Friday, February 26, 2010

Yusof Qaradawi gesa Malaysia gugur kes liwat terhadap Anwar


Tokoh Maal Hijrah H1431, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan dakwaan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kerana ianya menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Sheikh Yusof menyeru Kerajaan Malaysia supaya lebih terbuka dan lebih adil terhadap Anwar kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati, bukan sahaja dunia antarabangsa tetapi di kalangan dunia islam sendiri.

Tegasnya, apa yang berlaku, musibah yang dihadapkan ke atas Anwar ini, boleh membawa imej yang buruk terhadap negara Malaysia sendiri, kerana Malaysia adalah antara negara yang dihormati oleh negara Islam sedunia.

"Apa berlaku, pendakwaan ke atas Anwar membawa imej yang buruk kepada negara kerana membuat dakwaan dalam kes yang penuh dengan keraguan. Bagi saya, jelas Anwar dianiaya," tegasnya.

Pada pendapat ulama terkemuka itu, jika sekiranya wujud keperluan untuk membuat dakwaan, ianya hendaklah dilakukan di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof berkata demikian kepada Anwar ketika kunjungan Ketua Umum KeADILan itu, bersama AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud di Doha, Qatar baru-baru ini.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS berkata, dalam kunjungan tersebut ulama tersohor itu menyatakan kekesalan beliau terhadap dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar.

Katanya, Sheikh Yusof berpendapat adalah amat patut dan wajar Anwar diadili dengan seadil-adilnya di Mahkamah Syariah, bukan dalam Mahkamah Sivil.

Sheikh Yusof yang sentiasa mengikuti perkembangan tersebut menegaskan, beliau menyokong penuh usaha Anwar upaya bawa kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah.

Menurut Syed Azman, Sheikh berpendapat dakwaan yang dihadapkan ke atas Anwar adalah tuduhan yang amat erat dan kerajaan perlu telus dalam memberi keadilan kepada orang yang tertuduh.

"Islam menetapkan bahawa kes sebegini perlu diadili di Mahkamah Syariah ianya sabit dalam hukum qazaf kata Sheikh Yusof," ujar Syed Azman.

Dalam pertemuan itu ulama tersohor itu meminta supaya Anwar tidak berputus asa dalam memperjuangkan keadilan dan memintanya bersabar menghadapi ujian dan cabaran fitnah yang besar terhadap beliau dan keluarga.

Sheikh Yusof juga menyeru kepada pemimpin negara supaya kembali kepada ajaran Islam sepenuhnya.

No comments: