Tuesday, February 02, 2010

PAS menggalas tugas khalifah

Dalam sebuah negara majoriti umat Islam yang berhimpun di dalamnya masyarakat yang majmuk, sudah tentu Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman.

Ancaman yang paling bahaya adalah ancaman ketegangan kaum dan agama. Akibat dari pembahagian komposisi kaum yang dibahagi-bahagikan sedemikian sifatnya oleh penjajah British menjadikan Malaysia berada dalam keadaan yang sangat sensitif.

Sensitiviti kaum dan agama akan sentiasa wujud kerana semua pihak terpaksa melindungi kepentingan bangsa dan fahaman masing-masing bagi kepentingan generasi akan datang.

Sensitiviti wujud kerana akibat pecahan taburan kaum dan agama oleh penjajah British, menjadikan tidak ada satu kaum pun yang boleh memerintah secara monopoli.

Demi menjaga kepentingan kaum dan agama, maka asas yang terpenting ialah kuasa. Kuasa hanya akan diperolehi jika parti yang ditunjangi mendapat mandat untuk memerintah.

Jikapun parti-parti politik dibentuk berasaskan kepercayaan ideologi kaum dan agama menang dalam sesebuah pilihan raya, mereka tidak ada pilihan selain bekerjasama untuk membentuk kerajaan.

Bilamana wujudnya kerjasama, maka tidak ada parti yang boleh mendabik dada mengatakan bahawa dia mahu membentuk negara mengikut ideologi ataupun acuannya sendiri.

Kerjasama adalah perkongsian kuasa, perkongsian politik, perkongsian ekonomi, menyusun atur pembangunan sosial dan kebajikan secara adil dan saksama.

Justeru, pra-syarat untuk mencapai keadilan dan kesaksamaan ialah dengan menjunjung nilai-nilai toleran (tolak ansur) dalam erti-kata mengorbankan kepentingan sekelompok demi kepentingan majoriti.

Jika terdapat di kalangan kelompok kaum atau agama yang enggan toleran dengan kelompok lain, sama ada dengan melakukan provokasi atau menuntut hak di luar batasan, nescaya ia akan mencetuskan ketegangan.

Ketegangan kaum amat merbahaya. Ketegangan agama, jika tidak dibendung, ia akan mencetuskan ketidakstabilan dalam iklim politik dan amalan keagamaan.

Apabila sesetengah golongan melangkaui batas rasional mereka akan menjadi lebih provokatif dan membahayakan kaum atau agama lain.

Ketidakstabilan ini, jika dibiarkan, akan merosakkan nilai-nilai demokrasi yang sekian lama diamalkan dalam negara.

Dalam menanggani krisis ini, PAS sebagai sebuah parti Islam yang ditunjangi majoriti orang Melayu tampil memberikan formula, bagaimana sesebuah negara harus diurus secara Islam, tetapi sederhana dan toleran dalam soal kaum dan agama.

Inisiatif Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, bertemu dan berdialog dengan semua ketua-ketua agama di Malaysia pada 28 Januari lepas di Kota Bharu, merupakan suatu inisiatif yang terbaik dalam sejarah perjuangan PAS.

Ternyata dalam mengamalkan demokrasi serta toleransi agama ketua-ketua agama yang berdialog dengan kepimpinan PAS, berasa amat selesa dengan PAS. Hati mereka damai apabila berhadapan dengan PAS yang begitu komited perjuangan Islamnya.

Demi keadilan dan kesaksamaan buat rakyat keseluruhannya, PAS berjaya melangkaui dan mengetepikan label ekstrimis yang dijarah musuh pada pemikiran rakyat sekian lama.

Rakyat kini amat mempercayai PAS dan kepimpinannya. PAS ternyata jauh lebih profesional dan rasional daripada Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin-pemimpin PAS telah meletakkannya di suatu kedudukan yang betul, digeruni musuh dan diyakini kawan.

PAS buat masa ini merupakan platform yang terbaik untuk pencinta Islam dan orang-orang Melayu umumnya. PAS tegas dalam soal Islam dan Melayu, tetapi dalam masa yang sama turut melindungi kepentingan kaum dan agama lain dengan sebaiknya.

Oleh kerana itulah, demi masa depan negara kita yang tercinta, demi keharmonian dan kedamaian kaum serta kebebasan beragama, kepada seluruh rakyat, ayuh bersama PAS.

PAS adalah komponen Pakatan Rakyat. Maka inilah masa yang terbaik buat anda semua meninggalkan Umno-BN, beralih kepada Pakatan Rakyat!

No comments: