Wednesday, February 17, 2010

Tok Guru sambut Tahun Baru Cina


Berita dari Kota Bharu dilampirkan:

Bagi menzahirkan rasa hormat disamping menyemai rasa kasih pada rakyat tanpa berbilang kaum dan agama, sambutan Tahun Baru Cina kali ini disambut dengan cukup meriah oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengunjungi beberapa buah rumah pemimpin masyarakat Tionghoa.

Kunjungan bertujuannya bukan sahaja untuk menzahirkan rasa muhibbah antara kaum, sebaliknya untuk mempamerkan bagaimana Islam mengajar penganutnya menjalinkan hubungan mesra pelbagai kaum dan agama.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi kediaman Pengerusi Eksekutif SBJ, Dato' Tan Liang Chong, dekat sini pada hari pertama Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalannya, Dato' Ahmad Yaacob dan isteri, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid.

Menurut Tuan Guru, amalan menziarahi serta kunjung mengunjung di antara satu sama lain amat dituntut dalam Islam.

"Saya datang ke rumah Dato' Tan untuk mengucap selamat tahun baru kepada kaum Cina disamping mengucapkan selamat tahun baru ini.

"Ini ialah adat resam kaum tertentu, orang Melayu tidak ada tahun baru. Selain tahun hijrah zaman dulu peladang dan petani ada musim menabur, kini sudah tidak ada, yang ada ialah tahun hijrah," ujarnya.

Katanya, sebagai ketua kerajaan, setiap tahun beliau mengunjungi rumah golongan itu untuk mengucap tahun baru.

Menurutnya, fahaman yang mengatakan tahun ini Tahun Harimau, itu hak mereka kerana mempunyai kefahaman masing-masing.

Namun katanya, Islam tidak menghalang mana-mana penganutnya untuk mengunjungi antara satu dengan yang lain, termasuk pihak mereka untuk mengunjungi rumah terbuka orang Islam.

"Kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa kadang-kadang benda yang berlaku semasa ni tidak serupa dengan kehendak agama," ujarnya.

No comments: