Friday, February 26, 2010

Tunggu keputusan mahkamah rakyat


Penampilan Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan isu royalti minyak Kelantan memang menggerunkan kepimpinan Umno.

Fakta dan data yang dikemukakannya tidak berupaya ditangkis. Hasrat Ku Li hanya satu, agar perjanjian dipatuhi dan rakyat dapat sama-sama menikmati khazanah kekayaan negara.

Berdepan dengan wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, beliau nampak bebas mengutarakan idea dan pandangan kritisnya.

Wajahnya sering ceria disulami ketawa kecil. Tanpa apa-apa jawatan penting Ku Li tetap menjadi perhatian, dalam dan luar negera. Ditanya sumbangannya kepada negara dan rakyat, selain menjelaskan isu royalti minyak, tanpa ragu-ragu bekas Menteri Kewangan ini menjawab pantas; Mahu bersama-sama membanteras rasuah.

Ikuti bahagian kedua wawancara bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang dirakam di kediamannya di Langgak Golf pada 18 Februari 2010.


Harakah : Negara berhadapan dengan krisis kepimpinan, politik, ekonomi, sosial yang agak meuncing dewasa ini. Semasa dan selepas kepimpinan PM Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) sehingga kini, negara masih tidak stabil. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan hari ini?

Tengku : Saya rasa tak boleh kita lupakan sejarah pemerintahan tiga perdana menteri terdahulu. Dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Mereka membangunkan sebuah negara yang kukuh dan baik yang membolehkan pelabur datang.

Apabila kita merdeka dengan kepimpinan ketika itupun berat kepada Barat dan memangpun mereka ini dapat pendidikan dari Barat.

Tiga PM terdahulu semuanya peguam yang diasuh dalam bidang undang-undang dan mereka berpegang teguh kepada prinsip 'rule of law' (keluhuran undang-undang) yang termaktub dalam perlembagaan, dan mereka ini berpegang teguh kepada constitunal.

Oleh kerana latar belakang dan pendidikan mereka ini, mereka ini barang kali bukanlah seorang yang mengambil kesempatan dari apa yang terdedah kepadanya, walaupun peluang ada di hadapan mata mereka.

Mereka ini semuanya anak-anak bangsawan yang tak akan jahanamkan negara dan apatah lagi mereka ini diasuh dengan baik oleh keluarga mereka.

Sememangnya mereka ini mesti berbudi kepada negara. Sebab itu kita tak tengok masa mereka ini memerintah, tidak ada timbul soal mereka ini rasuah atau isu rasuah atau tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan secara berleluasa ketika memegang tampuk kuasa.

Tetapi apa yang saya tahu baik Tunku, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Hussein Onn, apatah lagi Tun Hussein ini orang yang begitu serius dari segi peperangan anti rasuah, ini orang yang ada prinsip dan tak akan izin penyelewengan berlaku dizamannya.

Mereka menjamin kestabilan dalam negara, sebab itu penduduk tak kira kaum mana hormati dan kasih kepada pimpinan ini, baik Tunku dan Tun Razak atau Tun Hussein, walaupun Tunku dianggap agak pro-Cina dan pro-Barat sangat, kalau dibanding dnegan Tun Razak, Tun Razak ini Pro kepada Melayu dan luar bandar, bukan urban sangat, didikan orang Pekan, tetapi rakyat percaya tak boleh seseuatu yang buruk berlaku dengan pimpinan Tun Razak, atas dasar inilah kehamornian terpelihara.

Tetapi Tengku, peristiwa berdarah akibat pertelagahan kaum berlaku 13 Mei 1969...

Walaupun Mei 13 1969 berlaku, ini kerana cetusan pilihan raya tahun 1969 dan kerana perarakan yang dijolok oleh komunis dua hari sebelum tarikh pembuangan undi 1969.

Jadi ini boleh dijadikan sebab kerana kempen pilihan raya yang hangat, ada lemparan tuduhan mengenai kaum dan sebagainya yang dicampur aduk, dan selain isu berbangkit cetuskan perbalahan kaum, itupun di Kuala Lumpur sahaja dfan ia menjadi sejarah yang mengajar kita, namun ia tidak menggugat negara seluruhnya.

Kalau kita tengok selepas Mei 13, dalam masa dua tahun MAGERAN ambil alih kuasa penuh negara dengan penggantungan Parlimen misalnya, perlembagaan tidak digantung dan dapat dipulihkan keadaan, dan wujud serta merta keinginan semangata kerjasama, antara kaum parti-parti, dan Tun Razak berjaya selepas sahaja Parlimen dipulihkan dapat dia tubuhkan BN dengan dipelopori oleh PAS, Gerakan, SUPP dan beberapa parti besar yang berada di luar kerajaan ketika itu.

Ini menunjukkan kepercayaan orang kepada kepimpinan yang ada ketika itu, kalau ada perbezaan ini ialah dari segi idealogi sahajak tetapi nampaknya ada platform yang sama yang boleh hubungkan mereka ini untuk bangunkan negara.

Sebab itu kedudukan ekonomi terjamin walaupun pada tahun 1969 tidak begitu rancak pertumbuhan ekonomi kerana kekacauan dan gangguan komunis. Tetapi tetap ekonomi kita kuat dan kukuh saya rasa kerana kepimpinan yang ada.

Tungku perjuangkan aparteid, mahu orang yang tertindas dibela, memeranjatkan dunia bila Malaysia kemukakan pandangan di Komanwel kerana cadangan Tunku ini tak terfikir dek mana-mana pihak Tunku cadang bukan sahaja gantung Afrika tetapi buang terus Afrika daripada Komanwel dan PBB akhirnya. Ini satu cadangan yang dapat diterima dunia oleh Malaya ketika itu.

Sama juga dengan Tun Razak bila mainkan peranan dalam Afro-Asean Solidarity, walaupun satu ketika menubuhan Malaysia 1963 Afro Asean yang dilobi Beijing dan Pakistan dan didalangi oleh Sukarno dan Marcos dalam isu penubuhan Malaysia.

Tetapi akhirnya menerusi, Tun Rasak, Malaysia mempunyai suara dalam Afro Asean dan NAM dalam G73, Amerika Syarikat pun kadang kala berkuasa penuh biasanya bertanya khabar apakah pandangan G73 sebelum dia buat apa-apa keputusan dalam Majlis Keselamatan.

Jadi kerana penghormatan orang kepada kumpulan negara-negara sedang membangun, pada masa itu pimpinan handal belaka Jawharal Nehru (India), Kho In Lai, Sukarno, Mandela, Tito dan orang yang berjuang untuk negara yang ditindas kolonialis ketika itu.

Kita sebagai sebuah negara yang kecil yang sedang membangun. Dalam hal ini di mana-mana forum yang saya dapat ikuti dan hadir, Malaysialah selalu diajak jadi rappoteur dan drafter, kerana ayat-ayat yang diselit oleh wakil Malaysia ini biasanya mengandungi unsur kesederhanaan, tidak terlampau ekstrem dalam apa yang nak diputuskan dalam sidang-sidang yang diadakan.

Sama juga dengan Tun Hussein, walaupun dia tidak menonjol sebagai pimpinan tetapi dia boleh diterima dan dipercayai, ketika menjadi PM. Jadi kerana itu ekonomi kita ketika itu diyakini kerana kepercayaan rakyat dalam negara dan negara-negara sekeliling dengan Malaysia kerana wujudnya kestabilan rantau ini, tidak lagi menimbulkan risiko bukan-bukan.

Sebab itulah industri mula masuk apabila pelaburan datang di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kereta Volvo dan Mercedes di pasang di sini sejak dahulu lagi.

Memang tidak mudah untuk menghadapi zaman awal untuk membangunkan negara. Keadaan nya agak runcing tetapi orang percaya kepada pimpinan ketika itu. Rakyat 'bulat' kepada kepimpinan kerajaan ketika itu.

Tetapi pembangkang juga hebat ketika itu?

Saya biasa bercakap dengan Allahyarham Dato' Asri Muda ketika itu, mereka kata kita satu dalam soal menjaga keselamatan, cuma dasar perjuangan sahaja yang berbeza.

Maknanya ada titik perjuangan yang dibawa oleh semua pihak kerana titik pertemuan mengenai penerimaan kepimpinan ketika itu 'bulat' oleh kerana itu kestabilan wujud dan kepercayaan dalam dan luar negara kuat.

Nama Tunku cukup terkenal di Timur Tengah apatah lagi dia menganjurkan penubuhan OIC untuk himpunkan negara-negara Islam dalam suatu pakatan supaya dapat kita kumpulkan kekuatan kita dari segi kekayaan dan banyak lagilah.

Saya terfikir... jika kita gunakan kekayaan negara-negara Islam ini iaitu Baitulmal, ini kita kumpul untuk seluruh umat dunia, ini amat besar.


Semua perdana menteri yang saya sebutkan tadi mati dengan tidak meninggalkan harta.

Saya sendiri boleh buktikan, sebab saya yang jaga akaun Tunku. Memang tak ada duit.

Apa yang Tengku sebutkan tadi tentunya berbeza benar dengan kepimpinan tiga perdana menteri selepas itu, kan? Ya, baru-baru ini dikeluarkan senarai orang terkaya yang mana anak menantu mereka pun turut masuk senarai itu...

(ketawa)..... Terkaya...ya terkaya..(ketawa)

Dan ini cukup tidak sihat kepada persepsi rakyat jika hendak dibandingkan dengan pemimpin terdahulu?

Memanglah, yang dahulu tidak tinggal langsung, bukan hasrat kita berjuang nak kumpulkan harta, ini memang betul.

Berbeza sungguh dengan kepimpinan hari ini, integriti mereka dipersoal secara terbuka. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok. Orang berlumba-luma masuk politik untuk mengejar kemewahan.

Ya...tapi kalau saya bercakap banding ini orang kata kritiklah. Tapi semua nampak dan sedar hakikat ini, perjuangan terdahulu untuk kemerdekaan, membela bangsa dan membangunkan negara serta memajukan Islam.

Dengan itu, kita bukan sahaja bebas dari segala aspek ancaman komunis, dan yang lebih penting ialah dari segi kehidupan kesihatan yang diperjuang mati-matian, sekarang ini tiada merebaknya kolera, yang membawa wabak ke seleuruh masyarakat sudah tidak kedengaran. WHO iktiraf kita sebagai sebuah negara yang bebas penyakit berjangkit.

Perjuangan bidang sosial kita berjaya, namun dalam perihal jurang pendapatan ini kita jauh tertinggal. Kita negara terkaya dikurniakan tuhan dengan pelbagai sumber yang boleh membaiki negara kita berbanding negara jiran Singapura.

Tetapi pendapatan perkapita kita, dengan Singapura ini kita terkebelakang, kita mundur. Pendapatan perkapita Singapura rakyat mereka berkaliganda berbanding negara kita, saya rasa malu. Saya dijemput berucap di Singapura nak bercakap mengenai ekonomi pun saya tidak tahu nak cakap apa.

Negara kita dari segi perniagaan nombor 19 dari segi volume dan pendapatan, tetapi Singapura 26 namun mengapa taraf hidup mereka tinggi, gaji mereka tinggi. Kenapa tidak kita perbaiki tahap kehidupan rakyat kita? Kita kena samakan kedudukan dengan negara jiran dan kalau boleh melangkau kedudukan mereka, bagi saya boleh.

Kenapa saya kata boleh peperangan kita kena holistik dan total. Rasuah, pembaziran dan soal efisyen didikan, ada setengah orang kata pada saya apa yang perlu kita buat untuk capai semua ini.

Saya rasa untuk kita mahu perang kita kena ada pakatan sesama kita, sebab saya tengok orang Melayu, kalau kita lihat budak-budak kampung yang dibawa masuk ke dalam tentera, kerana rejimentasi dan disiplin yang kuat, mereka boleh ikut segala perintah dan arahan yang dikehendaki oleh komanden mereka.

Saya rasa untuk tingkatkan status ekonomi negara kita kita kena fikir untuk melakukannya, supaya rakyat kita tidak membuang masa dan tidak akan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan.

Saya rasa kalau mereka itu dididik dengan disiplin dan rejimentasi, saya rasa mereka boleh lalukan apa yang orang lain buat, ini pandangan yang boleh kita kaji.

Soalnya jika kita tengok realitinya sekarang ini, mereka yang kita bagi lesen menjual lesen, kita bagi bukan untuk jual lesen, tetapi mereka ini buat jalan mudah.

Tadi Tengku sebut seolah-olah memisahkan tiga PM awal dan PM kemudian...

Saya tak kata begitu.

Pertembungan Temgku dengan Tun Dr Mahathir sudah menjadi rakaman sejarah. Perdana Menteri bertukar. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah bersama Tengku dalam Team B ketika menentang Dr Mahathir pada 1987. Dato' Seri Najib pula tidak mempunyai rekod pertembungan peribadi dengan Tengku. Tengku sendiri memilih untuk bersama Umno sehingga sanggup membubarkan Parti Semangat 46. Tetapi nampaknya kepimpinan Umno, selepas era Dr Mahathir, tidak memanfaatkan Tengku, dengan segala pengalaman dan kemahiran Tengku, untuk bersama-sama memajukan negara, mengapa ya?

Saya rasa soalan ini patut ditujukan kepada mereka (Abdullah dan Najib) mereka layak jawab, kerana mereka ada jawapan mengapa tidak mahu seseorang itu dalam perkhidmatan mereka. Kalau nak sembang soal latar belakangnya memanglah panjang..(ketawa)..

Jelas Dr Mahathir tidak menyenangi pemerintahan Abdullah, tetapi tidak dengan Najib. Pada pandangan Tengku, sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir dalam pentadbiran Najib?

Kita tidak nafi bahawa manusia ini dipengaruhi orang, kecuali kita cukup yakin kepada kemampuan dan kebolehan, barulah orang tidak boleh pengaruhi dalam apa yang kita nak buat.

Jadi saya rasa barangkali ada orang bimbang-bimbang takut kerana kurang yakin dengan kemampuanny untuk memimpi. Namun bagi saya jika diberi tugas ialah keyakinan saya kepada negara, tidak kepada sesiapa. Dan kebolehan itu saya akan gunakan semua pihak.

Saya gunakan untuk kebaikan negara saya akan lakukan asalkan tidak bertentangan dengan kehendak Allah.

Jadi saya rasa tiada sebab mengapa seseorang itu tidak boleh digunakan untuk sesebuah kebaikan, bukan maksud saya dipergunakan. Maksud saya mereka ini ada tradisi masing-masing, katakanlah Najib ini tidak mahu gunakan seseorang kerana dipengaruhi Mahathir, itu kesilapan dia, ia bergantung kepada perhitungan mereka sendiri.

Adakah pembabitkan Tengku dalam isu Royalti Minyak Kelantan ini berdasarkan kepada sikap itu, yakni mahu menyumbang untuk kepentingan rakyat, walaupun dilihat bertentangan dengan partinya sendiri?

Tiada perbezaan...apa yang saya ucapkan di Kota Bharu itu adalah saya ucapkan sejarah bagaimana Petronas ditubuhkan dan apakah makna disebalik Akta Kemajuan Petroleum, saya tidak kritik kerajaan atau menyebelahi mana-mana pihak, saya punya pendapat Kelantan wajib dalam 5 peratus 'cash payment'.

Sama juga dengan Terengganu yang mana ada minyak di luar pantai Terengganu, maka dibawah Akta Kemajuan Petroleum, walaupun kawasan itu di luar kawasan 3 batu nautika, tetapi kerana akta ini berkata kalau minyak ditemui di luar pantai negeri berkenaan, maka 5 peratus tetap akan diberi kepada negeri itu sekiranya negeri berkenaan menyerahkan seluruhnya kawasan itu kepada Petronas. Ini terang dalam undang-undang.

Berdasarkan statistik berdasarkan maklumat Petronas, dari Sabah hingga Kelantan, jelas Kelantan ada hak minyak yang keluar di luar pantai Kelantan.

Saya tak kata saya sebelahi Kelantan atau sesiapa sahaja, saya sebelahi rakyat kerana akta itu dirangka atas arahan Tun Razak. Tun Raxak yang kata' 'buatlah Tengku asalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya dapat hasilnya dan faedah darinya'.

Saya memang dah tahu dalam 3 batu nautika itu berdasarkan kepada kajian saintifik sebelum Petronas ditubuh memang tiada minyak pada masa itu, dan kemudiannya dapat kajian memang tiada minyak.

Tetapi Tun Razak ada cakap carilah jalan supaya negeri-negeri dapat manfaat dengan hasil minyak. Tun Salleh Abbas lah tauke yang buat undang-undang ini, saya bagi idea sahaja macam mana nak buat supaya Kelantan, Terengganu, Pahang. Johor dapat faedah.
Berbeza dengan Sabah dan Sarawak kerana memang ada hak sebab tiada sempadan antara kerajaan pusat dan negeri kerana kita tubuh Malaysia dengan cepat kerana ancaman dari negera-negara jiran pada tahun 1983, Tunku kata pada masa itu kita buat lukis sempadan ini kemudian, tetapi sebenarnya kita tentukan garis sempadan tiap-tiap negeri apabila bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terlebih dahulu sebelum itu.

Jadi berdasarkan kepada jurisdiction dan penemuan saintifik ini, memang semua negeri tiada minyak, tetapi saya runding juga dengan negeri-negeri saya jumpa semua MB dan Exco saya terang dengan jelas, mereka tiada minyak ketika itu tetapi jika ditemui minyak saya minta mereka serah segala-galanya kepada Petronas, biar Petronas jadi agensi utama dan jika minyak ditemui di luar kawasan negeri berkenaan, 5 operatus negeri tersebut patut dapat.

Dalam perjanjian yang saya tandatangani ketika itu, perkataan 'balasan' itu ayat saya itu, kerana 'balasan' kepada negeri berkenaan. Itu ayat yang saya cadangkan.

Apakah balasan itu disebut sebagai royalti?

Kita tidak pakai perkataan royalti, tetapi 'cash payment' ini (pembayaran tunai), terus kepada kerajaan negeri. Tidak boleh dibayar kepada orang lain, ini mesti kepada kerajaan negeri, jika bayar melalui orang lain atau kepada orang lain, ini 'illegal payment'.

Duit minyak hanya boleh buat dua bayaran masa saya buat Petronas dahulu dan saya yang buat undang-undang juga, saya rasa saya lebih tahu daripada orang lain. Saya belum nyanyuk lagi, satunya 'cash payment' tadi 5 peratus kepada kerajaan negeri berkenaan dan 5 peratus kepada kerajaan pusat dan selebihnya dimiliki oleh Petronas.

Petronas ini kerana dimiliki 100 peratus oleh kerajaan pusat, boleh bayar dividen, dividen itulah yang boleh digunakan untuk apa sahaja, dan selebihnya Petronas kena simpan untuk carigali minyak dalam atau luar negara itu hak Petronas.

Tetapi jika nak bagi kepada sesiapa yang bukan hak itu tidak boleh, tetapi untuk derma itu bolehlah...

Jika diserahkan kepada pihak lain, walaupun untuk kepentingan rakyat Kelantan, bagaimana?

Mesti berbalik kepada perjanjian dan undang-undang. Apa undang-undang kata? Undang-undang kata dibayar terus kepada kerajaan negeri, satu dividen kepada kerajaan pusat dan satu lagi 'cash payment' kepada kerajaan negeri 5 peratus dan pusat 5 peratus kalau ada minyak. Itu sahaja.

Tolak dividen tolak bayaran ini maka selebihnya terpulang kepada Petronas untuk belanja dalam urusan dialah, nak carigali minyak atau sebaginya, nak beli kawasan minyak luar negara, ini kebijaksanaan merekalah.

Kenapa pihak berkenaan berkeras juga mahu berikan wang ehsan, bukan 'cash payment'?

Itu kerajaan pusat, ini Petronas perjanjian yang dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri, tiada perjanjian antara negeri dan pusat, rundingan kita pada masa itu ialah saya selaku Pengerusi Petronas dan kerajaan negeri, itu sahaja..bila setuju hak minyak dalam negeri 3 batu nautika, itu okay, tetapi jika jumpa luar pantai negeri tersebut, kita bagi 5 peratuslah, kerana negeri beri segala haknya.

Nampak jelas perjuangan kepimpinan terdahulu ialah untuk rakyat berbeza dengan sekarang.


Tun Razak ketika itu cakap dekat saya carilah jalan buat undang-undang supaya negeri-negeri ini dapat, saya kata okay.

Kempen sudah dibuat, penjelasan sudah diberikan. Tengku sendiri turun padang, tetapi kerajaan pusat tidak menghiraukannya. Jika dimasukkan ke mahkamah , seperti yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai kini tidak selesai, dan tidak boleh pula diperjuangkan di luar mahkamah. Jadi apa pilihan yang ada?


Tengok sajalah kes Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) bawa ke mahkamah 10 kali pun dia tidak mahu bagi kepada Nizar untuk jadi Menteri Besar, dia (kerajaan) tidak akan bagi juga, sebab alasannya dia tidak mahu bagi, bukan perlembagaan kata, mereka yang suruh kata...

Begitu juga sewaktu Semangat 46 dahulu, saya banyak bawa kes ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Persekutuan sekalipun, tidak berjaya. Sebabnya Mahkamah Boneka.

Di Kelantan apa yang boleh dibuat sekarang?

Saya rasa mahkamah yang ada adalah mahkamah rakyat...(ketawa). Bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara..

Umno-BN sudah dihukum oleh mahkamah rakyat pada pilihan raya 2008 yang lalu, tetapi mereka masih terus angkuh, tidak mahu terima dan hormati suara rakyat serta ambiul iktibar daripada...

Pendapat saya begitu juga, saya hadir beri penerangan bukan kapasiti sebagai ahli politik tetapi seorang yang penuh minat mahu melihat Kelantan ini maju tidak kira PAS atau Umno yang perintah.

Dalam kes minyak ini, sepatutnya mereka bayar sebab inilah peluang untuk kita majukan Kelantan bersama, faedahnya ialah rakyat akan rasai bersama, seterusnya biarlah rakyat nilai. Dia nak pilih siapa itu pandailah kempen..betul tak..?

No comments: