Thursday, December 31, 2009

Menilai prestasi PAS dalam Pakatan Rakyat

Impak awal daripada Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat 19 Disember lepas begitu jelas.

Ia menyebabkan pemimpin Umno-Barisan Nasional 'terkedu tidak tahu hendak cakap apa'.

Sehingga kini tiada komen pemimpin tertinggi Umno-BN. Media pengampu juga tidak tahu hendak mengulas bagaimana. Mereka cuba untuk mengorek isu-isu negatif di sebalik muafakat baru PAS, KeADILan dan DAP.

Umno-BN melalui media mereka kebiasaannya cuba memainkan isu negatif dengan melaga-lagakan ketiga-tiga parti alternatif yang semakin diterima rakyat, bagaimanapun, sehingga kini usaha tersebut tidak berhasil.

Malah secara tidak langsung, dengan 'diam tergamamnya' mereka dengan perkembangan positif dalam Pakatan Rakyat ini, mereka sekali gus memperakui, muafakat yang dicapai merupakan suatu cabaran besar yang boleh mengugat BN.

Umno-BN semakin kehilangan kuasa dan cengkaman di kalangan rakyat. Yang tinggal menyokong mereka hanyalah 'pengundi-pengundi tegar' yang sudah terbiasa dengan kolonialisme.

Umno-BN yang tidak mahu menerima hakikat

Penyokong-penyokong tegar ini sudah lebih 50 tahun dijarah imperialisme Umno-BN.

Sehinggakan mereka lebih mempercayai akhbar-akhbar arus perdana lebih daripada al-Quran.

Mereka mempercayai semua tohmahan yang dilemparkan oleh media terhadap PAS dan Pakatan Rakyat, dan sebaliknya pandangan atau kritikan Pakatan Rakyat terhadap ketidakupayaan Umno-BN memerintah, dianggap sebagai fitnah.

Sehinggakan ada kalangan mereka yang tegar, 'beriman' bahawa, jika tidak kerana Umno-BN maka Malaysia tidak akan aman damai, pembangunan begitu hebat, anak-anak tidak akan dapat biasiswa dan sebagainya.

Maka, jika kita katakan kepada mereka, jangankan Umno, malah komunis seperti Rusia dan China pun membangun begitu pesat, memberikan kemudahan yang lebih hebat kepada rakyat, komunis juga bagi biasiswa, nescaya mereka tidak akan terima.

Mereka ini jugalah kononnya mendakwa, di zaman pemerintahan Umno-BN, agama Islam amat terpelihara, ketuanan Melayu dipelihara dan kedaulatan Raja-Raja Melayu semakin kukuh.

Maka, jika kita katakan kepada mereka bahawa Umno-lah yang menghakis perlaksanaan dan kepercayaan agama, membunuh ketuanan Melayu dan merendahkan kedaulatan Raja, nescaya mereka tidak akan terima juga.

Segelintir umat ini juga, enggan menerima hakikat bahawa kedudukan BN dalam politik negara kini, bagaikan kapal Titanic. Akibat daripada meletakkan Umno-BN terlalu supreme (terlalu agung) dalam pemikiran mereka, sehingga membentuk sifat yang yang tidak realistik.

Mereka adalah penyokong tegar Umno-BN. Mereka sampai bila-bila pun tidak akan menyokong Pakatan Rakyat. Tetapi jumlah mereka makin sedikit dan semakin mengecil.

Mereka ini hanyalah segelintir umat yang tidak mahu menerima hakikat bahawa majoriti rakyat mahukan perubahan terhadap kepimpinan negara.

Mereka yang segelintir ini berasa amat gerun kerana, konvensyen tersebut berjaya menyatupadukan komponen Pakatan Rakyat dengan lebih erat itu, menghasilkan persefahaman yang meyakinkan, jauh meninggalkan BN dalam keadaan keserabutan.

Akibat daripada keserabutan tersebut, Umno-BN cuba memainkan 'lagu' lama. Mereka cuba melaga-lagakan PAS, KeADILan dan DAP.

Mereka tahu, jika mereka menghentam atau mengkritik Pakatan Rakyat dengan menggunakan nama Umno-BN, rakyat tidak akan percaya.

Oleh itu mereka mencuba propaganda baru. Mereka mengunakan pelbagai taktik, menyamar sebagai penyokong PAS dengan membuat demonstrasi, mengirim SMS dan menghantar emel-emel, kononnya mereka amat prihatin dengan masa depan PAS, masa depan Islam dan ketuanan Melayu.

Penyamar-penyamar yang tidak mengetahu 'budaya' PAS ini, hanya memperlihatkan kebodohan dan kejijikan perangai mereka.

Mereka menjerit-jerit menggunakan bahasa kesat dan kasar, sekali gus bercanggah dengan akhlak Melayu-Islam.

Mereka mendakwa mereka datang dari PAS bahagian tertentu. Lagak mereka menyebabkan kita tertawa sendirian. Mana PAS guna istilah bahagian. Sejak tahun 1951, PAS tidak pernah menggunakan istilah bahagian dalam sistem organisasi PAS mengikut pecahan kawasan parlimen. Kalau hendak menyamarpun biarlah cerdik sedikit.

Namun, penyamar-penyamar ini, kononnya, dengan lantang mempertahankan PAS. Antara isu-isu yang dijeritpekikkan mereka adalah:

i) mendakwa pemimpin menggadai prinsip kerana berkawan dengan DAP dan KeADILan.

ii) mendakwa PAS mengikut telunjuk Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Penyamar-penyamar ini melemparkan tuduhan, dengan tujuan untuk memecahbelahkan PAS, KeADILan dan DAP.

Tetapi tuduhan-tuduhan ini, secara tidak langsung, membuka ruang untuk PAS terus kukuh dalam persada politik negara. Mereka menunjukkan bahawa hanya PAS sahaja yang boleh diharap untuk memelihara kesucian Islam, memelihara ketuanan Melayu dan mempertahankan kedaulatan Raja.

Prinsip perjuangan PAS

PAS tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan ketika menjalinkan persefahaman politik dengan sesiapa. Segala tindakan politik yang diambil oleh pimpinan PAS, selaras dengan Perlembagaan PAS.

Penulis memperincikan Fasal 5 dan Fasal 6 Perlembagaan PAS, untuk kita menilai sejauhmana tindakan PAS boleh dianggap tergelincir dari asas perjuangannya.

Seperti yang termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS, bahawa tujuan PAS ialah :

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

(2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Tujuan perjuangan PAS diperincikan dalam Fasal 6 Perlembagaan PAS, antara lainnya

(1) Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

(3) Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dam masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

(4) Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

(5) Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

(6) Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

(7) Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

(8) Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

(9) Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Berdasarkan Perlembagaan PAS, segala usaha yang dilakukan oleh pucuk pimpinan PAS adalah langkah yang bijak dan tepat.

Jika ada pihak tertentu yang mempersoalkan prinsip PAS, kita tanyakan kembali kepada mereka, pada aspek mana persahabatan Umno-MCA-MIC-Gerakan tidak menggadaikan prinsip perjuangan mereka?

Apakah dengan persahabatan Umno-MCA-MIC-Gerakan itu, Melayu semakin unggul? Islam semakin terpelihara dan Raja semakin didaulatkan?

Terlalu banyak fakta yang boleh disenaraikan dan disusun sebagai bukti pengkhianatan Umno terhadap Islam dan bangsa Melayu.

Realistik dalam berpolitik

Perkara yang kedua terpenting dalam tuduhan puak pro Umno-BN terhadap PAS, ialah didakwa mengikut telunjuk Anwar.

Mereka ini barangkali mahu memerangkap PAS dengan sokongan palsu. Mereka tahu, jika PAS kekal pada kelompoknya sahaja, PAS tidak akan maju. Mereka inilah sebenarnya, tidak mahu PAS bangkit menggantikan Umno dalam negara.

Hakikat yang kita semua harus terima ialah, tidak ada sebuah parti, satu ideologi atau satu kaum sahaja, yang boleh tegak dan membentuk kerajaan sendiri.

Persempadanan kawasan pilihan raya dan pembahagian kependudukan yang diatur sejak zaman British memerintah, tidak memungkinkan sesuatu kaum memonopoli negara.

Hanya harus ditanya kepada Umno-BN (dahulu Perikatan), mengapa dominasi bangsa Melayu dalam jumlah penduduk negara, yang suatu ketika dahulu melebih 80 peratus, sudah berkurangan di bawah 60 peratus sepanjang tempoh 50 tahun mereka berkuasa?

Apapun, untuk kita menilai bagaimana jumlah penduduk Melayu-Islam boleh mengecut (shrink) begitu teruk, boleh dibahaskan pada platform yang lain.

Justeru, akibat dari pembahagian kependudukan, suku kaum, kawasan parlimen dan sebagainya, untuk parti-parti politik mengatasi dominasi Umno-BN, mereka harus bekerjasama.

Dalam sejarah politik negara yang dipecahbelahkan oleh Umno-BN, PAS dan DAP tidak mungkin dapat bekerjasama, kerana berlainan ideologi dan pendapat. Kalau ikut perbezaan, sampai bila-bila pun kerjasama tidak boleh dibuat, maka Umno-BN boleh memerintah negara sampai kiamat (itu yang mereka buat selama ini).

Oleh itu, Umno-BN begitu bimbang jika ada orang tengah yang boleh menyatupadukan antara PAS dengan DAP.

Sejarah politik membuktikan bahawa PAS boleh bekerjasama dengan DAP. Tengku Razaleigh
Hamzah pada PRU tahun 1990. Itu pun dibentuk dua gabungan yang berbeza iaitu, Gagasan Rakyat dengan Angkatan Perpaduan Ummah.

Namun pada saat ini harus diakui kekuatan dan kelebihan yang ada pada Anwar. Beliau mampu menyatupadukan PAS dan DAP, bukan dalam dua gagasan, malah dalam satu platform yang sama. Malah Anwar mampu menggamit sokongan dari Sabah dan Sarawak.

Sudah tentu fenomena ini menggerunkan Umno-BN. Untuk merosakkan gabungan, maka Umno-BN cuba mencari jalan memburuk-buruk dan melaga-lagakan PAS dengan Anwar atau PAS dengan DAP.

Syukur setakat ini, pemimpin PAS, KeADILan dan DAP tidak terperangkap dengan agenda Umno-BN. Walaupun kita berbeza ideologi, namun prinsip perjuangan tetap sama.

Prinsip PAS tidak pernah berubah. PAS menerima hakikat bahawa harus ada titik persefahaman dengan parti yang dikategorikan dalam golongan pembangkang, untuk menumbangkan Umno-BN.

Jadi, kerjasama yang dijalin bersama KeADILan dan DAP, sesuai dengan tujuan dan usaha PAS yang termaktub dalam perlembagaannya.

Justeru, matlamat utama PAS ialah untuk menghentikan kezaliman Umno-BN, meletakkan Islam ke tempat yang sewajarnya dan menyelamatkan bangsa Melayu dari terus dimusnahkan Umno.

No comments: