Friday, June 18, 2010

Pakatan Rakyat tidak mahu ambil alih negara dalam keadaan bangkrap

Tidak ramai yang memahami apakah hakikat sebenar di sebalik pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen 10 Jun lepas.

Apakah kelembapan dan ketirisan politik tidak meracuni perancangan ekonomi? Sudah tentu wujud. Itulah penegasan yang diperolehi daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ikuti wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor itu di Bangunan Parlimen, 17 Jun lepas.

HARAKAH : Secara umumnya, apa pandangan saudara mengenai RMK-10 dan perancangan-perancangan kerajaan seperti yang diumumkan PM, dari segi memacu ke arah mencapai wawasan negara maju pada 2020?

DR DZULKEFLY : Saya bersedia menerima bahawa RMK-10 adalah perancangan yang menyusuli dua perancangan dalam Rancangan Jangka Panjang-3 (RJJP-3) atau OPP-3 yang merangkumi RMK-8 (2001-2005) dan RMK-9 (2006-2010). Maka RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11(2016-2020) sepatutnya akan membawa kita ke tahun 2020.

Cuma satu hal Kabinet PM Najib tidak langsung bercakap tentang RJJP-4. Mungkin kerana terlalu banyak sangat perancangan, mereka tahu rakyat pun naik pening, jadi gugurkan sahaja RJJP-4 ini. Ini satu hal pelik.

Itu tidak termasuk yang harus saya sebut, mengenai Dasar Wawasan Negara (DWN) yang sepatutnya menggantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
DPN telah menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sekarang Najib ada Model Ekonomi Baru (MEB) dan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK).

Semua dasar-dasar ini amat menyerabutkan. Rakyat di kampung-kampung tidak memahaminya, malah di bandar pun pening juga.

Saya tahu bahawa MP-MP (Ahli-ahli Parlimen) BN pun tidak faham. Tetapi itulah BN dan Najib menuruti sahaja tradisi ini.

Berapa jumlah peruntukan RMK-10 berbanding dengan sebelumnya? Apakah mencukupi untuk memacu pertumbuhan yang dikehendaki?

Pada RMK-7, diperuntukan RM67.5 bilion tetapi ditambah 53 peratus menjadikan akhirnya RM103 bilion.

RMK-8 mendapat RM110 bilion dan ditambah 55 peratus menjadikan RM170 bilion pada kesudahannya. RMK-9 bermula dengan RM220 bilion, tetapi mendapat suntikan fiskal semasa kemelesetan sebanyak RM67 bilion maka menjadikan ianya RM 287bilion. RM67 bilion itu pun sebenarnya hanya RM20 bilion yang dapat disuntik yang lain bukan bentuk fiskal atau kewangan.

RMK-10 ini mendapat peruntukan RM230 bilion, memang tidak banyak tambahannya berbanding dengan RMK-9 dan ternyata Najib sudah tidak mampu bermewah seperti PM-PM yang dahulu kerana Najib dihantui beban hutang Kerajaan Pusat yang telah mencecah 52.4 peratus dari KDNK atau RM362.5 bilion berakhir Oktober 2009.

Ramai ahli ekonomi telah meramalkan bahawa RMK-10 akan mengalami Zaman Kemarau atau Dry Spell. Tepat. Apakah akan ada tambahan, kita tengok sahaja dalam waktu yang terdekat, apakah Najib 'bernafsu' mengemukakan bajet tambahan.

Secara lebih terperinci lagi peruntukannya RM230 bilion itu, ke mana akan diagihkan?

Telah saya katakan awal tadi, saya mahukan RMK-10 ini berjaya. Setiap RMK telah dirancang dengan baik. Maklumlah ramai pakar-pakar yang terlibat bukan senang juga.

Najib datang dengan 10 idea baru dan 5 teras strategik. Itu berita baiknya. Saya telah membaca laporan RMK ke-10 dan mengetahui ke mana dana akan diperuntukkan.

Dari RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am. Tetapi yang lebih dipertikaikan adalah dalam pelaksanaannya.

Kita sedar betapa dalam hal pengangkutan awam pun kita jauh dari tahap yang memuaskan setelah melabur besar berbilion RM sama ada LRT, RapidKL dan sebagainya. Kini kita tahu betapa syarikat Prasarana berhutang sehingga RM8.7 bilion dalam bon-bon yang diterbitkan untuk menyelamatkan pelbagai pihak pemegang konsesi pengangkutan awam. Ini satu contoh.

Begitu juga aspek bekalan utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi dan lain lain.

Peruntukan untuk membangunkan IKS juga satu yang berterusan dan masih jauh dari kedudukan yang mencapai prestasi yang selesa khususnya di kalangan kelompok usahawan bumiputera Melayu atau dari Sabah dan Sarawak.

Untuk menyuntik unsur pengetahuan dan kemahiran dalam industri-industri IKS ini, banyak lagi bimbingan dan dana diperlukan dan ianya mesti dilakukan secara telus dan berdasarkan merit dan prestasi dan bukan dasar bulu atau fahaman politik.

Apakah saudara positif tentang perancangan RMK-10 ini?


Sebagai seorang warga dan rakyat Malalaysia saya mahukan RMK-10 berjaya dan dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Sebagai seorang Ahli Parlimen PAS, Pakatan dan Pembangkang saya mahukan RMK-10 berjaya.

Sebabnya, kejayaannya akan memberi menafaatkan kepada rakyat. Saya katakan sedemikian ketika membahas di parlimen semalam (16 Jun lepas). Mereka takut bila kita mengkritik dan menyangka kita mahu RMK-10 gagal.

Jangan silap, kami mahukan RMK-10 dan MEB bahkan semua perancangan kerajaan BN berjaya, meskipun kami pembangkang. Sebabnya mudah. Kalau kesemua gagal, rakyat akan menderita dan kerajaan juga didakwa Menteri di JPM, Dato' Seri Idris Jala akan bankrap dalam ramalannya tahun 2019.

Kami juga tidak mahu mengambil alih kerajaan yang bankrap dalam PRU ke-13 atau PRU ke-14 nanti. Maka kami akan terus positif untuk menyemak, mengimbang dan mengkritik dasar-dasar dan perancangan serta pelaksanaan kerajaan BN.

Itu peranan kami sebelum menjadi kerajaan.

Apa pandangan saudara tentang matlamat pertumbuhan RMK yang lalu? Telah dicapai?


Untuk ingatan semua RMK-8 dan RMK-9 kedua-dua tak capai matlamat pertumbuhan. Matlamat RMK-8 pertumbuhan disasarkan adalah sebanyak 7.5 peratus.

Di antara 2001-2005 tidak setahun pun mencecah 7.5 peratus. Akhirnya pertumbuhan purata RMK-8 hanyalah 4.7 peratus.

RMK-9 disasarkan pertumbuhan 6 peratus. Dengan Petronas menyumbang pendapatan dan membenamkan sejumlah RM235.6 bilion di antara 2006-2009, yang dicapai hanya 4.2 peratus.

Apabila dalam suku pertama tahun 2010 kita mencapai 10.1 peratus, kita berkokok sekeliling kampung. Kita tidak sedar bahawa suku pertama tahun 2009 itu paras perbandingannya rendah sebab kemelesetan, maka suku pertama tahun 2010, bila ada pertumbuhan memanglah nampak tinggi, sebab ’baseline’ atau paras mulanya rendah, tapi kita ditakuk lama juga.

Ceritanya mudah begini. Kalau kita ada RM100 pada tahun 2008 yang kita laburkan. 2009 kita kerugian RM50, tetapi kita untung pulak RM50 pada tahun 2010. Bukankah pelaburan kita balik ditakuk asal RM100. Tetapi tahun 2010, kita mendabik dada untung 100 peratus. Hakikatnya kita baru balik asal!

Secara lebih serius, apa pandangan saudara tentang penetapan matlamat pertumbuhan RMK-10 ini? Mampukah dicapai?

Secara ikhlas, saya khuatir tentang matlamat yang ditetapkan dalam RMK-10. Saya telah nyatakan dalam perbahasan saya di parlimen. Dan ada sebabnya kenapa saya nyatakan sedemikian.

Menetapkan matlamat pertumbuhan dalam perancangan pembangunan memang satu tuntutan makro ekonomi. Semua ahli ekonomi faham itu. Tetapi saya ingatkan diri saya bahawa petumbuhan bukan segala-galanya. Mereka juga tahu.

Najib meletakkan pertumbuhan purata 6 peratus KDNK untuk RMK-10 ini. Saya tidak pulak kata ianya mustahil atau tidak munasabah.

Kalau kita berani berbelanja besar dan secara mega serta sanggup berhutang, mungkin boleh dicapai.

Katalah KDNK negara RM700 bilion, maka satu projek mega RM7 bilion pun sudah 1 peratus dari KDNK. Kalau RM70 bilion, 10 peratus KDNK.

Persoalannya yang lebih mustahak bukan hanya pertumbuhan. Tetapi bagaimana untuk mendapatkan pertumbuhan dan apa ’bayaran atau price’ pertumbuhan itu?

Berapa banyak yang perlu dibuat dalam pelaburan atau ‘investment’ pembangunan untuk menjana pertumbuhan ini? Siapa yang akan memacu pertumbuhan? Sekarang Najib kata mesti dipacu oleh pihak swasta.

Ingat dalam KDNK itu ada faktor-faktornya, pelaburan, penggunaan, eksport dan import.

Yang saya maksudkan ialah faktor Pelaburan Dana atau ’Capital Investment’. Dari mana sekarang ini? Kerajaan atau Swasta? Kerajaan sudah terbeban dengan hutang, kapasiti melabur dan berbelanja sudah semakin lemah.

Sekarang Najib kata mesti dipacu oleh pihak swasta, luar atau dalaman negara. Beliau menyebutkan jumlah sebanyak RM110 bilion, peningkatan sebanyak 100 peratus dari luar (FDI) dan dalaman setahun. Munasabah ke? Jawab lah sendiri.

Sebab itu Najib akan memulakan Gelombang Kedua Penswastaan. Nah, apakah akan kita saksikan segala amalan bobrok kronisme dan nepotisme semasa zaman Tun Mahathir dahulu.

Bagaimana pula dengan segala ketirisan dan kebocoran perlaksanaan penswastaan yang berkahirnya dengan ’bailout’ syarikat-syarikat gergasi yang gagal.

Mereka bukan gergasi, mereka adalah ’kucing gemuk’ kroni, mengikut bahasa pakar ekonomi antarabangsa.

Bagi memacu pertumbuhan apakah akan berulang segala-gala kebobrokan lama dan dana rakyat akan sekali lagi hangus.

Ini yang lebih saya takuti apabila nafsu serakah pimpinan Umno-BN bersama segelintir elit bisnes tidak mengenal batas-batas moral dan agama dalam mencari kekayaan.

Sebab itu dalam perbahasan telah saya sebutkan tentang contoh cadangan Asas Serba mahu mengambil alih kesemua 23 konsesi Tol di seluruh negara dan pelbagai lagi projek pembangunan hartanah seperti 3000 ekar di Sungai Buloh yang rata-rata adalah direct nego atau runding terus oleh pihak pemaju.

Kita sekarang ini sudah terbeban dengan hartanah yang tidak dijual atau ’property overhang’ sebanyak RM5.3 bilion. Tapi masih ghairah untuk memajukan pembangunan hartanah, sebab itu yang senang, tidak banyak otak dan pengetahuan diperlukan. Siapa pun boleh!

Najib akan mengenalkan pelbagai cara pembiayaan yang kononnya nampak semacam pihak swasta yang bertanggunggjawab. Hakikatnya adalah sebaliknya.

Contohnya PFI. Memanglah bunyi perkongsian pintar. Di antara kerajaan dan pihak swasta. Sehingga kini belum ada satu contoh PFI yang berjaya yang boleh diperagakan. Yang gagalnya banyak.

Jaminan bon-bon ini kepada pihak swasta dari kerajaan Pusat akan berakhir dengan hutang iu ditanggung oleh rakyat! Ceritanya sama, sama ada PKFZ, Prasarana dan sebagainya. Berbilion RM.

Sebab itu saya memang tidak pernah ’beriman’ dan ’mendewakan’ "Pertumbuhan” seperti ini

Mungkin saudara akan didakwa hanya tahu kritik BN sahaja. Apakah Pakatan Rakyat ada alternatif? Apakah konsep pembangunan Islam dan pertumbuhan kalau dari perspektif PAS atau Islam?

Tidak juga. Dalam perbahasan saya, walaupun dikekang dengan 30 minit, sempat saya sebut asas dan kerangka pemikiran Islam.

Saya tegaskan bahawa dalam konteks Pembangunan Ekonomi Islam, matlamat terkemuncaknya adalah untuk Memakmurkan muka alam ini dengan melangsungkan pengagihan yang adil, supaya manusia sejahtera untuk hidup menjalankan kewajipan. Ia juga mesti mengelakkan kezaliman dan kerosakan.

Saya sebut ayat-ayatnya dan maksudnya. Tetapi tidak bolehlah saya berkhutbah pulak.

Mencapai kemakmuran mesti untuk seluruh makhluk Allah, manusia, binatang dan seluruh alam sekitar. Kemakmuran pula mesti membawa kepada Keadilan agihan atau ’distributive justice’.

Konsep ini pun sudah cukup untuk membeza kami PAS-Pakatan Rakyat dengan pendekatan Umno-BN.

Tengok sahaja di negeri Pakatan. Sebab itu kami angkat tema ”Merakyatkan Ekonomi”. Tapi tidak ada siapa hendak kata itu Islamik! Tidak mengapa.

Saya sebutkan tentang jurang kaya dan miskin, di antara kaum dan dalam sesuatu kaum etnik itu sendiri. Bangsa Melayu paling teruk mengalami jurang antara kaya-miskin. Masih di takuk lama, saya sebut Pengkali Gini, ukuran yang menujukkan bahawa pengagihan kekayaan negara cukup tempang. Ini berterusan sejak zaman azali lagi.

Kerana pembangunan dipacu bukan untuk pengagihan tetapi memenuhi angka pertumbuhan. Memang ada penurunan kemiskinan tegar.

Tetapi kita bercakap tentang kemakmuran sekarang, di samping mengurangkan kemiskinan relatif dan tegar.

Sebab itu saya katakan kita perlu keluar dari kerangka pertumbuhan sahaja termasuk meneliti benar-benar keseimbangan pembangunan wilayah.

Kalaupun kita capai pertumbuhan 6 peratus sekalipun, tetapi Sabah, Sarawak dan negeri pantai Timur akan tetap menjadi negeri kurang maju atau mundur dan miskin dan negeri-negeri pantai Barat Semenanjung negeri maju, maka jadi ada 2Malaysialah ketika datangnya 2020, bukan 1Malaysia.

Tambahan pula, selain dari Wilayah Iskandar, saya tidak nampak peruntukan kepada koridor-koridor lain termasuk Sabah dan Sarawak (SCORE).

Bagaimana saudara melihat matlamat mencapai ekonomi berpendapatan tinggi? Adakah ianya munasabah?

Memang ini adalah antara teras MEB dan matlamat RMK-10. Najib akui akhirnya, bahawa negara telah terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana untuk sekian dekadnya. Najib dan Umno-BN baru sedar, baru insaf.

Keinsafan satu hal. Tetapi untuk keluar dari perangkap ini bukan mudah.
Faktor kritikalnya ialah produktiviti. Ini kembali kepada persoalan tahap kemahiran, ketrampilan dan pengetahuan warga kerja dan buruh di negara.

Sekali gus ia bermula dengan aspek pendidikan dan latihan. Maka prosesnya panjang, mungkin memakan generasi untuk berubah. Tetapi Najib serta Umno-BN tidak memahami pengurusan perubahan ini.

Pada tamatnya RMK-9, pencapaian Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita (bagi setiap warga) meningkat dari RM20,000 pada tahun 2005 kepada RM26,420 pada akhir tahun 2009. Peningkatan RM5,000 dalam 5 tahun dalam RMK-9.

Dalam RMK-10, disasarkan PNK per kapita, akan dilonjakkan kepada RM38,850 dengan pertumbuhan sebanyak 6 peratus yang disebutkan tadi. Sebab itu Najib mahukan 6 peratus.

Bermakna peningkatan sebanyak RM12,000 dalam 5 tahun berbanding RM5,000 dalam RMK-9. Fikirkanlah sendiri, munasabah ke?

Sebab itu saya katakan dalam parlimen, jangan memaksa kita memandu pada gear 2 untuk 10 km, ranap kereta kita.

Tetapi itulah maksudnya dan hakikatnya, untuk memacu pertumbuhan itu, segala resources atau sumber yang perlu dipunggah. Tetapi kemakmuran rakyat satu hal lain.

Bayangkan untuk meningkatkan 40 peratus dari penduduk Malaysia yang hidup dengan pendapatan kurang dari RM1,500 dan sebahagian besar hampir 75 peratus adalah dari bumiputera Melayu, Sabah dan Sarawak. Apa strategi untuk meningkat pendapatan per kapita golongan ini.

Kalau orang lain sudah sampai RM38,000 pun, mereka tetap di takuk lama. Dalam bahasa yang mudah, apakah RMK-10 akan berjaya?

Sementara saya mahu RMK-10 berjaya terus terang saya katakan bahawa saya masih khuatir, kalau kerajaan Najib masih tidak mempunyai iltizam politik yang kuat dan gigih, maka akan berulang segala kebejatan ketirisan dan kebocoran seperti yang dialami RMK-RMK yang lalu.

Ini sungguh malang dan rakyat akan terus ternafi dari mengecapi kekayaan negara sebenarnya. Rakyat perlu menunggu perubahan atau pertukaran kerajaan di peringkat Pusat.

No comments: