Wednesday, December 30, 2009

Tahaluf siyasi memperkukuhkan PAS

PAS sudah bertapak di persada politik negara sejak tahun 1951. Keberadaan dan peranan PAS sebagai pemain utama dalam arena politik negara tidak dapat disanggah oleh sejarah.

PAS kini berada ditahap yang paling kukuh, mempunyai kepimpinan dan ahli yang mantap, serta mempunyai pengaruh yang meluas di serata pelosok negara.

Kemantapan kepimpinan dan pengaruh yang meluas ini tidak tegak dengan sendirinya.

PAS kuat dan bertapak bukan kerana ianya sebuah parti politik semata-mata. Lebih besar daripada itu, PAS adalah sebuah gerakan Islam atau Harakah Islamiyah.

Sebuah gerakan Islam tidak hanya bergerak dalam arena politik sahaja. Ia mendasari semua aspek kehidupan dan amalan kemanusiaan.

Politik hanyalah salah satu cabang daripada keseluruhan perjuangan Islam yang syumul. Gerakan Islam berperanan sebagai pelindung dan ia memayungi umat Islam, serta menjadi penyambung perjuangan Nabi dan Rasul a.s.

Justeru, PAS merupakan sebuah tanzim (organisasi) yang tersusun, mempunyai manhaj (sistem) tarbiyah (pendidikan) dan fikrah (pemikiran) yang jelas hala tuju serta matlamatnya (ghayyah).

Oleh itu, apa juga dasar yang diputuskan oleh kepimpinan PAS mempunyai matlamat dan manfaat jangka panjang.

Sebagai sebuah parti Islam yang teguh dengan prinsipnya, PAS berusaha memperluaskan pengaruhnya, bukan sekadar di kalangan umat Islam, malah di kalangan bukan Islam juga.

Di atas prinsip-prinsip yang teguh ini, tidak menghalang golongan bukan Islam menyokong PAS. Malah mereka menyokong PAS secara bergerombolan, menubuhkan Kelab Penyokong PAS.

PAS juga melakukan tahaluf (persefahaman) politik (siyasi) dengan parti atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan tertentu, demi kepentingan ummah.

Dalam sejarah politik negara, PAS pernah bertahaluf dengan beberapa buah organisasi seperti CCC, Nasma, SDP, Hamim, Berjasa, Semangat 46, Parti Keadilan Nasional dan sebagainya.

Ukuran kejayaan tahaluf tidak dilihat dari aspek kejayaan menumbangkan Umno-Barisan Nasional semata-mata.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990 misalnya. Tahaluf dengan Angkatan Perpaduan Ummah berhasil mengembalikan Kelantan ke pangkuan PAS, selepas 12 tahun dikuasai Umno-BN.

Kerjasama dengan Parti Keadilan Nasional melalui Barisan Alternatif pada tahun 1999, berhasil membantu PAS memenangi Terengganu.

Dan terakhir sekali, kerjasama politik dengan Parti KeADILan Rakyat dan DAP pada PRU 2008, membantu PAS kekal di Kelantan, menguasai Kedah, menerajui Perak dan berada dalam kerajaan di Selangor.

Kerjasama atau tahaluf PAS dengan beberapa buah organisasi membawa keberhasilan kepada PAS. Walaupun ada di antara parti-parti tersebut yang sudah mati dan pupus dari persada politik negara, namun PAS tetap unggul dan dihormati.

PAS dihormati kerana setiakawannya dalam perjanjian politik. PAS dihargai kerana tidak pernah mengkhianati perjanjian politik dengan mana-mana pihak sekalipun.

Maka pada 19 Disember 2009, PAS sekali lagi memeterai tahaluf politik dengan KeADILan dan DAP, di bawah gagasan Pakatan Rakyat.

Dengan tahaluf ini, PAS menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat. Malah dua kali Muktamar PAS, iaitu di Ipoh (2008) dan Shah Alam (2009), perwakilan meluluskan ketetapan untuk PAS memantapkan Pakatan Rakyat.

Maka dengan perjanjian itu, PAS akan terus memainkan peranan yang penting dalam Pakatan Rakyat, bagi menumbangkan BN.

Pada saat ini ramai yang memperakui, tiada parti lain yang boleh mengambil alih kedudukan Umno dari orang-orang Melayu, melainkan PAS sahaja.

Justeru, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, harus berkerja dengan lebih kuat dan gigih untuk memenangi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dikuasai Umno.

Mereka harus gigih menjayakan tahaluf ini, mereka harus komited untuk melangkah maju ke hadapan. Mudah-mudahan PAS mendapat manfaat yang besar pada PRU akan datang.

No comments: