Sumbangan besar Petronas sebagai sebuah syarikat gergasi minyak, yang menjadi sumber utama untuk membantu dan menampung ekonomi negara sangat diperakui.
Dana besar yang diperolehi bagi membantu menguruskan perbelanjaan negara tidak boleh dikatakan ianya sebagai semata-mata hasil jasa Petronas.
Petronas hanyalah sebuah syarikat milik kerajaan' yang diberi amanah untuk mengeluarkan hasil minyak dan gas secara tunggal dari perairan negara dan antarabangsa.
Petronas diurustadbirkan secara profesional, namun ia dipertanggungjawabkan terus di bawah kuasa Perdana Menteri.
Apa pun, minyak dan gas di perairan negara dan yang dikongsi bersama beberapa negara jiran di perairan antarabangsa, adalah milik negara dan milik rakyat.
Justeru, segala hasil mahsul yang menghasilkan unjuran besar pendapatan Petronas ianya adalah hak rakyat yang wajib diketahui rakyat.
Rakyat mahu mengetahui berapa jumlah sebenar yang diperolehi rakyat, berapa banyak royalti yang diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, serta ke mana dan bagaimana ia diagihkan.
Namun sehingga kini tiada data jelas yang boleh diperolehi secara telus. Parlimen juga tidak dibentangkan akaunnya dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) juga tidak boleh mengauditnya.
Mengapa akaun Petronas disembunyikan, diselindungi dari rakyat? Barangkali di sini bukan salah Petronas. Yang salahnya mengapa Perdana Menteri enggan membenarkan akaunnya diteliti secara telus.
Rakyat tidak mengetahui dengan jelas, di perairan negeri mana telaga minyak dan gas digali. Rakyat tidak diberitahu secara jelas dengan siapakah usaha pencarigalian itu dilakukan dan banyak mana minyak dan gas yang digali.
Jika Kelantan tidak menuntut hasil petroleum yang jelas digali dalam perairannya, nescaya tiada siapa yang tahu apakah isu sebenar yang berlaku.
Kerajaan Negeri Kelantan, di bawah usaha Exconya, Dato' Husam Musa berjaya melakukan pembongkaran yang mengejutkan.
Iaitu, hasil petroleum digali dari perairan Kelantan sejak 2004, tetapi hasilnya disembunyikan oleh Petronas yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional.
Hasil royalti kepada Kelantan dianggarkan lebih RM 1 ribu juta disembunyi dan didiamkan daripada Kelantan.
Mengapa mereka begitu jahat menyembunyikan hasil milik rakyat Kelantan? Di mana wang itu sekarang, dan ke mana ia dibelanjakan, akan tetap menjadi persoalan yang akan terus dibongkar.
Tidak dapat dinafikan, walaupun Petronas menjalankan urusniaga secara profesional, namun ia tetap tidak terlepas daripada diperalatkan oleh orang-orang politik, khususnya PM yang juga Presiden Umno.
Sesiapa pun yang menjadi PM, boleh 'mempunyai kecenderungan' untuk memanipulasikan Petronas, kerana agensi itu tertakluk sepenuhnya di bawah kuasa beliau.
Kemuncak manipulasi dan kejahatan yang paling besar dilakukan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM, ketika PAS menerajui Kerajaan Negeri Terengganu (1999-2004).
Mahathir secara rakus menghukum rakyat Terengganu dan PAS dengan menarik balik royalti minyak selepas lebih 20 tahun dibayar kepada Terengganu secara tunai.
Royalti dibayar ketika Umno-BN menerajui kerajaan negeri, tetapi ditarik balik ketika PAS memegang tampuk kuasa.
Tindakan zalim ini tidak harus dimaafkan sama sekali. Hasil minyak bukan milik Umno-BN. Royalti minyak juga bukan duit milik Umno-BN.
Ia adalah milik rakyat dan mesti dipulangkan kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang sah dipilih pada setiap pilihan raya.
Hakikatnya Petronas bukan harta milik peribadi Umno-BN yang hendak dibidak sesuka hati mereka.
Justeru, kini rakyat sudah sedar hakikat sebenar. Hasil yang digali Petronas menjadi bahan pertaruhan politik Umno-BN. Ia juga dijadikan bahan dendam politik terhadap PAS, dahulu di Terengganu dan kini di Kelantan.
Maka kita mengharapkan agar Petronas dan seluruh kakitangannya, supaya tidak menjadi alat politik Umno-BN, dengan menyembunyikan fakta-fakta sebenar daripada rakyat.
Ingatkan hayat politik Umno-BN tidak lama. Mereka bakal ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Umno-BN, menzalimi rakyat dari sudut politik dan ekonomi, akan menerima balasan yang setimpal.
No comments:
Post a Comment