Thursday, February 18, 2010

Bahaya ancaman demokrasi tempang


Dua dekad sudah terlalu. Sejak tercalarnya sistem kehakiman negara akibat daripada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada tahun 1988, rakyat Malaysia secara umumnya masih meragui ketelusan sistem demokrasi yang diamalkan.

Keraguan rakyat terhadap amalan demokrasi dalam negara akibat kerakusan pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional, yang menguasai Kerajaan Persekutuan sejak sebelum negara merdeka.

Dengan penguasaan sebegitu lama, Umno-BN menjadi sangat dominan dalam negara. Mereka menguasai ketiga-tiga elemen penting dalam sesebuah negara demokrasi, iaitu dengan memegang kuasa eksekutif (kerajaan), legislatif (Parlimen) dan judiciari (kehakiman).

Malah Umno dengan rakusnya 'menguasai' Raja-Raja Melayu dengan meminda Perlembagaan pada tahun 1993, dengan mengehadkan kuasa Raja dan menghapuskan kekebalan Raja.

Akibat kuasa politik yang amat besar ini, dalam apa jua keadaan, seolah-olahnya memberi gambaran bahawa kuasa mutlak (absolute) dalam negara ini adalah pada kuasa parti Umno-BN.

Dalam ertikata lain sesiapa yang menguasai Umno, dalam konteks sekarang Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia, beliaulah sebenarnya yang paling berkuasa dalam negara.

Sejarah politik Malaysia membuktikan, akibat daripada kuasa yang begitu besar ini, menyebabkan semua institusi sama ada, individu atau organisasi, tidak boleh mengelak daripada dimanipulasi Umno-BN.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, namun akibat daripada kuasa penggubalan Perlembagaan tersebut ada pada Umno-BN, maka pihak istana 'dalam keadaan tertentu' dilihat terpaksa tunduk kepada kehendak politik mereka.

Itulah persepsi yang wujud dalam minda sebahagian besar rakyat dalam negara. Fakta ini tidak boleh dinafikan kerana sejarah membuktikan, bahawa Umno-BNlah yang meminda kuasa Raja-raja Melayu, daripada kuasa undang-undang, hanya kepada kuasa seremonial sahaja.

Sehinggakan Raja-raja Melayu tidak dapat mengelak daripada 'bersetuju atau memperkenankan' sebarang usul 'atas nasihat' Perdana Menteri, yang dilihat amat berkuasa.

Oleh sebab itu demokrasi di Malaysia sering dilabelkan demokrasi yang tempang. Demokrasi memang wujud, tetapi ditempangkan oleh penguasa yang tamak haloba dan zalim akibat kepentingan kelompok mereka.

Keraguan kepada sistem demokrasi dalam negara berterusan pada 1998, akibat daripada pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Keraguan ini mencetuskan gelombang besar dalam politik negara.

Akibat daripada gelombang yang berterusan ini, rakyat semakin berani menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan.

Ketidakpuasan hati ini diterjemahkan oleh rakyat, pada Pilihan Raya Umum ke-12, dengan menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN di Parlimen, yang dimonopoli sejak lebih 50 tahun.

Namun hasil kebejatan pemikiran pemimpin-pemimpinnya, Umno-BN ternyata tidak pernah serik dengan hukuman rakyat.

Mereka mencipta lagi kedangkalan baru dengan merampas kuasa secara haram di Perak, dengan mempergunakan pihak yang 'bias' dan berkepentingan, menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Konflik politik dan perundangan akibat rampasan kuasa Umno-BN di Perak berterusan selama setahun. Akhirnya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada Umno-BN.

Apa yang jelas, semua fenomena ini menunjukkan kerakusan Umno-BN yang tetap mahu berkuasa secara mutlak dalam bidang eksekutif, legislatif dan judiciari.

Tetapi mereka lupa, kuasa sebenarnya ada pasa setiap rakyat dalam negara. Kuasa besar Umno-BN ini, hanya boleh disekat oleh kuasa rakyat.

Jika di lain-lain negara, isu seperti ini sudah cukup untuk mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan di jalanan. Tetapi rakyat Malaysia begitu matang berpolitik dan bijak mengelakkan konfrontasi.

Demokrasi yang tempang ini akan diperbetulkan dengan memberikan kuasa penuh kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 nanti.

No comments: