 'social occassions', majlis kahwin dan sebagainya, ia tidak menuju ke arah perbincangan dan interaksi.
Kita mesti wujudkan ruang dan peluang untuk interaksi wanita antara kaum, menjelaskan isu kepada mereka. Jika kita lihat media semuanya dikawal oleh Umno-BN, ramai golongan wanita yang baca media tetapi ia persepsi salah kepada Pakatan Rakyat.
Tidak ramai suri rumah yang ada internet, ini kita kena cari jalan yang lain untuk menembusi mereka. Kita kena lihat juga kaum-kaum ibu, mereka ini boleh pengaruhi anak-anak mereka.
Namun kini anak-anak yang sudah berpendidikan tinggi dan bekerja di bandar mereka juga memainkan peranan yang penting dalam membuka minda kaum-kaum ibu mereka untuk mengubah suasana politik negara.
Kaum wanita ada pengaruhnya, aktivis wanita kita harus mainkan peranan ke arah menolak perkauman. Kita perlu memulakan untuk mengajar anak-anak kita tidak membezakan kaum, sebaliknya boleh berinteraksi dengan rakan-rakan yang bukan sebangsa dengan kita.
Kita di Pakatan Rakyat kena lihat ia sebagai komitmen yang serius.
Berbanding dengan lelaki, kaum wanita dilihat kurang terdedah dengan politik. Namun sumbangan wanita untuk menggerakkan perubahan cukup penting. Pandangan Dr?
Sudah 20 tahun saya adalam kerajaan terutamanya dalam sektor pembangunan wanita, sebagai orang kuat Wanita MCA dahulu, kita melihat keprihatinan wanita ini terhadap politik agak kurang berbanding kaum lelaki, terutamanya kaum ibu.
Tetapi perubahan sedikit berlaku kepada kaum ibu pada pilihan raya umum lalu di mana anak-anak mula menyedarkan mereka akan parti mana yang seharusnya mereka pilih dalam pilihan raya yang lalu.
Mereka sudah memilih Pakatan Rakyat, tetapi kita kena teruskan peranan dan pendekatan untuk memberikan gambaran dan imej yang baik kepada golongan ini terhadap Pakatan Rakyat.
Media juga kena mainkan peranan di mana menerangkan kepada golongan wanita perkara-perkara yang berbentuk terus bukan teori kerana wanita sukar memahami bahan-bahan yang berbentuk teori.
Adakah kaum Cina boleh lagi memberikan kepercayaan mereka kepada kerajaan BN dalam hal berkaitan ekonomi?
Kaum Cina ada pelbagai kelompok, untuk golongan peniaga yang mereka yang dapat faedah dari BN mereka ini akan sokong BN, tetapi di kalangan mereka juga ini selalu kritik bahawa korupsi dalam BN sangat serius.
Jika tiada wang rasuah susah nak dapat projek, dan ada pandangan mereka kini lebih mudah jika melabur di luar negara kerana kurang masalah berhubung rasuah dan kronisme.
Majoriti orang biasa pula, mereka tidak mahu perkauman, mahu cari makan, ekonomi baik, ini semua mereka mahukan.
Mereka tidak kira sama ada Pakatan Rakyat atau BN memerintah, yang penting mereka boleh cari makan. Ini kerana ramai kalangan peniaga kecil Cina diganggu oleh pihak berkuasa tempatan yang mahu rasuah dan habuan.
Namun hari ini sejak PRU ke-12, masyarakat Cina melihat Pakatan Rakyat ini jauh lebih baik.
Sejak Pakatan Rakyat memerintah di beberapa buah negeri mereka melihat Pakatan Rakyat sangat bagus, banyak perubahan dan tidak menggangu mereka dalam berniaga.
Kaum Cina di Kelantan kata mereka boleh makan Khinzir, boleh minum dan sebagainya. Kini masyarakat tahu persoalan sama ada kerajaan ini bagus atau sebaliknya, tak perlu kita bagi tahu sebab mereka mula merasakan perubahan itu.
Sebagai contoh peniaga Cina di Selangor yang kini ditadbir Pakatan Rakyat, mereka tidak menghadapi masalah besar dengan persoalan rasuah dan sebagainya walaupun ada masalah lewat proses beberapa perkara, tetapi ini kita sedang menyempurnakannya dan tidak membimbangkan.
Selepas satu dan dua tahun mereka boleh lihat kebaikan Pakatan Rakyat, dan kami bertekad memperbaikinya. Masyaraiat Cina melihat ini satu harapan baru kepada mereka. Mereka melihat Pakatan Rakyat tidak korup dan ini memudahkan mereka dalam urusan perniagaan.
Ada pandangan yang menyatakan rakyat kurang yakin dengan Pakatan Rakyat hanya kerana perbezaan dasar dalam tiga parti Pakatan Rakyat (DAP, PAS, KeADILan), apa pandangan Dr?
Ini pandangan yang biasa dan cabaran besar kepada pimpinan Pakatan Rakyat. Tetapi kita kena harus melihat masa depan yang lebih besar, kita semua masyarakat yang rasional yang boleh meletakkan perbezaan di tepi.
Sama ada perjuangan rakyat atau ideologi, ini yang lebih penting dalam jangka masa panjang. Lebih penting kita perlu bekerjasama untuk memerintah negeri ini.
Walaupun kita berbeza idealogi, tetapi kita boleh duduk bersama membincangkannya, untuk jangka masa yang panjang kita boleh memahami antara satu sama lain akan perbezaan ini sebenarnya, kita ada pelan jangka masa panjang dan pendek untuk parti.
Tetapi untuk dapatkan kuasa memerintah kita kena bersatu. Banyak negara yang ada gabungan yang seperti ini (Pakatan Rakyat), mereka berbeza dasar, tetapi mereka juga bersatu untuk memerintah, bagi membolehkan perubahan berlaku.
Akhirnya apa rumusan Dr terhadap masa depan dan harapan kepada rakyat?
Saya mengharapkan rakyat membuat perubahan yang sewajarnya dalam memberi sinar baharu kepada gerenasi akan datang. Pakatan Rakyat sedang merintis jalan ke arah itu. Saya yakin dengan sokongan yang ada ini kita akan dapat mencapainya dalam pilihan raya akan datang. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment